Showing posts with label Fiqh. Show all posts
Showing posts with label Fiqh. Show all posts

Friday, October 30, 2009

Isu Ayam Sembelihan Mesin: Halal atau Tidak?

ISU
Teringat pula akan isu sembelihan ayam menggunakan mesin. Sebelum terlupa, baik dicatatkan sedikit sebanyak berkaitan isu ini. Di Ottawa, ada pembekal daging ayam halal yang menggunakan mesin untuk menyembelih ayam. Pekerja yang beragama Islam akan membaca 'bismilah' ketika menghidupkan mesin, dan ada pekerja-pekerja lain yang ditugaskan untuk memastikan kesemua ayam disembelih oleh mesin mengikut standard syarak. Cuma timbul isu kerana sesetengah umat Islam berpandangan sembelihan mesin tidak halal, sebaliknya sembelihan mesti dilakukan dengan tangan juga. Berikut ialah pendapat saya mengenai isu ini (ditegaskan ini ialah pendapat saya, anda berhak untuk tidak menerimanya sama sekali).

PENDAPAT
Pertama, pisau adalah alat yang digunakan untuk menyembelih. Maka sekiranya dengan teknologi yang ada, kita berjaya mereka satu pisau yang panjang, yang dapat menyembelih dua ekor ayam serentak dengan sekali lafaz bismilah, adakah seekor ayam sahaja yang halal, seekor lagi tidak halal? Kalau begitu, yang mana satu halal, yang mana pula yang tidak halal? Pastinya kedua-dua ayam tersebut halal. Bagaimana jika ada pisau yang lebih panjang, yang boleh menyembelih tiga ekor ayam serentak? 10 ekor? 100 ekor? Maka pisau hanyalah sekadar alat sembelihan, sama seperti mesin. Cukup dengan sekali lafaz 'bismilah' ketika menghidupkan mesin.

Kedua, perhatikan hadith dalam Sahih Muslim berikut:

Daripada Adi bin Hatim radiyallahu 'anhu, ia berkata: Aku bertanya: Wahai Rasulullah! Sesungguhnya aku melepas anjing-anjing pemburu yang terlatih lalu anjing-anjing itu pun menangkap buruan untukku dan aku sudah membaca bismillah? Beliau menjawab: Apabila kamu melepas anjingmu yang terlatih sambil menyebut nama Allah atasnya, maka makanlah! Aku bertanya lagi: Meskipun anjing itu membunuhnya? Rasulullah menjawab: Walaupun anjing itu sudah membunuhnya, selama tidak ada anjing lain yang menyertainya. Aku bertanya lagi: Sesungguhnya aku menombak hewan buruan dan berhasil mengenainya? Beliau menjawab: Apabila kamu menombaknya lalu menembus tubuhnya, maka makanlah. Tapi jika tombak itu mengenai dengan bagian sampingnya, maka janganlah memakannya
. [Sahih Muslim]

Maka, perhatikan bahawa seorang pemburu yang menggunakan anjing pemburuan yang terlatih, hanya perlu membaca bismilah ketika melepaskan anjing itu mengejar dan membunuh haiwan buruan. Perhatikan lagi bahawa walaupun haiwan buruan itu mati digigt anjing pemburuan, ia HALAL dimakan. Terdapat hadith-lain lain yang senada dengan hadith ini dalam Sahih Bukhariy dan lain-lain. Maka anjing pemburuan, pisau, tombak, kapak, anak panah dan alat lain adalah peralatan untuk membunuh haiwan, sama seperti mesin. Cuma lafaz bismilah mesti dibaca ketika melepaskan anjing pemburuan, melempar tombak atau menekan butang menghidupkan mesin.

Nota sampingan: Hanya haiwan yang dibunuh anjing pemburuan yang terlatih sahaja HALAL, anjing tidak terlatih tidak HALAL. Maka jika berburu dengan anjing, pastikan haiwan itu dibunuh oleh anjing terlatih sahaja.

Ketiga, nak juga dalil yang kata boleh guna mesin untuk sembelih? Perhatikan satu lagi hadith Sahih Muslim:

Dari Rafi' bin Khadij radiyallahu 'anhu katanya: Aku berkata: Wahai Rasulullah, kami akan menemui musuh esok sedangkan kami tidak mempunyai pisau. Rasulullah sallallahu 'alayhi wasallam bersabda: Segerakanlah atau sembelihlah dengan apa saja yang boleh menumpahkan darah dengan menyebut nama Allah, engkau boleh memakannya asalkan alat tersebut bukan gigi dan kuku. Aku akan nyatakan kepada kamu. Adapun gigi, ia adalah tulang manakala kuku pula adalah pisau orang Habsyah iaitu Ethiopia. [Sahih Muslim]


Okay, memang hadith di atas tidak menyebut mesin. Tetapi dibolehkan menggunakan selain pisau untuk menyembelih, asalkan alat itu dapat menumpahkan darah (kecuali gigi dan kuku tidak boleh). Seperti hadith sebelumnya dibolehkan membunuh haiwan dengan anjing pemburuan dan melempar tombak. Hadith dalam Sahih Bukhariy pula menyatakan boleh guna anak panah. Asalkan alat itu dapat menumpahkan darah, maka mesin sembelihan pastilah dapat menumpahkan darah ayam.

KESIMPULAN
Berdasarkan perkara-perkara yang telah saya sebutkan di atas, maka saya berpendapat bahawa sembelihan ayam dengan mesin adalah HALAL. Sekali lagi, ini adalah pandangan saya, maka saya boleh makan ayam sembelihan mesin. Anda berhak untuk tidak bersetuju, dan tidak makan ayam sembelihan mesin.

Thursday, August 06, 2009

Kasut Pigskin?

The following post is in Malay since I hope that it can clarify the issue of pigskin...

Penulisan berikut ialah pandangan peribadi penulis, terpulang kepada para pembaca untuk menerima atau tidak.

Isu kasut kulit khinzir ini telah sekian lama menjadi isu di kalangan masyarakat Islam, termasuk kaum kerabat penulis. Oleh itu, penulis berasa perlu untuk menulis agar keterangan mengenai isu ini akan dapat diperjelas.

Pertama sekali, isu kulit haiwan yang telah disertu atau disamak. Menjadi kebiasaan manusia untuk mengambil kulit haiwan yang telah mati, kemudian disertu dan dijadikan pelbagai barangan, daripada khemah, pakaian, kasut, tali pinggang, beg tangan dan lain-lain. Isu pertama yang perlu diperhatikan ialah boleh atau tidak mengambil kulit haiwan ini. Perhatikan dua hadith berikut yang nampak bertentangan.

Hadith pertama (hadith Maymunah radiyallahu 'anha): Bahawa Nabi sallallahu 'alayhi wasallam berjalan dan terjumpa bangkai haiwan, lantas baginda menyarankan kepada para Sahabah agar mengambil manfaat daripada kulit bangkai tersebut. [Riwayat al-Bukhariy, Muslim, Abu Dawud, al-Tirmidhi dan al-Nasa'ie].

Hadith kedua (hadith Abdullah Ibn 'Ukaym rahimahullah): Bahawa Rasulullah sallallahu 'alayhi wasallam pernah menulis surat melarang mengambil sesuatu manfaat daripada bangkai. Perintah ini dikeluarkan setahun sebelum kewafatan baginda. [Riwayat Abu Dawud, al-Tirmidhi, al-Nasa'ie].

Hadith Maymunah nampaknya seolah-olah Rasulullah membenarkan diambil manfaat dari kulit bangkai secara umum, iaitu walaupun belum disertu. Sedangkan hadith Abdullah ibn 'Ukaym pula nampaknya melarang sama sekali diambil manfaat dari kulit bangkai. Permasalahan ini boleh diselesaikan dengan hadith berikut:

Hadith ketiga (hadith Abdullah ibn 'Abbas radiyallahu 'anhuma): Bahawa Rasulullah sallallahu 'alayhi wasallam menyatakan bahawa apabila kulit telah disertu/disamak maka sucilah ia. [Riwayat Muslim, Abu Dawud, al-Tirmidhi dan al-Nasa'ie].

Hadith Abdullah ibn 'Abbas ini jelas menyatakan bahawa kulit yang telah disertu adalah suci. Masih lagi terdapat khilaf di kalangan 'ulama tentang tafsiran hadith-hadith ini. Penulis suka dengan pendapat golongan 'ulama yang menyatakan bahawa sebenarnya ketiga-tiga hadith ini tidak bertentangan. Hadith Abdullah ibn 'Ukaym sebenarnya melarang mengambil manfaat dari kulit bangkai yang belum disertu, sedangkan hadith Maymunah menyarankan diambil kulit bangkai, disertu terlebih dahulu dan barulah diambil manfaat. Ini semua seperti yang terdapat dalam hadith Abdullah ibn 'Abbas.

Kesimpulan Pertama: Kulit bangkai selagi belum diseru maka tidak suci - ini ialah pendapat yang disepakati.

Setelah disertu, adakah ia suci? Mari kita perhatikan pandangan mazhab-mazhab Ahlussunnah wal Jamaah. Peringatan: Mazhab-mazhab Ahlussunnah tidak terhad kepada yang empat sahaja.

Mazhab Ahmad ada dua pandangan. Satu mengatakan sekiranya haiwan tersebut suci ketika hidup, maka sucilah kulitnya setelah disertu. Pandangan kedua Mazhab Ahmad mengatakan kulit bangkai tidak suci walaupun setelah disertu.

