Showing posts with label Iqtisad. Show all posts
Showing posts with label Iqtisad. Show all posts

Sunday, October 26, 2008

Zakat untuk Non-Muslim? Kasihannya...

Isu pengagihan wang zakat kepada non-Muslim tiba-tiba menjadi topik sensasi apabila satu pertanyaan mengenainya dilontarkan dalam persidangan Dewan Undangan Negeri Selangor. ADUN Kota Damansara, Dr. Nasir Hashim dari Pakatan Rakyat membangkitkan pertanyaan tersebut mengenai pengagihan wang zakat Negeri Selangor, adakah peruntukan untuk non-Muslim. Maka berbondong-bondong yang bangkit membantah pertanyaan tersebut. Tidak kurang juga yang menuduh beliau sebagai pengkhianat Islam kerana zakat adalah hak ekslusif orang Islam. Biasalah Malaysia, belum rujuk al-Quran dan al-Sunnah sama ada pertanyaan tersebut betul atau tidak, emosi (atau mungkin lebih tepat citarasa politik?) menguasai diri.

Mungkin depa yang bangkang-bangkang melulu itu lupa, bahawa Rasulullah sallallahu 'alayhi wasallam sendiri biasa mengagihkan zakat kepada non-Muslim pada zaman baginda (ha, tang ni tak mau tuduh pengkhianat ka?). Mungkin ramai antara kita telah disempitkan kefahaman tentang definisi muallaf - kerana muallaf ini sebenarnya termasuk juga golongan kafir yang hati mereka jinak dengan Islam. Bahkan Rasulullah pernah memberi wang zakat kepada golongan berpengaruh dari kalangan kuffar semata-mata demi perdamaian. Hanya pada zaman Khalifah 'Umar ibn al-Khattab radiyallahu 'anhu agihan ini dihentikan kerana keadaan siyasah ketika itu telah berubah - kerajaan Islam digeruni dan dihormati.

Manhaj kita ahlussunnah tidak menyokong Dr. Nasir kerana warna parti beliau, tetapi kita sokong kebenaran berpaksikan al-Quran dan al-Sunnah tanpa mengira perbezaan fahaman politik. Celakalah kita andai pandangan kita ditapis oleh kaca politik sempit. Nescaya kebenaran akan meninggalkan kita.

Tokoh kontemporari, Dr. Yusuf al-Qaradhawi juga berpendapat zakat boleh diberikan kepada golongan non-Muslim yang tidak memusuhi Islam. Tokoh tempatan seperti Mufti Selangor (bukan Perlis sahaja tahu!) turut memasukkan golongan kuffar yang lembut hati dengan Islam ke dalam asnaf muallaf untuk terima zakat. Lihat petikan wawancara bersama Sahibus Samahah Mufti Negeri Selangor di sini. Rujuk kepada point no. 10.

Rakan saya ada membuat ulasan lebih terperinci mengenai isu ini. Lihat blog Abu Usamah Masri di sini. Sekiranya zakat turut diagihkan kepada non-Muslim, alangkah indahnya Islam ini pada mata mereka. Tidak mustahil hati mereka akan lembut kepada Islam.

Memetik kata-kata Mufti Perlis: Yang pelik, ada orang Islam yang begitu marah apabila ada badan-badan amal Kristian dan Gereja berbondong-bondong beri bantuan kewangan kepada orang asli, orang sakit di hospital, agih bantuan di gereja dan lain-lain. Sebelum mereka marah, sepatutnya mereka sendiri keluarkan wang bantu orang asli, orang sakit di hospital dan sediakan bantuan untuk orang susah di masjid.

Apapun, sistem pengagihan zakat di negara ini sangat-sangat perlu kepada pembaikan...

Thursday, October 23, 2008

Malaysia and Global Financial Turmoil

Many politicians from the government claimed that the current global financial crisis will not hit Malaysia since we have strong economic fundamentals. Our domestic sector is strong and we have enough liquidity.

