Monday, June 08, 2009

Isu Selawat

Mungkin ada yang kehairanan apabila banyak di antara lagu-lagu selawat yang ada di pasaran saya kurang menggemarinya. Bukan apa, dah nasyid selawat - apa salahnya, kan? Bukannya lagu tak senonoh. Ada bermacam selawat di pasaran sekarang, selawat tafrijiyah, selawat syifa', selawat badariyah, macam-macam lagilah.

Begini. Tatkala Rasulullah sallallahu 'alayhi wasallam hidup, baginda ada mengajarkan para Sahabah bagaimana untuk berselawat kepada baginda. Biasalah, jika berasal dari Rasulullah maka perkara tersebut adalah ringkas dan mudah, agar mudah pula umatnya berselawat.

Selawat-selawat lain ini datang selepas baginda. Banyak di antaranya yang tidak diajar oleh baginda, tetapi dikarang oleh pakar-pakar bahasa sebagai tanda hormat dan sayang kepada baginda. Jadi gaya bahasanya lebih puitis sehingga banyak yang digubah menjadi nasyid.

Jadi, sekarang kita ada dua pilihan. Ada selawat yang Rasulullah ajar, ada pula selawat yang digubah oleh pakar-pakar terkemudian. Mana satu yang anda nak pilih?

Terpulanglah kepada anda. Saya? Sudah tentu saya lagi suka selawat yang Rasulullah sendiri ajar. Biarpun ringkas dan mudah, tapi saya yakin ganjaran pahalanya berlipat kali ganda sebab selawat tu Rasulullah sendiri yang ajarkan.

Jadi, kenapa bila duit kita suka nak pilih yang banyak - tetapi pahala selawat kita pergi pilih selawat yang kurang utama pula? Saya pasti selawat yang diajar Rasulullah itu lebih utama dari pelbagai selawat yang ada di pasaran sekarang...

ESQ dan Wali Songo

Kenapa saya agak anti terhadap Wali Songo?

Sebenarnya, saya menghormati Wali Songo atas jasa mereka menyebarkan Islam di Tanah Jawa. Mereka telah bersusah payah menghadapi pelbagai rintangan dalam memperjuangkan dakwah di jalan Allah. Semoga Allah membalas segala jasa baik mereka. Pun begitu, janganlah rasa kagum kita terhadap manusia menyebabkan kita menjadi ekstrem sehingga melewati batas Al-Quran dan Al-Sunnah.

Kehebatan Wali Songo seharusnya dilihat kepada kesungguhan dan kehebatan mereka berdakwah tatkala masyarakat Jawa masih menebal dengan pengaruh Hindu. Pada masa itu, Melaka telahpun Islam, sehingga ada kajian sejarah yang mengatakan ada di kalangan Wali Songo itu belajar agama Islam di Melaka sebelum pulang ke Tanah Jawa. Maka dakwaan ESQ bahawa Wali Songo berjasa menyebarkan Islam di Malaysia adalah salah. Perjuangan Wali Songo bermula di penghujung kekuasaan Majapahit sehingga tertegaknya kerajaan Islam Demak di Tanah Jawa.

Malang sekali kehebatan perjuangan dakwah Wali Songo ini seringkali ditenggelami dengan pelbagai kisah karut-marut yang dikaitkan dengan peribadi-peribadi mulia ini. Andai benar mereka memiliki beberapa kesaktian, itu adalah anugerah Allah buat mereka - dan mereka tidak perlu diagungkan disebabkan kesaktian tersebut, sebaliknya dimuliakan kerana perjuangan dakwah mereka dan usaha-usaha pembaharuan yang mereka lakukan dalam masyarakat. Lihat bagaimana Islam mengajar umatnya agar tidak mudah mengagungkan seorang hamba Allah yang diperjalankan di malam hari dari Makkah ke Baitul Maqdis terus ke langit, sebaliknya yang diagungkan adalah Tuhan yang memperjalankan hamba tersebut.

Sehingga sekarang, banyak kegiatan khurafat yang dilakukan di perkuburan Wali Songo. Kubur-kubur mereka dianggap sebagai tempat keramat, ada kelebihan dan tempat mengambil keberkatan. Saya percaya, andai Wali Songo itu bangun dari kubur, nescaya mereka akan melarang masyarakat daripada mengagung-agungkan kubur mereka - sebaliknya pergilah mengagungkan Allah.

Oleh kerana peribadi-peribadi mulia Wali Songo ini sangat mudah untuk disalahfahami dan diseleweng, saya lebih suka jika pihak ESQ dapat mengelakkan daripada menonjolkan mereka dalam kursus-kursus motivasi. Pihak ESQ menggunakan kisah Wali Songo untuk slot MCB "Perumpamaan," maka tidak sukar mencari ganti kisah lain yang lebih sesuai dan lebih layak untuk dijadikan teras slot ini.

Firman Allah:
[27] Dan demi sesungguhnya! Kami telah mengemukakan kepada umat manusia berbagai misal perbandingan dalam Al-Quran ini, supaya mereka mengambil peringatan dan pelajaran. [28] laitu Al-Quran yang berbahasa Arab, yang tidak mengandungi sebarang keterangan yang terpesong; supaya mereka bertaqwa. [29] Allah memberikan satu misal perbandingan: Seorang hamba lelaki yang dimiliki oleh beberapa orang yang berkongsi yang bertentangan tabiat dan kemahuannya; dan seorang hamba lelaki yang lain hanya dimilik oleh seorang sahaja; adakah kedua-dua hamba itu sama keadaannya (Tentulah tidak sama). Ucaplah: "Alhamdulillah" (sebagai bersyukur terhadap penjelasan soal tauhid itu) bahkan kebanyakan mereka (yang musyrik) tidak mengetahui (hakikat tauhid).
[Surah Al-Zumar, 39:27-29]

Bukankah Allah sendiri mengatakan bahawa Dia telah mengemukakan pelbagai perumpamaan dan perbandingan dalam Al-Quran, agar manusia mengambil peringatan dan pelajaran? Maka ambillah perumpaan yang sebegitu banyak dalam Al-Quran - nescaya terhindar dari sebarang kontroversi, bahkan itu yang lebih patut - kerana bersumberkan wahyu. Lebih baik dari perumpamaan Wali Songo - insya-Allah!

Saturday, June 06, 2009

MCB ESQ 165 - Beberapa point untuk difikirkan...

Dua minggu lepas, penulis berpeluang menghadiri kursus Mission & Character Building (MCB) ESQ 165 Angkatan ke-5 Kuala Lumpur bertempat di MATRADE, Jalan Duta pada 23-24 Mei 2009. Sehingga kini, ada beberapa perkara yang ingin dikongsi bersama.

Kursus MCB ini hanya selama dua hari, di mana fokus kursus adalah untuk membantu individu dan organisasi membina matlamat dan peribadi berdasarkan dua rukun Islam yang pertama, iaitu Syahadatain dan Solat. Syahadatain sepatutnya mengingatkan kita senantiasa bahawa hidup di dunia ini mempunyai satu misi utama, iaitu pertemuan dengan Pencipta kita di syurga. Sedangkan Solat, dengan segala faedah dan manfaat yang terkandung padanya, yang diamalkan setiap hari berulang-ulang sepatutnya telah dapat membentuk sikap dan peribadi yang sangat membekas dalam hati dan diiringi dengan amal perbuatan hasil sikap dan peribadi tersebut.

Memang menarik. Pun begitu, ada beberapa perkara yang sangat perlu diberi perhatian.

Pada hari kedua, ada satu sesi di mana trainer akan mengetengahkan isu perumpaan yang dijadikan panduan buat manusia berilmu. Dalam erti kata lain, hanya orang berilmu yang dapat memahami segala jenis perumpaan. Ini nampak selari dengan firman Allah mengenai perumpamaan-perumpamaan yang Allah berikan, hatta perumpamaan nyamuk sekalipun pasti dipercayai oleh orang beriman. Cuma, sayang sekali ESQ 165 tidak mengambil contoh-contoh perumpamaan yang ada dengan banyak dalam Al-Quran dan hadith-hadith Rasulullah sallallahu 'alayhi wasallam. ESQ 165 lebih suka mengambil kisah Wali Songo dari Tanah Jawa yang dikatakan sangat berjasa dalam membawa Islam ke kepulauan Nusantara termasuk Tanah Melayu. Ini adalah satu kesalahan fakta sejarah. Islam datang ke Tanah Melayu bukannya hasil kerja dakwah Wali Songo. Wali Songo hanya terkenal di Tanah Jawa, dan banyak pula kisah karut marut yang dikaitkan dengan keramat dan kehebatan sembilan orang wali ini. Tidak kisahlah sama ada kekeramatan tersebut benar atau tidak, yang pasti dakwah Rasulullah tidak pernah menekankan kehebatan seseorang individu sebagai daya tarikan utama dakwah. Rasanya tidak perlu mengetengahkan kisah Wali Songo di Malaysia, kerana Islam datang ke Malaysia bukannya dengan dakwah Wali Songo.

Kemudian yang paling mengejutkan, ESQ 165 telah mengambil contoh dialog wayang kulit persembahan Wali Songo dalam berdakwah. Penulis masih ingat dialog antara Raja dan Pak Dogol, apabila Raja kurang faham mengenai agama yang diseru Pak Dogol. Pak Dogol memberitahu Raja bahawa Tunggal Sayang (Tuhan) itu tidak dapat dilihat dengan mata zahir, tetapi hanya dilihat dengan mata hati, dan Tunggal Sayang itu sebenarnya ada dalam hati setiap kita. Ini terang lagi jelas menyeru kepada fahaman Wahdatul Wujud yang sesat! Bukankah ada banyak contoh perumpamaan lain yang boleh diambil dari Al-Quran dan hadith-hadith yang sahih! Memanglah perumpamaan yang dibawa Wali Songo itu terpaksa berbaur fahaman sesat kerana keadaan masyarakat yang masih menebal dengan falsafah Hindu, cuma keadaan sekarang masyarakat telah lama meninggalkan falsafah Hindu, mengapa pula contoh lama juga yang ditonjolkan? Penulis sangat berharap agar pihak ESQ menukar dialog dan contoh wayang kulit, sebaliknya ambillah banyak ayat-ayat Al-Quran, hadith-hadith Rasulullah dan kisah-kisah Sahabat dan Tabi'in yang lebih sesuai dan lebih layak dijadikan contoh perumpamaan berbanding kisah Wali Songo dan wayang kulit yang tidak seberapa.

Kemudian, ditonjolkan pula lagu 'Lir Ilir' karangan salah seorang Wali Songo dalam Bahasa Jawa. Seingat penulis, sekurang-kurangnya tiga kali lagi tersebut dimainkan terus menerus sepanjang hari kedua kursus, di mana para peserta diseru untuk sama-sama menyanyikan lagu tersebut. Setiap kali lagu tersebut dimainkan, setiap kali itulah penulis keluar kerana berpendapat lagu tersebut sangat tidak sesuai dengan konteks Islam di Malaysia, ditambah pula dalam Bahasa Jawa - hanya membuang masa! Carilah lagu tradisional lain yang lebih bersifat keMalaysiaan dana dalam masa yang sama ada unsur-unsur patriotisme dan semangat.

Harapan penulis, mintalah ESQ buang sahaja kisah wali Songo untuk kursus MCB di Malaysia, gantikan dengan perumpaan dari Al-Quran atau hadith-hadith. Lagu 'Lir Ilir' pun patutnya dihentikan. Lebih baik menonjolkan kisah Rasulullah dan para Sahabat berbanding kisah Wali Songo.

Satu lagi, penulis mendapat maklumat bahawa dalam kursus Basic Executive ESQ 165 yang baru, segala nasihat dan teguran yang diberi oleh Ustaz Zaharuddin Abdul Rahman telah ditinggalkan. Praktis-praktis sebelum ini yang ditegur oleh beliau nampaknya hanya diikut sekali pada kursus berikutnya, namun kemudian telah ditinggalkan. Hairan! Pada penulis, nampak seolah-olah pihak ESQ 165 cakap tak serupa bikin. Meminta 'ulama menegur kerana mendakwa mereka tidak ada ilmu agama dan minta dibetulkan jika salah, tetapi bila ditegur hanya sekali saja dipatuhi, kemudian telah ditinggalkan. Mengajak para peserta mengamalkan zero mind process agar hati terbuka menerima nasihat dan macam-macam lagi, tapi nampaknya pihak ESQ sendiri tidak berbuat sedemikian. Apakah mereka tidak takut ancaman Allah terhadap mereka yang cakap tak serupa bikin?

Sehingga pihak ESQ 165 kembali memerhatikan segala teguran yang diberi oleh Ustaz Zaharuddin Abdul Rahman, Seri Negara dengan ini menarik kembali dorongan agar pembaca sertai kursus ini.

Friday, May 29, 2009

Chicken a la Carte - Berderai air mata...

Kebiasaannya melihat insan ketawa lain akan menyebabkan timbul rasa bahagia dan ingin turut sama ketawa kerana berkongsi kegembiraan. Tetapi bila melihat video di bawah, semakin melihat insan-insan tersebut ketawa, semakin deras pula air mata mengalir. See it for yourself! Inilah suara-suara yang jarang mendapat perhatian manusia. Walaupun sedemikian melarat, mereka tidak lupa berterima kasih kepada Tuhan atas nikmat yang diterima. Sedangkan kita yang bertuah menerima pelbagai jenis nimkat jarang sekali bersyukur...


Chicken a la Carte : Director: Ferdinand Dimadura | Genre: Drama | Produced In: 2005

Synopsis: This film is about the hunger and poverty brought about by Globalization. There are 10,000 people dying everyday due to hunger and malnutrition. This short film shows a forgotten portion of the society. The people who live on the refuse of men to survive. What is inspiring is the hope and spirituality that never left this people.

Wednesday, May 27, 2009

Takaful Ikhlas

Tadi adalah perjumpaan kali kedua bersama Afyan, sahabat sewaktu masih sama-sama menuntut di UIAM. Afyan kini menjadi agen Takaful Ikhlas. Dua minggu lepas adalah perjumpaan pertama kami di mana Afyan telah menerangkan dua produk Takaful Ikhlas, iaitu Medical Card dan Takaful Savings. Untuk Medical Card, penulis telah mengambil polisi dengan Lonpac Insurance sejak Oktober tahun lepas. Setelah Afyan sendiri melihat jadual manfaat Lonpac, katanya jadual manfaat Lonpac lebih menarik dan murah berbanding Takaful Ikhlas. Cuma beza ketara ialah dengan Lonpac, sekiranya pelan kesihatan menyatakan had bilik hospital RM 220 semalam untuk twin-sharing, kalau nak tukar kepada bilik single yang berharga RM 450 maka pesakit perlu bayar 20% daripada jumlah keseluruhan bil. Walhal dengan Takaful, pesakit hanya perlu top-up bilik dengan duit sendiri.

Walau bagaimanapun, selepas mendengar penerangan Afyan dan membaca di internet, baru benar-benar sedar akan kepentingan untuk melanggan perlindungan takaful. Ini disebabkan penulis seorang sahaja bekerja dan perlu menanggung keluarga. Sekiranya berlaku sesuatu yang tidak diingini kepada penulis, maka kemungkinan keluarga akan menanggung beban kerana hilang sumber kewangan. Oleh itu, penting bagi mereka yang memiliki banyak tanggungan yang tiada sumber pendapatan untuk mendapatkan perlindungan takaful. Bagi yang ditanggung tidaklah penting sangat untuk mendapatkan skim perlindungan takaful.

Penerangan mengenai skim-skim takaful pastinya telah banyak ada di internet. Posting ini sekadar satu seruan untuk menggalakkan semua pembaca yang memiliki tanggungan tanpa punca pendapatan untuk mendapatkan perlindungan takaful. Seperti yang Afyan terangkan, tujuan utama takaful bukanlah untuk pelaburan, tetapi yang lebih mustahak ialah perlindungan.

Boleh ziarah Afyan di laman web beliau: www.afyan.com dan laman web Takaful Ikhlas di: http://www.takaful-ikhlas.com.my/

Wednesday, May 13, 2009

ESQ 165: Buang yang keruh, ambil yang jernih

Berdasarkan komentar Ustaz Zaharuddin Abdul Rahman dan pengalaman penulis ketika hadir ke kursus ESQ 165, maka penulis berpendapat banyak kekurangan yang wujud pada kursus ESQ 165. Ini sebenarnya adalah sesuatu yang sukar dielakkan, kerana pastinya program-program motivasi kontemporari tidak dapat lari dari kekurangan. Tetapi janganlah kita lupa kepada kesan baik yang terhasil daripada program-program ini. Rata-rata mereka yang hadir ke ESQ 165 menunjukkan perubahan yang positif, lebih dekat kepada Allah dan mencintai-Nya. Seseorang yang tidak pernah peduli mengenai solat, kini mula rajin. Ini adalah satu perubahan yang besar dan kejayaan yang hebat bagi mereka, walaupun sebahagian manusia memandang remeh akan perubahan tersebut.

