Saturday, December 20, 2008

Mesyuarat Alumni Tajdid ke-2 di Shah Alam

Seperti yang telah dijanjikan, hari ini merupakan pertemuan kali kedua bersama sahabat-sahabat daripada Alumni Tajdid. Pertemuan pertama telah diadakan pada bulan November bersama Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin sebelum beliau berangkat ke luar negara. Alhamdulillah, majlis berjalan lancar. Lebih kurang jam 12 tengahari majlis dimulakan dengan makan tengahari, diikuti Solat Zuhur berjamaah. Kemudian ada tazkirah pendek yang diberikan oleh Syeikh Aiman Yosof Al Dakkak. Secara ringkas, tazkirah menyentuh beberapa isu penting. Pertama, kami diingatkan agar senantiasa bersyukur kerana diberi peluang untuk berdakwah. Perlu diingatkan bahawa Islam itu tidak memerlukan kita untuk kuat kerana Islam itu tetap kuat tanpa kita, sebaliknya kita yang memerlukan Islam untuk kebaikan kita sendiri. Kedua, sesibuk mana sekalipun jangan lupa untuk menjaga ukhuwwah yang dibina sejak sama-sama menuntut di universiti. Perjumpaan bulanan seperti ini sangat baik untuk memastikan hubungan sedia ada terpelihara. Kemudian diikuti sesi soal-jawab ringkas. Selesai sesi soal-jawab, Syeikh Aiman beredar. Bermulalah sesi mesyuarat yang dipengerusikan oleh Pengerusi Alumni Tajdid. Mesyuarat tamat pada pukul 4 petang.

Thursday, December 18, 2008

Maryam and Prayer

Maryam sedia untuk solat...
* * * * *
Allahu Akbar!
Telekung ada buah strawberi dengan oren.
* * * * *
Maryam, orang rukuk pandang ke bawah, bukan kamera!

Pelarian? Kesiannya...

Semalam ada menonton rancangan 360. Nak dikata minat itu tidaklah, tetapi kadang-kadang rancangan 360 ada mengupas isu-isu kemasyarakatan yang kadangkala kita terlepas pandang atau terpinggir dari arus media perdana. (Tapi dulu ada orang tu minat sangat-sangat rancangan 360 ni, tak tau sekarang apa dah jadi).

Semalam isu pelarian. Malaysia tidak menandatangani Konvensyen Pelarian 1951 dan Protokol Pelarian 1967, menyebabkan Malaysia tidak mengiktiraf mana-mana pelarian dan pemohon suaka politik. Rancangan 360 antara lain mengupas isu warga Acheh yang diberi peluang mencari rezeki di Malaysia setelah negeri mereka dilanda bencana tsunami pada Disember 2004. Kemudian disentuh pula isu pelarian Rohingya dari Myanmar yang terpaksa berhijrah ke Malaysia disebabkan kemelaratan hidup. Antara yang menarik ialah apabila berlaku kontra antara pegawai UNHCR Malaysia (Suruhanjaya Bangsa-bangsa Bersatu untuk Pelarian) dan Ketua Pengarah Imigresen Malaysia. Menurut UNHCR, pelarian yang berada di Malaysia perlu mendaftarkan diri dengan mereka. Setelah didaftarkan, mereka akan diberi kad UNHCR dan boleh menggunakan kad tersebut untuk urusan mendapatkan pekerjaan dan lain-lain. Tetapi KP Imigresen menyatakan pelarian tidak dibenarkan sama sekali untuk bekerja. Status mereka tidak banyak beza dengan pendatang asing. Sekiranya mereka bekerja, maka mereka telah melakukan kesalahan sama seperti pendatang asing yang bekerja tanpa permit. Hanya pelarian Acheh diberi kelonggaran kerana negeri mereka dilanda bencana, maka atas dasar kemanusiaan kerajaan membenarkan mereka bekerja, itupun untuk tempoh empat tahun sahaja.

Hiba hati apabila mendengar rintihan pelarian Rohingya, anak-anak kecil tidak boleh bersekolah. Ibu bapa pula tidak boleh bekerja. Habis, bagaimana agaknya mereka hendak meneruskan hidup? Ibu bapa terpaksa menanggung risiko bekerja haram, dengan mencari kerja 3D (dirty, dangerous, demeaning) yang sememangnya tidak disukai rakyat Malaysia. Jika ditangkap, mereka boleh dikenakan hukuman penjara.

Mungkin sudah tiba masa bagi Malaysia belajar dari Pakistan. Pakistan, walaupun sebuah negara kacau bilau dan mundur, diiktiraf sebagai negara terbaik di dunia dalam melayani pelarian. Sekiranya kita membenarkan pelarian berada di negara kita, mana mungkin kita tidak membenarkan mereka bekerja. Sekiranya kita tidak mahu mereka bekerja, maka jangan dibenar mereka tinggal, sebaliknya terus hantar pulang ke negara asal. Sangat tidak logik kalau kita benarkan pelarian tinggal di negara kita, kemudian kita larang mereka dari pekerja. Bagaimana mereka mahu hidup?

Kita juga selalu mengadu pelbagai masalah sosial dan keselamatan yang wujud disebabkan kehadiran warga asing, termasuk pelarian. Kemudian, adakah patut kita melarang anak-anak mereka daripada bersekolah? Pastinya tanpa pendidikan yang sempurna, anak-anak ini akan membesar dalam suasana tidak baik. Mereka akan mudah terdedah kepada kegiatan jenayah dan tidak bermoral. Lainlah jika mereka menghabiskan masa di sekolah.

