Thursday, October 02, 2008

Solat Tahiyyatul Masjid sebelum Solat Hari Raya dan Khutbah Hari Raya

Pada pagi hari raya pertama, saya banyak menerima sms ucapan Eidul Fitri dari sahabat handai. Cuma ada seorang sahabat baik bertanyakan dua soalan mengenai solat Eidul Fitri.

Pengenalan 1

Soalan pertama ialah mengenai solat Tahiyyatul Masjid sebelum solat Eid. Pada zaman Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam, solat Eid kebiasaannya didirikan di kawasan lapang yang luas, bukan di masjid. Ini tidak pula bermakna solat Eid tidak boleh didirikan di masjid. Solat Eid boleh juga didirikan di masjid, cuma kebiasaan bagi Rasulullah ialah mengerjakan solat Eid di kawasan tanah lapang (disebut sebagai musolla dalam Bahasa Arab).

Dalil-dalil 1

Antara dalil-dalil yang menyatakan solat Eid ini didirikan di kawasan tanah lapang:

Pertama, menurut sebahagian ‘ulama, wanita haid tidak dibenarkan hadir menyertai upacara keagamaan di masjid, sedangkan untuk solat Eid, Rasulullah bersungguh-sungguh menyuruh wanita haid turut hadir untuk solat Eid (tanpa mengerjakannya, sekadar hadir dan turut serta bersama umat Islam lain). Tidak mungkin Rasulullah akan bersungguh-sungguh menyeru mereka sekiranya solat Eid didirikan di masjid, pastinya ia didirikan di kawasan lapang, di mana tidak salah bagi wanita haid untuk hadir sama.

Kedua, hadith daripada Abu Sa’id al-Khudri radiyallahu ‘anhu yang menyatakan Rasulullah keluar pada dua hari raya ke musolla dan mendirikan solat di sana (riwayat al-Bukhariy dan Muslim).

Ketiga, ada satu pendapat menarik daripada Ibn al-Hajj al-Maliki. Menurut beliau, Rasulullah pernah bersabda bahawa satu solat yang dikerjakan di Masjid Nabawi bersamaan dengan seribu solat di masjid lain kecuali al-Masjidil Haram. Walaupun solat di Masjid Nabawi memiliki kelebihan dan keutamaan yang begitu besar, Rasulullah tetap meninggalkan Masjid Nabawi dan keluar ke musolla untuk solat Eid.

Ini adalah amalan umat Islam pada generasi awalnya, melainkan apabila berlaku kepayahan seperti hujan dan sebagainya, barulah mereka akan solat Eid di masjid.

Sekiranya solat Eid dikerjakan di kawasan lapang, tidak ada apa-apa solat sebelum solat Eid mahupun selepasnya. Sesiapa yang hadir perlu terus duduk dan tunggu imam. Daripada Ibn ‘Abbas radiyallahu ‘anhuma: “Bahawasanya Nabi sallallahu ‘alayhi wasallam solat Eidul Fitri dua rakaat, dan baginda tidak mengerjakan apa-apa solat sebelumnya ataupun selepasnya.” (riwayat al-Bukhariy dan Muslim).

Namun begitu, pendapat Imam al-Syafi’e menyebut bahawa beliau menyukai sekiranya orang ramai memperbanyakkan solat sunat sebelum dan selepas solat Eid, dan hadith Ibn ‘Abbas adalah khusus untuk imam. Imam tidak boleh mengerjakan apa-apa solat sebelum atau selepas solat Eid. Makmum boleh. Beliau menggunakan dalil umum mengenai kelebihan mengerjakan solat-solat sunat.

Kesimpulan 1

Sekiranya solat Eid didirikan di kawasan lapang, tidak perlu solat Tahiyyatul Masjid. Sebaliknya, jika solat Eid didirikan di masjid, barulah dikerjakan solat Tahiyyatul Masjid. Perlu diingat bahawa solat Tahiyyatul Masjid itu sendiri terdapat perselisihan pendapat padanya, antara wajib dan sunat. Yang pasti, ia adalah tuntutan sunnah.

Pengenalan 2

Soalan kedua mengenai khutbah Eid, adakah ia seperti khutbah Jumaat di mana ada dua khutbah, atau satu sahaja.

Dalil-dalil 2

Al-Imam al-Syafi’e meriwayatkan daripada ‘Ubaydillah ibn ‘Abdullah ibn ‘Utbah ibn Mas’ud, katanya: “Sunnah ialah imam berkhutbah dua khutbah pada kedua-dua hari raya, dan memisahkan dua khutbah itu dengan duduk.” (Ma’rifat al-Sunan wa al-Athar dan Musannaf ‘Abd al-Razzaq).

Hadith-hadith yang menyatakan ada dua khutbah kesemuanya berasal dari jalan riwayat yang sama, iaitu akhirnya sampai kepada ‘Ubaydillah. Di dalam sanad ini, terdapat seorang perawi yang sedikit bermasalah tetapi tidaklah sampai mencacatkan darjat hadith, sekadar mencapai tahap maqbul (diterima) pada pandangan al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani. Perawi akhir sanad ini ialah ‘Ubaydillah, Mufti Madinah dan merupakan salah seorang dari tujuh Fuqaha’ terkemuka Madinah. Beliau adalah cucu saudara kepada ‘Abdullah ibn Mas’ud radiyallahu ‘anhu. Cuma masalahnya ialah beliau adalah dari generasi Tabi’in dan bukannya Sahabat. Sekiranya beliau dari generasi Sahabat, maka hadith ini walaupun tidak disebut oleh Rasulullah sendiri tetapi darjatnya adalah pada hukum marfu’, iaitu sama seperti perkataan Rasulullah sendiri disebabkan adanya dakwaan bahawa perkara itu ialah sunnah kerana Sahabat hidup sezaman dengan baginda. Tetapi apabila dakwaan ini datang daripada Tabi’in, masalah timbul kerana mereka tidak hidup pada zaman Rasulullah, jadi bagaimana mereka boleh tahu bahawa sesuatu perkara itu pernah dilakukan oleh baginda atau tidak? Oleh itu dakwaan Tabi’in mesti didapati daripada Sahabat, dan mereka perlu menyatakan daripada siapa mereka mendengarnya. Jika tidak, maka ia mungkin sekadar menjadi pandangan beliau berdasarkan ilmu pengetahuan yang beliau miliki.

Kesimpulan 2

Maka bagi mereka yang cenderung mengatakan hadith ini boleh diterima, maka buatlah dua khutbah. Bagi mereka yang cenderung mengatakan hadith ini lemah, maka cukuplah dengan satu khutbah. Adapun untuk mengatakan khutbah Eid sama seperti khutbah Jumaat mungkin kurang tepat disebabkan pelaksanaan khutbah itu sendiri berbeza, satu selepas solat dan satu lagi sebelum solat.

No comments: