Thursday, February 22, 2007

Antara Pemeliharaan Tinggalan Sejarah dan Pemeliharaan Aqidah I

Sering dalam kehidupan manusia berhadapan dengan pertembungan antara dua kepentingan, di mana mereka hanya boleh memilih satu antara keduanya. Seperti seorang yang mengidap penyakit kencing manis, maka dia berhadapan dengan pilihan sama ada dipotong kakinya atau nyawanya terancam akibat penyakit tersebut. Perkara sama berlaku dalam pertimbangan antara memelihara kesan tinggalan sejarah buat tatapan generasi akan datang dengan kepentingan menjaga kemurnian aqidah Islam.

Alhamdulillah, Islam menyediakan kaedah mudah dalam hal ini. Kita timbangkan kedua-dua kepentingan tersebut pada neraca al-Quran dan al-Sunnah dan lihat kepentingan yang mana lebih utama.

Saya kira, para pengikut Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah setuju andai kita jadikan para Khulafa' al-Rasyidin dan para Sahabah radiyallahu 'anhum sebagai contoh dalam memahami Islam: termasuk apabila berlakunya pertembungan antara pemeliharaan kesan sejarah dan pemeliharaan aqidah. Maka saya sekadar ingin mengajak kita melihat kembali strategi politik Umar ibn al-Khattab radiyallahu 'anhu.

Siapa tidak tahu mengenai Bai'atul Ridhwan? Persumpahan setia yg dilakukan oleh Rasulullah salllallahu 'alayhi wasallam dan para Sahabah untuk menuntut bela kematian 'Uthman ibn 'Affan radiyallahu 'anhu. Ingat, Rasulullah dan para Sahabah ketika itu keluar untuk mengerjakan umrah; situasi yang menyerupai Badar, mereka langsung tidak terfikir kemungkinan akan tercetus konflik senjata. Jadi, bukan mudah untuk manusia biasa tiba-tiba sahaja menyahut seruan pemimpin untuk berkorban menuntut bela darah saudara seagama yang dikhianati. Atas pendirian para Sahabah yang teguh menyahut seruan Rasulullah, maka perjanjian ini disebut oleh Allah dalam Surah al-Fath. Dalam rakaman kisah tersebut, dengan jelas Allah menyebut "pohon" yg menaungi sumpah setia tersebut dibuat. Ini adalah kesan sejarah yg penting! Alangkah baik jika pada hari ini kita dapat melihat pohon tersebut.

Namun, tidak semua manusia memiliki kefahaman iman yang bersih, seperti pendirian 'Umar terhadap Hajar al-Aswad. Teringat akan kata-katanya, bahawa Hajar al-Aswad hanyalah batu biasa, andai dia tidak melihat Rasulullah mengucupnya maka dia tidak akan berbuat demikian.

Berbalik kepada pohon Bai'atul Ridhwan. Bayangkan jika pohon tersebut masih ada sehingga ke hari ini. Sesiapa antara kita yang pergi menziarahi pohon tersebut pasti akan dilanda rasa kagum. Mula-mula akan ada antara kita yang akan berdoa di situ, kerana percaya ia memiliki berkat. Kemudian mula solat sunat. Lama-kelamaan bermacam-macam lagi yang boleh terjadi. Bina masjid di situ. Akan selalu ada orang beribadah di situ. Generasi-generasi yang akan datang akan lebih teruk lagi. Dah berkat, akan ada yang bawa balik daun, batang ke negara masing-masing lepas mengerjakan haji. Konon ada berkat.

Sebagai pemimpin yang bijaksana, 'Umar tebang pohon tersebut. Ini adalah strategi politik yang bijak demi menyelamatkan aqidah umat Islam. Apa sangat nilai sejarah pohon tersebut andai aqidah generasi akan datang tergadai.

No comments: