Sunday, February 22, 2009

Pulang ke Kuala Lumpur

Dari Pulau Wan Man, kami menuju ke Lapangan Terbang Sultan Mahmud di Seberang Takir untuk menghantar saudara yang akan pulang dengan kapal terbang. Lebih kurang pukul 1:30 petang kami mula bergerak meninggalkan Seberang Takir untuk pulang ke Kuala Lumpur. Cadangan asal hendak berhenti rehat di Mesra Mall, Kijal. Tetapi apabila tiba di sana, kesemua penumpang tidur kecuali pemandu. Lantas lebih baik teruskan perjalanan sahaja.

Destinasi rehat kami ialah R&R Temerloh. Makan mee goreng mamak. Gerai yang mula-mula sekali. Sedap yang amat. Mula-mula pesan sepinggan. Bila dah rasa sedap, pesan lagi satu. Kemudian pesan lagi satu. Memang sedap, satu mana cukup.

Maryam makan telur rebus. Nasi lemak tak sedap. Lain kali jangan beli.
Sebab tu Maryam makan telur sahaja.

Pukul 7:00 malam kami melintasi kawasan rehat Lentang. Jalan sesak teruk kerana ada banyak pembaikan jalan menyebabkan hanya satu lorong lebuhraya yang dibuka. Dekat pukul 9:00 malam baru tiba di Taman Tun Dr. Ismail. Rindu Aiman!

Taman Tamadun Islam Part II

Selesai check-out dari Rumah Peranginan Bank Negara, penulis dan keluarga menuju ke Taman Tamadun Islam. Ingin masuk ke Taman Monumen pula. Jumaat lepas hanya sempat melawat ke Masjid Kristal. Kadar menyewa dua buah banglo lima bilik Rumah Peranginan Bank Negara untuk tiga malam hanya RM 90. Memang murah!

Tiket masuk ke Taman Monumen ialah RM 10. Katanya kadar akan naik ke RM 20 pada bulan Mac nanti. Di dalam taman, boleh pilih sama ada hendak berjalan kaki atau naik tram. Ada banyak monumen masjid-masjid terkenal dari seluruh dunia Islam. Antaranya Masjidil Haram, Masjid Nabawi, Masjid Kubah Batu di Baitul Maqdis, Masjid Negara, Masjid Xian di China, Masjid Badshahi di Pakistan, Taj Mahal di India, Masjid Sulaymaniyah di Turki, Kompleks Istana Alhambra di Sepanyol, dan banyak lagi. Daripada banyak-banyak monumen, ada empat monumen yang ada panggung teater dan tempat pameran: Masjid Negara, Taj Mahal, Masjid Kubah Batu dan Masjidil Haram. Lagi satu, pelawat boleh masuk ke dalam model Masjid Kubah Batu. Kawasan dalam monumen dibina sama dengan keadaan sebenar, cuma pada skala yang lebih kecil.

Maryam di monumen Taj Mahal.

Nampak Masjid Badshahi dan Masjid Kubah Batu.

Habis lawatan monumen, singgah sebentar di restoran yang ada di Taman Monumen. Guna kupon yang diberi percuma sewaktu masuk ke taman.

Gerai Tiga Nasi di Kuala Ibai

Hari terakhir di Kuala Terengganu. Subuh tadi ada saudara yang ke Masjid Tengku Tengah Zaharah di Kuala Ibai untuk bersolat. Sebelum pulang dari masjid, beliau sempat bertanyakan tempat menjual nasi dagang yang sedap. Ada yang memberitahunya, ada gerai yang sedap di persimpangan jalan depan masjid sebelum bangunan Mydin. Lantas kami menuju ke Kuala Ibai untuk bersarapan.

Ada dua gerai, masing-masing bertentangan antara satu sama lain. Kedua-duanya sebelum bangunan Mydin. Oleh kerana tidak pasti yang mana satu kedainya, kami masuk sahaja ke salah satu gerai dan terus duduk. Gerai yang kami pilih nampak baru sedikit. Ada tiga jenis nasi: nasi putih, nasi minyak dan nasi tomato. Nasi dagang tiada. Nyata sekali kami telah tersilap pilih gerai. Tetapi alang-alang sudah duduk, kami membuat keputusan untuk makan di situ sahaja. Gerai buruk di seberang jalan sebenarnya yang menjual nasi dagang. Tapi sejak hari pertama sampai hari-hari asyik sarapan dengan nasi dagang. Tukar selera pula.