While I do believe that our domestic sector is strong and we have enough liquidity in the market, the external sector worries me. Our economy is much of export-driven, so international trade is very important and vital to our growth. Domestic sector alone is not enough to support our growth. Many of the goods that we produce are for international market. When these countries can no longer buy as much goods as before, basically we cannot sell our goods. Then the chain reactions start. When domestic businesses lose their foreign buyers, they will face potential losses. To avoid that, they will start to cut off productions. To do so, they will have to lay off some of their workers. When people lose their jobs, the domestic economy will be affected.

To say that we will not be affected by the global financial turmoil is a bit exaggerate, I think. I would rather say that the impact will not be felt in Malaysia as quickly as others had faced it. Thank God we have a system that prohibits debt trading. It's time to go back to God. Say no to usury.

Sunday, October 05, 2008

Krisis Ekonomi Amerika Syarikat

Krisis kewangan yang melanda Amerika Syarikat pada dasarnya disebabkan keseluruhan sistem kewangan Amerika Syarikat itu dibina atas paksi perhutangan. Transaksi kewangan yang bernilai berbilion-bilion dollar dan melibatkan syarikat-syarikat kewangan gergasi didokong oleh kertas-kertas hutang yang rapuh dan berisiko tinggi. Untuk memahami asas-asas permasalahan ekonomi yang melanda Amerika Syarikat dengan mudah, Seri Negara mencadangkan artikel berikut:

Tajuk: Krisis Ekonomi US: Gambaran, Ulasan & Pandangan Islam
Penulis: Ustaz Zaharuddin Abd Rahman

**Klik pada tajuk untuk membacanya.

Saturday, August 30, 2008

Bajet 2009

Alhamdulillah, seronok juga apabila mendengar banyak manfaat untuk rakyat daripada Bajet 2009. Keadaan ekonomi yang dihimpit inflasi pasti telah banyak menyusahkan hidup rakyat. Kenaikan harga bahan api baru-baru ini telah menyebabkan harga barangan dan perkhidmatan melambung tinggi. Kos kehidupan yang tinggi ini sekiranya tidak dikawal pasti akan menyebabkan taraf kualiti hidup jatuh. Rakyat yang hidup dalam kemiskinan pasti menjadi mangsa paling teruk. Hak mereka untuk mendapatkan barangan asas harian, perkhidmatan pendidikan, kesihatan dan lain-lain keperluas asas akan terputus. Rebet minyak yang diberi kerajaan tempoh hari nyata gagal menyelesaikan masalah ini. Rebet hanya dinikmati oleh mereka yang memiliki kenderaan, dan rata-rata pemilik kenderaan adalah dari golongan pertengahan. Walaupun rebet sedikit sebanyak mengurangkan beban pemilik kenderaan, kenaikan harga barang pastinya lebih dirasai oleh golongan miskin yang tidak mampu memiliki kenderaan.

Maka Bajet 2009 yang diumumkan kerajaan nampaknya memang ditujukan ke arah membantu golongan yang benar-benar memerlukan bantuan. Memanglah tiada suatu pun yang sempurna, dan mungkin bajet ini masih boleh ditambah baiki.

Biarkan saja pelbagai komen kurang enak dari pembangkang. Sekiranya mereka benar-benar ikhlas, apa salahnya beri cadangan kepada kerajaan untuk membaiki kelemahan pada bajet. Bila bajet tidak membantu rakyat, mereka akan kata kerajaan zalim. Bila banyak yang diberi kepada rakyat, dikatakan gula-gula untuk mengelabui mata rakyat pula. Pada pandangan saya, agak sukar untuk mengaitkan Bajet 2009 dengan muslihat politik kerana pilihanraya umum baru sahaja berlalu, dan kerajaan telah mendapat mandat yang agak kuat untuk memerintah untuk tempoh empat-lima tahun lagi.

Seronok jadi rakyat. Apa yang diberi, ambil jangan ditolak. Undi tetap rahsia, iye tak?