Mazhab Malik mengatakan kulit bangkai juga tidak suci walaupun setelah disertu, kecuali sekiranya kulit tersebut disertu dan dijadikan kantung barang atau air. Kulit khinzir langsung tidak boleh.

Mazhab Auza'ie, Abdullah ibn al-Mubarak, Abu Tsaur dan Ishaq ibn Rahawayh mengatakan sekiranya haiwan itu halal dimakan dan telah disembelih mengikut syarak, barulah kulitnya boleh disertu.

Mazhab Syafi'e mengatakan kesemua kulit bangkai yang disertu adalah suci kecuali kulit khinzir dan kulit anjing.

Mazhab Hanafi mengatakan kesemua kulit bangkau yang disertu adalah suci kecuali kulit khinzir.

Mazhab Zahiri dan anak murid Abu Hanifah, Imam Abu Yusuf (Qadi Besar Baghdad pada zaman pemerintahan Khalifah Harun al-Rasyid) pula berpandangan bahawa kesemua kulit apabila disertu adalah suvi, termasuk anjing dan khinzir.

Maka kesemua di atas adalah pandangan-pandangan mazhab yang masih dilingkungi dalam golongan Ahlussunnah wal Jamaah. Sekarang mari kita cuba perhatikan pandangan mereka.

Berdasarkan hadith Abdullah ibn Abbas, lafaz yang digunakan Rasulullah sallallahu 'alayhi wasallam yang mengatakan kulit apabila disertu menjadi suci adalah UMUM. Baginda hanya menyatakan kulit, maka pada pandangan penulis ia termasuk kesemua jenis kulit kerana baginda tidak menyatakan apa-apa pengecualian. Pendapat sebahagian mazhab yang membuat pengecualian ke atas bangkai haiwan yang tidak halal dimakan tidak tepat kerana tiada larangan yang jelas menyebut hanya kulit haiwan yang halal dimakan. Sama juga dengan anjing dan khinzir. Tidak ada sebarang dalil yang jelas mengatakan kulit anjing dan kulit khinzir tidak suci apabila disertu. Yang ada hanyalah pandangan imam-imam mazhab yang mulia, oleh kerana jilatan anjing perlu dibasuh tujuh kali dan khinzir adalah haiwan yang lebih teruk dari anjing, maka imam-imam ini berpendapat kulit anjing dan kulit khinzir tidak boleh disucikan sama sekali. Dan ini hanyalah pendapat tanpa dalil yang jelas menyatakan sedemikian.

Mari kita perhatikan pendapat al-Imam al-Syaukani (penulis Kitab Naylul Awthar). Beliau menyatakan bahawa pandangan Mazhab Zahiri dan Abu Yusuf adalah yang lebih tepat (rajih) kerana hadith-hadith mengenai sertu kulit bangkai menjadi suci tidak membezakan antara anjing, khinzir dan haiwan-haiwan lain. (Kesemua hadith-hadith tersebut hanya menyatakan bahawa kulit bangkai apabila disertu sucilah ia). Antara hadith-hadith tersebut ialah hadith Abdullah ibn 'Abbas: Rasulullah sallallahu 'alayhi wasallam bersabda: "Apa-apa kulit yang disertu menjadi suci" [Riwayat Muslim]; hadith 'Aisyah radiyallahu 'anha: Nabi sallallahu 'alayhi wasallam memerintahkan agar kulit bangkai disertu dan diambil manfaat darinya; dan satu lagi hadith 'Aisyah yang diriwayatkan oleh al-Daruqutniy: "Kesemua jenis kulit menjadi suci apabila disertu."

Kesimpulan Kedua: Mengatakan kulit khinzir dan anjing yang telah disertu menjadi suci adalah pandangan yang tidak terkeluar daripada Mazhab Ahlussunnah. Bahkan menurut al-Imam al-Syaukani itulah pendapat yang lebih tepat. Maka sekiranya anda ingin memakai kasut pigskin, dipersilakan. Cuma janganlah pula memaksa mereka yang tidak mahu (kerana tetap berpendapat ia najis, tidak suci; atau mereka yang mengatakan ia suci tetapi tidak mahu memakai kerana tidak sanggup). Yang mengatakan najis pula janganlah memaksa pendapat ini ke atas orang lain yang tidak sependapat.

Pandangan peribadi penulis, tidak ada selera untuk pakai kasut pigskin. Tetapi kalau tanya hukum, penulis berpendapat boleh.

Wallahu A'lam.

Thursday, February 19, 2009

Bangun Pagi Gosok Gigi

Bangun Pagi Gosok Gigi

C Cuci Muka Terus Mandi

Pakai Baju Minum Susu

C Salam Ayah Dan Ibu

Azam saya ialah untuk senantiasa membersihkan gigi sebagai memenuhi tuntutan sunnah dan menjaga kesihatan gigi!

Bersiwak atau bersugi. Dalam bahasa moden disebut gosok gigi atau berus gigi di Malaysia dan sikat gigi di Indonesia. Jika zaman dahulu kayu sugi digunakan, pada zaman kini ubat gigi atau pasta gigi lebih popular.

Bersiwak sangat dituntut dalam Islam, terutama ketika berwuduk dan hendak menunaikan solat. Disebut dalam hadith-hadith yang masyhur yang sahih bahawa Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam hampir-hampir mewajibkan perintah bersiwak kepada umatnya ketika berwuduk dan solat. Cuma disebabkan sifat baginda yang tidak mahu menyusahkan umat maka baginda tidak jadi mewajibkannya. Maka bersiwak sangat-sangat dituntut ketika wuduk dan solat. (Riwayat al-Bukhariy, Muslim, Ahmad dan lain-lain)

Bersiwak juga dituntut ketika hendak membaca al-Quran. Diriwayatkan dalam hadith bahawa apabila seseorang itu bangun untuk menunaikan solat, akan datang malaikat berdiri di belakangnya mendengar bacaan al-Quran dan menghampirinya, begitu hampir sehinggalah malaikat itu meletakkan mulutnya di atas mulut orang itu. Maka orang itu akan membaca al-Quran dari dalam malaikat. (Riwayat al-Bayhaqi, sahih lighayrihi menurut al-Albaniy)

Begitu juga tatkala masuk ke dalam rumah. Diriwayatkan ‘A’isyah radiyallahu ‘anha pernah ditanya mengenai perkara pertama yang dilakukan Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam apabila baginda masuk ke dalam rumah, dan jawapannya ialah bersiwak. (Riwayat Muslim).

Bersiwak dituntut apabila seseorang itu bangun dari tidur untuk solat malam. Daripada Huzayfah radiyallahu ‘anhu bahawa Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam apabila bangun untuk solat malam baginda akan bersiwak. (Muttafaqun ‘alayhi).

Mudah-mudahan dapat dipraktikkan bersama. Maryam dan Aiman, gigi dah ada, bila nak mula bersiwak ni?

Sunday, February 01, 2009

Ganjaran Membunuh

Sewaktu kecil dulu, apabila ke masjid, orang tua-tua selalu pesan suruh bunuh cicak. Nanti dapat pahala. Jadi masing-masing kalau ke masjid mesti bawa tali getah banyak-banyak untuk lastik cicak. Apbila ditanya, kenapa bunuh cicak dapat pahala, pelbagai jawapan yang diterima. Antara jawapan yang pernah diberi ialah tatkala Rasulullah sallallahu 'alayhi wasallam bersembunyi di Gua Tsur bersama Abu Bakr radiyallahu 'anhu, cicak mengeluarkan bunyi bising seolah-olah ingin memberitahu kepada kuffar Quraisy bahawa mereka berdua ada bersembunyi di dalam gua.

Setelah meningkat dewasa, alasan yang lebih kukuh dicari kenapa haiwan seperti cicak ini perlu atau boleh dibunuh, bahkan pembunuhan yang mendapat pahala pula. Rupa-rupanya memang terdapat hadith-hadith sahih yang menyeru kepada pembunuhan cicak. Bahkan pahala membunuh cicak ini berbeza, sesiapa yang pukul dahulu ganjaran pahalanya lebih besar daripada orang yang membuat pukulan selepasnya. Rasulullah sallallahu 'alayhi wasallam menyebut cicak sebagai pembuat kerosakan di muka bumi, tatkala Nabi Ibrahim 'alayhissalam dibakar, kesemua haiwan berusaha untuk memadamkan api kecuali cicak yang meniup untuk menyemarakkan lagi api yang membakar baginda. Untuk mendapat jawapan yang lebih detail mengenai pembunuhan cicak, boleh rujuk di pautan berikut:


Nak tengok gambar cicak (wizghah) yang disebut dalam hadith-hadith itu? Saya jumpa di laman web ensiklopedia binatang Kuwait. Keterangan dalam Bahasa Arab, tapi ada gambar cicak. Menurut ensiklopedia tersebut, cicak dalam hadith-hadith tersebut merujuk kepada bunopus tuberculatus. Klik pautan berikut:


Wallahu a'lam.

Thursday, October 02, 2008

Solat Tahiyyatul Masjid sebelum Solat Hari Raya dan Khutbah Hari Raya

Pada pagi hari raya pertama, saya banyak menerima sms ucapan Eidul Fitri dari sahabat handai. Cuma ada seorang sahabat baik bertanyakan dua soalan mengenai solat Eidul Fitri.

