Sunday, December 31, 2006

Perjalanan Menuntut Ilmu III

Menjadi penuntut ilmu al-Quran dan al-Sunnah bukanlah sesuatu yang mudah, terutama di kalangan siswa dan siswi di pusat-pusat pengajian tinggi. Masa dan tenaga terpaksa dikorbankan dan digunakan sebaiknya agar keghairahan mempelajari al-Quran dan al-Sunnah diseimbangkan dengan kecemerlangan akademik. Maka ramailah yang akan memenuhi kelas-kelas dan kuliah-kuliah pengajian agama bersama tokoh-tokoh ilmuan dari serata dunia.

Pun begitu, sebagai anak murid yang belajar al-Quran dan al-Sunnah, mereka akan berhadapan dengan pelbagai fitnah yang cuba menghalang impian mereka. Antara fitnah terbesar ialah berlakunya perkelahian yang berpunca dari perbezaan pendapat yang biasa. Selain dari kedegilan tok-tok guru yang mengajar, anak-anak murid juga tidak ketinggalan untuk menjadi kipas yang menghangatkan lagi bara api. Didorong bersama perasaan taksub dengan mana-mana individu, maka akan terputuslah ukhuwwah yang terjalin atas nama Islam.

Jadilah anak murid yang cemerlang. Cemerlang dalam erti kata cerdik dan bijaksana. Anak murid yang cerdik dan bijaksana tidak akan menjadi batu api. Andai tok-tok guru kita berbeza pendapat dan keras kepala pula, berusahalah dan berfikirlah bagaimana kita dapat elakkan perbezaan ini dari menjadi punca pergaduhan. Jadilah anak murid yang cerdik dan bijaksana yang menjadi jambatan penghubung antara tok-tok guru. Andai tok-tok guru kita pernah mengkritik sesama mereka, maka praktikkanlah ilmu hadis yang dipelajari - jadilah perawi yang baik. Aplikasikanlah ilmu maqasid dan timbang baik buruk dalam menyampaikan sesuatu kepada tok-tok guru kita. Andai kita lihat tok-tok guru kita kurang mesra, berusahalah dan berfikirlah bagaimana untuk mendekatkan mereka, merapatkan ukhuwwah mereka dan memesrakan mereka. Buatlah program-program yang melibatkan kerjasama mereka. Anak murid yang cerdik dan bijaksana sudah tentu akan boleh buat. Andai ada antara tok-tok guru kita yang berkecil hati kerana sesuatu perkara, pujuklah mereka. Lumrah dunia semakin berusia seseorang, makin teringin dihargai dan mudah berkecil hati. Sangatlah mudah anak murid yang cerdik dan bijaksana menjaga hati tok-tok guru mereka.

Berhati-hati jangan menjadi anak murid yang bodoh dan bangang, sekadar gila mencedok ilmu tetapi tidak memanfaatkannya, sehinggakan merekalah punca tok-tok guru mereka bergaduh. Jangan pula menjadi anak murid talam dua muka, menjilat sana sini dan mengampu. Anak murid yang cerdik dan bijaksana mesti pandai berdiplomasi tanpa mengorbankan prinsip-prinsip al-Quran dan al-Sunnah.

Jadilah duta penghubung tokoh-tokoh Sunnah, sehingga akhirnya semua dapat duduk sebumbung, ibarat panji-panji yang berkibar di bawah tujuan yang sama... satu lagi kemuliaan anugerah Allah buat mereka yang rajin menuntut ilmu, cerdik dan bijaksana.

Salam dari bumi Ottawa

Solat Eidul Adha di Civic Center

Tepat 7:30 pagi, perjalanan dimulakan menuju ke Civic Center, Lansdowne Park - tempat Solat Eidul Adha. Dari rumah, aku menaiki OCTranspo route 3 ke Hartwell Lock, dan dari sana berjalan kaki merentasi Carleton University, kemudian menyusuri Rideau Canal yang hampir beku ke Bank Street.

Sampai di Civic Center pada jam 8:30 pagi. Takbir raya baru dimulakan. Bilangan manusia yang datang bertambah ramai, dan pada jam 9:00 pagi dewan sudah hampir penuh.

9:10 pagi, takbir dihentikan untuk memberi laluan ucapan. Ucapan pertama disampaikan oleh Setiausaha Ottawa Muslim Association (OMA), diikuti Presiden OMA. Akhir sekali, ucapan oleh Dalton McGuinty, Premier (Ketua Menteri) negeri Ontario. Hairan, begitu banyak ucapan sekali!

Kemudian solat bermula, dengan imam solat di atas pentas (rasa pelik juga!) Khutbah raya sedikit sebanyak mengulas ucapan Premier Ontario yang menyentuh tentang kepentingan institusi keluarga, di mana keluarga Ibrahim menjadi contoh terbaik seperti yang termaktub dalam al-Quran.