Nasi minyak dengan lauk ayam goreng berempah. Layan! Memang sedap.

Laksam. Kurang sikit.

Maryam bermain di playground Rumah Peranginan Bank Negara.
Selepas ini nak check-out dah.

Saturday, February 21, 2009

Makan Malam di Mydin

Dari Pantai Batu Burok, penulis dan keluarga menuju ke Pasaraya Mydin. Besar. Dua tingkat. Beli barang sikit. Kemudian makan di medan selera yang ada di Pasaraya Mydin. Hebat. Macam-macam makanan ada di sini. Pilihan terlalu banyak.

Maryam makan kentang goreng. Cicah dengan air. Tengok kat dalam mangkuk depan dia. Banyak. Baju pun dah kotor.

Pantai Batu Burok

Hari ketiga di Kuala Terengganu. Selesai menghantar sanak saudara ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, penulis dan keluarga membuat keputusan untuk bersiar-siar di Pantai Batu Burok. Kawasan pantai luas dan panjang. Ada ramai pengunjung, maklum sahajalah hujung minggu. Ombak dan angin kuat. Di sini dilarang mandi.

Pengunjung yang bermain layang-layang.

Bangunan Hospital Sultanah Nur Zahirah dilihat dari kawasan pantai.

Maryam baru bangun tidur waktu sampai di pantai.

Maryam tengok kuda. Nak naik ke? Tunggu besar sikit. Sekarang kecil lagi, bahaya.

Keropok Lekor Losong Part II

Petang. Pergi semula ke Losong kerana masih ada yang belum beli keropok lekor semalam. Kali ini tidak terus berhenti di kedai pertama. Lebih kurang lepas dua tiga kedai baru penulis dan keluarga berhenti.

Inilah kedai yang kami pilih.

Salah satu sebab kenapa kami pilih kedai ini ialah sebab bungkusan nampak menarik. Tak macam kedai semalam, bungkus keropok dengan surat khabar saja. Yang ni memang menarik dan praktikal. Senang nak susun beli banyak-banyak dan senang nak bagi buah tangan kepada rakan-rakan. Yang kotak hitam keropok yang sudah direbus, tetapi belum digoreng. Harganya RM 5 sekotak. Yang paket kuning kat sebelah tu keropok yang dah siap digoreng. RM 3 sepeket.

Ini gambar rumah di sebelah kedai. Penulis pun dah tak ingat kenapa ambil gambar rumah usang ni. Mungkin sebab senibina rumah yang nampak tradisional.

Maryam di Masjid Abidin

Berdekatan dengan Restoran Sofinaz ialah Masjid Abidin atau Masjid Putih disebabkan keseluruhan masjid dicat dengan warna putih.

Masjid ini pada asalnya dibina oleh Sultan Zainal Abidin II antara tahun 1793 sehingga 1808. Kiranya suatu ketika dahulu masjid ini merupakan masjid utama di Kuala Terengganu.

Maryam di tempat wuduk Masjid Abidin. "Nak swimming!" Maryam, mana boleh swimming kat sini. Ini tempat ambil wuduk. Ikut Baba nanti boleh solat sama-sama. Maryam geram saja tengok tempat wuduk, Baba pun cuak, risau kot-kot Maryam terus lompat dalam kolah.

Maryam sedang mengambil wuduk.

Maryam sedang sujud. Qiblat tersenget sikit. "Banyaknya flowers kat sini!"

"Baba, Maryam tengah solat, mana boleh take picture!"

Selesai solat, terus pulang ke Rumah Peranginan Bank Negara. Semua dah penat.

Nasi Padang Sumatera di Restoran Sofinaz

Hari kedua di Terengganu. Selesai ziarah di Hospital Sultanah Nur Zahirah, penulis dan keluarga pergi ke Restoran Sofinaz yang berhadapan dengan medan letak kereta Istana Maziah. Restoran Sofinaz menghidangkan nasi Padang dari Sumatera.

Semua pelanggan perlu beratur di kaunter untuk membuat pesanan, tidak kira untuk makan di sini atau tapau. Nasi memang sedap. Macam-macam lauk pilihan ada. Semuanya dari citarasa Padang, Sumatera. Keadaan restoran kurang memuaskan, tiada pengaliran udara yang baik. Kebersihan setakat boleh diterima sahaja.

