Showing posts with label Tafsir. Show all posts
Showing posts with label Tafsir. Show all posts

Friday, March 21, 2008

Resepi untuk Kejayaan

Sesungguhnya berjayalah bagi mereka yang mensucikan diri mereka. Suci yang bagaimana? Diri mereka suci dengan mengikut segala ajaran Islam dan suci dari sifat-sifat tercela. Ada juga tokoh-tokoh tafsir yang mengatakan suci ini termasuk perbuatan mensucikan harta dengan mengeluarkan zakat dan sadaqah. Ini kerana pada ayat berikut terdapat pula perintah mendirikan solat. Maka untuk berjaya, seseorang itu mesti suci, mengingati nama Tuhannya dan mendirikan solat. Mendirikan solat bukan sekadar solat, tetapi mendirikan solat penuh dengan syarat-syaratnya.

Malang sekali, manusia lebih suka kepada kesenangan dunia. Lantas tidak diendahkan perintah-perintah untuknya mencapai kejayaan. Sedangkan Akhirat itu lebih baik dari dunia, dan Akhirat itu pula kekal selama-lamanya. Fikirkan, hanya orang yang bijak boleh berjaya. Ini kerana hanya orang bijak akan memilih Akhirat yang lebih baik dan kekal berbanding dunia yang hina dan sementara... Sebelum berbuat sesuatu dalam kehidupan seharian, pertimbangkan kesannya terhadap balasan kita di Akhirat kelak, usah diendahkan sangat dunia. Inilah resepi untuk berjaya.

Resepi untuk berjaya ini telah pun tercatat di dalam kitab-kitab terdahulu, iaitu Kitab Ibrahim dan Kitab Musa. Ini menjadi bukti bahawa ajaran Islam sebenarnya sama dengan mesej dakwah yang dibawa oleh nabi-nabi terdahulu.

*Kupasan Kuliah Tafsir Surah al-A'la oleh Syeikh Abdurrahman al-Hijazi, imam Masjid Ottawa.

Berilah Peringatan!

Rasulullah sallallahu 'alayhi wasallam diperintahkan agar memberi peringatan sekiranya peringatan memberi kebaikan kepada manusia. Diriwayatkan bahawa Sayyidina 'Ali ibn Abi Talib radiyallahu 'anhu berpesan agar segala yang disampaikan kepada masyarakat mestilah sesuai dengan tahap pemikiran mereka. Sekiranya tidak, maka ia akan menjadi fitnah kepada masyarakat.

Peringatan ini akan diterima oleh mereka yang takutkan Allah. Sebaliknya, peringatan ini akan ditolak oleh mereka yang jahat dan celaka. Inilah golongan yang akan masuk ke dalam api yang besar. Di dalamnya, mereka tidak akan mati dan tidak pula menikmati kehidupan yang selesa.

Ingatlah bahawa tugas pendakwah sekadar menyampaikan peringatan. Sama ada peringatan diterima atau tidak, itu adalah hak mutlak Allah. Sudah tentu, hanya mereka yang takutkan Allah akan menerima peringatan dan beroleh manfaat dari peringatan tersebut.

*Kupasan Kuliah Tafsir Surah al-A'la oleh Syeikh Abdurrahman al-Hijazi, imam Masjid Ottawa.


Dia Pencipta, Dia Pemberi Tunjuk Ajar

Allah telah mencipta segala-gala yang ada dengan sebaik-baik ciptaan. Alangkah bertuah manusia, kerana di kalangan makhluk ciptaan Allah, manusia dikurniakan akal fikiran dan diberi pilihan sama ada untuk taat atau derhaka terhadap Allah.

Setelah selesai penciptaan Allah, Allah telah menetapkan pula taqdir ke atas makhluk. Kemudian Dia memberi pula tunjuk ajar kepada makhluk bagaimana untuk hidup. Bayi yang baru lahir, siapa yang mengajar mereka agar menangis? Pakar perubatan mendapati tangisan pertama bayi yang baru lahir penting kerana ia menandakan saluran pernafasan bayi tiada masalah. Siapa pula yang mengajar bayi menyusu? Begitu juga dengan haiwan lain, siapa yang mengajar mereka menyusu dan meragut rumput?

Kemudian Allah hamparkan bumi yang penuh dengan tumbuh-tumbuhan hijau yang menjadi makanan buat ternakan manusia. Akhirnya tumbuhan-tumbuhan itu, apabila sampai usia mereka, berubahlah warna mereka dari kekuningan sehingga hitam dan mati. Setelah itu digantikan pula dengan tumbuhan-tumbuhan baru.

