Showing posts with label Isu. Show all posts
Showing posts with label Isu. Show all posts

Wednesday, March 18, 2009

Kelakarnya UMNO hari ini

Pagi tadi sewaktu hendak masuk ke UIAM melalui pintu utama, ada diedarkan akhbar New Strait Times percuma. Tak tahulah sama ada sudah tidak laku atau lain-lain sebab, lantas diberi percuma.

Berita utama ialah salah seorang calon Timbalan Presiden UMNO didapati bersalah atas tuduhan terlibat dengan politik wang a.k.a. rasuah. Akhbar-akhbar lain pun turut menyiarkan berita tersebut di muka depan, kecuali Metro. Hahaha... Lantas beliau dihukum tidak boleh bertanding jawatan Timbalan Presiden UMNO pada pemilihan akan datang.

Yang kelakarnya, beliau layak untuk mengekalkan jawatan sebagai Ketua Menteri Melaka. Orang yang siuman fikirannya pasti akan tergelak ketawa. Dalam UMNO, kalau anda didapati bersalah terlibat dengan politik wang, anda hanya tidak boleh bertanding. Tapi boleh jadi Ketua Menteri. Kah kah kah! Tak tahu nak komen apa. Semakin menuju kehancuran UMNO ini nampaknya.

Bikin orang siuman meluat saja!

Sunday, February 15, 2009

Malaysia vs. Aedes

Kisah penulis diserang denggi ada disiarkan dalam akhbar Sinar Harian pada 15 Februari 2009 hari Ahad, mukasurat N16. Tulisan Dr Aisar Yee Abdullah dalam kolum tetap beliau, Sentuhan Tetikus. Tajuk artikel tersebut ialah 'Perang tanpa senjata, nyamuk tersenyum.' Terima kasih diucapkan kepada beliau kerana telah menyentuh isu ini dan mewarwarkannya kepada masyarakat. Aduan demi aduan yang telah dibuat kepada pihak berkuasa nampaknya tidak mendatangkan hasil yang diidamkan. Maka saluran media digunakan sebagai hebahan moga-moga apabila umum mengetahui kisah ini, pihak berkuasa akan menggunakan kuasa yang diamanahkan kepada mereka untuk menjaga keselamatan dan kebajikan rakyat.

Jika tidak, maka sia-sia sahaja kerajaan mengisytiharkan perang terhadap denggi. Perang apa kalau senjata dan kelengkapan perang tidak mencukupi. Askar-askar penyembur nyamuk pula tidak bersungguh-sungguh membunuh musuh, sebaliknya sekadar melepaskan batuk di tangga demi mendapat bayaran perkhidmatan dari pihak berkuasa. Kematian demi kematian yang meningkat banyak nampaknya hanya dapat membuat kerajaan mengisytihar perang, perisytiharan mulut tanpa kerja perang yang sewajarnya. Belum ada dalam sejarah dunia peperangan yang dimenangi dengan sekadar membuat perisytiharan. Tunggu saja aftermath perang Kerajaan Malaysia vs. nyamuk aedes. Malaysia boleh...

Saturday, January 31, 2009

Mood bercuti

Sejak sampai di Penang, belum pernah hujan. Cuaca amat panas. Ramalan cuaca juga asyik beritahu Penang cuaca cerah. Jangan kata hujan, mendung jauh sekali. Kawasan Seberang Perai selalu hujan, tapi hujan tak lepas Jambatan Pulau Pinang. Kadang-kadang panas agak membahang, sampai pening kepala. Maklumlah dikelilingi laut. Kena banyak minum air.

Kebelakangan ini banyak juga isu yang timbul. Keganasan di Ghazzah sehingga menggemparkan Forum Ekonomi Dunia di Davos, isu boikot, keriuhan politik tanahair, dan macam-macam lagilah. Mungkin disebabkan masih dalam tempoh bercuti, maka peluang yang ada digunakan sepenuhnya untuk berseronok bersama keluarga. Di kampung juga ada isu yang timbul, daripada isu perbalahan hak ahli Koperasi Tunas Muda dengan melawan segelintir ahli Lembaga Pengarah, sehingga kepada persengketaan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (J.K.K.K.) dengan J.K.K.K. Persekutuan. Almaklumlah Penang sekarang di bawah pemerintahan Pakatan Rakyat.

Tetapi seperti yang disebutkan tadi, apabila bercuti dengan keluarga mood banyak berubah. Rasa seperti malas hendak melibatkan diri dengan perkara-perkara lain. Kita enjoy! Yang penting, kita berbuat baik dengan semua orang. Beri peluang pihak-pihak bertelagah menyuarakan pendapat. Jangan jadikan diri batu api, cubalah untuk menjadi pendamai dengan cara diplomasi yang penuh hikmah.

Friday, January 30, 2009

Konspirasi Jahat?

Solat Jumaat di Masjid Al-Huda, Sungai Ara. Khutbah berkisar tentang pakatan jahat Yahudi dan Nasrani yang memusuhi Islam. Konspirasi teliti ini dijalankan untuk menyelewengkan umat Islam daripada ajaran Islam yang tulen, di samping menghalang kemajuan ilmu dan teknologi di negara-negara Islam. Kekejaman Zionis di Gaza menunjukkan betapa darah umat Islam begitu murah untuk ditumpahkan, seolah-olah tiada harga langsung. Malang sekali masih belum ada pembelaan daripada umat Islam itu sendiri. Justeru, umat Islam disarankan untuk memastikan aqidah mereka benar-benar mantap untuk menghadapi ancaman musuh.

Hmm... nampaknya masih ramai di kalangan umat Islam yang menganggap permasalahan yang melanda dunia adalah disebabkan konspirasi jahat Yahudi dan Nasrani. Biarpun tuduhan ini masih boleh diragui, jika ia benar sekalipun rasanya ancaman luaran ini bukan faktor sebenar yang mengakibatkan umat Islam dilanda seribu satu masalah. Dahulu kita pernah menjadi kuat dan memerintah dunia dan memakmurkan segenap penjuru alam dengan keadilan Islam, malangnya kelalaian kita sendiri yang menyebabkan musuh dapat mengambil kesempatan ke atas kita. Sudah tiba masanya kita menuding jari ke muka sendiri dan membuat muhasabah, jangan asyik menyalahkan orang lain.

Sunday, January 25, 2009

Gaza, Hajarul Aswad dan Politik Tanahair

Sewaktu berada di hospital, jiran sebilik adalah dari bangsa Cina. Asal Ipoh. Menjalani rawatan fisioterapi kerana ada disc tulang belakang yang lari. Akibat kerja kuat. Sememangnya bangsa Cina terkenal dengan semangat untuk kerja kuat.

Pada suatu malam, dia melontarkan rasa kasihannya pada penduduk Gaza yang disembelih oleh rejim Zionis. Apakah kesalahan besar yang dibuat mereka sehingga negeri mereka diserang habis-habisan? Itu yang menghairankannya. Katanya lagi, sehingga kini dia masih belum jelas kenapa bumi Palestin sering dilanda konflik yang berterusan sejak sekian lamanya.

Tampak jelas kekejaman rejim Zionis sehinggakan individu-individu bukan Islam turut bersimpati dengan Gaza. Sejarah penubuhan negara haram Israel menyaksikan tanah milik rakyat Palestin dirampas. Hak mereka untuk hidup makmur dan berdaulat dinafikan. Rumah-rumah mereka dirobohkan. Kegiatan ekonomi mereka disekat. Orang-orang tersayang dibunuh. Apabila kesemua ini berlaku, apa lagi yang ada pada kehidupan? Kata rejim Zionis, mereka ingin melindungi rakyat mereka daripada keganasan Hamas. Namun, mereka lupa bahawa konflik tercetus akibat tindakan mereka sendiri. Apabila rumah dan keluarga tersayang hilang dari pandangan mata akibat dirampas dan dibunuh dengan zalim, pastinya dendam membara. Manusia sanggup berbuat apa saja demi mempertahankan tanahair dan membela orang-orang tersayang. Serangan demi serangan ke atas Gaza hanya akan menyemarakkan lagi bibit permusuhan yang sedia ada. Peluang untuk keamanan semakin tipis, dan pemulihan pastinya perlu mengambil lebih dari satu generasi.