Friday, February 20, 2009

Keropok Lekor Losong Part I

Malam mencari keropok lekor di Losong. Terpaksa berhenti bertanyakan arah. Ini gerai pertama yang kami jumpa sepanjang perkampungan keropok lekor losong. Mereka yang hendak pulang ke Kuala Lumpur malam ini sahaja yang beli, yang lain belum nak beli lagi. Jadi tidak terlibat dengan tawar menawar dan tidak tahu harga.

Yang pasti, mereka yang lemah semangat janganlah sesekali ke tandas gerai ini. Jauh kat belakang peti sejuk, kat kawasan gelap tu. Ada kena lalu kat kawasan stor yang penuh dengan kayu kayan.

Restoran A&W Pantai Batu Burok

Petang. Sementara menunggu kaum keluarga menziarah hospital, penulis dan keluarga singgah pula di Restoran A&W Pantai Batu Burok. Tak jauh dari hospital. Oleh kerana Jumaat adalah cuti umum di Terengganu, kawasan pantai penuh dengan manusia.

Inilah bangunan Restoran A&W.

Maryam dah tak sabar nak masuk.

Restoran memang cantik. Dua tingkat. Ada balkoni terbuka di tingkat atas dan bawah mengadap laut. Cuma kaunter wafel dan aiskrim tersangatlah lembab servisnya. Pesan wafel kena tunggu dekat 30 minit baru dapat. Pihak pengurusan pun sepatutnya peka, hari minggu mesti ramai pengunjung, takkanlah seorang pekerja saja yang jaga kaunter wafel. Nak ambil pesanan dan bayaran pun dia, nak masak wafel dan buat aiskrim pun dia, nak hantar pesanan ke meja pelanggan pun dia. Alahai kesiannya! Bila dah lambat, dah tentu pelanggan marah. Dia juga yang kena.

Taman Tamadun Islam Part I

Selepas habis membeli-belah di Pasar Kedai Payang dan bersiar-siar di Bukit Puteri, penulis dan keluarga bergerak ke Taman Tamadun Islam di Pulau Wan Man. Kami tiba hampir jam 12:00 tengahari. Taman pula akan ditutup pada 12:15 tengahari. Dalam masa yang singkat, kami menaiki tram ke Masjid Kristal.

Hebat tak Masjid Kristal? Masjid yang penuh dengan kontroversi.
Solat Jumaat tidak dilaksanakan di sini.

Maryam berlari-lari dalam masjid sambil pegang telefon bimbit
yang baru dibeli dari Pasar Kedai Payang.

Lampu chandelier Masjid Kristal. Pandangan tembus ke langit.

Kolam air di Masjid Kristal. Maryam pantang nampak air. Perasan tak telefon bimbit sudah tiada di tangan Maryam? Cuba teka ke mana perginya telefon tu? Maryam dah campak ke dalam kolam air tu. Tamatlah riwayat telefon tu, tak sampai sejam beli.

Lebih kurang 12:15 tengahari, penulis dan keluarga meninggalkan Taman Tamadun Islam menuju ke Hospital Sultanah Nur Zahirah. 12:30 waktu melawat. Belum ada kesempatan untuk masuk Taman Memorial.

Selesai melawat, singgah sebentar di Restoran KFC di Kompleks Renang bersebelahan dengan hospital. Sedapnya Maryam makan!

Bukit Puteri

Di puncak Bukit Puteri. Selepas bayar tiket masuk, perlu naik anak tangga pula untuk ke atas. Menurut sejarah, Bukit Puteri adalah pertahanan utama Terengganu terhadap sebarang serangan, terutama dari laut. Bukit Puteri pernah menyaksikan peperangan di antara Kesultanan Terengganu dan Kerajaan British, di mana Kesultanan Terengganu telah menang.

Maryam di atas meriam ibu.

Inilah meriam ibu dan anak. Boleh nampak muara Sungai Terengganu dengan jelas.
Senang nak tembak kapal-kapal musuh dari sini.

Ini kubu utama atas Bukit Puteri. Ada singgahsana raja,
stor peluru meriam, beberapa meriam kecil, tiang bendera dan rumah api.

Pemandangan Masjid Abidin atau Masjid Putih dari Bukit Puteri. Bangunan berbumbung merah di bawah adalah sebahagian bangunan utama Istana Maziah.

Genta besar yang digunakan untuk hebahan rakyat, seperti waktu imsak,
serangan musuh, orang gila mengamuk dan lain-lain.