Pengenalan 1

Soalan pertama ialah mengenai solat Tahiyyatul Masjid sebelum solat Eid. Pada zaman Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam, solat Eid kebiasaannya didirikan di kawasan lapang yang luas, bukan di masjid. Ini tidak pula bermakna solat Eid tidak boleh didirikan di masjid. Solat Eid boleh juga didirikan di masjid, cuma kebiasaan bagi Rasulullah ialah mengerjakan solat Eid di kawasan tanah lapang (disebut sebagai musolla dalam Bahasa Arab).

Dalil-dalil 1

Antara dalil-dalil yang menyatakan solat Eid ini didirikan di kawasan tanah lapang:

Pertama, menurut sebahagian ‘ulama, wanita haid tidak dibenarkan hadir menyertai upacara keagamaan di masjid, sedangkan untuk solat Eid, Rasulullah bersungguh-sungguh menyuruh wanita haid turut hadir untuk solat Eid (tanpa mengerjakannya, sekadar hadir dan turut serta bersama umat Islam lain). Tidak mungkin Rasulullah akan bersungguh-sungguh menyeru mereka sekiranya solat Eid didirikan di masjid, pastinya ia didirikan di kawasan lapang, di mana tidak salah bagi wanita haid untuk hadir sama.

Kedua, hadith daripada Abu Sa’id al-Khudri radiyallahu ‘anhu yang menyatakan Rasulullah keluar pada dua hari raya ke musolla dan mendirikan solat di sana (riwayat al-Bukhariy dan Muslim).

Ketiga, ada satu pendapat menarik daripada Ibn al-Hajj al-Maliki. Menurut beliau, Rasulullah pernah bersabda bahawa satu solat yang dikerjakan di Masjid Nabawi bersamaan dengan seribu solat di masjid lain kecuali al-Masjidil Haram. Walaupun solat di Masjid Nabawi memiliki kelebihan dan keutamaan yang begitu besar, Rasulullah tetap meninggalkan Masjid Nabawi dan keluar ke musolla untuk solat Eid.

Ini adalah amalan umat Islam pada generasi awalnya, melainkan apabila berlaku kepayahan seperti hujan dan sebagainya, barulah mereka akan solat Eid di masjid.

Sekiranya solat Eid dikerjakan di kawasan lapang, tidak ada apa-apa solat sebelum solat Eid mahupun selepasnya. Sesiapa yang hadir perlu terus duduk dan tunggu imam. Daripada Ibn ‘Abbas radiyallahu ‘anhuma: “Bahawasanya Nabi sallallahu ‘alayhi wasallam solat Eidul Fitri dua rakaat, dan baginda tidak mengerjakan apa-apa solat sebelumnya ataupun selepasnya.” (riwayat al-Bukhariy dan Muslim).

Namun begitu, pendapat Imam al-Syafi’e menyebut bahawa beliau menyukai sekiranya orang ramai memperbanyakkan solat sunat sebelum dan selepas solat Eid, dan hadith Ibn ‘Abbas adalah khusus untuk imam. Imam tidak boleh mengerjakan apa-apa solat sebelum atau selepas solat Eid. Makmum boleh. Beliau menggunakan dalil umum mengenai kelebihan mengerjakan solat-solat sunat.

Kesimpulan 1

Sekiranya solat Eid didirikan di kawasan lapang, tidak perlu solat Tahiyyatul Masjid. Sebaliknya, jika solat Eid didirikan di masjid, barulah dikerjakan solat Tahiyyatul Masjid. Perlu diingat bahawa solat Tahiyyatul Masjid itu sendiri terdapat perselisihan pendapat padanya, antara wajib dan sunat. Yang pasti, ia adalah tuntutan sunnah.

Pengenalan 2

Soalan kedua mengenai khutbah Eid, adakah ia seperti khutbah Jumaat di mana ada dua khutbah, atau satu sahaja.

Dalil-dalil 2

Al-Imam al-Syafi’e meriwayatkan daripada ‘Ubaydillah ibn ‘Abdullah ibn ‘Utbah ibn Mas’ud, katanya: “Sunnah ialah imam berkhutbah dua khutbah pada kedua-dua hari raya, dan memisahkan dua khutbah itu dengan duduk.” (Ma’rifat al-Sunan wa al-Athar dan Musannaf ‘Abd al-Razzaq).

Hadith-hadith yang menyatakan ada dua khutbah kesemuanya berasal dari jalan riwayat yang sama, iaitu akhirnya sampai kepada ‘Ubaydillah. Di dalam sanad ini, terdapat seorang perawi yang sedikit bermasalah tetapi tidaklah sampai mencacatkan darjat hadith, sekadar mencapai tahap maqbul (diterima) pada pandangan al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani. Perawi akhir sanad ini ialah ‘Ubaydillah, Mufti Madinah dan merupakan salah seorang dari tujuh Fuqaha’ terkemuka Madinah. Beliau adalah cucu saudara kepada ‘Abdullah ibn Mas’ud radiyallahu ‘anhu. Cuma masalahnya ialah beliau adalah dari generasi Tabi’in dan bukannya Sahabat. Sekiranya beliau dari generasi Sahabat, maka hadith ini walaupun tidak disebut oleh Rasulullah sendiri tetapi darjatnya adalah pada hukum marfu’, iaitu sama seperti perkataan Rasulullah sendiri disebabkan adanya dakwaan bahawa perkara itu ialah sunnah kerana Sahabat hidup sezaman dengan baginda. Tetapi apabila dakwaan ini datang daripada Tabi’in, masalah timbul kerana mereka tidak hidup pada zaman Rasulullah, jadi bagaimana mereka boleh tahu bahawa sesuatu perkara itu pernah dilakukan oleh baginda atau tidak? Oleh itu dakwaan Tabi’in mesti didapati daripada Sahabat, dan mereka perlu menyatakan daripada siapa mereka mendengarnya. Jika tidak, maka ia mungkin sekadar menjadi pandangan beliau berdasarkan ilmu pengetahuan yang beliau miliki.

Kesimpulan 2

Maka bagi mereka yang cenderung mengatakan hadith ini boleh diterima, maka buatlah dua khutbah. Bagi mereka yang cenderung mengatakan hadith ini lemah, maka cukuplah dengan satu khutbah. Adapun untuk mengatakan khutbah Eid sama seperti khutbah Jumaat mungkin kurang tepat disebabkan pelaksanaan khutbah itu sendiri berbeza, satu selepas solat dan satu lagi sebelum solat.

Saturday, June 14, 2008

Aqiqah

Alhamdulillah, tanggal 14 Jun 2008 majlis kenduri sempena aqiqah anak kedua saya, Aiman berlangsung dengan lancar. Dua ekor biri-biri dikorbankan. Seekor masak rendang, seekor lagi masak kurma. Majlis bermula dari 12 tengahari dan selesai kira-kira 4 petang. Juadah cukup, cuma ada lebih sedikit. Kira-kira 400 tetamu hadir, termasuk 50 anak-anak yatim dari Wisma Yatim Pulau Pinang yang dijemput khas. Pada kesempatan ini, saya mengucapkan berbanyak terima kasih kepada sahabat-sahabat yang sudi hadir, terutama yang datang dari jauh.

Saudara Abu 'Umar bersama Aiman

Saudara 'Aisy, Maryam minum vitagen kegemaran

Sedikit sebanyak kefahaman saya tentang aqiqah yang mirip dengan sunnah warisan kita daripada junjungan agung, Muhammad sallallahu 'alayhi wasallam, saya petik dari buku Ahkamul 'Aqiqah karya Abu Muhammad 'Ishom ibn Mar'i.

*Gambar ihsan Abu 'Umar

Sunday, May 25, 2008

Memulaukan Saudara Sendiri

Setelah sekian lama berada di luar negara, baru kali ini berpeluang untuk menghadiri kuliah SS Mufti Kerajaan Negeri Perlis di Surau Al-Muhajirin, Taman Sri Ukay. Masya-Allah, bilangan hadirin terlalu ramai sehingga memenuhi segenap ruang yang ada di surau.

Kuliah berkisar mengenai perbuatan memulaukan saudara. Tiga hadith dibaca dan diulas dari Kitab Riyadh al-Salihin. Secara ringkas, Islam meraikan emosi manusia. Kadangkala, dalam pergaulan seharian, kita tidak dapat mengelakkan daripada mengguris perasaan orang lain atau orang lain mengguris perasaan kita disebabkan perkara peribadi. Maka, dibenarkan kita tidak bertegur sapa selama maksimum tiga hari. Selepas tiga hari berlalu, kita perlu menegur kembali saudara tersebut. Walau bagaimanapun, sekiranya rasa marah masih belum reda, maka Islam masih meraikan perasaan tersebut. Kita hanya perlu memberi salam. Tidak perlu bersembang disebabkan rasa marah yang masih ada. Setelah kita memberi salam, maka tanggungjawab kita sudah pun selesai. Sekiranya dia menjawab, maka kita berkongsi pahala dengannya. Sekiranya tidak dijawab, maka kita sudah terlepas dari menanggung dosa kerana telah menunaikan tanggungjawab kita.

Janganlah kita terus-menerus tidak bertegur sapa kerana Allah akan mengampunkan kesemua dosa pada setiap Isnin dan Khamis kecuali golongan musyrikin dan menangguhkan pengampunan terhadap mereka yang tidak bertegur sapa sehingga mereka berbaik semula.

Ada yang bertanya kepada tuan mufti, adakah pengecualian ini termasuk mereka yang tidak bertegur sapa kerana sebab-sebab lain seperti berjauhan atau sibuk bekerja? Jawab tuan mufti, mereka ini tidak termasuk golongan yang memulaukan, kerana pemulauan atau tidak bertegur sapa ini disebabkan rasa marah akibat perselisihan faham yang lebih bersifat peribadi.

Pemerintah pula berhak menjatuhkan hukuman pemulauan lebih dari tiga hari kerana mereka diberi kuasa dan hukuman yang dijatuhkan itu tidak bersifat peribadi, tetapi disebabkan kesalahan jenayah yang berat. Ini pernah berlaku pada zaman Nabi sallallahu 'alayhi wasallam apabila baginda memulaukan tiga sahabat baginda yang tidak menyertai peperangan Tabuk lebih dari sebulan lamanya.

Wednesday, May 14, 2008

Keyakinan Terhadap Petunjuk Allah dan Kepentingan Al-Fatihah

Tadi, buat julung kalinya Timbalan Mursyidul Am Parti Islam Se-Malaysia, Prof. Dato' Dr. Harun Din datang menyampaikan ceramah di Masjid Al-Huda, Sungai Ara. Semenjak jatuhnya Negeri Pulau Pinang ke tangan Pakatan Rakyat Mac lepas, maka kali ini penceramah-penceramah dari PAS dapat bergerak dengan lebih mudah. Alhamdulillah, sambutan yang diberi sungguh hangat, ini dapat dilihat dari keadaan masjid yang penuh sesak sehingga melimpah ke kawasan letak kereta di luar. Gerai-gerai jualan juga meriah memenuhi kawasan masjid.

Ceramah bermula selesai Solat Maghrib. Pengerusi majlis membuka majlis dengan pidato berapi-api seolah-olah berucap di hadapan tentera yang hendak berperang. Diikuti pula dengan ucapan Pengerusi Jawatankuasa Tadbir Masjid yang mengalu-alukan kedatangan Prof. Dato' Dr. Harun Din.

Beliau memulakan ceramah dengan menyentuh isu hidayah. Betapa ramainya manusia di atas muka bumi ini, sedikit sangat yang menerima hidayah daripada Allah, ramai yang menolak. Dalam jumlah mereka yang menerima hidayah, ada pula yang kurang yakin dengan hidayah tersebut, sehingga mereka ragu-ragu dengan hukum-hakam yang ditetapkan Allah.

Permulaan ceramah yang sangat baik. Beliau seringkali mengingatkan hadirin betapa kerdilnya manusia, sedangkan makhluk-makhluk ciptaan Allah yang lain yang lebih besar dan hebat kesemuanya sujud patuh kepada Allah. Walhal manusia saja yang masih ingkar dan menderhaka.

Katanya lagi, di kalangan mereka yang kurang yakin dengan hidayah ini, ada yang sampai ragu-ragu akan kesempurnaan Islam sehingga Islam yang ada sekarang belum sempurna atau kurang sesuai. Al-Quran perlu ditafsir semula, dan Islam perlu ditokok tambah. Ini semua adalah tanda was-was akan kesempurnaan Islam.

Sejam kemudian, beliau mula berbicara mengenai kepentingan membaca al-Fatihah dengan betul. Beliau menceritakan mengenai institutsi Darussyifa' yang dipimpinnya sejak tujuh tahun yang lalu. Mereka menerima kira-kira 200-400 pelajar setiap tahun. Kemasukan ke Darussyifa' ketat kerana ramai yang ingin sertai, jadi mereka perlu disaring dan ditemuduga. Daripada 200-300 yang diterima masuk saban tahun, tidak sampai 20% yang lulus bacaan al-Fatihah.

Benar, bacaan al-Fatihah sangat penting kerana tidak sah solat tanpa al-Fatihah. Namun bagi beliau untuk menyatakan dengan jelas bahawa 80% yang gagal bacaan al-Fatihah maka solat mereka tidak sah mungkin sudah agak melampau. Bukan semua umat Islam mampu membaca al-Quran dengan fasih, tambah-tambah lagi umat Islam yang bukan berbangsa Arab. Jika begitu, ramailah di antara umat Islam sekarang memang tidak sah solat mereka, dan itu yang disebut beliau.

Tuan Guru, pendapat ini kurang baik untuk masyarakat. Nanti akan ada yang kata, tengok anak-anak murid Darussyifa' yang hebat pun baca al-Fatihah tak betul dan solat mereka tidak sah, baik kita yang dah tentu salah al-Fatihah ni tak payah solat sebab solat kita memang tidak sah. Tunggulah sampai kita boleh baca al-Fatihah dengan betul baru kita solat.

Sah atau tidak, itu hak Allah. Sebagai hamba, kita hanya perlu berusaha memperbaiki bacaan al-Fatihah sebaik mungkin, sekadar termampu. Allah itu Maha Pemaaf, andai kita telah berusaha bersungguh-sungguh untuk memperbaiki kualiti bacaan al-Fatihah namun tetap tak dapat, insya-Allah solat kita akan tetap diterima Allah.

Hampir 30 minit berlalu dan beliau masih bercerita mengenai kepentingan membaca al-Fatihah dengan betul dan membaca tahiyyat dengan betul di hadapan guru. Jika tidak betul, solat tetap tidak sah. Perkara ini bukan perkara remeh kerana memang al-Fatihah, tahiyyat dan bacaan-bacaan lain perlu betul agar solat sempurna, namun dalam masa yang sama mungkin beliau sepatutnya memberitahu bahawa jika kita telah berusaha namun masih gagal, maka itu tidak mengapa.

Tepat 9.00 malam aku mengundurkan diri kerana tuntutan keluarga. Maryam dan Aiman sudah hendak tidur, maka seharusnya aku pulang ke rumah. Apa pun, alhamdulillah harapnya Masjid Al-Huda akan lebih meriah dengan ceramah-ceramah dan kuliah-kuliah sejak Pakatan Rakyat menguasai kerajaan negeri. Kredit bagi Prof. Dato' Dr. Harun Din untuk ceramah yang baik mengenai kesempurnaan Islam dan keperluan menerima Islam dengan yakin, yang kurang tu sekadar dari perspektif peribadiku sahaja...

Friday, February 15, 2008

Al-Dajaj Al-Meshawi di Les Grillades

Petang. Selesai Solat Asar; Mishal, Taposh, Koen dan aku bergerak ke Masjid Ottawa. Malam ini aa Kuliah Tafsir Syeikh Abdurrahman al-Hijazi. Dalam e-mail yang dihantar, beliau menyatakan malam ini kami akan belajar tafsir mengenai "the greatest verse in al-Quran." Sudah pasti Ayat al-Kursi. Ketika kami melalui Holland Avenue, ternampak "Les Grillades" kini kembali beroperasi setelah sekian lama tutup disebabkan kebakaran Jun lalu. Koen lantas mencadangkan agar kami makan malam di situ.

Selepas Solat Maghrib, kami terus ke restoran. Wajah baru. Dulu apabila melangkah masuk sahaja ke ruang makan terasa seolah-olah berada di negara Arab. Sayang kini dirubah kepada suasana restoran Barat. Menurut seorang senior di Ottawa yang rajin makan-makan, tuan punya Les Grillades ini berfahaman Syi'ah. Teringat lagi kali pertama apabila kami dan rakan-rakan senegara ke sini, dia mengingatkan aku bahawa restoran ini orang Syi'ah yang punya. Kalau tak selesa makan makanan Syi'ah, maka boleh saja ke tempat lain.

Pernah kuajukan pertanyaan ini kepada salah seorang imam di tempatku. Jawapannya agak menarik. Menurutnya, tidak banyak beza antara orang awam Sunni dan orang awam Syi'ah. Ramai mereka sekadar mengikut fahaman orang tua mereka. Sepertimana ramai orang awam Sunni yang sekadar mengikut telunjuk 'ulama Sunni, begitu juga dengan orang awam Syi'ah yang sekadar mengikut telunjuk 'ulama mereka. Lainlah jika restoran tersebut dimiliki "ilmuwan Syi'ah", maka perlu berwaspada. Kenapa pula begini? Kerana para 'ulama mereka yang sesat dan menyesatkan. Mereka yang terkehadapan mengkafirkan para Sahabah serta menghina Ummul Mukminin 'A'isyah radiyallahu 'anhum ajma'in. Kebanyakan pengusaha restoran Sunni atau Syi'ah mempunyai matlamat yang sama seperti pengusaha restoran lain, iaitu mencari nafkah dan mengaut keuntungan melalui perniagaan makanan.

"Restoran orang Sunni kan ada..."

Benar atau tidak, terpulang kepada masing-masing untuk membuat penilaian. Di Ottawa kebanyakan restoran Arab diusahakan oleh masyarakat Syi'ah. Aku sentiasa berusaha untuk meminimumkan tahap menaja restoran-restoran ini.

Hajat Koen untuk makan kambing tidak kesampaian kerana stok kambing bakar telah habis.Tidak dapat dinafikan kambing bakar mereka adalah antara yang terbaik di Ottawa. Kami hanya memesan ayam bakar dan kafta. Sedap, cuma servis terlalu lembab. Hampir sejam menunggu baru siap. Mungkin tidak akan datang ke sini lagi, melainkan jika ada kawan-kawan yang berhajat.

Alhamdulillah, selesai makan kami sempat Solat Isyak di masjid. Selesai solat, masing-masing terpaksa berjuang bersungguh-sungguh untuk mencelikkan mata ketika mendengar kuliah.

1. Les Grillades di zabihah.com
2. Les Grillades di restaurantica.com

Friday, February 01, 2008

Ribut Salji dan Solat Jamak di Masjid Ottawa

Selesai Solat Asar di Surau Carleton, aku bersiap untuk pulang ke rumah. Mishal pun ikut sama kerana katanya jika aku pulang bersendirian nescaya aku akan tidur dan mungkin terlewat untuk ke kuliah tafsir di masjid malam ini. Memandangkan ribut belum reda kami menaiki bas 117.

Selepas mandi dan bersiap, kami keluar. Sudah agak terlewat, 15 minit lagi Maghrib dan keadaan di luar pula ribut. Tidak mungkin kami sempat tiba untuk mendapatkan takbir pertama. Salji yang tebal menyebabkan aku terpaksa lebih berhati-hati dan memandu dengan perlahan.

"Hopefully there are wise people in the masjid that will delay the prayer and wait for others to come. In his kind of weather it is impossible for people to come before time," aku berkata kepada Mishal.

Tiba-tiba di bulatan trafik Prince of Wales Drive-Experimental Farm Scenic Driveway kereta kami terbabas disebabkan jalan licin dan melanggar pembahagi jalan. Alhamdulillah salji yang tebal menampan kereta dari melanggar tiang. Dan alhamdulillah, tiada kenderaan lain di situ. Dengan perlahan-lahan aku mengundurkan kereta sekuat mungkin, dan kemudian meneruskan perjalanan kami.

Jangkaanku tepat, adanya mereka yang bijaksana di masjid. Mereka masih menunggu jamaah untuk datang. Kemudian kami Solat Maghrib bersama. Selesai salam, muazzin terus bangun dan melaungkan iqamah. Nampak gaya si imam akan menunaikan Solat Isyak secara jamak disebabkan cuaca buruk. Mishal kebingungan sambil bertanyakanku, "What on earth are they praying?" Disebabkan imam telah mengangkat takbir, aku hanya sempat memberitahu kepadanya, "Just follow. They are praying 'Isyak and I'll explain it to you later."

Selesai salam, aku menerangkan kepada Mishal bahawa adalah sunnah bagi umat Islam untuk menjamakkan solat disebabkan cuaca buruk. Keadaan ribut salji yang melanda Ottawa pada hari itu adalah faktor yang tepat bagi membolehkan kami menjamakkan Solat Maghrib dan Solat Isyak. Ini juga adalah pengalaman pertama bagiku, kerana di Malaysia jarang berlaku cuaca buruk sehingga ke tahap ini.

Kami kemudian mengunjungi rumah Muhammad al-Indonesi dan sahabatnya dari Bangladesh. Mereka menyewa basement Maktabah al-Sahabah yang berdekatan dengan masjid. Nyata Muhammad memiliki koleksi buku-buku Syeikh al-Albaniy dalam bahasa Indonesia. Dia kini menuntut di Algonquin College. Banyak perkara yang kami sembangkan pada malam itu, dari kepentingan mempelajari Bahasa Arab, kelebihan menuntut ilmu di Arab Saudi dan Jordan, sistem pendidikan Malaysia sehinggalah isu-isu semasa seperti perpecahan masyarakat dan lain-lain. Kemudian sahabat Muhammad, Daniel datang sambil membawa Kitab Adab al-Mufrad karangan al-Imam al-Bukhariy. Dia meminjam buku Sahih dan Dha'if Adab al-Mufrad karangan Syeikh al-Albaniy yang dimiliki Muhammad dan menanda hadith-hadith yang dha'if dalam kitabnya berpandukan buku Syeikh al-Albaniy.

Memandangkan imam di masjid tadi menjamakkan Solat Maghrib dan Solat Isyak, kami menyangka kuliah tafsir malam itu dibatalkan. Rupa-rupanya sangkaan kami meleset, kuliah tetap berjalan seperti biasa cuma bilangan hadirin kurang. Tinggal lima minit sahaja lagi, maka kami mengambil keputusan untuk pulang sahaja, dan ribut masih mengganas.

Wednesday, January 09, 2008

Solat Jumaat sebelum Zuhur?

Isu:

Para pelajar yang berpeluang melanjutkan pelajaran ke negara yang mengalami empat musim akan mendapati waktu solat yang berbeza-beza sepanjang tahun. Untuk Solat Jumaat, kebiasaannya para pelajar terpaksa menunaikannya di universiti kerana kesuntukan masa untuk ke masjid. Seperti di Carleton, Muslim Students Association menempah gymnasium. Tempahan dibuat mengikut waktu yang tetap untuk setahun, seperti dari pukul 12:30 tengahari sehingga 2:00 petang, sehingga ada masanya Solat Jumaat akan selesai sebelum masuknya waktu Zuhur ketika musim panas. Bolehkah Solat Jumaat didirikan sebelum waktu Zuhur?

Teori:

Waktu Solat Jumaat

1) Boleh Solat Jumaat sebelum tergelincir matahari. Ini pendapat al-Imam Ahmad ibn Hanbal rahimahullah.

2)Waktu Solat Jumaat ialah waktu Solat Zuhur, iaitu setelah matahari tergelincir ke barat dan tidak boleh sebelumnya. Ini pendapat majoriti 'ulama.

Sebab berlakunya khilaf:

Khilaf dalam memahami hadith mengenai perbuatan mempercepatkan atau mengawalkan Solat Jumaat.

Contoh 1: Daripada Sahl ibn Sa'd radiyallahu 'anhu katanya:
"Kami tidak makan tengahari atau tidur qaylulah (tidur sebentar di siang hari) pada zaman Rasulullah sallallahu 'alayhi wasallam melainkan setelah selesai Solat Jumaat."
[Riwayat al-Bukhariy, Muslim, Abu Dawud & al-Tirmidhi]

Contoh 2: Diriwayatkan bahawa mereka menunaikan Solat Jumaat dan bersurai dan bayang-bayang mereka tidak kelihatan pada dinding (menunjukkan seolah-olah matahari masih tegak di atas kepala kerana tiada bayang-bayang pada dinding)

[Riwayat al-Bukhariy, Muslim, Abu Dawud & al-Nasa'ie]

Mereka yang mengatakan waktu Solat Jumaat boleh didirikan sebelum tergelincir matahari menyatakan bahawa hadith-hadith ini menunjukkan Solat Jumaat pada zaman Nabi sallallahu 'alayhi wasallam ada didirikan sebelum tergelincir matahari.

Mereka yang mengatakan tidak boleh Solat Jumaat sebelum waktu Zuhur pula faham bahawa hadith-hadith ini sekadar menunjukkan Solat Jumaat ini diselesaikan pada awal waktu Zuhur. Lagi pula pemahaman golongan pertama seolah-olah bertentangan dengan hadith Anas ibn Malik radiyallahu 'anhu:
"Sesungguhnya Nabi sallallahu 'alayhi wasallam mendirikan Solat Jumaat tatkala
matahari condong."
[Riwayat al-Bukhariy, Abu Dawud & al-Tirmidhi]

Hadith-hadith sebelumnya sekadar menceritakan keadaan situasi setelah selesainya Solat Jumaat, sedangkan hadith Anas ini menyebut secara jelas dan terang mengenai waktu Solat Jumaat. Pun begitu, golongan pertama boleh mengatakan pula bahawa pemahaman mereka tidak bertentangan dengan hadith Anas kerana hadith Anas cuma menyebut waktu dengan jelas tanpa ada suruhan atau larangan padanya.

Golongan kedua turut berhujjah bahawa oleh kerana Solat Jumaat adalah ganti kepada Solat Zuhur pada hari Jumaat, maka hendaklah Solat Jumaat didirikan pada waktu Zuhur juga. Golongan pertama pula berhujjah bahawa oleh kerana hari Jumaat adalah hari raya, maka Solat Jumaat boleh didirikan dalam batas waktu Solat Eid.



Penyelesaian:

Sekiranya kita bandingkan pula dengan pendapat 'ulama kontemporari, hampir kesemuanya berpendapat tidak boleh Solat Jumaat sebelum waktu Zuhur. Saya sendiri cenderung dengan pendapat majoriti. Memandangkan pendapat ini mungkin menyebabkan kesusahan di kalangan pelajar yang perlu menghadiri kuliah, maka ada sesetengah 'ulama memberi keringanan berdalilkan hadith Abu Hurayrah radiyallahu 'anhu yang masyhur daripada Rasulullah sallallahu 'alayhi wasallam:
"...Apa yang aku perintahkan kamu maka laksanakannya semampu yang mungkin..."
[Riwayat al-Bukhariy & Muslim]

Bagi diri saya sendiri, sekiranya tiada apa-apa urusan di universiti pada hari Jumaat tersebut, maka saya sepatutnya pergi menunaikan Solat Jumaat di masjid yang mendirikan Solat Jumaat pada waktu Zuhur. Andainya ada urusan di kampus pada hari Jumaat tersebut, maka saya akan menyertai rakan-rakan menunaikan Solat Jumaat di gymnasium. Lagipun, penyelesaian ini hanya akan menjadi praktikal pada musim panas, iaitu apabila waktu Zuhur terlalu lewat...

Monday, January 07, 2008

Lewat Solat Jumaat sehingga terlepas rukuk bersama Imam pada rakaat kedua


Isu
Terlewat hadir Solat Jumaat, hanya sempat join imam setelah imam mengangkat kepada daripada rukuk pada rakaat kedua. Adakah hanya perlu Solat Jumaat (2 rakaat), atau Solat Zuhur (4 rakaat)?
a
Teori
Sesiapa yang sempat join ketika imam sedang rukuk pada rakaat kedua Solat Jumaat atau sebelumnya, tidak syak lagi ia telah mendapat Solat Jumaat berdasarkan hadith berikut:

“Apabila seseorang diantara kamu datang (untuk) solat sewaktu kami sujud, hendaklah ikut sujud dan janganlah kamu hitung itu satu rakat. Barang siapa yang dapat rukuk bersama imam, maka ia telah mendapat satu rakaat.”
[Riwayat Abu Dawud]
Dan sesiapa yang mendapat satu rakaat, dia telah mendapat solat tersebut secara keseluruhannya berdasarkan hadith berikut:
“Sesiapa yang dapat satu rakaat dari solat, maka dia telah mendapat solat itu.”
[Riwayat al-Bukhariy & Muslim]
Walau bagaimanapun, terdapat khilaf di kalangan 'ulama mengenai mereka yang terlepas daripada menyertai rukuk pada rakaat kedua ketika Solat Jumaat. Hadith yang diriwayatkan oleh 'Abdullah ibn 'Umar radiyallahu 'anhuma, Rasulullah sallallahu 'alayhi wasallam bersabda:

“Barangsiapa yang sempat mendapat satu rakaat bersama imam dalam Solat Jumaat atau mana-mana solat, maka tambahlah bilangan rakaat dan telah sempurna solatnya.”
[Riwayat al-Nasa’ie]

Berdasarkan hadith di atas, sesiapa yang mendapat sekurang-kurangnya satu rakaat bersama imam, maka dia dikira mendapat solat tersebut. Berdasarkan hadith pertama di atas pula, untuk mendapat satu rakaat, sekurang-kurangnya seseorang itu mesti sempat rukuk bersama imam. Jadi seseorang yang terlepas dari rukuk pada rakaat kedua Solat Jumaat telah terlepas dari mendapatkan Solat Jumaat. Antara 'ulama yang berpendapat golongan ini tidak mendapat Solat Jumaat sebaliknya perlu menunaikan Solat Zuhur ialah para 'ulama Mazhab al-Syafi'e, al-Imam Malik, al-Imam al-Auza'ie, al-Imam Sufyan al-Tsauri, al-Imam Abu Yusuf dan al-Imam Ahmad.
aa
Merujuk kepada satu lagi pendapat, sesiapa yang hatta sempat menyertai imam ketika tasyahhud akhir tetap dikira mendapat Solat Jumaat. Sabda Nabi sallallahu 'alayhi wasallam:

“Jika solat itu telah didirikan, pergilah (kamu untuk menunaikannya) dan hendaklah kamu bertenang. Apa (rakaat) yang kamu masih berpeluang untuk menunaikannya, lakukanlah (solat tersebut) dan apa (rakaat) yang kamu telah tertinggal daripadanya, hendaklah kamu sempurnakan kemudian.”
[Riwayat al-Bukhariy dan Muslim]

Daripada hadith ini, lafaz yang digunakan bersifat umum di mana kita diperintahkan agar jangan tergesa-gesa menunaikan solat sebaliknya hendaklah bertenang ketika menyertai jamaah. Kadangkala kita dapat menyaksikan sebahagian sahabat kita yang tergopoh-gapah, bahkan ada yang berlari semata-mata kerana hendak mengejar solat sedangkan ia perbuatan yang ditegah. Apabila kita telah menyertai jamaah, maka sempurnakan apa yang telah ktia tertinggal sehingga sempurna solat kita. Maka begitu juga untuk Solat Jumaat, dan hadith kedua tadi tidak pula menyebut bahawa mereka yang tidak mendapat satu rakaat tidak mendapat solat.

Antara 'ulama yang berpendapat golongan ini hanya perlu menambah dua rakaat (iaitu menunaikan Solat Jumaat) ialah al-Imam Abu Hanifah dan Mazhab al-Zahiri.

Praktik
Sesiapa yang suka dengan pendapat golongan pertama, tunaikan empat rakaat. Saya lebih cenderung dengan pendapat golongan kedua yang menyatakan golongan ini sekadar perlu menambah dua rakaat berdasarkan perbincangan yang telah disebutkan. Ini sekadar pandangan saya... Anda bebas membuat pandangan sendiri.

Sunday, November 25, 2007

Kemudahan Agama: Sapu Stoking dan Solat Berkasut

Winter datang lagi!

Antara masalah utama time winter ialah wuduk untuk solat. Teringat zaman sekolah rendah dulu, salji termasuk antara air mutlaq yang boleh digunakan untuk bersuci. Namun, setelah merasai kesejukan winter di negara orang, mustahil ada yang sanggup berwuduk dengan salji.

Jika kita sengaja mengikat diri kita dengan fiqh yang rigid, maka janganlah menyalahkan agama andai kita sendiri terpaksa bersusah-payah demi menunaikan tanggungjawab agama. Dalam kesejukan winter yang boleh mencecah -40 celcius, ditambah dengan boot winter yang mengikat kaki, agak payah bagi siswa yang sibuk dengan kuliah dan tugasan untuk membuka boot dan menelanjangkan kaki setiap kali ingin berwuduk. Bagi yang merasa ini bukan satu kepayahan, eloklah diteruskan. Tulisan ini tidak bertujuan untuk membandingkan mana yang lebih baik, sekadar mencerahkan satu alternatif yang mungkin memberi kemudahan kepada sebahagian kita yang merasa kepayahan tersebut.

Dalil-dalil agama menunjukkan adanya alternatif yang mudah daripada membasuh kaki ketika berwuduk. Bukankah Islam ini agama yang mudah (QS Al-Maa'idah, 5:6), dan Rasulullah sallallahu 'alayhi wasallam sendiri memilih yang lebih mudah apabila diberi pilihan (Al-Bukhariy & Muslim)?

Alternatif Pertama:
Sapu Stoking dan Solat Dengan Memakai Stoking

*Sapu bahagian atas stoking sahaja.

Syarat-syarat:
1. Pastikan sebelum pakai stoking anda dalam keadaan berwuduk.

2. Stoking anda suci dan bersih dari najis.

3. Sapu stoking hanya boleh dilakukan untuk mengangkat hadas kecil sahaja. Hadas besar tak boleh.

4. Jangka masa sapu stoking mesti ikut syarak. Bagi yang bermusafir, mereka boleh terus-menerus sapu stoking tanpa buka selama tiga hari tiga malam. Bagi yang bermukim, tempohnya hanya sehari semalam. Selepas dari itu kena basuh kaki macam biasa.

*Masa dikira dari tempoh sapu stoking kali pertama, bukan dari tempoh mula memakai stoking.

Alternatif Kedua:
Sapu Kasut dan Solat Dengan Memakai Kasut

*Sapu bahagian atas kasut sahaja.

Syarat-syarat:

Sama seperti sapu stoking...

Isu dan Perbincangan:

1. Kaedah Sapu

Sapu bahagian atas sahaja, tangan kanan sapu atas kaki kanan, tangan kiri sapu atas kaki kiri serentak. Untuk perbincangan lanjut, lihat hadith Mughirah ibn Syu'bah radiyallahu 'anhu dan ulasan Syeikh Ibn 'Uthaymin dalam Fatawa al-Mar'ah al-Muslimah vol. 1 m/s 250.

2. Kenapa sapu bahagian atas sahaja?

Sebab sunnah cuma beritahu sapu atas sahaja, tepi dan bawah tidak perlu. Sayyidina 'Ali ibn Abi Talib radiyallahu 'anhu ada sebut sesuatu yang menarik mengenai hal ini: "Sekiranya agama ini (Islam) dibina atas paksi logik akal manusia, sudah tentu bahagian bawah stoking lebih patut disapu berbanding bahagian atas." (Abu Dawud & Al-Daraqutniy).

3. Definisi Stoking

Isu ini memang banyak percanggahan pendapat. Ada yang kata stoking kulit sahaja, ada yang kata apa jenis stoking boleh, ada yang letak syarat stoking kena tutup buku lali sahaja, macam-macam lagi. Kalau nak bincang definisi ini memang takkan selesai masalah kita kerana masing-masing menggunakan hadith-hadith yang sama, cuma pemahaman yang berbeza. Terpulang kepada anda pendapat mana yang anda rasakan lebih tepat. Bagi saya, sekiranya diletakkan syarat kena stoking kulit atau stoking yang saiz tertentu sahaja yang boleh, maka ini sudah lari dari maqsad atau tujuan asal sapu stoking dibenarkan dalam sunnah. Cuba kita fikirkan kembali, kenapa sapu stoking dibenarkan? Sudah tentu tujuan ia dibenarkan adalah untuk memberi kemudahan kepada umat Islam. Jika kita letak pula syarat-syarat lain yang menjadikan satu kemudahan itu susah sikit, sudah tentu kita telah lari dari tujuan asal. Apapun, ini pendapat saya.

