Saturday, April 29, 2006

IE dan Kesesakan di Lebuhraya

APRIL 29, MELAKA: Sesi Penutup. Kesemua peserta dibahagikan ikut kumpulan. Bincang apa masing2 akan lakukan untuk memajukan lagi IE. Kemudian setiap ahli kumpulan diminta berjanji akan melaksanakan apa yg telah dirancangkan. Insya-Allah.

12.00 tgh - check-out. Lunch. Solat. 2.45 petang - bertolak pulang ke kampus dgn bas universiti. Hehehe... dengan tidak tersangka, jam tahap melampau dari Senawang hingga Seremban. 7.30 malam baru tiba di parking Kulliyyah. Buat panggilan untuk Prof. Anas, nyata mereka masih di hotel. Teksi yg dijanjikan terlewat kerana turut terperangkap dalam kesesakan di lebuhraya. Alhmadulillah, nyata mereka berdua menyukai layanan yg diberikan sepanjang berada di Malaysia. Hingga bertemu lagi, insya-Allah akan ku teruskan usaha menyemarakkan IE dan mendaulatkan al-Quran dan al-Sunnah.

Friday, April 28, 2006

IRTI, Sekretariat dan Gen IE

APRIL 28, MELAKA: Selesai subuh, siap untuk kerja hari ini. Dewan Mesyuarat - dah check! Ah, sarapan la dulu. Beberapa staf Jabatan sudah sampai awal. Tepat 10.30 pagi, sesi pertama bermula. Perbincangan dipengerusikan oleh Dr. Aslam. Prof. Anas langsung menyampaikan laporan ringkas apa yg berlaku di Jeddah. Bagaimana IRTI ingin menubuhkan sekretariat untuk membangunkan IE. Diikuti beberapa projek seperti buku teks IE dan kajian2 yg berpotensi.

Tersebut pula akan generasi2 IE... aku mungkin tergolong dalam gen ke-5 pangkat cicit laa... struggle la, teruskan usaha gen terdahulu.

Terdapat sedikit pertukaran jadual. Sesi akan dihabiskan pada waktu siang. Malam biarlah kosong, dan semua boleh menikmati dinner BBQ sepuas-puasnya.

Habis sesi, 6.00 petang. Swimming. Kt pool shj, laut Melaka pun tercemar, x sesuai untuk mandi-manda... 7.30 malam, dinner.

Thursday, April 27, 2006

Pengembaraan ke Bandaraya Bersejarah

APRIL 27, GOMBAK: Selepas empat hari bersidang di Bilik Persidangan Ibn Taymiyyah, KENMS, semua staf Jab. Ekonomi berangkat ke Riviera Bay Resort, Melaka, untuk sesi kedua SWIE bersama Prof. M. Anas Zarka.

Together with Dr. Pisal, I have been assigned to accompany Prof. Anas and his wife to Melaka. Lebih kurang 2.30 p.m. kami bergerak meninggalkan kampus menuju ke destinasi pertama: Putrajaya. Prof. Anas dan isterinya baru pertama kali sampai ke sini. Seperti yg diagak, both of them were amused with the administrative capital of Malaysia. Yg paling mengagumkan pada mereka: luasnya tasik yg terbentang merentasi Putrajaya. Setelah puas bergambar, kami singgah sebentar di Alamanda. Hairan, pusat membeli belah terkemuka ini tiada penukar wang asing - sesuatu yg menyebabkan isteri Prof. Anas sekadar membeli aiskrim dan membelanja kami semua...

Hujan ribut beserta dentuman kilat dan petir meliputi perjalanan kami seterusnya. Sempat juga menunaikan janji Dato' untuk membawa mereka singgah sebentar di Nilai 3. Trafik sesak, ditambah dgn pokok2 yg tumbang menyembah bumi di kiri dan kanan jalan.

Isyak - kami tiba di Melaka. Terus ke hotel. Prof. Anas dan isteri tampak keletihan. Selepas check-in, terus dinner - seperti yg dijanjikan siang tadi kepada isteri Prof. Anas - ikan bakar!!! Siakap bakar, diikuti udang bakar dan sotong bakar.

Komen mereka: "Dinner ini akan lama kekal sebagai kenangan indah di memori kami..."

Di Kuwait, ikan merupakan komoditi yg sukar didapati kerana perairan Kuwait yg tercemar. Maka hanya golongan kaya yg mampu makan ikan... Hargailah ikan ok!

Tepat 11.00 malam, pulang ke hotel. Solat. Tidur. Esok banyak kerja. Tambah keletihan melayan Prof. Anas yg tidak jemu2 mencurahkan ilmu dan pendapat beliau sepanjang perjalanan kepada kami berdua. Memang pemurah!

Monday, April 24, 2006

Special Workshop on Islamic Economics with Prof. M. Anas Zarqa



Date:
24-29 April 2006
Venue:
Ibn Taymiyyah Conference Room, Level 3
Kulliyyah of Economics and Management Sciences
International Islamic University Malaysia
Riviera Bay Resort, Malacca
Y
Bengkel khas selama 6 hari mengenai perkembangan Ekonomi Islamik bersama tokoh terkemuka, Prof. Muhammad Anas Zarqa. Prof. M. Anas sekarang bekerja di Kuwait International Investor. Beliau adalah anak 'ulama ulung, Syeikh Mustafa Zarqa.
Y
Perbincangan yang diadakan merangumi pelbagai aspek, antaranya: Methodology of Islamic Economics, Fiqh and Economics, Economics in al-Quran and al-Sunnah, Special Discussion on Islamic Economic Courses taught in Kulliyyah of Economics and Management Sciences, IIUM.
Y
Sesi kedua akan diadakan di Melaka. Sesi ini akan membincangkan perkembangan Ekonomi Islamik sebagai satu disiplin ilmu sejak kelahirannya 30 tahun lalu sehingga waktu kini, dan apakah langkah yang perlu diambil bagi memantapkan lagi disiplin Ekonomi Islamik. Sesi di Melaka akan turut membincangkan projek buku teks Ekonomi Islamik dan bidang-bidang yang berpotensi untuk dilakukan kajian dalam Ekonomi Islamik.
Y
Nantikan laporan mengenainya, insya-Allah.

Sunday, April 23, 2006

Laporan Kem Penghayatan Solat 2006

APRIL 23, Kem Sri Raudah, GOMBAK: Alhamdulillah, penat-lelah selama tiga hari menjalankan program Kem Penghayatan Sifat solat Nabi s.a.w. tamatlah sudah. Kejayaan ini tidak lain tidak bukan adalah kurnia Allah semata, hasil kerjasama antara warga INTIS.

Secara ringkas, program berjaya mencapai matlamat asas, iaitu membantu peserta yang terdiri dari kalangan remaja memahami prinsip aqidah dan ibadah yang merupakan tunjang agama Islam. Dari kuliah yang santai mengenai usul aqidah yang disampaikan oleh al-Fadhil Ustaz Fadhlan, pensyarah UKM dapat dilihat para peserta memahami konsep tauhid rububiyyah, uluhiyyah dan asma' wa sifat. Ceramah mengenai tatacara solat disertai dengan nota ringkas dan praktikal dari beliau turut berjaya menanamkan tatacara solat berpandukan hadith-hadith sahih kepada peserta. Hasilnya, para peserta mampu merujuk kepada dalil-dalil ringkas yang termaktub dalam kitab-kitab hadith muktabar.

Seterusnya dalam LDK, para peserta dibahagikan kepada kumpulan-kumpulan kecil agar keberkesanan perbincangan terhasil. Dengan mahasiswa-mahasiswa UIAM yang terpilih menjadi fasilitator, para peserta sekali lagi diberi pengukuhan mengenai usul aqidah dan tatacara bersuci dan solat. Suasana pembelajaran yang nyaman - dengan deruan sungai dan kicauan unggas - ternyata memberi kelainan kepada para peserta. Ujian yang dijalankan menyebabkan para peserta berusaha bersungguh-sungguh untuk melakukan yang terbaik. Nyata sekali pendekatan ujian berjaya menanamkan usaha untuk mencintai ilmu di kalangan peserta.

Hari terakhir, para peserta dikehendaki mengembara di dalam hutan mengikut modul khas yang disediakan - mendapatkan kembali dokumen sulit yang telah dicuri musuh. Nyata mereka berhadapan dengan serangan musuh dan pelbagai halangan alam - agar mereka melihat tanda-tanda kekuasaan Allah. Serangan musuh yang berjaya mencederakan beberapa peserta menyebabkan mereka terpaksa menunaikan ibadah di dalam hutan - sambil mempraktikkan segala teori yang telah diajar dalam ceramah dan LDK. Bagaimana berwuduk dengan air segelas air, bertayammum, solat untuk mereka yang cedera - mencari arah qiblah di dlaam hutan - semuanya berjaya memupuk semangat untuk beribadah di kalangan remaja.

Buat semua warga INTIS - tahniah diucapkan, dan semoga Allah membalas jasa kalian. Semoga kita dapat bekerjasama lagi pada masa akan datang.

Friday, April 21, 2006

Siri Penghayatan Sifat Solat Nabi s.a.w.


Akhirnya hari yang ditunggu-tunggu tiba, selepas hampir dua bulan berhempas pulas bersama rakan-rakan untuk Siri Penghayatan Sifat Solat Nabi s.a.w.

Tarikh: 21-23 April 2006
Tempat: Kem Sri Raudah, Gombak
Peserta: Remaja Lelaki 10-17 tahun


Setelah tiga siri diadakan di Pulau Pinang, tiba masa untuk melebarkan sayap dakwah di Lembah Kelang. Sengaja diadakan pada musim persekolahan, sekadar ingin melihat penerimaan masyarakat dan keupayaan yang dimiliki sekumpulan kecil mahasiswa UIAM yang memiliki kesedaran untuk berkongsi ilmu bersama adik-adik remaja. Andai program ini berjaya, insya-Allah cerahlah peluang dan berkobarlah semangat untuk dianjurkan pula pada musim cuti sekolah mendatang.

Nantikan laporannya... Semoga Allah bersama kami!

Isu Siapa Berjabat Tangan Dengan Al-Banjari Masuk Syurga

**Terima kasih Ustaz Abdul Kader IQ

Soalan ini telah ditanya secara bertulis kepada Dr. Mohd Asri Zainul Abidin oleh seorang tokoh yang enggan namanya dinyatakan berkaitan ajaran al-Banjari. Al-Banjari adalah seorang warga indonesia yang cuba menyebarkan ajarannya di negara ini dan aktif berceramah. Berikut adalah soalan yang dikemukakan beserta jawapan bertulis.

Soalan:
Dr., seorang warga indonesia yang menggelar dirinya al-Banjari cuba berdakwah dalam negara ini. Beliau kononnya diberikan berbagai gelaran dan kelebihan. Antara yang pelik beliau mendakwa sesiapa yang bersalaman dengannya masuk syurga. Ini beralasan hadith ‘musalsal’ yang diriwayatkannya. Sesiapa yang bersalam atau berjabat tangan dengannya macam bersalaman dengan Rasulullah dan masuk syurga. Sebagai orang yang banyak membincangkan soal hadith, apakah pandangan Dr.?

Jawapan Dr. Mohd Asri:
Saya dukacita mendengar cerita ini. Ajaran ini sebenarnya telah saya dengar beberapa tahun yang lalu. Dikaitkan dengan individu yang sama. Saya telah tulis tajuk ini dalam akhbar dan majalah beberapa tahun lepas. Hal ini tidak pelik jika ia ‘diimport’ dari seberang. Di sana macam-macam boleh terjadi. Cumanya, ramai yang datang ke Malaysia. Barangkali jika berjaya ditipu orang ramai di sini tentu ‘ongkosnya’ lebih.

Berbalik kepada soalan yang dikemukakan, seperti yang selalu saya nyatakan; berbohong menggunakan nama Nabi s.a.w. adalah satu jenayah yang dianggap sangat berat di dalam Islam. Pembohongan atau berdusta menggunakan Nabi s.a.w. ialah menyandar sesuatu perkataan, atau perbuatan, atau pengakuan kepada Nabi s.a.w secara dusta, yang mana baginda tidak ada kaitan dengannya. Ini seperti menyebut Nabi s.a.w. bersabda sesuatu yang mana baginda tidak pernah bersabda, atau berbuat, atau mengakui sesuatu yang mana baginda tidak pernah melakukannya. Perbuatan ini adalah jenayah mewujudkan agama secara palsu, kerana Nabi adalah sumber pengambilan agama. Sebab itulah Nabi s.a.w bersabda:

إِنَّ كَذِبًا عَلَيَّ لَيْسَ كَكَذِبٍ عَلَى أَحَدٍ مَنْ كَذَبَ عَلَيَّ مُتَعَمِّدًا فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنَ النَّارِ
“Sesungguhnya berdusta ke atasku (menggunakan namaku) bukanlah seperti berdusta ke atas orang lain (menggunakan nama orang lain). Sesiapa yang berdusta ke atasku dengan sengaja, maka siaplah tempat duduknya dalam neraka”. (Riwayat al-Bukhari, Muslim, dan selain mereka) Hadith ini adalah mutawatir (lihat: Ibn al-Salah,`Ulum al-Hadith, m.s. 239, cetakan: Dar al-Fikr al-Mu`asarah, Beirut).
Bukan sahaja membuat hadith palsu itu haram, bahkan meriwayatkannya tanpa diterang kepada orang yang mendengar bahawa ianya adalah hadith palsu juga adalah sesuatu yang haram. Kata al-Imam Ibn al-Salah (meninggal 643H): “Tidak halal kepada sesiapa yang mengetahui ianya hadith palsu meriwayatkannya dalam apa bentuk sekalipun, melainkan disertai dengan menerangkan kepalsuannya” (Ibn al-Salah,`Ulum al-Hadith, m.s.98). Adapun bagi mereka yang tidak tahu, hendaklah mereka merujuk kepada ahli dalam bidang hadith. Masyarakat pula hendak faham, bukan semestinya yang memakai nama ustaz, atau imam mengetahui ilmu hadith.
Sangat bahaya apabila ada di kalangan sesetengah kelompok yang sanggup menggunakan hadith palsu untuk menaikkan kedudukan mereka dan untuk menjadikannya sebagai alat agar mereka diagungkan atau dianggap hebat. Seperti kes warga indonesia yang disebutkan. Beliau mengangkat diri dengan menggunakan hadith palsu yang dipanggil al-Musalsal bi al-Musafahah iaitu hadith musalsal berjabat tangan. Secara umumnya musalsal bermaksud setiap periwayat sesuatu hadith meniru perbuatan seperti mana yang diriwayatkan kepadanya oleh rawi sebelumnya sehingga kepada Rasulullah s.a.w..