Pasar Besar Kedai Payang dan Bazar Warisan

Sampai di Hospital Sultanah Nur Zahirah lebih kurang jam 10:30 pagi. Pihak hospital hanya menerima pelawat selepas jam 12:30 pagi. Oleh itu, penulis dan keluarga membuat keputusan untuk jalan-jalan di Kuala Terengganu.

Destinasi pertama ialah Pasar Kedai Payang di muara Sungai Terengganu. Kumpulan kami berpecah dua. Satu pergi ke Pasar Kedai Payang, satu lagi menuju ke Bazar Warisan mendaki Bukit Puteri yang bersejarah.

Pintu masuk Pasar Kedai Payang dari arah jeti. Maryam nak beli apa tu?
Maryam beli radio kecil bentuk telefon bimbit. RM 15 satu.

Bazar Warisan. Senibina Melayu Terengganu.
Ada eskalator untuk ke Bukit Puteri di belakang bangunan.

Rumah Peranginan Bank Negara, Pantai Batu Burok

Pagi hari Jumaat. Jumaat adalah cuti umum di Negeri Terengganu. Suasana di sekitar Rumah Peranginan Bank Negara sangat menenangkan jiwa. Di pantai, kelihatan sepasukan manusia menunggang kuda. Bayu laut meniup dengan lembut.

Maryam seronok berlari ke sana ke mari di kawasan rumah peranginan.

Baju dah cantik, kasut tak sempat pakai, rambut pun tak sempat sikat!

Pagi ini sarapan nasi dagang Terengganu. Dibawa oleh saudara dari Seberang Takir. Selepas ini bersiap untuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah untuk menziarahi kerabat yang sakit.

Thursday, February 19, 2009

Pantai Kemasik Nan Indah

Musafir ke Kuala Terengganu. Menziarahi ibu saudara isteri penulis yang terlantar di Hospital Sultanah Nur Zahirah. Berlepas dari Kuala Lumpur lebih kurang jam 12:00 tengahari. Perhentian rehat pertama ialah Kawasan Rawat dan Rehat Temerloh. Sekadar solat dan makan tengahari. Kemudian meneruskan perjalanan melalui Lebuhraya Pantai Timur sehingga ke Jabor. Keluar melalui Cherating merentasi jalan sepanjang pantai. Kemudian singgah lagi di Pantai Kemasik. Pemandangan indah seperti mula-mula penulis sampai di sini pada tahun 2003. Cuma tidak boleh ke kawasan pantai kerana pembinaan tempat peranginan Kemasik masih belum siap.

Medan selera sedia ada di pinggir jalan kurang pengunjung. Juadah yang disediakan juga kurang menyelerakan. Harga pula mungkin kurang padan dengan keadaan medan selera yang kurang menarik. Kebersihan berada pada tahap memuaskan. Tandas ada disediakan. Amaran, ada banyak kucing berkeliaran di sini. Mungkin setelah kawasan peranginan siap nanti keadaan medan selera akan bertambah menarik.

Lebih kurang pukul 7:00 malam penulis dan keluarga tiba di Kuala Terengganu. Terus ke Rumah Peranginan Bank Negara di Pantai Batu Burok untuk penginapan sepanjang 4 hari 3 malam.

Perumpamaan Kehidupan dan Dunia

Dunia oh dunia. Penuh dengan pelbagai godaan dan tipu daya. Kehidupan duniawi itu indah di mata. Ibarat kawasan tandus dan gersang yang dilimpahi air, kemudian tumbuh pelbagai jenis tanaman yang memberi manfaat kepada manusia. Manusia bersenang-lenang dan bermewah-mewahan menikmati manfaat dari tanaman yang pelbagai itu sehingga mereka akhirnya menjadi lalai. Mereka menyangka bahawa segala kesenangan yang mereka nikmati akan kekal di bawah pengaruh kekuasaan mereka.

Tatkala itu, maka Allah akan datangkan bencana dengan mengejut sehingga kawasan yang subur dan makmur itu kembali bertukar menjadi tandus dan gersang.