Tidakkah segala tanda-tanda kekuasaan ini bukti betapa manusia sepatutnya senantiasa bertasbih memuji Allah?

Subhanallah, Subhana Rabbiy al-A'la
...

*Petikan Kuliah Tafsir Surah al-A'la oleh Syeikh Abdurrahman al-Hijazi, imam Masjid Ottawa
.

Allah Maha Tinggi. Tinggi?

Benar, itu disebut dalam al-Quran. Nabi Muhammad sallallahu 'alayhi wasallam dan para Sahabah radiyallahu 'anhum ajma'in beriman bahawa Allah itu Maha Tinggi. Tidak pula mereka sibuk bertanya, tinggi yang bagaimana? Atau tinggi di arah mana? Maka aku sebagai umat terkemudian juga tidak patut bertanyakan maklumat terperinci mengenainya kerana mereka yang mendahuluiku dalam agama ini tidak pula sibuk bertanya. Dalam pada tidak mensibukkan diri dengan pendetailan ini, iman mereka adalah yang terbaik antara umat manusia.

Adalah satu penghinaan kepada Rasulullah, andai aku berpandangan definisi Maha Tinggi itu perlu penjelasan yang mendalam. ini kerana seolah-olah Rasulullah sebelum meninggalkan kita, masih ada sudut-sudut aqidah yang tidak dijelaskan dengan sempurna. Sedangkan Allah berfirman:
[الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِى وَرَضِيتُ لَكُمُ الأِسْلاَمَ دِيناً]
(This day, I have perfected your religion for you, completed My favor upon you, and have chosen for you Islam as your religion.)
[Surah al-Maidah, 5:3]

Menurut al-Hafiz Ibn Kathir, ayat ini menunjukkan betapa besar anugerah Allah kepada umat ini, kerana agama mereka telah disempurnakan dan mereka tidak perlu lagi mencari agama lain atau mencari nabi lain selain dari Muhammad sallallahu a'alyhi wasallam.

Maka antara aspek terpenting agama ialah aqidah, maka sudah tentu aqidah ini telah sempurna. Di antara aspek aqidah pula yang terpenting sudah tentu Tauhid kepada Allah yang Maha Esa. Berdasarkan ayat ini, sepatutnya aku yakin bahawa agama Islam ini telah cukup sempurna dan tidak perlu lagi kepada apa-apa tambahan.

Begitu juga dengan Maha Tinggi yang merupakan salah satu sifat-sifat Allah yang Agung. Tinggi itu maknanya dari segi bahasa jelas dan difahami. Bagaimana tinggi itu, tidaklah aku ketahui, danaku tidak berhajat untuk tahu. Untuk nafikan sifat Tinggi, tidak mungkin kerana Allah sendiri menyebut Diri-Nya Maha Tinggi. Untuk ubah kepada maksud lain, juga bukan hakku untuk merubah perkataan Tuhanku. Jelas bagiku, untuk memperoleh iman sempurna, aku tidak perlu tahu detail bagaimana sifat Tinggi itu. Yang pasti, sifat Tinggi bagi Allah itu tidak sama dengan sifat tinggi yang terdapat pada makhluk.

Al-Hafiz Ibn Kathir menyebut bahawa Rasulullah seringkali apabila membaca ayat pertama Surah al-A'la, baginda akan bertasbih memenuhi perintah ayat tersebut dengan membaca:

«سُبْحَانَ رَبِّيَ الْأَعْلَى»


Cuma, perlu diingatkan bahawa respon terhadap ayat-ayat al-Quran seharusnya dilakukan tatkala solat bersendirian. Respon yang bagaimana? Apabila aku membaca ayat-ayat al-Quran yang mengkhabarkan suasana indah di Syurga, maka aku seharusnya berdoa memohon kepada Allah agar menempatkan aku di Syurga; apabila membaca ayat-ayat azab maka aku seharusnya meminta perlindungan Allah; apabila membaca ayat-ayat perintah untuk bertasbih, maka aku seharusnya bertasbih; dan apabila membaca ayat-ayat soalan mengenai kekuasaan Allah, aku seharusnya menjawab dan mengakui kekuasaan Tuhanku.

Wallahu a'lam.

*Kupasan Kuliah Tafsir Surah al-A'la oleh Syeikh Abdurrahman al-Hijazi, imam Masjid Ottawa.