Neraca al-Quran dan al-Sunnah perlu digunakan tatkala menilai apa jua perkara, termasuklah kurus ESQ 165. Bagi penulis, setiap kekurangan pastinya perlu diukur bersama kesan buruk yang terhasil akibat kekurangan tersebut, dan reaksi yang diberi perlu berbeza mengikut kesan buruk tersebut. Kekurangan yang memudaratkan aqidah pastinya perlu dielak sama sekali. Kekurangan seperti kesalahan fakta atau penjelasan yang mengelirukan pastinya mudah untuk diperbetulkan. Penulis berpendapat bahawa segala kekurangan yang ada dalam kursus ESQ 165 tidaklah sampai ke tahap merosakkan aqidah dan menyesatkan masyarakat.

Walau bagaimanapun, terpulang kepada setiap manusia untuk membuat penilaian sendiri. Ada manusia yang apabila ada kurang sedikit, terus ditolak habis-habisan. Ada pula yang tersangat mudah mengubah pendirian mengikut arus. Bagi penulis, lebih baik jika kita timbang baik dan buruk dengan teliti. Sekiranya buruk tersebut tidak serius, eloklah kita ambil dan perbaiki apa yang tidak elok itu. Buanglah yang keruh, dan ambillah yang jernih.

Pendekatan yang sama penulis ambil terhadap sistem perbankan dan kewangan Islam sekarang. Memang ada banyak lagi kekurangan pada sistem perbankan dan kewangan Islam sekarang, tetapi adakah kita patut terus menolaknya hanya disebabkan kekurangan tersebut? Bukankah generasi dahulu telah bersungguh-sungguh menghasilkannya, maka kini menjadi tanggungjawab kita sebagai generasi masa kini untuk terus berusaha memperbaikinya.

ESQ 165 banyak kekurangan, maka adakah kita patut terus menolaknya? Sedangkan banyak kesan baik yang dapat kita lihat? Apatah lagi pihak ESQ 165 sendiri selalu meminta nasihat dan teguran untuk membetulkan segala kekurangan yang ada? Kaum kerabat penulis sendiri ramai yang hadir ke kursus ESQ 165 sebagai alumni seminggu selepas Ustaz Zaharuddin memberi teguran, dan mereka mengesahkan hampir kesemua teguran Ustaz Zaharuddin telah dilaksanakan. Bagi penulis, ini menunjukkan kesungguhan pihak ESQ 165 untuk memperbaiki program mereka agar selari dengan syarak.

Sesungguhnya ilmu yang kita miliki adalah nikmat dari Allah, tetapi nikmat ini tidak datang secara percuma. Ada tanggungjawab besar di sebalik ilmu yang kita miliki. Dengan ilmu yang ada, sepatutnya kita memperbaiki keadaan sekeliling. Bukannya terus-terusan menghukum sesuatu tanpa mengambil pendekatan dakwah secara proaktif. Apatah lagi apabila ada orang yang meminta khidmat jasa baik kita menilai dan memberi nasihat kepadanya. Seperti orang yang memiliki harta sebagai nikmat daripada Allah perlu bertanggungjawab sama-sama membantu fakir miskin, 'ulama yang dianugerahi ilmu perlu menggunakan ilmu tersebut memerangi kejahilan dan memandu masyarakat kepada kebenaran.