Itulah dunia. Mereka yang lalai dengan kesenangan pasti akan rugi besar apabila maut itu datang. Bukankah tatkala kita dilahirkan ke dunia, kita tidak punya apa-apa ibarat kawasan tandus dan gersang. Kemudian kita menikmati pelbagai kesenangan hidup sebagai ujian daripada Allah, seolah-olah kita benar-benar menguasai kehidupan kita sendiri. Ada antara kita yang akan menjadi lalai, dan sedikit sangat yang benar-benar tahu bersyukur dan menggunakan nikmat kehidupan untuk menyiapkan bekalan Akhirat. Pastinya apabila maut itu datang, kita akan kembali kepada asal - kawasan yang tandus dan gersang kerana maut itu memutuskan segala nikmat duniawi.
[24] Sesungguhnya bandingan kehidupan dunia hanyalah seperti air hujan yang Kami turunkan dari langit, lalu (tumbuhlah dengan suburnya) tanaman-tanaman di bumi dari jenis-jenis yang dimakan oleh manusia dan binatang bercampur-aduk dan berpaut-pautan (pokok-pokok dan pohonnya) dengan sebab air itu hingga apabila bumi itu lengkap sempurna dengan keindahannya dan berhias (dengan bunga-bungaan yang berwarna-warni) dan penduduknya pun menyangka bahawa mereka dapat berbagai-bagai tanaman serta menguasainya (mengambil hasilnya) datanglah perintah Kami menimpakannya dengan bencana pada waktu malam atau pada siang hari lalu Kami jadikan ia hancur-lebur, seolah-olah ia tidak ada sebelum itu. Demikianlah Kami menjelaskan ayat-ayat keterangan Kami satu persatu bagi kaum yang mahu berfikir (dan mengambil iktibar daripadanya). [25] (Itulah dia kesudahan kehidupan dunia) dan sebaliknya Allah menyeru manusia ke tempat kediaman yang selamat sentosa dan Dia sentiasa memberi petunjuk hidayatNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya) ke jalan yang betul lurus (yang selamat itu).
[Surah Yunus, 10:24-25]

Itulah kesudahan bagi manusia yang lalai dengan dunia yang fana, sedangkan Allah menyeru kepada kebahagian abadi di syurga. Hanya mereka yang benar-benar berfikir akan dapat menyelamatkan diri daripada tipu daya dunia. Sama-samalah kita fokus kepada Akhirat. Dunia ini sambilan sahaja.

Bangun Pagi Gosok Gigi

Bangun Pagi Gosok Gigi

C Cuci Muka Terus Mandi

Pakai Baju Minum Susu

C Salam Ayah Dan Ibu

Azam saya ialah untuk senantiasa membersihkan gigi sebagai memenuhi tuntutan sunnah dan menjaga kesihatan gigi!

Bersiwak atau bersugi. Dalam bahasa moden disebut gosok gigi atau berus gigi di Malaysia dan sikat gigi di Indonesia. Jika zaman dahulu kayu sugi digunakan, pada zaman kini ubat gigi atau pasta gigi lebih popular.

Bersiwak sangat dituntut dalam Islam, terutama ketika berwuduk dan hendak menunaikan solat. Disebut dalam hadith-hadith yang masyhur yang sahih bahawa Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam hampir-hampir mewajibkan perintah bersiwak kepada umatnya ketika berwuduk dan solat. Cuma disebabkan sifat baginda yang tidak mahu menyusahkan umat maka baginda tidak jadi mewajibkannya. Maka bersiwak sangat-sangat dituntut ketika wuduk dan solat. (Riwayat al-Bukhariy, Muslim, Ahmad dan lain-lain)

Bersiwak juga dituntut ketika hendak membaca al-Quran. Diriwayatkan dalam hadith bahawa apabila seseorang itu bangun untuk menunaikan solat, akan datang malaikat berdiri di belakangnya mendengar bacaan al-Quran dan menghampirinya, begitu hampir sehinggalah malaikat itu meletakkan mulutnya di atas mulut orang itu. Maka orang itu akan membaca al-Quran dari dalam malaikat. (Riwayat al-Bayhaqi, sahih lighayrihi menurut al-Albaniy)

Begitu juga tatkala masuk ke dalam rumah. Diriwayatkan ‘A’isyah radiyallahu ‘anha pernah ditanya mengenai perkara pertama yang dilakukan Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam apabila baginda masuk ke dalam rumah, dan jawapannya ialah bersiwak. (Riwayat Muslim).

Bersiwak dituntut apabila seseorang itu bangun dari tidur untuk solat malam. Daripada Huzayfah radiyallahu ‘anhu bahawa Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam apabila bangun untuk solat malam baginda akan bersiwak. (Muttafaqun ‘alayhi).