Kebanyakan hadith musalsal adalah tidak sahih bahkan palsu. Kata al-Imam al-Zahabi (wafat 848H): “Secara umumnya hadith-hadith musalsal adalah dhaif, kebanyakannya pula adalah batil, disebabkan pembohongan perawinya. (al-Imam al-Zahabi, al-Muqizah fi `ilm al-Mustalah al-Hadith, m.s. 44, cetakan al-Matbu`at al-Islamiyyah, Halab, Syria).

Dalam musalsal berjabat tangan pendusta hadith ini mendakwa sesiapa yang berjabat tangan dengan para periwayat hadith tersebut atau guru yang meriwayatkan hadith tersebut akan masuk syurga, dengan membuat dakwaan palsu bahawa Nabi s.a.w.bersabda:
من صافحني أوصافح من صافحني إلى يوم القيامة دخل الجنة
“Sesiapa yang berjabat tangan denganku, atau dengan orang yang berjabat tangan denganku maka dia masuk syurga”.
Maka setiap mereka akan berjabat tangan dengan guru mereka dengan dakwaan kononnya tangan tersebut telah berjabat dengan tangan sebelumnya secara berangkaian sehingga kepada Nabi s.a.w.

Para ulama telah mengingatkan tentang pembohongan hadith ini di dalam kitab-kitab hadith. Kata al-Syeikh `Abd al-Fattah Abu Ghuddah dalam tahqiqnya bagi kitab Zafar al-Amani: “Hadith musalsal berjabat tangan tersebut adalah batil dan dusta. Tiada asal dan tidak pernah wujud” (m.s. 272) katanya juga: “Tiada keberkatan bagi pendustaan dan pembohongan (hadith ini) ke atas Nabi s.a.w. tidak dikira ibadat menulis cerita dongeng ini melainkan dengan niat untuk memusnahkannya”. (m.s. 273, cetakan: Maktab al-Matbu`at al-Islamiyyah, Damsyik).

Hadith ini datang melalui jalan al-Mu`ammar atau dibaca juga dengan al-Ma’mar yang didakwa sebagai seorang sahabah yang mengambil hadith ini daripada Nabi s.a.w. Kata al-Imam Ibn Hajar al-`Asqalani (wafat 852H) dalam al-Isabah: “Al-Mu`ammar adalah peribadi yang direka oleh para pendusta”. (jilid 6, m.s. 368, cetakan: Dar al-Jail, Beirut).

Dalam Lisan al-Mizan al-Imam Ibn Hajar al-Aasqalani menyebut:” Riwayat berjabat tangan Mu`ammar tidak akan diterima oleh orang yang berakal” (jilid 6, m.s. 68, cetakan:Muassasah al-`Ilm li al-Matbu`at, Beirut).

Al-Imam al-Sayuti (wafat 911H) di dalam fatwanya bila ditanya mengenai hadith Mu`ammar, beliau berkata: “Mu`ammar adalah pendusta lagi dajjal, hadithnya adalah batil, tidak halal meriwayatkannya. Sesiapa yang melakukan demikian (meriwayat hadith palsu tersebut) termasuk dalam sabda Nabi s.a.w: “sesiapa berdusta ke atasku maka siap tempat duduknya dalam neraka”. (lihat: Tahqiq Zafar al-Amani, m.s.275).

Maka dinasihati orang ramai jangan terpengaruh dengan percubaan ajaran yang sedang muncul ini dan cuba mengambil kesempatan dari ketidaktahuan masyarakat. Ajaran seperti ini hanya untuk menaikkan seseorang supaya orang menganggap ianya hebat, berjabat tangan dengannya seperti berjabat tangan dengan Nabi s.a.w. dan akan masuk syurga. Kegiatan ini hendaklah bendung. Ia sama bahaya dengan anti-hadith. Bahkan kadang-kala ianya lebih bahaya. Golongan anti-hadith menolak hadith sementar golongan ini pula memalsukan hadith atau mempergunakan hadith palsu untuk kepentingan diri.

Ini adalah satu perkara yang bahaya. Apakah mungkin hanya berjabat dengan sesorang guru sama dengan berjabat tangan dengan Nabi s.a.w. dan masuk syurga? Para sahabah tidak pernah mendakwa berjabat tangan dengan mereka menyebabkan seseorang masuk syurga. Apatah lagi mereka tidak pernah mengadakan majlis mengambil ijazah berjabat tangan dengan mereka. Individu yang mempopularkan hadith palsu ini semata untuk mengaut untung daripada masyarakat agar orang ramai mengagungnya. Seakan-akan dia adalah pintu bagi syurga. Perkara sepertilah yang menjadi permulaan kepada sikap al-ghulu iaitu berlebih-lebih dalam menghormati guru, atau syeikh. Akhirnya akan menjadikan para pengikut mengikut semua yang diperintah dan disuruh secara membabi buta atas nama agama. Inilah yang telah berlaku kepada golongan kebatinan yang menyeleweng sehingga menyatakan: “Jadikanlah dirimu di hadapan gurumu seperti mayat di hadapan orang yang memandikannya”. Dalam erti kata lain buatlah apa yang guru kehendaki tanpa sebarang penilaian dan bantahan. Agama tidak mengajar taklid yang sebuta ini. Bahkan agama meminta agar semua perkara ditegakkan di atas hujah dan dalil.