4. Wuduk dan Solat dengan Kasut - biar betul?!!

Sebahagian dari kita mesti rasa benda ni pelik. Sebelum rasa pelik mengatasi cinta pada sunnah, baca dan fahami hadith-hadith yang menunjukkan Rasulullah sallallahu 'alayhi wasallam membenarkan solat dengan memakai kasut.

4.1 Anas ibn Malik radiyallahu 'anhu pernah ditanya: "Benarkah Nabi sallallahu 'alayhi wasallam pernah solat sambil memakai kasut?" Jawab Anas: "Ya." (Al-Bukhariy & Muslim).

4.2 Kisah Nabi sallallahu 'alayhi wasallam solat bersama para Sahabah radiyallahu 'anhum sambil memakai kasut, di pertengahan solat baginda membuka kasut dan diikuti para Sahabah. Baginda berbuat demikian kerana diberitahu Jibrail bahawa kasut baginda tidak suci. Kemudian Nabi berpesan agar mereka memeriksa kasut mereka dan bersihkan kasut sebelum solat sanbil berkasut (Abu Dawud - sahih menurut Al-Albaniy).

4.3 Antara sebab Nabi sallallahu 'alayhi wasallam suruh solat pakai kasut ialah untuk membezakan kita dengan kaum Yahudi yang tidak solat sambil berkasut (Abu Dawud - sahih menurut Al-Albaniy).
_
5. Menanggalkan stoking atau kasut, wuduk batal atau tidak?

'Ulamak berbeza pendapat. Ada yang kata batal, ada yang kata tidak. Masing-masing ada alasan kukuh. 'Ulamak seperti Qatadah, Hasan al-Basri, Ibn Abi Layla, Ibn Hazm, Ibn Taimiyah, al-Nawawi dan lain-lain berpendapat menanggalkan stoking atau kasut tidak membatalkan wuduk, kerana once kita dah berwuduk, maka wuduk akan hanya batal bila perkara yang membatalkan wuduk berlaku, seperti buang air kecil, kentut dan sebagainya. Memandangkan pendapat ini lebih senang, maka saya lebih cenderung dengan pendapat ini.

Kesimpulan
A
Solat pakai kasut ini adalah satu kemudahan yang ada dalam agama. Pun begitu, gunakanlah akal yang bijaksana dalam menilai situasi dan keadaan untuk solat pakai kasut. Janganlah sampai masjid yang dihampar permaidani indah pun nak dicelapak dengan kasut.
A
Sekiranya situasi tidak menyusahkan sangat, saya lebih suka ambil wuduk baru dengan membasuh kaki seperti biasa.

Wallahu A'lam.

Friday, October 12, 2007

Haru Biru Pasal Eid 2007

Masalah biasa setiap kali menjelangnya Eid. Bila sebenarnya Eid?

Pada zaman awal Islam, perubahan bulan ditentukan berdasarkan rukyah, atau melihat anak bulan dengan mata kasar. Ini jelas selari dengan Al-Quran dan hadith-hadith sahih. Andai bulan jelas kelihatan, maka bulan baru telah tiba. Andai bulan tidak kelihatan disebabkan sudah terbenam, atau ada awan tebal yang melindungi penglihatan mata, maka bulan tersebut digenapkan 30 hari.

Perkembangan ilmu astronomi dan teknologi sepatutnya memudahkan lagi umat Islam dalam menentukan perkiraan bulan dan menyebabkan mereka lebih sepakat. Malang sekali yang sebaliknya terjadi.

Tahun ini, alhamdulillah majoriti umat Islam sepakat memulakan Ramadhan pada 13 September 2007. Maka 29 Ramadhan jatuh pada hari Khamis, 11 Oktober 2007. Pada senja hari tersebut umat Islam bersiap sedia untuk memerhatikan anak bulan Syawal sama ada telah muncul atau belum.

Berdasarkan kiraan astronomi, mustahil untuk anak bulan baru muncul pada malam 11 Oktober kerana bulan terbenam seminit sebelum matahari terbenam di Makkah. Jadi pada malam tersebut bulan tidak mungkin kelihatan di langit Makkah. Laporan ini boleh dibaca di website The Fiqh Council of North America. Hasilnya, badan rasmi tersebut tetap dengan pendirian mereka bahawa Eid tahun ini ialah pada Sabtu, 13 Oktober 2007.

Walau bagaimanapun, laporan rasmi dari Majlis Fatwa Tertinggi Arab Saudi mengisytiharkan bahawa anak bulan Syawal telah kelihatan pada 11 Oktober 2007, lantas Jumaat, 12 Oktober 2007 diisytiharkan sebagai Eid. Ramadhan tahun ini menjadi 29 hari sahaja.

Akhirnya ada tempat yang mengambil keputusan mengikut keputusan Arab Saudi berdasarkan kaedah Ittihad al-Matali' atau Kesatuan Tempat Terbit Bulan. Bila ada satu kawasan yang mendakwa telah melihat anak bulan Syawal, maka seluruh dunia Islam menyambut Eid. Ini berbeza dengan mereka yang mengikut kaedah Ikhtilaf al-Matali', atau Perbezaan Tempat Terbit Bulan. Kaedah ini menyatakan bahawa kemunculan anak bulan baru berbeza dari satu kawasan ke satu kawasan yang lain. Dalam erti kata lain, untuk mensabitkan kedatangan anak bulan baru, setiap kawasan perlu memerhatikan sendiri. Kaedah ini memungkinkan berlakunya perbezaan tarikh menyambut Eid. Pun begitu, bagaimana sempadan sesuatu kawasan ditentukan masih menjadi perdebatan, adakah kawasan itu negara, atau negeri, atau sekadar kampung. Bayangkan jika setiap kampung perlu melihat anak bulan, sudah pasti kacau bilau. Sempadan negara yang ada sekarang pula adalah hasil seni penjajah (dulu hanya sebuah negara), ada negara yang besar seperti Indonesia, ada pula yang kecil seperti Brunei. Bolehkah jika anak bulan kelihatan di Aceh, maka mereka di Irian Jaya perlu mengikut keputusan tersebut? Ini kerana saiz negara yang terlalu besar juga kadang kala menyukarkan kaedah Ikhtilaf al-Matali' digunakan. Jika ada pun negara yang mengikut kaedah Ikhtilaf al-Matali', keputusan tersebut tetap menjadi Ittihad al-Matali' dalam negara tersebut. Contoh mudah, dua negara iaitu Arab Saudi dan Mesir. Berdasarkan kaedah Ikhtilaf al-Matali', Arab Saudi menyambut Eid pada hari Jumaat manakala Mesir menyambut pada hari Sabtu, kerana pihak berkuasa Mesir mendakwa anak bulan tidak kelihatan pada malam Khamis. Pun begitu, bukanlah setiap kampug di Arab Saudi atau Mesir perlu melihat anak bulan, hanya di beberapa kawasan tertentu sahaja. Pun begitu, keputusan tersebut tetap dipaksakan ke seluruh negara. Jika tidak, dalam satu negara pun boleh ada tarikh berbeza sambutan Eid.

Berdasarkan hadith, kedatangan anak bulan Syawal mesti disaksikan oleh sekurang-kurangnya dua orang, berbeza dengan kedatangan anak bulan Ramadhan yang boleh disabitkan dengan hanya seorang saksi.

Maka apabila satu kerajaan Islam, iaitu Arab Saudi mengisytiharkan mereka telah melihat anak bulan Syawal, maka sudah tentu lebih dari dua orang yang melihatnya.

Yang menjadi masalah ialah kiraan astronomi yang menyatakan mustahil anak bulan Syawal muncul pada malam tersebut.

Siapakah yang tersilap? Kiraan astronomi atau penglihatan manusia? Sebagai manusia yang berfikiran waras, kita tidak boleh menolak kemungkinan saudara kita yang mendakwa nampak anak bulan di Makkah tersilap, dalam masa yang sama kita tidak boleh menolak kemungkinan kiraan astronomi telah silap. Tetapi untuk menuduh saudara kita di Arab Saudi berbohong demi kepentingan politik mereka tidak mungkin sama sekali.

Pendapat peribadi saya, apabila ada saudara kita yang memberitahu mereka telah melihat anak bulan, maka sepatutnya kita ikut. Jika mereka tersilap, maka Allah mengampuni kesilapan. Bahkan kesilapan ini tidak disedari. Jika mereka berbohong sekalipun mereka yang bersalah. Mungkin kerana biasa menyibukkan diri dengan manhaj al-Quran dan Hadith semenjak menuntut di zaman muda, maka segala yang mustahil pada kaca mata saintifik tidak lagi mustahil dengan mata wahyu. Lautan terbelah, bulan terbelah, semuanya mustahil pada kaca mata saintifik. Bahkan hadith-hadith yang kita ambil dari al-Bukhariy, Muslim dan lain-lain imam hadith kesemuanya berdasarkan perkhabaran belaka. Pun kita percaya tanpa banyak soal tentang kesahihannya pada kaca mata saintifik. Cuba kita lihat di luar kotak. Dengan menghormati pendirian Fiqh Council of North America (bagus kerana mereka tidak pernah berniat memaksa keputusan mereka kepada orang lain), andaikan perkara ini terjadi pada Eid al-Adha, ketika jutaan umat Islam mengerjakan wukuf di Arafah, dan anda termasuk di kalangan mereka. Sahabat-sahabat anda yang pakar dalam kiraan astronomi mengatakan mustahil anak bulan muncul pada malam 29 Zulkaedah, tetapi Kerajaan Arab Saudi menyatakan mereka telah melihat anak bulan. Adakah anda akan berwukuf pada hari lain, atau mengikut keputusan rasmi Kerajaan Arab Saudi?

