Sunday, June 30, 2013

Coretan Double-double Selepas Subuh II: Wanita Mengandung dan Ramadhan

Subuh di Surau Meadowlands berimamkan Saudara Mahmud Mamou dari Algeria, suara merdu mengalunkan qiraat Warsh. Antara kehebatan al-Quran yang jarang dapat dirasai di Malaysia kerana hampir kesemua imam membaca satu qiraat sahaja, iaitu qiraat Hafs daripada 'Aasim. Selesai solat, seperti biasa bersama Abul Waleed menuju ke Tim Hortons untuk minum kopi. Dua kopi double-double bersaiz medium, dan dua maple pecan danish. Pelayan juga sudah kenal dan tahu apa yang dipesan. Tidak lagi pelik melihat orang-orang Islam datang ke kedai kopi seawal 4:30 pagi ketika kedai lengang.

Tidak lama lagi Ramadhan menjelma, dan kali ini umat Islam di Kanada berdepan dengan puasa pada musim summer yang panas dan panjang.Teringat ada pelajar Malaysia yang isteri mereka mengandung, dan para doktor di Ottawa menasihatkan agar jangan berpuasa kerana akan memudaratkan kandungan. Lantas isu tersebut menjadi perbincangan pada pagi itu.

Allah S.W.T. menyebut beberapa keringanan untuk tidak berpuasa dalam firman-Nya dalam Surah al-Baqarah:

[184] (Puasa yang diwajibkan itu ialah beberapa hari yang tertentu; maka sesiapa di antara kamu yang sakit, atau dalam musafir, (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain; dan wajib atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin. Maka sesiapa yang dengan sukarela memberikan (bayaran fidyah) lebih dari yang ditentukan itu, maka itu adalah suatu kebaikan baginya; dan (walaupun demikian) berpuasa itu lebih baik bagi kamu daripada memberi fidyah), kalau kamu mengetahui.
[185] ... dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah ia berbuka, Kemudian wajiblah ia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. (Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur. 

[Surah al-Baqarah, 2:184-185]

Telah ramai ilmuwan yang membahaskan isu wanita mengandung dan Ramadhan, dan jumhur mereka bersetuju bahawa wanita mengandung termasuk dalam golongan yang dibenarkan untuk tidak berpuasa. Cuma apakah kewajipan yang wanita mengandung tidak berpuasa ini perlu lakukan? Telah berlaku khilaf besar dalam masalah ini. Ibn Rusyd dalam Bidayatul Mujtahid menjelaskan terdapat empat pendapat mengenai wanita mengandung dan ibu susuan yang tidak berpuasa. Pendapat yang masyhur ialah mereka perlu menggantikan (qadha') puasa sehingga cukup bilangan hari yang ditinggalkan tanpa perlu membayar fidyah (memberi makan kepada orang miskin). Inilah juga pandangan yang diri ini cenderung, kerana pastilah puasa yang ditinggal perlu diganti. Pendapat ini adalah pendapat al-Imam Abu Hanifah. Sedangkan al-Imam al-Syafi'ie berpendapat perlu ganti dan membayar fidyah!

Rupanya Abul Waleed cenderung kepada pendapat wanita mengandung dan ibu susuan hanya perlu bayar fidyah tanpa perlu ganti puasa. Eh, pasti diri tertanya-tanya kenapa boleh begitu pula? Biasalah hati ini seakan sukar menerima bila ibadah puasa yang begitu penting tetiba tak perlu diganti. Kata Abul Waleed, pertama sekali perlu buka minda bahawa permasalahan ini telah berlaku khilaf dan mestilah berlapang dada. Kedua, wanita mengandung yang tidak berpuasa, maka mereka telah meninggalkan puasa selama sebulan, bersamaan 29 atau 30 hari. Kemudian, selepas mengandung apa pula? Kelahiran. Maka wanita yang melahirkan anak juga diberi kelonggaran untuk tidak berpuasa Ramadhan, maka hilang sudah peluang untuk qadha. Selepas kelahiran apa pula? Penyusuan. Islam sangat mementingkan kesihatan bayi yang menyusu sehingga ibu yang menyusu dibolehkan untuk tidak berpuasa, dan al-Quran sendiri menganjurkan tempoh penyusuan selama 2 tahun penuh. Sekali lagi telah hilang peluang untuk menggantikan puasa yang tertinggal kerana mengandung, dan ditambah pula dengan dua kali Ramadhan yang ditinggalkan dalam tempoh 2 tahun menyusu. Maka setelah habis tempoh 3 tahun (tahun pertama mengandung diikuti 2 tahun menyusu), barulah wanita berpeluang menggantikan puasa yang tertunggak sebanyak 3 bulan (lebih kurang 90 hari!). Itu pun jika wanita itu ditakdirkan tidak mengandung semula. Bagaimana jika dia mengandung lagi selepas itu? Dalam kes ini, di manakan rahmat Islam buat wanita mengandung, ibu yang menyusu dan bayi yang kecil? Di mana slogan Islam itu mudah dan tidak menyusahkan? Sekiranya wanita itu beranak 5 orang anak terus menerus setiap kali selesai 2 tahun menyusu setiap anak, bilakah tempoh untuk beliau ganti dan sudah tidak terhitung bilangan hari. Oleh itu, adanya golongan ilmuwan Islam yang berpendapat wanita mengandung dan ibu yang menyusu hanya perlu membayar fidyah tanpa perlu ganti.

Isu ini juga berasal dari qiyas atau analogi wanita mengandung dan ibu susuan dengan orang sakit atau orang yang sukar berpuasa. Daripada firman Allah S.W.T. dari Surah al-Baqarah, ilmuwan yang menyamakan mengandung sebagai satu penyakit maka mereka berpendapat wanita mengandung perlu qadha tanpa perlu bayar fidyah. Sebaliknya ilmuwan yang berpendapat mengandung bukan satu penyakit tetapi lebih menyerupai beban yang menyebabkan sukar berpuasa (seperti mereka yang bekerja berat) maka hanya perlu membayar fidyah tanpa perlu ganti. Begitu juga dengan masalah ibu menyusu, cuma analogi menyusu sebagai penyakit itu nampak sangat janggalnya! Oleh itu ramai ilmuwan cenderung mengatakan ibu menyusu tak perlu qadha tetapi hanya perlu bayar fidyah. Maka ilmuwan yang menganggap mengandung sebagai penyakit dan juga beban, berpendapat wanita mengandung perlu buat kedua-dua qadha dan fidyah!

Pendapat wanita mengandung dan ibu menyusu hanya perlu bayar fidyah tanpa perlu qadha disandarkan kepada dua sahabat agung, Ibn 'Umar dan Ibn 'Abbas r.a. Maka tidaklah perlu ragu-ragu untuk memegang pendapat ini kerana adanya sandaran kuat. Diri ini kini lebih cenderung kepada pandangan ini, bahkan ia lebih bersifat rahmat kepada wanita dan bayi dan lebih mudah untuk dipraktikkan. Yang penting, jangan ada celaan sekiranya berbeza pendapat.

Matahari semakin tinggi. Sebelum keluar dari Tim Hortons, sempat membeli 20 Timbits honey dip kesukaan Maryam dan Aiman.




2 comments:

jannah said...

Ini lah yg jd dilema saya skrg.

Unknown said...

Inilah yg jd kemusykilan saya skrg.