Adalah malangnya bagi umat Islam di negara ini jika agama Islam yang datang untuk membangunkan ruh, pemikiran dan ketamadunan manusia dijadikan bahan oleh setengah pihak yang memperbodohkan umat. Sebab itulah teras Islam ini ialah mengikuti dengan faham dan menilai dengan betul, bukan semangat dan kemelampauan yang membuang dalil dan nas serta mencampakkan akal.

Saya difahamkan individu berkenaan juga mula menyerang aliran yang membela sunnah kerana bimbang ajarannya akan dipertikaikan. Saya katakan, jika bersalam dengannya masuk syurga, beruntung rakyat negaranya yang besar itu. Tidak perlulah mereka sibuk beramal, cukuplah dengan bersalaman dengannya. Kehebatan seperti ini tidak pernah didakwa sekalipun oleh para sahabat yang besar. Beliau mesti hentikan ajaran ini, sekalipun majlis itu dibuat secara khusus atau senyap-senyap. Ini adalah punca ke arah penyelewengan Semoga ALLAH selamatkan kita semua.

Thursday, April 20, 2006

Takhrij Hadith-Hadith Yang Digunakan Oleh Prof. Dr. Uthman al-Muhammadi Dalam Tulisannya Yang Menyokong Konsep Nur Muhammad

Oleh : Mohamad Abdul Kadir Bin Ishak

Di bawah ini adalah Takhrij atau semakan sumber dan darjat hadith-hadith yang digunakan oleh Prof. Dr. Uthman al-Muhammadi di awal tulisannya yang menyokong konsep Nur Muhammad bertajuk : KONSEP NUR MUHAMMAD DI DUNIA MELAYU DALAM KONTEKS WACANA SUNNI – SATU PENGAMATAN AWAL.

Di dalam tulisan tersebut Prof. Dr. Uthman al-Muhammadi langsung tidak menyebutkan darjat hadith-hadith yang dibawanya, samaada ianya Hadith Sahih ataupun tidak. Memastikan darjat sesuatu hadith sebelum menyampaikannya kepada umum adalah salah satu daripada amanah ilmu. Terutamanya hadith adalah perkataan-perkataan Nabi saw yang padanya ada unsur-unsur wahyu, dan apabila diucapkan ia menjadi sebahagian daripada agama. Sesuatu hadith yang tidak mencapai darjat sahih ataupun hasan pada hakikatnya bukanlah ucapan Nabi saw. Samaada ia adalah ucapan yang direka oleh individu lain, lalu dinisbahkan kepada Nabi saw secara dusta, atau kepastian ucapan tersebut dari Nabi saw tidak dapat dibuktikan. Maka tindakan menyebut hadith tanpa memastikan terlebih dahulu samaada hadith tersebut benar dari Nabi saw ataupun tidak adalah satu tindakan mengambil mudah menggunakan nama Nabi saw. Lebih parah jika hadith itu adalah hadith palsu, lalu orang yang menyebutnya termasuk dalam kumpulan orang-orang yang meneruskan pembohongan atas nama Baginda saw. Menyedari perkara ini, Nabi saw di dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Imam Muslim bersabda :

Maksudnya : “Sesungguhnya pembohongan ke atasku , tidak sama seperti pembohongan atas seseorang yang lain. Maka sesiapa yang berbohong atas namaku dengan sengaja, maka siaplah tempat duduknya di dalam neraka.”

Hadith ini menunjukkan betapa besarnya kesalahan berbohong atas nama Nabi saw. Ancaman neraka itu menunjukkan kesalahan berbohong atas nama Nabi saw adalah salah satu daripada dosa-dosa besar. Al-Imam al-Nawawi (salah seorang tokoh ulama mazhab al-Syafi’e) ketika mensyarahkan hadith-hadith ancaman ke atas orang yang berbohong atas nama Nabi saw di dalam muqaddimah Syarah Sahih Muslim menyebut para ulama seperti Imam Ahmad bin Hanbal, Abu Bakar al-Humaidi dan ulama-ulama mazhab al-Syafie tidak menerima lagi riwayat dari orang yang pernah melakukan pembohongan atas nama Nabi saw. Ini menggambarkan betapa besarnya kesalahan berbohong atas nama Nabi saw kerana perkataan Nabi saw atau yang dinamakan sebagai hadith itu akan terus menjadi sumber syara’ hingga ke hari kiamat. Jika perbuatan berbohong atas nama Nabi saw dipandang ringan maka salah satu daripada sumber syara’ yang teragung (hadith) tidak terjamin lagi keasliannya.

Al-Imam al-Nawawi menyambung dengan mengatakan : “Tidak ada perbezaan haramnya berbohong atas nama Nabi saw samaada ianya dalam soal hukum-hakam, atau bukan hukum-hakam seperti dalam urusan memberi galakan, ancaman ataupun peringatan dan selainnya. Semua ini adalah haram termasuk dalam perkara yang paling besar dari dosa-dosa besar yang lain, dan termasuk dalam seburuk-buruk perbuatan dari perbuatan buruk yang lain dengan kesepakatan semua (ulama) umat islam.”

Seterusnya al-Imam al-Nawawi menyambung :

“Diharamkan juga meriwayatkan hadith yang palsu bagi sesiapa yang mengetahui kepalsuan hadith tersebut, atau sangkaannya yang banyak mengakui kepalsuan hadith tersebut. Maka sesiapa yang meriwayatkan satu hadith dalam keadaan dia mengetahui atau sangkaannya berat mengatakan yang hadith itu palsu, sebaliknya dia tidak menjelaskan kepalsuan hadith tersebut ketika meriwayatkannya, maka orang sebegini termasuk dalam ancaman (pengharaman dan neraka) ini. Dia termasuk dalam kumpulan orang yang berbohong atas Nabi saw.

Ini berdasarkan hadith (yang bermaksud) : “Sesiapa yang menyampaikan satu hadith daripadaku dalam keadaan dia melihat hadith itu adalah tidak benar, (tapi dia sampaikan juga) maka dia termasuk salah seorang daripada pembohong.” (Sila lihat Muqaddimah Syarah Sahih Muslim)

Demikianlah betapa besarnya ancaman berbohong atas nama Nabi saw dan pentingnya memastikan kesahihan sesuatu hadith sebelum mengunakannya.

Di atas kesedaran ini, maka saya mengambil anisiatif untuk memeriksa kedudukan hadith-hadith yang digunakan oleh Prof. Dr. Uthman al-Muhammadi dalam tulisannya tersebut, supaya para pembaca dapat menilai kedudukan hadith-hadith tentang konsep Nur Muhammad. Demikian juga semoga tulisan ini dapat memberi rangsangan kepada para pendakwah lain untuk memastikan setiap hadith yang hendak mereka gunakan, samaada di dalam tulisan ataupun ceramah, hanyalah hadith-hadith yang sahih dan hasan sahaja.

Di samping itu, saya tidak menafikan, di dalam tulisan Prof. Dr. Uthman al-Muhammadi tersebut, beliau ada nyatakan juga beberapa hadith yang didakwa beliau sebagai hadith yang hasan. Namun tulisan ini hanya ditumpukan kepada hadith-hadith yang tidak thabit yang digunakan beliau di dalam tulisannya tersebut. Terutamanya hadith-hadith yang tidak sahih ini diletakkan di awal tulisan beliau dengan tanpa sebarang penjelasan kelemahan dan kepalsuan hadith tersebut. Ini menyebabkan sesiapa yang membacanya beranggapan hadith-hadith tersebut benar-benar dari ucapan Nabi saw, akan tetapi pada hakikatnya adalah sebaliknya.

Hadith (qudsi) pertama :

كنت كنزا لا أعرف فأحببت أن أعرف فخلقت خلقا فعرفتهم بي فعرفوني

Maksudnya : “Aku adalah perbendaharaan yang tersembunyi, maka Aku kasih bahawa Aku dikenali, maka Aku jadikan makhluk, maka dengannya mereka mengenaliKu.”

Komenter para ulama hadith tentang hadith di atas :

1- Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah :
· Khulasah Darjat Hadith : “Ia bukanlah dari perkataan Nabi saw, dan tidak diketahui baginya (ada) Isnad yang Sahih dan tiada juga isnad yang Dhoief.”
· Sumber : Majmu’ al-Fatawa (مجموع الفتاوى)
· Muka Surat & Bil. Hadith : 18/376

2- Al-Syakhawi (السخاوي)
· Khulasah Darjat Hadith : “Tidak diketahui baginya sanad yang Sahih dan Dhoief.”
· Sumber : al-Maqasid al-Hasanah (المقاصد الحسنة)
· Bil. Hadith : 386

3- Al-Syeikh Muhammad Nasiruddin al-Albani
· Khulasah Darjat Hadith : “Tidak ada asl baginya dengan kesepakatan para ulama hadith”
· Sumber : al-Silsilah al-Dhoiefah (السلسلة الضعيفة)
· Bil. Hadith : 6023

Hadith Kedua :

- 1أنا من الله ، والمؤمنون مني

Maksudnya : “Aku (Muhammad) daripada ALLAH, dan orang-orang Mukmin daripadaku.”

- 2أنا من الله عز وجل والمؤمنون مني فمن آذى مؤمنا فقد آذاني

Maksudnya : “Aku (Muhammad) daripada ALLAH ‘azza wajalla, dan orang-orang Mukmin daripadaku, sesiapa yang menyakiti orang Mukmin, maka sesungguhnya dia telah menyakitiku.”