Satu lagi, hadith-hadith menyatakan sekiranya anak bulan kelihatan, bukannya ia sudah ada di situ. Sekiranya anak bulan sudah ada, tetapi dilindungi awan tebal, sepatutnya bulan tersebut digenapkan 30 hari.

Cara terbaik, ikut sahaja pendapat masjid di kawasan anda demi menjaga kesatuan dan ukhuwwah umat Islam. Sekiranya kita berbalah dalam kalangan tetangga kita sendiri, sudah tentu tujuan sambutan Eid tersasar dari haluan yang sepatutnya. Alhamdulillah, kesemua masjid di Ottawa melainkan dua yang terletak di pinggir Ottawa sepakat mengisytiharkan Eid jatuh pada Jumaat, 12 Oktober 2007. Kedua-dua masjid tersebut tidak menyertai jemputan menganggotai Jawatankuasa Anak Bulan Ottawa yang ditubuhkan demi menjaga kesatuan umat Islam di Ottawa.

Pelik juga kerana sungguhpun Eid jatuh pada hari Jumaat dan solat Eid telah dikerjakan pada hari Jumaat, sambutan Eid yang dirancang pada hari Sabtu diteruskan kerana Ottawa Civic Center telah ditempah lebih awal. Sambutan sahaja tidak pelik, yang menjadi pelik apabila agenda sambutan dimulakan dengan takbir raya dan solat Eid sekali lagi. Hairan! Hanya ada satu keadaan sahaja di mana solat Eid boleh dikerjakan pada hari raya kedua, iaitu apabila pengisytiharan Eid diketahui sesudah condongnya matahari. Ini adalah perkara yang mungkin terjadi pada zaman dahulu disebabkan keterbatasan komunikasi dan masalah geografi. Adanya kampung yang jauh dari kota Islam, mereka berpuasa tanpa mengetahui bahawa di kota mereka telah berhari raya. Datang utusan dari kota ke kampung setelah condongnya matahari memberitahu sebenarnya hari tersebut ialah hari raya, maka kesemua warga kampung berbuka ketika itu juga dan beraya, dan solat pada keesokan hari. Situasi di Ottawa tidak mencerminkan keadaan ini kerana rata-rata pengumuman raya yang jatuh pada hari Jumaat telah disiarkan di laman-laman web masjid dan persatuan Islam.

Yang lebih pelik apabila mengetahui ada pula dakwaan bahawa selama ini kiraan umat Islam salah sejak ratusan tahun dahulu. Akhirnya ada pula yang menyambut Eid seminggu lewat, dan perbezaan tarikh lain yang langsung tidak masuk akal. Kesemua ini kerana taksub dengan syeikh-syeikh tertentu yang mendakwa kiraan mereka tepat. Kelakar dan sedih melihat mereka ini. Bagaimana agaknya nanti apabila mereka mengerjakan haji yang menjadi kewajipan umat Islam, agaknya mereka akan berwukuf di Arafah pada ketika semua umat Islam sudah pulang ke tanahair masing-masing.


Taqabbalallahu minna wa minkum
Selamat Hari Raya
Maaf Zahir Batin

Hukum Solat Jumaat pada Hari Raya

Intro
Eid al-Fitri tahun ini disambut umat Islam Ottawa pada hari Jumaat. Apa hukum Solat Jumaat?

Teori

Petikan dari Fiqh al-Sunnah:
Andai Jumaat dan Eid berkumpul pada satu hari yang sama, maka gugurlah Jumaat bagi sesiapa yang menunaikan Solat Eid. Daripada Zayd ibn Arqam katanya: "Nabi sallallahu 'alayhi wasallam telah menunaikan Solat Eid dan kemudian baginda meringankan hukum Solat Jumaat lalu bersabda: "Sesiapa yang ingin solat (Jumaat), maka solatlah dia."
[Diriwayatkan oleh Lima Imam, dan sahih menurut Ibn Khuzaimah dan al-Hakim]

Nota: Lima Imam ialah Muslim, Abu Dawud, al-Tirmidhi, al-Nasa'i dan Ibn Majah.

Praktik
Sesiapa yang tetap ingin menunaikan Jumaat, silakan. Sesiapa yang tidak mahu, tidak mengapa. Jangan pula yang solat mengkritik yang tak solat sebab kedua-duanya dibenarkan.

Thursday, March 01, 2007

Sharing a Camel

Syeikh Abu 'Abdurrahman Muhammad 'Ali 'Ajaal
Fiqh Class
Syeikh Abu 'Abdurrahman was teaching about Solat al-Jumu'ah, and he read to us the famous hadith concerning early attendance to Solat al-Jum'ah:
Abu Hurayrah (radiyallahu 'anhu) narrated, the Apostle of Allah (sallallahu 'alayhi wasallam) said, "Any person who takes a bath on Friday like the bath of Janaba and then goes for the prayer (in the first hour i.e. early), it is as if he had sacrificed a camel (in Allah's cause); and whoever goes in the second hour it is as if he had sacrificed a cow; and whoever goes in the third hour, then it is as if he had sacrificed a horned ram; and if one goes in the fourth hour, then it is as if he had sacrificed a hen; and whoever goes in the fifth hour then it is as if he had offered an egg. When the Imam comes out (i.e. starts delivering the Khutba), the angels present themselves to listen to the Khutba."
[al-Bukhari]

As usual, Syeikh Abu 'Abdurrahman will entertain any questions from the audience. A boy raised his hand and asked: "O syeikh! What if there are five person who go to the prayer in the first hour?" Syeikh Abu 'Abdurrahman said: "What's the problem? All of them will get the camel." The boy replied: "But someone has to help cut the camel into five parts so that they can share the camel. How can we cut the camel and make sure that each of them receive equal amount?"

The audience bursts with laughters. The syeikh said: "O my son! Even if all people on this earth go to the prayer in the first hour, Allah will reward one camel for each of them."

Why must it be the Sun?

Syeikh Abu 'Abdurrahman Muhammad 'Ali 'Ajaal
Fiqh Class
Syeikh Abu 'Abdurrahman was teaching about Solat al-Eid, and he told us that the Hijra calendar is based on the movement of the moon, and not the sun.
Narrated Ibn Umar (radiyallahu 'anhuma): I heard the Apostle of Allah (sallallahu 'alayhi wasallam) saying, "When you see the crescent (of the month of Ramadan), start fasting, and when you see the crescent (of the month of Shawwal), stop fasting; and if the sky is overcast (and you can't see It) then regard the crescent (month) of Ramadan (as of 30 days)."
[al-Bukhari]

A man sitting on the chair in the last row asked him: "Muslims now should change their calendar and use the sun. Why must it be the moon?" The syeikh replied: "Why must it be the sun then?"

Sunday, December 25, 2005

Azan Jumaat dua kali bid'ah?

Al-Imam al-Zuhri berkata: "Al-Sa`ib ibn Yazid memberitahuku: "Sesungguhnya azan [yang disebut Allah dalam al-Quran] yang pertama ialah tatkala imam duduk di atas minbar [dan kemudian ketika iqamah untuk solat dilakukan] pada hari Jumaat [di pintu masjid] pada zaman Nabi s.a.w., Abu Bakr dan 'Umar. Pada zaman pemerintahan Uthman, manusia bertambah ramai [dan jarah antara rumah bertambah jauh] Uthman telah memerintahkan agar dilakukan azan ketiga (dalam satu riwayat disebut: azan permulaan, dalam riwayat lain disebut: azan kedua) [di atas rumah [kepunyaannya] di pasar yang diberi nama al-Zawra'] maka azan pun dilaungkan di al-Zawra' [sebelum Uthman keluar, untuk memberitahu manusia bahawa waktu Jumaat telah tiba], dan kemudian tetaplah urusan tersebut, [dan manusia tidak menyanggahi keputusan Uthman tersebut, sedangkan Uthman telah disanggah orang ramai ketika beliau menunaikan solat dengan tamam di Mina]."
*Riwayat al-Bukhariy, Abu Dawud (lafaz hadith ini mengikut Abu Dawud), al-Nasa`ie, al-Tirmidhi, Ibn Majah, al-Syafi'ie, Ibn al-Jarud, al-Baihaqi, Ahmad, Ishaq, Ibn Khuzaimah dan lain-lain.

Rumusan dari pendapat al-Syeikh al-Albani: Kita tidak mengikut perbuatan Uthman secara mutlaq tanpa memerhatikan hujjah-hujjah beliau, dan telah kita ketahui bahawa Uthman menambah azan kerana beberapa sebab yang rasional, iaitu bilangan penduduk Madinah yang bertambah ramai dan jarak antara kawasan perumahan yang semakin jauh dari Masjid Nabi, maka sesiapa yang mengikut pendapat Uthman secara taqlid buta tanpa memerhatikan sebab-sebab ini maka dia telah menyanggah Uthman, kerana jika sebab-sebab tersebut tidak berlaku, sudah tentu Uthman tidak akan menambah azan dan meneruskan sahaja azan yang dilakukan pada zaman Nabi, Abu Bakr dan 'Umar.
*Al-Ajwibah al-Nafi'ah, m/s 9.