Friday, February 29, 2008

Ia tak patut berlaku tapi ia tetap berlaku

Dalam menjalani rutin kehidupan setiap hari, pernahkah kita terfikir, betapa banyak masa dan tenaga yang kita buang kerana memberi perhatian kepada perkara yang langsung tidak ada kaitan dengan kita, sebaliknya banyak perkara yang sangat penting dalam hidup kita sengaja abaikan begitu sahaja?

Kita begitu banyak berbicara mengenai perkara yang tidak ada sangkut paut dengan kita. Bahkan kebanyakan perkara ini tidak pula kita miliki maklumat yang tepat. Baik pemimpin negara mahupun orang awam tidak terlepas dari suka berbicara akan perkara yang tidak penting dan kurang jelas maklumatnya. Gosip mengenai personaliti, arena politik, dan seumpamanya lebih kita sukai sedangkan kita sendiri tidak pasti entah benar entah tidak perkara yang kita bincangkan. Al-Quran yang jelas lagi terang benar isi kandungannya mengenai panduan hidup kita di dunia ini - jangan kata berusaha memahaminya, hendak membuka dan membaca sepuluh ayat sehari pun kita malas. Cerita artis, berita politik dan umpat-mengumpat lebih kita suka.

Ini antara intipati pengajaran dalam Surah al-Kahfi, ayat 19 dan 22. Dalam ayat 19, diceritakan apabila penghuni gua bangun dari tidur mereka yang sangat panjang, salah seorang daripada mereka bertanya, berapa lama agaknya mereka tidur. Jawab seorang yang lain, mungkin satu hari atau setengah hari. Lantas akhirnya mereka terus berkata, Tuhan kamu lebih tahu berapa lama kamu tidur. Dalam ayat 22 pula, Allah menyebut mengenai khilaf bilangan penghuni gua. Ada yang berkata tiga pemuda dan seekor anjing, ada yang kata lima pemuda dan seekor anjing, ada yang kata tujuh pemuda dan seekor anjing. Lantas Allah menyuruh Muhammad sallallahu 'alayhi wasallam menjawab: "Tuhanku lebih tahu berapa bilangan mereka."

Lihat bagaimana respon orang-orang beriman. Penghuni gua, bagi mereka, berapa lama tempoh mereka tertidur tidaklah penting. Yang penting adalah survival iman mereka. Mereka lari kerana ingin memelihara iman mereka dari kejahatan kaum mereka.

Berapa bilangan penghuni gua juga bukanlah sesuatu yang penting. Yang penting, peristiwa ini benar-benar berlaku dan ia menjadi tanda kekuasaan Allah untuk membangkitkan manusia di Akhirat. Di Akhirat kita tidak akan dipersoal mengenai berapa bilangan mereka, atau di mana gua tersebut, tetapi kita akan ditanya mengenai iman kita. Adakah kita benar-benar beriman bahawa Allah mampu membangkitkan semula manusia yang telah mati? Apa pula tindakan kita dalam menjaga agama kita, adakah kita mencontohi sikap penghuni gua?

Lihat sajalah kehidupan kita. Berapa usaha yang kita lakukan untuk kesejahteraan di Akhirat yang lebih penting dari dunia? Berapa lama pula kita cuba meluangkan masa belajar aqidah yang menjadi tonggak kepercayaan kita? Semoga kita sama-sama dapat memperbaiki fokus kehidupan kita agar tidak membuang masa dengan perkara yang tidak ada kepentingan dalam hidup kita.

*Petikan Kuliah Tafsir Syeikh Abdurrahman al-Hijazi di Masjid Ottawa

Friday, February 15, 2008

Tafsir Ayat al-Kursi

Ayat 255 Surah al-Baqarah - dikenali sebagai Ayat al-Kursi. Ayat terhebat dalam al-Quran. Mengandungi prinsip-prinsip utama Tauhid selain pelbagai khasiat dan faedah seperti yang termaktub dalam hadith-hadith sahih.

Dimulakan dengan menyatakan kalimah Tauhid - tidak ada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah. Diikuti pula dengan dua nama daripada nama-nama-Nya yang mulia: al-Hayy dan al-Qayyum. Ada sebahagian 'ulama berpendapat bahawa kedua-dua nama ini adalah nama Allah yang teragung, sementara yang lain berpendapat nama Allah yang teragung ialah al-Rahman, al-Rahim dan Allah. Wallahu a'lam, menurut Syeikh Abdurrahman al-Hijazi, di dalam satu hadith, diriwayatkan bahawa ada seorang Sahabah yang berdoa kepada Allah dengan menyebut beberapa nama Allah, kemudian Rasulullah sallallahu 'alayhi wasallam memberitahu bahawa Sahabat tadi telah menyebut nama Allah yang teragung, sekiranya sesiapa sahaja yang berdoa dengan nama itu nescaya doanya diterima Allah.