Komentar para ulama hadith :

1- (Hadith pertama) Syeikh al-Islam Ibn taimiyyah
· Khulasah Darjat Hadith : “Pembohongan dan yang direka-reka, tidak ada asal sesuatupun darinya.”
· Sumber : Majmu’ al-Fatawa (مجموع الفتاوى)
· Muka Surat & Bil. Hadith : 11/72

2- (Hadith kedua) Al-Sakhawi (السخاوي)
· Khulasah Darjat Hadith : “Tidak ada baginya Isnad”
· Sumber : al-Maqasid al-Hasanah (المقاصد الحسنة)
· Bil. Hadith : 125

Hadith Ketiga :

لولاك ما خلقت الأفلاك

Maksudnya : “kalaulah tidak kerana engkau (Muhammadd), Aku tidak jadikan sekelian falak ini.”

Komentar para ulama hadith :

1- Al-‘Ajluni (العجلوني)
· Khulasah Darjat Hadith : “ia bukannya hadith.”
· Sumber : Kasyfu al-Khafa’ (كشف الخفاء)
· Muka Surat & Bil. Hadith : 2/214

2- Al-Syeikh Muhammad Nasiruddin al-Albani
· Khulasah Hadith : Palsu
· Sumber : al-Tawassul (التوسل) dan al-Silsilah al-Dhoiefah (السلسلة الضعيفة)
· Muka Surat : 115 / 282

Hadith Kelima :

كنت نبيا وآدم بين الماء والطين

Maksudnya : “Aku telahpun menjadi nabi walhal Adam berada antara air dan tanah”

Komentar para ulama hadith :

1- Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah
· Khulasah Darjat Hadith : “Tidak ada asal baginya” / “Batil” / “Pembohongan dan Batil / “Tidak ada asal baginya bahkan ia Batil”
· Sumber : (الرد على البكري) / Majmu’ al-Fatawa (مجموع الفتاوى) / Majmu’ al-Fatawa / Majmu’ al-Fatawa
· Muka Surah & Bil. Hadith : 65 / 18/369 / 18/125 / 2/137

2- Al-Sakhawi (السخاوي)
· Khulasah Darjat Hadith : PALSU
· Sumber : al-Ajwibah al-Mardhiah (الأجوبة المرضية)
· Muka Surat & Bil. Hadith : 1/166

3- Al-Sakhawi (السخاوي)
· Khulasah Darjat Hadith : Tidak aku ketahui waridnya hadith ini dengan lafaz ini, terutamanya kesahihannya.
· Sumber : al-Fatawa al-Hadithiah (الفتاوى الحديثية)
· Bil. Hadith : 188

Wassalam.

Wednesday, April 19, 2006

Pendakwah yang gelojoh... bersabarlah, berkorbanlah!

"Berkorban apa saja, harta ataupun nyawa..."

Teringat akan lirik lagu Tan Sri P. Ramlee dalam filem Hang Tuah. Betapa Hang Tuah berkorban demi raja dan negaranya. Sudah menjadi sunnah alam ini, kehidupan manusia dipenuhi dengan pelbagai pengorbanan yang bukan calang-calang, sehinggakan nyawa yang menjadi penyambung kehidupan boleh tergadai. Sungguh misteri, apakah kekuatan yang mendorong manusia melakukan pengorbanan yang begitu tinggi, sedangkan menurut bapa ekonomi moden, Adam Smith dalam bukunya Theory of Moral Sentiment, manusia adalah makhluk yang sangat mementingkan diri sendiri...

Lihat saja kejadian alam di sekeliling kita, betapa haiwan yang tidak berakal tetap berkorban mempertahankan anak-anak kesayangan dan masyarakat mereka...

Sungguh pelik manusia, sejarah menunjukkan mereka berusaha bermati-matian mengumpul harta dan mencari penawar kematian, namun harta dan nyawa itu jualah yang dikorbankan apabila mereka berasa sesuatu yang mereka hargai terancam.

Islam datang mengajar tertib disiplin pengorbanan. Manusia diajar menyusun prioriti dalam kehidupan mereka agar pengorbanan yang mereka lakukan nilainya setimpal dengan perkara yang dipertahankan. Sememangnya dakwah memerlukan pengorbanan. Para rasul dan nabi terdahulu merupakan contoh terbaik dalam perkara ini.

"Dan di antara manusia ada orang yang mengorbankan dirinya kerana mencari keredhaan Allah; dan Allah Maha Penyantun kepada hamba-hamba-Nya." [al-Baqarah: 207]

"Apakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum datang kepadamu (cubaan) sebagaimana halnya orang-orang terdahulu sebelum kamu? Mereka ditimpa malapetaka dan kesengsaraan, serta digoncangkan (dengan bermacam-macam cubaan) sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya: "Bilakan datangnya pertolongan Allah?" Ingatlah, sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat." [al-Baqarah: 214]

Ayat ini sangat memberi kesan di hati... manusia terlalu cepat ingin melihat buah kejayaan, sedangkan usaha dan pengorbana mereka belum melayakkan mereka melihat tunas-tunas dakwah berkembang subur. Aduhai, andai diri kita belum boleh berkorban seperti pejuang-pejuang dahulu, usahlah berharap kejayaan datang bergolek. Berkorbanlah apa saja demi kedaulatan al-Quran dan al-Sunnah... Ingatlah, semua kita tetap akan mati, cuma kita boleh memilih bagaimana kita ingin mati, mati sebagai insan biasa yang hidup bahagia bersama keluarga jauh dari mehnah dan tribulasi dakwah, atau mati sebagai pejuang yang hidupnya dipenuhi kesengsaraan hanya kerana ingin menegakkan kesucian Islam...

Thursday, April 13, 2006

Semulia-mulia wanita...

Daripada Ibn Abbas r.a. katanya: Rasulullah s.a.w. membuat empat garisan di atas tanah seraya bersabda: "Tahukah kamu apa ini?" Kata para Sahabah: Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui. Sabda Rasulullah s.a.w.: "Sebaik-baik wanita ahli syurga ialah Khadijah bint Khuwailid, Fatimah bint Muhammad, Asiyah bint Muzahim isteri Firaun dan Maryam puteri Imran - Allah meredhai mereka semua."

Riwayat Ahmad, al-Tabrani dan al-Hakim, kata al-Hakim: Hadith ini sanadnya sahih tetapi tidak diriwayatkan oleh al-Bukhariy dan Muslim dengan lafaz ini, dan pendapat ini dipersetujui oleh al-Zahabi. Ibn Hajar mensahihkan sanad ini dalam Fath al-Bari. (Sahih menurut Mustafa al-Adawi)

Daripada Anas r.a., Nabi s.a.w. bersabda: "Cukuplah untukmu daripada sekalian wanita di alam ini Maryam puteri Imran, Khadijah bint Khuwailid, Fatimah bint Muhammad dan Asiyah isteri Firaun."

Riwayat Ahmad, Abu Ya'la, al-Hakim, Abd al-Razzaq dan al-Tirmizi. Kata al-Tirmizi: Hadith Sahih. (Sahih menurut Mustafa al-Adawi)

Daripada Ibn Abbas r.a. katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda: "Pemimpin wanita syurga selepas Maryam bint Imran ialah Fatimah, Khadijah dan Asiyah isteri Firaun."

Riwayat al-Tabrani dalam al-Mu'jam al-Kabir. (Sanadnya hasan menurut Mustafa al-Adawi)

Wednesday, April 12, 2006

Bersyair di Masjid?

Berlaku khilaf di antara 'ulama mengenai hukum menasyidkan syair di masjid disebabkan dua hadith berikut:

1. Daripada 'Aisyah r.a., katanya: "Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. membina untuk Hasan ibn Thabit sebuah minbar di masjid buat dia menasyidkan sya'ir di atasnya."

Hadith riwayat Abu Dawud, al-Tirmizi, al-Hakim. Kata al-Tirmizi: Hadith hasan sahih gharib. Kata al-Hakim: Sanad sahih, tetapi tidak diriwayatkan oleh al-Bukhariy dan Muslim, dipersetujui oleh al-Zahabi. Sahih menurut Sayyid ibn 'Abbas al-Jalimi, pentahqiq al-Syama'il al-Muhammadiyah. Mempunyai penyokong dari Sahih al-Bukhariy, hadith riwayat 'Aisyah dalam Bab Sya'ir di Masjid, Kitab Solat.

2. Daripada 'Amru ibn Syu'aib dari ayahnya dari datuknya: "Rasulullah s.a.w. melarang perbuatan berjual-beli di masjid, bersya'ir di masjid, mengumumkan barang hilang di masjid, dan mengadakan halaqah di masjid pada hari Jumaat sebelum solat."

Hadith riwayat Ahmad, Ibn Khuzaimah dan al-Tirmizi. Kata al-Tirmizi: Hadith hasan. Abu Daud dan Ibn Majah meriwayatkan dari Hakim ibn Hizam r.a. dengan sedikit perbezaan pada matan. Kata Ibn Hajar dalam Fath al-Bari: Sanadnya sahih sehingga 'Amr ibn Syu'aib, terdapat beberapa hadith lain yang mempunyai maksud yang sama tetapi bermasalah pada sanad.

Masalah ini turut disebut oleh Ibn Syahin dalam Nasikh al-Hadith wa Mansukhihi [Kitab Jami', Bab Menasyidkan Sya'ir di Masjid], al-Hafiz Ibn Hajar dalam Fath al-Bari telah cuba menyelesaikan perbezaan ini dengan berpendapat bahawa larangan yang terdapat dalam hadith 'Amru ibn Syu'aib ialah larangan perbuatan membaca sya'ir jahiliyyah dan sesat, dan selain dari itu diizinkan.

Dr. Karimah bint Ali, pentahqiq Nasikh al-Hadith wa Mansukhihi berpendapat bahawa hadith hadith larangan bersifat 'umum manakala hadith keizinan bersifat khusus.

WaLlahu a'lam.