Ada juga yang bersikap patriotik, jika pelarian diberi peluang tinggal di negara ini, kesetiaan mereka tetap kepada negara asal. Segala hasil titik peluh pekerjaan mereka, akan dihantar pulang ke negara asal. Satu hari kelak mereka juga akan pulang ke negara asal apabila keadaan mengizinkan. Pun begitu, apabila mereka bekerja dan tinggal di negara kita, bukankah mereka akan membeli keperluan harian dari penjual-penjual di negara kita? Makanan mereka, pakaian mereka, perabot rumah mereka, dari mana mereka mendapatkannya? Apabila bertambahnya penduduk sesebuah negara, kegiatan ekonomi akan bertambah rancak. Kenakan cukai kepada pelarian yang sudah kaya. Bukankah itu satu pulangan buat kerajaan? Lagi pula tiada rakyat yang suka akan pekerjaan 3D itu, beri saja pada pelarian.

Kita marah apabila ada orang melayan rakyat kita di negara asing dengan biadap. Sudahkah kita melayan pelarian yang kesusahan meminta bantuan dengan penuh kemanusiaan? Pelarian tidak semesti membawa kesan negatif. Jangan lupa bahawa ekonomi Jordan melonjak naik setelah negara itu dengan terbuka menerima pelarian Palestin akibat krisis Israel-Palestin suatu ketika dahulu.

Wednesday, December 17, 2008

Sepandai-pandai Aiman terbang...

Anakku terbang tinggi!
Menerjah langit angkasa
Menyelam lautan dalam
Meneroka hutan belantara
Menyingkap rahsia alam
Mengisi ilmu di dada
Buat mengenal Tuhan Pencipta
Agar terbit syukur di jiwa
Sabar meniti kehidupan
Berpaksi al-Quran dan al-Sunnah
Mulia dan perkasa.

* * * * *
Sepandai-pandai Aiman terbang...
* * * * *
...akhirnya jatuh ke dalam bola-bola juga. * * * * *
Terima kasih buat auntie Wati, auntie Ima dan tak lupa thank you auntie Ana!

Tuesday, December 16, 2008

Maryam and Bubbles!

Pada hari ini, Maryam sudah boleh meniup belon buih sendiri. * * * * *
Dan meniup sejenis tiupan yang biasa ditiup pada majlis keraian yang baba sendiri tak tahu apa namanya. * * * * *
Tahniah buat Maryam Muhammad Irwan.

Sunday, December 14, 2008

Kijal oh Kijal

Sekitar 2:00 petang kami tiba di Seberang Takir untuk menziarahi kerabat di sana. Tidak lama kami di sana, sekadar melepas rindu dan berkongsi khabar sambil melawat yang uzur. Cuaca yang cerah memudahkan perjalanan kami di sepanjang jalan pantai Negeri Terengganu menuju Selatan. Lebih kurang jam 5:00 petang kami tiba di Awana Kijal, dan terus berehat melepaskan lelah. Makan malam sekadar tapau di Restoran Zara's yang terletak di luar hotel. Tidak banyak aktiviti di Kijal. Jalan-jalan ke perkampungan nelayan seperti Meraga Beris dan Pekan Kijal yang tenang, Mesra Mall yang anggun dan hebat dengan medan selera yang sangat selesa, pantai Kijal dan kolam mandi hotel yang membiru. Dua malam kami di sana. Servis dan layanan yang diterima dair staf hotel sangat memuaskan dan layak dipuji.

Pagi Ahad jam 10:30 pagi kami bergerak meninggalkan Kijal untuk pulang ke Kuala Lumpur. Dalam perjalanan sempat singgah sebentar di Hai Ping Kopitiam yang terkenal di Bandar Chukai, Kemaman untuk minum pagi. Tiba di Taman Tun Dr. Ismail sekitar 2:30 petang. Alhamdulillah.

Saturday, December 13, 2008

Jalan-jalan di Kota Bharu

4 hari 3 malam di Kota Bharu. Dari rumah keluarga Tok Ayah di Jalan Bayam, kami kembali meneroka keistimewaan Kota Bharu. Seakan-akan masih banyak keinginan di hati untuk berjalan-jalan, biarpun telah banyak kali kami jejaki pelbagai ceruk kota. Antaranya ialah Pasar Besar Siti Khadijah, Restoran Four Seasons di Jalan Dusun Raja, Pasar Kubang Pasu, Restoran New Horizon di persimpangan Jalan Kuala Krai-Pasir Hor, Restoran Nasi Sumatera di Jalan Gajah Mati, Restoran Nasi Kukus Zieman di Jalan Belakang Istana, Restoran Yati Ayam Percik di Jalan Long Yunus, Warung Roti Tempayan, dan Restoran Satay Malaysia di Jalan Pengkalan Chepa. Pun kali ini kami tidak dapat mengunjungi beberapa tempat kebiasaan seperti Pasar Malam Wakaf Che Yeh, Kopitiam White House berhampiran Istana Balai Besar, Warung Pagi Nasi Berlauk di Jalan Dato' Lundang dan Pasar Berek 12. Ada juga beberapa tempat baru yang kami jejaki, seperti kedai-kedai alat permainan di Jalan Kebun Sultan dan Jalan Dato' Perdana dan Kopitiam Hayaki di persimpangan Jalan Kebun Sultan-Kebun Raja untuk mendapatkan wifi percuma. Ada juga yang sering berkunjung ke kawasan Jalan Pintu Pong-Padang Garong untuk membeli-belah. Sempat juga melihat kemeriahan warga kota membuat persiapan mendengar ceramah Tok Guru Menteri Besar di kawasan Medan Ilmu.

Jumaat 10:30 pagi kami bergerak secara konvoi ke arah Pasir Puteh menuju destinasi seterusnya, Kuala Terengganu sebelum meneruskan perjalanan ke Kijal.