Monday, June 09, 2008

Minyak naik?! Part III

Minyak adalah salah satu sumber tenaga yang tidak boleh diperbaharui. Satu hari kelak kesemua simpanan minyak akan habis. Itu adalah satu kemungkinan yang perlu kita hadapi. Kadar penemuan simpanan minyak baru tidak setanding dengan kadar pengeluaran minyak. Kajian-kajian oleh pakar-pakar ekonomi minyak biasanya membahagikan situasi harga minyak kepada tiga fasa: fasa jatuh, fasa stabil dan fasa naik. Apabila diteliti perubahan harga minyak sejak pengeluaran minyak secara komersial pada 1860-an, harga minyak kini berada di fasa naik. Pada jangka masa panjang, harga minyak bergerak dalam bentuk U kuadratik. Sejak 1860-an, harga minyak menurun sehingga tahun 1960-an dan 1970-an sebelum naik. Rata-rata pengkaji ekonomi minyak berpendapat harga minyak tidak akan turun lagi dalam jangka masa panjang. Dalam jangka masa pendek, harga minyak boleh turun naik mengikut keadaan pasaran.

Jadi, dalam situasi sekarang, memang harga minyak naik. Pendapat peribadi saya, memang subsidi minyak adalah satu bentuk pengacau keadaan pasaran. Seeloknya harga minyak dibiar mengikut kadar pasaran. Cuma, bagi keadaan ini berlaku, saya ada satu syarat. Kerajaan berkata, mereka tidak mampu menanggung subsidi yang begitu tinggi kerana harga minyak dunia adalah di luar kawalan kerajaan. Benar, kita tidak patut menyalahkan seseorang jika sesuatu itu berlaku di luar kawalan mereka. Tetapi, kerajaan sebagai pemerintah negara pasti mampu menyediakan sistem pengangkutan awam yang baik dan efektif. Maka, sekiranya kerajaan berhasrat menghapuskan subsidi, eloklah kerajaan bekerja keras memastikan sistem pengangkutan awam yang ada benar-benar baik. Pengangkutan awam dalam negara sudah pasti berada di bawah telunjuk kuasa kerajaan. Jika tidak, ia adalah kerajaan yang tidak efisien.

Secara peribadi, saya tidak kisah jika harga minyak melambung sehingga RM 5 seliter asalkan sistem pengangkutan awam elok. Apabila sistem pengangkutan awam elok, maka kerajaan sudah melaksanakan sebahagian tanggungjawab memudahkan rakyat bergerak. Sekiranya rakyat tetap mahu menggunakan kenderaan persendirian, maka mereka perlu membayar harga minyak yang tinggi. Seolah-olah denda kerana tidak mahu menggunakan sistem pengangkutan awam yang hebat. Juga sebagai denda kerana mereka menambah pencemaran alam berbanding jika mereka menaiki kenderaan awam.

Seperti di Kanada, harga minyak ditentukan pasaran. Rakyat tidak marah kerana sistem pengangkutan yang dipantau kerajaan sangat baik, dan di sana tiada tol. Di Ottawa misalnya, rakyat boleh semak jam berapa bas seterusnya akan tiba melalui telefon atau internet, dan bas tiba tepat pada waktunya, jika berbeza pun disasarkan kepada empat minit sahaja. Oleh yang demikian, ramai yang suka menggunakan pengangkutan awam kerana mudah dan murah. Boleh bergerak ke mana sahaja.

Apa pun, ini sekadar pendapat peribadi saya sahaja.

Sunday, June 08, 2008

Minyak naik?! Part II

Dalam keadaan masyarakat yang masih terkejut dengan kenaikan mendadak harga minyak, ada baiknya kita muhasabah dan bersabar. Sesungguhnya orang-orang beriman, tatkala mereka ditimpa kesusahan mereka akan bersabar. Mereka akan ingat kepada Allah. Jangan biarkan emosi dan nafsu menguasai jiwa. Berfikir dan bertindak.