Pertanyaan demi pertanyaan dilontarkan. Apa istimewanya Palestin sehingga menjadi rebutan? Siapa pula yang memerintah di sana? Satu persatu persoalan dijawab sebaik mungkin. Menyingkap bagaimana Jerusalem menjadi istimewa di hati tiga agama besar: Yahudi, Kristian dan Islam. Menyusuri sirah penjajahan Rom dan pembukaan Jerusalem pada zaman Khalifah 'Umar ibn al-Khattab radiyallahu 'anhu, diikuti peperangan Salib dan pemerintahan Salahuddin al-Ayyubi, sehingga kepada kejatuhan Turki 'Uthmaniyyah dan perang 1948.

Katanya, baru sekarang jelas kepadanya kenapa konflik ini berlaku. Kemudian ada juga beberapa persoalan lain mengenai Islam yang ditanyakan. Makkah. Batu hitam di Kaabah, apakah umat Islam menyembahnya. Ada juga isu politik tanahair yang disentuhnya. Maklum sajalah, esok pilihanraya kecil Parlimen Kuala Terengganu. Katanya, sebagai rakyat Malaysia, dia tidak kisah siapa yang memerintah. Yang penting, boleh cari makan dengan aman. Persepsi tipikal bangsa Cina sejak dahulu. Buat apa gaduh-gaduh, yang penting boleh sama-sama cari makan dengan baik. Persoalan mengenai Islam dan Palestin yang dilontarkannya, mungkin menunjukkan umat Islam di Malaysia masih kurang berdakwah kepada rakan senegara dari agama lain. Tidak hairanlah apabila media massa negara lebih banyak memainkan isu politik daripada memberi kefahaman tentang Islam.

Friday, January 02, 2009

Kuala Lumpur-Gombak-Putrajaya

Another busy day...

Pagi-pagi lagi sudah berkejar ke Klinik Daya X-ray di Jalan Raja Laut ambil laporan x-ray. Terus ke Health Center, UIAM untuk melengkapkan medical examination report. Kemudian singgah di MSD, UIAM untuk ambil borang-borang dan surat perjanjian berkaitan study leave. Terus pula ke Putrajaya untuk menghantar surat perjanjian biasiswa di Bahagian Biasiswa, Kementerian Pengajian Tinggi. Lunch di Nando's dekat Medan Selera Putra. Solat Jumaat di Masjid Putra. Khutbah mengenai kewajiban membantu saudara di Palestin. Selesai solat diadakan pula solat hajat untuk keselamatan Palestin. Biarpun kaedah pelaksanaan solat hajat itu sendiri tertakluk kepada pertikaian, namun sekurang-kurangnya mereka ada kesedaran untuk membantu rakyat Palestin, tidak seperti sebuah masjid di Kuala Lumpur yang berterusan seperti tidak peduli akan isu semasa. Menurut sumber yang dipercayai, khutbah di masjid tersebut menyentuh isu hijrah, maklum sahajalah kita berada di ambang tahun baru hijrah.

Mungkin disebabkan kurangnya pendedahan terhadap amalan Sunnah, masyarakat lupa kepada Qunut Nazilah. Biarpun semangat untuk membantu Palestin membuak-buak, sepatutnya cara dan kaedah memberi bantuan juga perlu selari dengan ajaran Sunnah. Penerangan ringkas mengenai Qunut Nazilah ada di blog Abu Usamah:


Ya Allah! Peliharalah saudara-saudara kami yang dizalimi di Palestin!