Al-Hayy dan al-Qayyum sangat istimewa. Al-Hayy - Allah itu Maha Hidup, azali dan abadi. Dia Yang Awal, tiada sebelumnya sesuatu dan Dia Yang Akhir, tiada selepasnya sesuatu. Al-Qayyum - Dia bukan sekadar hidup bahkan Maha Mentadbir seluruh yang wujud. Syeikh menyamakan maksud al-Qayyum dengan al-Samad di dalam Surah al-Ihklas. Dia menajdi tempat kesemua makhluk bergantung harap meminta pertolongan. Ini sama sekali menafikan pandangan sebahagian agama yang menganggap tuhan mendiamkan diri selepas mencipta alam ini. Lihat perumpamaan politik dunia, ada raja-raja yang sekadar bertakhta tetapi tidak berkuasa (reigning but not ruling).

Kemudian dinyatakan pula bahawa Allah itu tidak tidur dan tidak mengantuk. Penjelasan mendalam agar manusia tidak sesat dalam mengenali pencipta mereka. Ada manusia yang tidak tidur tetapi mereka tidak lepas dari mengantuk. Maha Suci Allah dari semua sifat kelemahan ini.

Kemudian dinyatakan pula Allah itu pemilik segala yang ada di langit dan segala yang ada di bumi.

Kemudian dinyatakan pula Allah itu pemilik tunggal hak memberi syafaat. Diberi syafaat kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya, termasuk kepada Rasulullah sebagai pemberi syafaat di Akhirat kelak. Tidak ada sesiapa yang boleh memberi syafaat pertolongan melainkan setelah mendapat izin dari-Nya.

Kemudian dinyatakan pula kesempurnaan ilmu Allah itu, dari apa yang berlaku dalam kehidupan manusia di bumi sehinggalah kepada apa yang akan berlaku kepada mereka di Akhirat kelak. Manusia itu pula sekadar mendapat ilmu yang diizinkan Allah jua.

Kemudian disebut pula mengenai al-Kursi yang luasnya meliputi langit dan bumi. Menurut syeikh, disebut di dalam hadith bahawa al-Kursi ialah tempat dua tapak kaki. Sepertimana Rasulullah sebut tempat dua tapak kaki begitu jugalah kita sebut. Bagaimana rupanya kita tidak tahu kerana tidak diberitahu, yang kita pasti ia tidak sama dengan kaki manusia mahupun kaki mana-mana makhluk kerana Allah itu suci dari menyamai makhluk. Yang kita tahu, al-Kursi sangatlah besar kerana alam semesta ini yang sekadar berada di bawah naungan langit pertama sahaja belum habis kita terokai. Di dalam satu hadith disebut pula bahawa perbandingan antara al-Kursi dan al-Arsy seperti sebentuk cincin yang dilempar ke tengah padang pasir yang luas. Maka al-Arsy lebih hebat dan besar. Lebih dari itu tidaklah kita tahu.

Kemudian dinyatakan pula bahawa Allah itu tidak pernah berasa letih untuk menjaga dan mentadbir langit dan bumi. Ini sekali lagi menyanggah tanggapan sebahagian manusia yang menyamakan Allah dengan makhluk yang dilanda letih setelah bekerja keras menjaga dan mentadbir kawasan yang luas. Ini termasuklah Koen yang kadang kala berasa kasihan kepada Allah kerana menurutnya pasti Allah letih kerana sudahlah mentadbir alam, kena pula memperkenan pelbagai permintaan seluruh manusia.

Akhir sekali disebut pula dua nama Allah yang mulia, al-Aliy dan al-Azim; Yang Maha Tinggi dan Yang Maha Agung.

Kuliah tamat tepat jam 9 malam. Kami perlu cepat kerana hendak ke Food Basics. Sewaktu di pintu keluar masjid, seorang budak lelaki bertanya kepada Mishal mengenai Koen, "Is he new?" Dia bertanya adakah Koen baru masuk Islam. Mishal pun memberitahu belum lagi. Tiba-tiba sahaja budak itu dengan nada kurang senang berkata, "Then why is he here?" Hampir saja Mishal naik angin. Orang lagi nak dakwah ajak datang masjid supaya mereka mengenal Islam dan lunak hati dengan Islam, masih ada pemikiran lapuk ditanam dalam akal generasi muda bahawa masjid adalah tempat khusus bagi orang Islam sahaja. Sabar Mishal, budak tu kecil lagi. Betul juga kata Mishal. Kuliah kat masjid pun berapa ramai sangat orang Islam yang datang, kira bagus jugalah Koen yang bukan Islam sanggup datang luangkan masa dengar.

Kami terus ke Food Basics di Merivale Road dan membeli barang-barang dapur untuk rumah masing-masing.

Sunday, January 27, 2008

Ringkasan Kuliah Tafsir Surah al-Ghashiyyah II

Kebesaran Allah
Pada bahagian kedua, Allah menyebut ciptaan-ciptaan-Nya yang hebat, iaitu unta, langit, gunung dan bumi. Manusia disuruh merenung ciptaan-ciptaan ini dan mengagungkan Allah.

Mengapa unta? Syeikh bertanya kepada kami. Mishal memberi jawapan yang betul, disebabkan unta adalah haiwan yang paling akrab dengan kehidupan Arab pada zaman itu. Bahkan menurut syeikh, Arab padang pasir ketika tiu tidak memiliki harta kekayaan melainkan langit yang dijunjung, bumi yang dipijak, khemah kecil sebagai tempat tinggal dan unta.

Maka kita disarankan untuk mengkaji ciptaan Allah sebagai cara untuk meningkatkan iman. Memang ilmu syari'ah mengatasi martabat ilmu-ilmu lain, tetapi ini tidak bermakna umat Islam boleh meninggalkan ilmu sains dan lain-lain. Ilmu-ilmu lain ada manfaatnya asalakan dipandu ke arah meningkatkan iman dan taqwa kepada Allah.

Berilah Peringatan!
Kemudian Allah memerintahkan Rasulullah sallallahu 'alayhi wasallam agar memberi peringatan kepada manusia, di samping meningatkan baginda agar jangan memaksa manusia menerima Islam. Menurut syeikh, betapa kepada orang kafir pun kita tidak boleh memaksa Islam, apatah lagi sesama Islam. Syeikh menyebut sikap sebahagian orang Islam yang suka memaksa anak-anak mereka. Solat! Duduk diam-diam di masjid! Jangan bising! Jika tidak disolat maka dipukul semahunya. Memang disaran oleh Rasulullah, tetapi sepatutnya kita ingat bahawa hukuman hanya sepatutnya dilaksanakan setelah ibu bapa mengambil langkah sewajarnya dalam mendidik anak-anak.

Syeikh menasihatkan ibu bapa agar menggunkaan pendekatan kasih sayang dalam menanam aqidah di hati anak-anak. Jika dipaksa, mereka hanya akan berlaku baik di hadpaan ibu bapa semasa mereka masih kecil. Bila mereka jauh dari ibu bapa, maka mereka akan memberontak. Di Kanada, betapa banyak gangguan luar yang boleh membinasakan anak-anak dari memahami agama. Cuba bayangkan, mereka dibawa ke masjid kemudian dipaksa duduk diam dan solat, tetapi bila mereka ke rumah kawan-kawan mereak atau ke pusat hiburan mereka merasa gembira. Sudah tentu lama kelamaan mereka akan lebih suka perkara yang menyebabkan mereka gembira. Sebaliknya, pendekatan agama melalui kasih sayang akan lebih meninggalkan kesan di hati anak-anak walaupun mereka berseorangan.

Seterusnya Allah menyebut pula siksaan yang akan dikenakan kepada mereka yang berpaling dari seruan Rasulullah. Syeikh tidak sempat menerangkan tiga ayat terakhir dengan lebih mendalam disebabkan masa yang telah tamat.

Borang feedback dikutip dan orang ramai bersurai.

Ringkasan Kuliah Tafsir Surah al-Ghashiyyah I

Maksud al-Ghashiyyah
Ada beberapa pendapat, tetapi yang masyhur al-Ghashiyyah merujuk kepada Hari Qiyamah berdasarkan ayat-ayat selepasnya yang merujuk kepada keadaan manusia pada hari tersebut.

Keadaan Manusia Pada Hari al-Ghashiyyah
Dua kelompok manusia: Pertama, mereka yang wajah mereka dihinakan; Kedua, mereka dengan wajah girang.