Mudah-mudahan dapat dipraktikkan bersama. Maryam dan Aiman, gigi dah ada, bila nak mula bersiwak ni?

Roti Canai Sasaran Selera

Roti canai yang sedap bergantung kepada kualiti roti canai dan juga kuah. Roti yang lembut, nipis dan rapuh baru sedap. Kadangkala banyak penjual roti canai yang gagal menyediakan roti yang enak disebabkan ingin mengaut keuntungan lebih. Apabila melihat pelanggan ramai, mereka akan meninggikan api kuali agar roti masak dengan cepat. Malangnya roti akan hanya masak di luar, tetapi bahagian dalam tidak akan masak dengan sempurna. Sebab itu penulis memang cerewet dalam mencari kedai roti canai yang sedap.

Di medan selera berhadapan dengan Sekolah Menengah Teknik Gombak, ada dua kedai menjual roti canai. Satu ialah Roti Canai Montel, satu lagi Sasaran Selera. Sudah lama tidak menjengah ke sini. Sewaktu masih belajar di UIAM, ada empat kedai roti canai yang sering dikunjungi. Selain medan selera di Sekolah Menengah Teknik Gombak, satu di Kampung Sungai Cincin dan satu lagi di blok bangunan kedai di persimpangan tiga Jalan Sungai Pusu dan jalan lama ke Bentong.

Pagi ini terdetik pula hendak ke Sasaran Selera. Pukul 9:30 pagi adalah waktu yang elok kerana pelanggan sudah tidak berapa ramai. Pesanan dibuat dengan cepat. Kualiti roti masih elok seperti dulu. Kuah pun sedap. Gabungan dalca dan kari. Kebersihan gerai memuaskan. Lain kali akan pergi ke tempat-tempat lain pula, insya-Allah.

Oh ya, satu lagi pasal Sasaran Selera. Dahulu sewaktu belajar di UIAM, penulis akan keluar bersarapan kira-kira 30 minit selesai solat Subuh di Masjid UIAM. Jadi waktu itu, pembuat roti canai akan mula menyediakan dapur untuk memasak. Boleh lihat sang tukang masak menadah kedua-dua belah tangan ke langit berdoa sebelum mula menebar roti canai. Murah rezeki!

Wednesday, February 18, 2009

First Visit to Nasi Lemak Antarabangsa Kampung Baru - Melati Utama

Selepas pulang dari SMAPK, singgah sebentar di Melati Utama untuk makan tengahari. Banyak pilihan, cuma parking agak susah. Ada restoran baru - Nasi Lemak Antarabangsa Kampung Baru. Hari ini adalah hari kedua ia beroperasi. Sambutan baik kerana ramai juga pelanggan yang ingin merasa restoran baru. Lebih kurang pukul 1:30 petang penulis dan rakan mula membuat pesanan.

Ingatkan nasi lemak tak perlulah menunggu lama kerana pastinya nasi lemak dan lauk-pauk telah tersedia. Mungkin disebabkan keadaan restoran dan para pekerja yang baru beroperasi, maka kami terpaksa menunggu. Lebih menyakitkan hati apabila pekerja restoran kembali bertanya pesanan kami. Katanya pesanan kami tidak sampai ke kaunter. Bukan sekali, bahkan dua kali mereka datang bertanya! Lebih kurang hampir pukul 2:00 petang seorang lagi pekerja datang bertanya, apa yang kami telah pesan. Bila pelanggan hampir marah, barulah cepat-cepat terus diberitahu pekerja di kaunter agar terus menyediakan pesanan kami. Bukannya susah berniaga nasi lemak, cedok sahaja nasi yang telah siap dimasak bersama lauk pilihan. Itu pun lambat!

Mungkin sebab masih baru beroperasi, kejadian sebegini mungkin boleh dimaafkan. Tetapi kalau berterusan, pasti pelanggan akan lari ke restoran lain. Banyak pesaing yang ada di Melati Utama.

Harga sepinggan nasi lemak biasa lebih kurang RM 5:00. Jika ditambah satu-dua lauk boleh mencecah ke RM 10:00. Kebersihan restoran memang terjaga. Susun atur kerusi meja juga tidaklah menyukarkan pelanggan untuk bergerak. Layanan pun baik, jika ditolak tepi ketidakcekapan mengabil dan menyediakan pesanan. Parking susah!