Showing posts with label Tazkiyyah. Show all posts
Showing posts with label Tazkiyyah. Show all posts

Thursday, February 19, 2009

Perumpamaan Kehidupan dan Dunia

Dunia oh dunia. Penuh dengan pelbagai godaan dan tipu daya. Kehidupan duniawi itu indah di mata. Ibarat kawasan tandus dan gersang yang dilimpahi air, kemudian tumbuh pelbagai jenis tanaman yang memberi manfaat kepada manusia. Manusia bersenang-lenang dan bermewah-mewahan menikmati manfaat dari tanaman yang pelbagai itu sehingga mereka akhirnya menjadi lalai. Mereka menyangka bahawa segala kesenangan yang mereka nikmati akan kekal di bawah pengaruh kekuasaan mereka.

Tatkala itu, maka Allah akan datangkan bencana dengan mengejut sehingga kawasan yang subur dan makmur itu kembali bertukar menjadi tandus dan gersang.

Itulah dunia. Mereka yang lalai dengan kesenangan pasti akan rugi besar apabila maut itu datang. Bukankah tatkala kita dilahirkan ke dunia, kita tidak punya apa-apa ibarat kawasan tandus dan gersang. Kemudian kita menikmati pelbagai kesenangan hidup sebagai ujian daripada Allah, seolah-olah kita benar-benar menguasai kehidupan kita sendiri. Ada antara kita yang akan menjadi lalai, dan sedikit sangat yang benar-benar tahu bersyukur dan menggunakan nikmat kehidupan untuk menyiapkan bekalan Akhirat. Pastinya apabila maut itu datang, kita akan kembali kepada asal - kawasan yang tandus dan gersang kerana maut itu memutuskan segala nikmat duniawi.
[24] Sesungguhnya bandingan kehidupan dunia hanyalah seperti air hujan yang Kami turunkan dari langit, lalu (tumbuhlah dengan suburnya) tanaman-tanaman di bumi dari jenis-jenis yang dimakan oleh manusia dan binatang bercampur-aduk dan berpaut-pautan (pokok-pokok dan pohonnya) dengan sebab air itu hingga apabila bumi itu lengkap sempurna dengan keindahannya dan berhias (dengan bunga-bungaan yang berwarna-warni) dan penduduknya pun menyangka bahawa mereka dapat berbagai-bagai tanaman serta menguasainya (mengambil hasilnya) datanglah perintah Kami menimpakannya dengan bencana pada waktu malam atau pada siang hari lalu Kami jadikan ia hancur-lebur, seolah-olah ia tidak ada sebelum itu. Demikianlah Kami menjelaskan ayat-ayat keterangan Kami satu persatu bagi kaum yang mahu berfikir (dan mengambil iktibar daripadanya). [25] (Itulah dia kesudahan kehidupan dunia) dan sebaliknya Allah menyeru manusia ke tempat kediaman yang selamat sentosa dan Dia sentiasa memberi petunjuk hidayatNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya) ke jalan yang betul lurus (yang selamat itu).
[Surah Yunus, 10:24-25]

Itulah kesudahan bagi manusia yang lalai dengan dunia yang fana, sedangkan Allah menyeru kepada kebahagian abadi di syurga. Hanya mereka yang benar-benar berfikir akan dapat menyelamatkan diri daripada tipu daya dunia. Sama-samalah kita fokus kepada Akhirat. Dunia ini sambilan sahaja.

Friday, March 21, 2008

Resepi untuk Kejayaan

Sesungguhnya berjayalah bagi mereka yang mensucikan diri mereka. Suci yang bagaimana? Diri mereka suci dengan mengikut segala ajaran Islam dan suci dari sifat-sifat tercela. Ada juga tokoh-tokoh tafsir yang mengatakan suci ini termasuk perbuatan mensucikan harta dengan mengeluarkan zakat dan sadaqah. Ini kerana pada ayat berikut terdapat pula perintah mendirikan solat. Maka untuk berjaya, seseorang itu mesti suci, mengingati nama Tuhannya dan mendirikan solat. Mendirikan solat bukan sekadar solat, tetapi mendirikan solat penuh dengan syarat-syaratnya.

Malang sekali, manusia lebih suka kepada kesenangan dunia. Lantas tidak diendahkan perintah-perintah untuknya mencapai kejayaan. Sedangkan Akhirat itu lebih baik dari dunia, dan Akhirat itu pula kekal selama-lamanya. Fikirkan, hanya orang yang bijak boleh berjaya. Ini kerana hanya orang bijak akan memilih Akhirat yang lebih baik dan kekal berbanding dunia yang hina dan sementara... Sebelum berbuat sesuatu dalam kehidupan seharian, pertimbangkan kesannya terhadap balasan kita di Akhirat kelak, usah diendahkan sangat dunia. Inilah resepi untuk berjaya.

Resepi untuk berjaya ini telah pun tercatat di dalam kitab-kitab terdahulu, iaitu Kitab Ibrahim dan Kitab Musa. Ini menjadi bukti bahawa ajaran Islam sebenarnya sama dengan mesej dakwah yang dibawa oleh nabi-nabi terdahulu.

*Kupasan Kuliah Tafsir Surah al-A'la oleh Syeikh Abdurrahman al-Hijazi, imam Masjid Ottawa.

Friday, February 29, 2008

Ia tak patut berlaku tapi ia tetap berlaku

Dalam menjalani rutin kehidupan setiap hari, pernahkah kita terfikir, betapa banyak masa dan tenaga yang kita buang kerana memberi perhatian kepada perkara yang langsung tidak ada kaitan dengan kita, sebaliknya banyak perkara yang sangat penting dalam hidup kita sengaja abaikan begitu sahaja?

Kita begitu banyak berbicara mengenai perkara yang tidak ada sangkut paut dengan kita. Bahkan kebanyakan perkara ini tidak pula kita miliki maklumat yang tepat. Baik pemimpin negara mahupun orang awam tidak terlepas dari suka berbicara akan perkara yang tidak penting dan kurang jelas maklumatnya. Gosip mengenai personaliti, arena politik, dan seumpamanya lebih kita sukai sedangkan kita sendiri tidak pasti entah benar entah tidak perkara yang kita bincangkan. Al-Quran yang jelas lagi terang benar isi kandungannya mengenai panduan hidup kita di dunia ini - jangan kata berusaha memahaminya, hendak membuka dan membaca sepuluh ayat sehari pun kita malas. Cerita artis, berita politik dan umpat-mengumpat lebih kita suka.

Ini antara intipati pengajaran dalam Surah al-Kahfi, ayat 19 dan 22. Dalam ayat 19, diceritakan apabila penghuni gua bangun dari tidur mereka yang sangat panjang, salah seorang daripada mereka bertanya, berapa lama agaknya mereka tidur. Jawab seorang yang lain, mungkin satu hari atau setengah hari. Lantas akhirnya mereka terus berkata, Tuhan kamu lebih tahu berapa lama kamu tidur. Dalam ayat 22 pula, Allah menyebut mengenai khilaf bilangan penghuni gua. Ada yang berkata tiga pemuda dan seekor anjing, ada yang kata lima pemuda dan seekor anjing, ada yang kata tujuh pemuda dan seekor anjing. Lantas Allah menyuruh Muhammad sallallahu 'alayhi wasallam menjawab: "Tuhanku lebih tahu berapa bilangan mereka."

Lihat bagaimana respon orang-orang beriman. Penghuni gua, bagi mereka, berapa lama tempoh mereka tertidur tidaklah penting. Yang penting adalah survival iman mereka. Mereka lari kerana ingin memelihara iman mereka dari kejahatan kaum mereka.