Penulis melihat banyak peluang untuk gerakan Sunnah sama-sama bekerjasama dengan ESQ 165 untuk berdakwah kepada masyarakat. ESQ 165 berjaya mencipta perasaan ingin beragama, perasaan ingin kembali kepada agama, perasaan mencintai Allah. Disebabkan itu rata-rata yang hadir ESQ 165, setelah pulang mereka akan bersemangat untuk beragama. Di situ wujudnya satu ruang kosong yang sepatutnya diisi oleh gerakan Sunnah. Bimbing mereka yang sangat bersemangat untuk beragama dengan manhaj Sunnah yang betul. Daulatkan al-Quran dan al-Sunnah. ESQ 165 tidak menyentuh bab-bab manhaj ini kerana seperti yang mereka katakan, mereka hanyalah pengendali program motivasi dan bukannya kelas agama. Maka peserta ESQ 165 akhirnya memiliki motivasi yang tinggi untuk beragama. Apabila mereka pulang, mereka akan bersemangat untuk belajar mengenai agama. Maka agama yang mereka dapati akan mengikut acuan sumber yang mereka ambil. Jika diambil dari Tareqat, jadi pengikut Tareqatlah dia. Jika diambil dari Jamaah Tabligh, jadi Tablighlah dia. Contoh lain, habis kursus ESQ 165, kesemua peserta akan menjadi bersemangat untuk solat - tetapi ESQ 165 tidak mengajar bagaimana untuk bersolat, bukankah jika ada kerjasama dengan gerakan Sunnah maka para peserta ini boleh didedahkan dengan Sifat Solat Nabi?

Bukankah bersahabat itu lebih baik daripada bermusuhan? Beginilah, kita tahu bahawa ESQ 165 ada kekurangan. Sama ada kita menolak, menentang atau menerima ESQ 165, kursus-kursus ESq 165 akan tetap berjalan dan menambat hati orang ramai. Kalau kita tolak dan tentang, maka ESQ akan kekal dengan segala kekurangan yang ada tatkala kursus mereka disertai orang ramai. Bukankah lebih baik jika kita menerima ESQ 165 dan memberi nasihat dan tunjuk ajar memperbetul segala kekurangan tersebut? Andai nasihat kita diterima, maka itu lebih baik buat masyarakat yang menyertai kursus ESQ 165.

Penulis tidak bermaksud untuk sungguh-sungguh mempertahankan ESQ 165 dengan penulisan ini, tetapi lebih kepada untuk memberi peringatan kepada diri penulis sendiri agar bersikap terbuka dalam berinteraksi dengan manusia lain. Terbuka dalam erti kata lebih suka mengambil manfaat dan membuang mudarat daripada terus membuang.

Wallahu a'lam.

ESQ 165 dan Kesahihan Fakta

Melihat pelbagai reaksi terhadap ESQ 165 kebelakangan ini, maka penulis ingin memberi sedikit komen. Pada pengamatan penulis, kursus ESQ 165 - seperti program-program motivasi lain, pastinya memiliki kekurangan-kekurangan. Ini adalah sesuatu yang sukar dielakkan dalam kehidupan. Jarang ada sesuatu perkara yang benar-benar sempurna dan elok.

Maka sebagai manusia, kita mempunyai banyak pilihan bagaimana untuk berinteraksi dengan keadaan seperti ini. Bagi penulis, apabila berhadapan dengan sesuatu yang tidak diketahui, eloklah kita selidik dahulu. Pastikan maklumat diperoleh daripada sumber yang terpercaya agar dapat membuat keputusan yang terbaik. Ini adalah perintah dari al-Quran yang menyuruh orang-orang beriman menyelidik sesuatu daripada sumber yang boleh dipercayai. Disiplin ilmu hadith turut mementingkan rangkaian perawi sesuatu perkara. Jika ada peluang untuk mendapatkan maklumat secara langsung daripada sumber asal, maka jangan dilepaskan peluang tersebut kerana maklumat secara langsung adalah lebih tepat. Apatah lagi peluang untuk sama-sama merasai atau melalui peristiwa tersebut. Bukankah apabila berlaku sesuatu bencana, mereka yang ditimpa bencana lebih tahu apa yang telah terjadi berbanding orang lain? Para Sahabah radiyallahu 'anhum yang sama-sama hidup dengan Rasulullah sallallahu 'alayhi wasallam - bukankah mereka yang lebih arif mengenai kehidupan baginda? Maka orang-orang yang hadir ke kursus ESQ 165 lebih tahu akan apa yang ada di sana berbanding orang lain yang tidak hadir, dan jika kita sendiri hadir, maka pastinya kita sendiri mengetahui apa yang ada di sana.

Oleh itu, sekiranya kita sendiri tidak tahu dan tidak pasti apa itu ESQ 165, dan tidak pula ada sumber-sumber yang dipercayai, lebih baik kita jangan berbicara mengenainya. Bukankah al-Quran memperingatkan bahawa setiap perkataan yang keluar dari lisan itu akan dipertanggungjawabkan?