Pertama, kita perlu tahu bahawa harga minyak di pasaran dunia naik begitu tinggi sekali. Maka sudah pasti tempiasnya akan terkena kepada kesemua pengguna minyak. Dalam masa yang sama, jangan lupa, apabila harga minyak tinggi, maka negara-negara pengeksport minyak akan mengaut untung besar. Jual dalam kuantiti yang sama tapi dengan harga yang lebih tinggi, memang untung besar. Persoalan sekarang, bagaimana keuntungan tersebut hendak digunakan? Ada bermacam-macam cara, terpulang kepada yang berkuasa. Boleh dilabur untuk memastikan syarikat minyak lebih kaya, dan kerajaan boleh pungut cukai lebih banyak. Kemudian suka hati kerajaan untuk melaburkan pula cukai keuntungan tersebut untuk projek-projek pembangunan negara. Sudah pasti, dalam sebuah negara demokrasi, projek-projek ini sudah dipastikan terlebih dahulu untuk kemudahan rakyat juga. Jika wang tersebut disalurkan ke arah yang salah seperti perut-perut kroni, sudah pasti kerajaan itu akan tumbang. Percayalah perkara ini tidak mungkin berlaku dalam negara demokrasi, apatah lagi negara demokrasi Islam pula...?

Boleh juga negara yang mengeksport minyak itu menggunakan keuntungan tersebut untuk rakyat marhaen. Kita kena ingat, ada kerajaan yang menaikkan harga minyak tetapi beri subsidi dalam bentuk lain. Cukai jalan dipotong, rebet untuk mereka yang taat dengan membayar cukai jalan, dan bermacam-macam lagilah. Boleh juga jika kerajaan terus menerus memberi subsidi langsung agar harga minyak tidak naik, dan kerajaan ini akan menanggung beban yang berat pula. Tidak mengapalah kerana kerajaan itu wujud untuk kepentingan rakyat dan bukan sebaliknya.

Apa yang sudah berlaku tetaplah berlaku. Terpulang kepada masing-masing bagaimana menghadapi situasi ini. Yang penting, janganlah memperbodoh atau diperbodoh orang lain. Biarlah rebet yang diberi setimpal dengan kenaikan harga minyak. Harga minyak negara pengeksport minyak pula tidak patut dibanding dengan harga minyak negara pengimport minyak. Ubah gaya hidup pula sepatutnya ditujukan kepada pemimpin sendiri dan bukannya rakyat jelata yang miskin. Apa lagi yang mereka hendak berjimat kerana sebelum ini mereka sendiri memang berjimat. Jika benar pemimpin serius untuk menangani krisis ini, maka sama-samalah merasai keperitan hidup rakyat.

Ingat, jangan memperbodoh atau diperbodoh. Bacalah dua artikel berikut, pertama mengenai keuntungan negara akibat kenaikan harga minyak oleh mantan Perdana Menteri, Y.A.Bhg. Tun Dr. Mahathir dan kedua tindakan yang sepatutnya diambil oleh pemimpin negara jika mereka benar-benar serius dalam menangani krisis harga minyak oleh Mufti Kerajaan Negeri Perlis, SS Dr. Mohd. Asri.

Hiduplah seperti berikut: Jika anda tidak suka dengan situasi baru sekeliling anda, ubah situasi. Jika tidak boleh, bersabar dan ubah diri anda agar sesuai dengan situasi baru. Bila ada peluang ubah situasi jangan disia-siakan.

Wednesday, June 04, 2008

Minyak naik?! Part I

Biasalah tu. Apa nak hairannya. Bukan boleh buat apa pun. Demonstrasi nanti jadi perhimpunan haram. Boikot stesen minyak nanti kena menapak atau kayuh gerek. Tukar naik pengangkutan awam? Selagi tiada improvement dalam pengangkutan awam di negara kita, mungkin anda akan dihambat rasa marah melebihi marah harga minyak naik.

Ubah gaya hidup? Atau ubah pangkah anda?

Tak tahulah. Yang tahu, hidup mesti diteruskan...