Berapa bilangan penghuni gua juga bukanlah sesuatu yang penting. Yang penting, peristiwa ini benar-benar berlaku dan ia menjadi tanda kekuasaan Allah untuk membangkitkan manusia di Akhirat. Di Akhirat kita tidak akan dipersoal mengenai berapa bilangan mereka, atau di mana gua tersebut, tetapi kita akan ditanya mengenai iman kita. Adakah kita benar-benar beriman bahawa Allah mampu membangkitkan semula manusia yang telah mati? Apa pula tindakan kita dalam menjaga agama kita, adakah kita mencontohi sikap penghuni gua?

Lihat sajalah kehidupan kita. Berapa usaha yang kita lakukan untuk kesejahteraan di Akhirat yang lebih penting dari dunia? Berapa lama pula kita cuba meluangkan masa belajar aqidah yang menjadi tonggak kepercayaan kita? Semoga kita sama-sama dapat memperbaiki fokus kehidupan kita agar tidak membuang masa dengan perkara yang tidak ada kepentingan dalam hidup kita.

*Petikan Kuliah Tafsir Syeikh Abdurrahman al-Hijazi di Masjid Ottawa

Friday, February 15, 2008

Alkisah seorang ayah yang cintakan keluarganya

Malam itu, Syeikh Abdurrahman al-Hijazi memulakan kuliah dengan menceritakan suatu kisah kepada kami. Katanya, kisah ini mungkin sebahagian dari kita pernah mendengar atau membaca, tetapi sangat baik untuk dibuat analogi agar kita kembali beramal dengan al-Quran. Begini ringkasannya...

Pada suatu masa dahulu, ada sebuah keluarga yang terdiri dari ayah, ibu dan anak-anak yang ramai. Kehidupan mereka sangatlah bahagia. Pada suatu ketika, tibalah masa buat si ayah pergi bermusafir jauh untuk suatu tempoh yang sangat lama, lebih 10 tahun.

Sepanjang tempoh beliau bermusafir, si ayah sentiasa mengutus surat kepada keluarga yang ditinggalkan. Oleh kerana ahli-ahli keluarga sangat-sangatlah menyayangi dan mengasihi beliau, mereka menjaga surat-surat kiriman beliau dengan baik. Surat-surat itu diletakkan di kotak-kotak mahal dan sangat dihargai sehinggakan mereka langsung tidak mahu membukanya. Setiap hari mereka sekadar membelek dan merenung surat-surat tersebut.

Akhirnya selesailah urusan si ayah lalu pulanglah beliau menemui keluarganya. Alangkah terkejut setelah beliau tiba di rumah, yang tinggal hanyalah anak kecilnya. Isterinya yang tersayang telah menemui ajal kerana sakit teruk, manakala anak-anaknya kesemuanya telah rosak, ada yang melakukan jenayah, ada yang melakukan aktiviti tidak bermoral dan pelbagai lagi.

Si ayah tambah terkejut dibawa anak kecilnya melihat surat-surat kirimannya yang bertimbun - langsung tidak diusik sedikit pun bahkan dihias cantik di satu sudut rumahnya. Aduhai, kata si ayah. Bukankah dalam surat-surat ini senantiasa ku kirimkan nasihat-nasihat dan wang belanja untuk keselamatan dan kebahagiaan kamu semua. Kenapa kamu tidak mahu membuka dan membacanya? Andai kamu membuka dan membaca surat-suratku, nescaya kamu tidak akan sampai begini jadinya...

Kata Syeikh, Allah sangat-sangat menyayangi hamba-hamba-Nya. Dia tahu hamba-hambanya hidup dalam keadaan susah payah di dunia, maka diutus al-Quran buat pedoman agar hamba-hambanya tidak binasa.

Malang sungguh bila ada antara kita yang sangat memuliakan al-Quran - mengucup mushaf, membingkaikan ayat-ayat al-Quran dengan bingkai cantik lagi mahal dan digantung di rumah - tetapi langsung tidak pernah meluangkan masa memahami isi kandungan al-Quran dan beramal dengannya.