Lebih kurang 10:00 pagi, selesai. Alhamdulillah...

Saturday, December 30, 2006

Perbezaan Tarikh Eidul Adha

Alhamdulillah, akhirnya tercapai juga cita-cita yang disimpan sejak Eidul Fitri yang lalu, iaitu menunaikan solat Eidul Adha bersama komuniti Islam Ottawa.

Penentuan tarikh jatuhnya Eidul Adha di Ottawa tidak seragam. Ada yang berpendapat Sabtu, 30 Disember kerana para hujjaj di Makkah merayakan Eidul Adha pada hari berkenaan. Namun, suara rasmi Ottawa Muslim Association (OMA) berpendapat Eidul Adha disambut pada Ahad, 31 Disember; tidak termasuk beberapa pendapat lain yang dipegang oleh kumpulan-kumpulan tertentu. Almaklum, Kanada bukan negara Islam, maka perbezaan ini sering terjadi dan masing-masing berhak menentukan sendiri...

Hairan juga, kerana Kanada berada di barat Makkah tidak sepatutnya menghadapi masalah merayakan Eidul Adha pada hari yang sama dengan Makkah, kerana umat Islam di Makkah akan tetap merayakannya terlebih dahulu. Lainlah halnya dengan Malaysia yang berada di timur Makkah, kerana alasan yang diberi untuk berbeza dengan Makkah ada rasionalnya. Namun, para 'ulama khilaf dalam hal ini. Di Malaysia, memandangkan kerajaan mentadbir urusan agama Islam, maka rakyat perlu patuh pada penentuan tersebut. Lain pula situasi di Kanada. Eloklah bersama masjid-masjid tempatan yang mewakili komuniti Islam setempat. Kesatuan umat perlu dijaga. Jika tidak, hilanglah semangat haji yang memupuk perpaduan umat.

Teringat pula cadangan yang pernah dibentangkan di Parlimen Malaysia, untuk merubah garis Greenwich Meridian dari London ke Makkah, agar permasalahan seperti ini tidak lagi timbul. Ada masa untuk membacanya? Klik sini. Lihat muka surat 60.

Friday, December 29, 2006

Hari Wukuf dan Takbir Raya

Jumaat, 29 Disember. Pagi ini, seperti yang telah dijadualkan, aku menjelajah Merivale Rd bersama rakan-rakan kampus. Antara destinasi pilihan ialah XSCarga, HomeSense, Value Village dan Foodbasics.

12:00 tengah hari, kami menaiki OCTranspo route 176 ke Tunney's Pasture, dan dari sana berjalan kaki menuju Masjid Ottawa untuk Solat Jumaat. Alhamdulillah, sempat tiba tatkala muazzin baru melaungkan azan, namun ruang solat telah penuh.

Selesai solat, imam mengumumkan bahawa hari tersebut adalah hari wukuf, kerana para hujjaj di Makkah sekarang telah berada di Arafah untuk tujuan tersebut. Lantas kami bertakbir beramai-ramai, cuma hairannya takbir raya mereka berlainan sedikit dengan takdir raya di Malaysia, dengan penambahan selawat dan salam ke atas Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam, ahli keluarganya, Sahabatnya, golongan Ansar, isteri-isteri baginda, zuriat keturunan baginda... jelas tokok tambah tersebut adalah bid'ah, kerana tidak ada satu hadith yang merekodkan penambahan ucapan-ucapan tersebut dalam takbir. Satu lagi, jelas penambahan selawat ini berlawanan dengan ruh takbir, di mana objektif takbir seperti yang dikehendaki Allah ialah supaya hamba-hamba-Nya memperbanyakkan ucapan membesarkan Allah dan mengagungkannya. Penambahan tersebut secara tidak langsung menyebabkan pujian lebih banyak diberi kepada Rasulullah. Pun begitu, imam tersebut turut memberitahu versi takbir yang sahih, tetapi tidaklah jelas kenapa beliau tetap menggunakan versi tambahan.

Kemudian, bersama rakan-rakan yang lain, kami mengorak langkah meredah salji ke Sungai Ottawa berhampiran. Remic Beach jadi sasaran. Keadaan sungai yang separuh beku menarik kami untuk cuba berjalan di atasnya. Alhmadulillah, tiada kejadian tidak diingini berlaku walaupun ada antara kami yang terjatuh kerana licin.

Selesai Asar, kami ke Nando's yang menyajikan daging ayam halal dari Maple Lodge Farm. Sementelah perut sudah kenyang, tibalah masa tirai hari dilabuhkan...

Saturday, December 23, 2006

Perjalanan Menuntut Ilmu II

Perjalanan menuntut ilmu al-Quran dan al-Sunnah sangat panjang, tidak mungkin ia akan berakhir sehinggalah nyawa manusia itu sendiri berakhir dahulu. Para 'ulama terdahulu terkenal dengan semangat kental menuntut ilmu, kerana mereka tahu betapa pentingnya al-Quran dan al-Sunnah sebagai penyuluh kehidupan.

Bak kata pepatah: ilmu tanpa amal ibarat pohon tak berbuah. Ia tetap menghijau, namun belum dapat menghasilkan manfaat kepada makhluk lain. Bersegeralah beramal dengan ilmu yang telah dituntut.

Dalam mengejar ilmu dan berdakwah, andai kita bekerjasama antara satu sama lain sudah tentu kita akan mampu belajar dan berjuang dengan lebih berhasil. Setiap dari kita memiliki kelebihan dan kekurangan, maka kita saling lengkap-melengkapi, ibarat batu-bata yang sama-sama menguatkan bangunan.

Alangkah indahnya andai dalam berjuang, kita ditemani sahabat-sahabat yang sehati sejiwa, dibina dari kefahaman jitu prinsip-prinsip al-Quran dan al-Sunnah. Maka, carilah sahabat-sahabat yang baik sebagai teman belajar, tatkala kita lupa dia akan ingatkan, tatkala kita tersilap dia akan betulkan. Hargailah sahabat kita.

Kerjasama yang baik akan menghasilkan organisasi yang baik. Setiap anggota kini berjanji untuk memberi komitmen supaya tuntutan ilmu terlaksana. Tanggungjawab yang dipikul adalah amanah daripada sahabat-sahabat kita, maka peliharalah ia dengan baik, kerana kepercayaan itu sukar didapati tetapi mudah pula hilang, dan di Akhirat kita akan berhadapan dengan Allah...

Jawatan yang dipikul merupakan kepercayaan yang diberi oleh sahabat-sahabat kita sendiri. Ia bukan lesen besar untuk kita gunakan sesuka hati, seolah-olah kitalah ketua segala-galanya, semua perkara mesti kita tahu dan kita putuskan. Andai sesuatu itu bermanfaat buat umat, walaupun bukan kita yang mulakan, berilah sokongan. Jangan terikut-ikut dengan rentak percaturan politik semasa. Andai dia bukan sahabat kita, maka dia adalah musuh kita. Apa sahaja idea bernas yang dikemukakan kita tentang. Di mana prinsip-prinsip al-Quran dan al-Sunnah yang kita mengaku kita junjung? Jangan jadi seperti budak hingusan yang berkelahi besar kerana perbezaan kecil, jangan pula jadi seperti orang tua yang kecil hati andai dia tidak dilibatkan sama. Para pejuang perlu ikhlas dan proaktif.

Andai kita tidak dapat mengorbankan kepentingan diri buat kesejahteraan umat, maka kita belum menjadi pejuang.

Perjuangan Menegakkan al-Quran dan al-Sunnah: Kemuliaan Anugerah Allah


Perjuangan menegakkan al-Quran dan al-Sunnah adalah kewajipan setiap orang yang mengaku beriman dengan Allah dan Rasul-Nya. Sudah ramai yang tahu akan kewajipan ini. Maka ramailah di kalangan umat Islam yang mempunyai keinginan kuat untuk melaksanakan kewajipan ini. Ada yang sekadar berkobar-kobar di hati, tidak kurang juga ramai yang sekadar petah di mulut, sedikit pula yang berjaya bertindak. Begitulah fitrah manusia, dan mereka yang bertindak telah mengambil pelbagai langkah, ada antara mereka yang mengambil langkah yang betul, ada yang tersilap langkah tidak mengikut panduan al-Quran dan al-Sunnah, tidak kurang juga mereka yang menyangka mereka berada di landasan yang benar namun hakikatnya mereka telah menyimpang.

Dalam suasana ramai yang mengaku sebagai pejuang al-Quran dan al-Sunnah, tidak ramai yang tahu bahawa perjuangan ini adalah satu kemuliaan. Kemuliaan yang diberi oleh Allah subhanahu wa ta'ala kepada hamba-hamba-Nya yang terpilih dari kalangan mereka yang beriman. Bahagialah sesiapa yang terpilih memegang panji-panji tersebut, dan semoga kita tergolong bersama mereka yang dimuliakan Allah.

Namun begitu, kita perlu tahu bahawa kemuliaan ini datang bersama tanggungjawab yang besar. Sebagai pejuang al-Quran dan al-Sunnah, kita perlu sedar bahawa segala tindak tanduk dan kelakuan kita mencerminkan ajaran al-Quran dan al-Sunnah. Andai kita berkelakuan buruk, maka tempiasnya akan turut terkena pada Islam. Andai kita ragui akan kebolehan kita, maka janganlah sewenang-wenang mengaku sebagai pejuang., kerana keraguan itu bukan sifat seorang pejuang.

Kemuliaan ini memerlukan kepada komitmen yang tinggi - masa dan tenaga dihabiskan melengkapkan diri dengan pelbagai ilmu - al-Quran, al-Sunnah - kerana ilmu itu cahaya yang memandu pejuang ke arah destinasi yang benar. Jangan sesekali terpengaruh dengan dakwaan kononnya ilmu di dada telah cukup, maka diri berhajat pula kepada pelbagai kaedah penyampaian yang memerlukan kompromi ilmu. Ingatlah, sesungguhnya lautan ilmu al-Quran dan al-Sunnah ini luas. Belajar dan terus belajar. Andai ada suara sumbang dari mulut-mulut cabul berhati kering, hindari mereka, kerana mereka ingin sekali melihat pejuang-pejuang al-Quran dan al-Sunnah berputus asa. Janganlah takut melakukan kesilapamn, kerana pejuang yang bijak belajar dari kesilapan. Jadilah jauhari yang mampu membezakan nasihat dan cercaan.

Kemuliaan ini bukan satu lesen besar yang membolehkan kita menggadaikan mana-mana prinsip al-Quran dan al-Sunnah yang kita sendiri perjuangkan. Kitalah yang perlu menjadi contoh terbaik pelaksanaan al-Quran dan al-Sunnah.

Andai kita sendiri tidak lagi mengikut lunas-lunas al-Quran dan al-Sunnah, maka tunggulah kecelakaan yang bakal tiba. Nescaya Allah akan menarik kembali kemuliaan ini, dan kita akan dicampak ke lembah kehinaan. Allah akan memberikan kemuliaan ini kepada hamba-hamba-Nya yang lain, yang mana Allah mencintai mereka dan mereka mencintai Allah. Mereka akan mendapat kemuliaan ini, dan Allah akan menganugerahkan kepada mereka kejayaan demi kejayaan.

Hargailah kemuliaan ini. Jangan hilangkan ia. Moga-moga sedikit tindakan kita dalam perjuangan ini membolehkan kita menagih simpati daripada Allah subhanahu wa ta'ala di Akhirat nanti.

Salam dari bumi Ottawa

Perjalanan Menuntut Ilmu I


Dalam perjalanan menimba ilmu al-Quran dan al-Sunnah, kita akan bertemu dengan pelbagai ragam manusia. Sebahagian mereka ikhlas membantu kita dalam memahami ilmu, tidak kurang juga yang bersikap hasad dengki dan iri hati melihat kita bersungguh-sungguh berusaha mengejar ilmu.

Sungguhpun begitu, kedua-dua jenis manusia ini tidak akan jemu memberi perhatian terhadap apa jua tindakan kita. Belajar apa, belajar dengan siapa, apa yang kita tulis, apa pandangan kita... begitulah seterusnya. Kedua-dua akan memberi respons tatkala melihat tindakan kita. Bezanya, kritikan membina diberi oleh mereka yang ikhlas manakala yang keluar dari mulut mereka yang hasad adalah cacian dan cemuhan semata-mata.

Mereka yang ikhlas akan senantiasa memberi dorongan dan sokongan kepada kita, biarpun apabila kita tersilap langkah sehingga tersungkur jatuh, mereka akan membantu kita sehingga kita mampu bangun sendiri dan memulakan langkah kita semula. Sedangkan yang dengki, mereka tidak senang melihat kita melakukan sesuatu dengan betul, sebaliknya mereka gembira melihat kita tersilap. Mereka tidak akan henti-henti mengatakan kita yang silap, atau sekurang-kurangnya mereka akan cuba menimbulkan syak wasangka di hati kita bahawa kebenaran mungkin bukan di pihak kita.

Maka berhati-hatilah membezakan kritikan nasihat dan cemuhan. Janganlah cemuhan mematahkan semangat kita menimba ilmu. Biar apa pun orang kata, andai kita yakin al-Quran dan al-Sunnah di hadapan kita, maka teruskan perjalanan. Teruslah menimba ilmu dan menulis, kerana sebagai penuntut ilmu, tidak mungkin kita akan dapat lari dari melakukan kesilapan. Anggaplah kesilapan sebagai satu lagi peluang menambah pengetahuan mencari kebenaran. Jadilah jauhari yang pandai membezakan intan dan kaca, kerana kritikan nasihat itu ibarat intan yang menjadikan seseorang itu bernilai, sedangkan cemuhan ibarat kaca yang akan memudaratkan diri kita.

Salam dari bumi Ottawa