Kelompok pertama ialah mereka yang berusaha keras ketika hidup di dunia sehingga mereka merasa letih lesu, tetapi masuk neraka. Sifat azab mereka diceritakan seolah-olah mereka akan dibakar api yang marak seperti orang Arab memasak daging yang dimampatkan dalam bekas kecil di atas api, yakni mereka tidak dapat lari. Bila kita masak atas kuali yang luas, ada tempat yang kurang panas, tetapi kalau daging dah dimampat dalam bekas kecil memang dah tak boleh lari. Minuman dari air yang panas menggelegak, dan makanan mereka ialah dhari' yang tidak menggemukkan atau mengenyangkan. Dari sudut bahasa, dhari' merujuk kepada sejenis tumbuhan di gurun yang tidak dimakan kerana beracun.

Contoh kelompok pertama, dikisahkan bahawa ada Sahabah yang menangis tatkala melihat seorang pendeta tua keluar dari biara mengenangkan betapa sang pendeta penat lelah berusaha bersungguh-sungguh untuk mendekatkan diri kepada Allah namun di Akhirat dia akan tetap disiksa. Satu lagi ialah golongan Khawarij dan mereka yang semanhaj dengan mereka dalam kafir-mengkafir orang Islam lain. 'Ibadah mereka memang first class sehingga diriwayatkan Nabi sallallahu 'alayhi wasallam menyebut para Sahabah akan merasa cemburu melihat betapa eloknya solat golongan ini, tetapi mereka keluar dari agama seperti anak panah terlepas dari busur. Dengan 'ibadah mereka yang begitu sempurna, terbit rasa sombong di hati mereka dan mereka merasakan orang lain lebih rendah martabat mereka di sisi Allah. Syeikh menyebut lagi kisah dua orang bersaudara, seorang kaki maksiat dan seorang ahli ibadah, sehinggalah pada suatu hari ahli 'ibadah begitu marah kepada saudaranya kaki maksiat sehingga bersumpah atas nama Allah bahawa Allah tidak akan mengampunkan dosa kaki maksiat, tetapi akhirnya kaki maksiat diampunkan Allah dan ahli 'ibadah disiksa kerana Allah murka dengan sumpahnya yang menafikan peluang taubat dan keampunan untuk manusia lain.

Kelompok kedua pula ialah mereka yang girang gembira disebabkan mengenangkan usaha mereka yang berbaloi ketika mereka hidup di dunia. Syeikh memberi contoh mudah, biasanya manusia ini gembira kerana tiga sebab utama; iaitu kahwin, mendapat anak pertama dan menerima penghargaan atas sesuatu usaha hebat yang dilakukannya.

Kegembiraan pertama dan kedua bukanlah kegembiraan sebenar kerana walaupun seseorang itu gembira kerana berkahwin atau mendapat anak, namun di hati tetap terbayang tanggungjawab berat yang mesti dipikul. Sebaliknya kegembiraan ketiga adalah kegembiraan sebenar kerana kita telah selesai menjalankan usaha tersebut, dan penat lelah kita diiktiraf dan dihargai orang. Begitulah kelompok kedua, mereka telah bersusah payah mematuhi perintah Allah ketika hidup di dunia, dan syurga adalah satu penghargaan yang tidak ternilai bagi usaha kecil mereka yang dihargai Allah berbanding nikmat Allah yang banyak.

Kemudian Allah menceritakan pula keadaan kelompok kedua di dalam syurga. Tiada mereka mendengar perkara sia-sia, sungai yang mengalir, singgahsana mereka yang tinggi-tinggi, gelas-gelas yang tersedia untuk diminum, kusyen dan permaidani indah.

Syeikh bertanya, siapa tahu perbezaan antara kub dan ka's (gelas dan cawan). Contoh dalam Surah al-Insan Allah menyebut ka's, manakala di sini disebut kub. Malang tidak seorang pun yang dapat memberikan jawapan tepat. Menurut syeikh, kub tidak ada pemegang, tetapi ka's ada pemegang.

Syeikh juga memberi contoh maksud gelas-gelas yang tersedia untuk diminum. Biasanya, mereka yang pernah mengerjakan haji, pastiberdepan dengan situasi terpaksa beratur untuk minum air zamzam. Tetapi di syurga bila hendak minum saja terus tersedia gelas di tangan.

Syeikh juga menerangkan satu pendapat mengenai asal kalimah zarab (permaidani). Menurut syeikh, pada zaman Arab dahulu, permaidani yang terbaik sekali adalah yang dihasilkan di Azerbaijan. Maka kawasan itu sejak dahulu lagi dikenali sebagai Zarbijan. Maka permaidani dari situ disebut zarbiyyah oleh orang Arab.