Friday, January 18, 2008

"...but they don't have a Muslim prayer room!"

McGill University pada asalnya termasuk dalam senarai tempat yang mungkin akan kupohon untuk melanjutkan pengajian dalam bidang PhD dalam Economics. Seperti biasa, nasihat rakan-rakan dapat membantu kita membuat sesuatu keputusan.

Tatkala aku menunjukkan borang permohonan yang lengkap diisi kepada Mishal, lantas beliau nampak kurang bersetuju. Memang aku tahu walaupun McGill memiliki status yang gah dan terkenal, tetapi dalam pengajian ekonomi standard McGill dan Carleton hampir sama. Ingatkan itu adalah sebab mengapa Mishal kurang setuju, tetapi rupa-rupanya ada sebab lain kenapa dia tidak menyukai McGill. Antara sebab lain aku ingin memohon McGill ialah kerana penerbangan dari Kuala Lumpur ke Montreal hanya perlu singgah satu transit, tidak seperti Ottawa yang perlu singgah dua transit.

Katanya, dia pernah mendapatkan nasihat orang-orang agama mengenai McGill, dan kebanyakan mereka memuji Allah kerana Mishal berada di Ottawa dan bukannya di Montreal. Menurut mereka, Montreal adalah antara tempat fitnah yang dahsyat. Masyarakat Islam di sana tidaklah sekomited masyarakat Islam di bandar-bandar lain seperti Ottawa dan Toronto. Dasar diskriminasi di sana juga kuat, di mana McGill sendiri tidak ada surau bagi para pelajar Islam berkumpul dan solat. Dahulu ada, tetapi disebabkan tentangan hebat oleh pendokong idea sekularisme, maka Muslim Student Association McGill terpaksa akur dengan keputusan pentadbir universiti untuk menutup surau.

Wallahu a'lam, inilah cerita dari mulut Mishal sendiri. Kemudian Zhenjiang masuk dan melihat borang permohonan McGill di tanganku.

"I can see that you are applying to McGill for PhD."

"No, I changed my mind."

"Why? McGill is good in Econometrics."

"Yea, but they don't have a Muslim prayer room like Carleton."

Macam bodoh saja alasan yang kuberikan. Tapi itulah hakikatnya. Pada pandanganku, sebaik mana sekalipun status sesebuah universiti, andai aku terpaksa mengurangkan agamaku, baiklah tak payah. Carleton sendiri sudah cukup baik. Pada sebahagian orang, surau mungkin sekadar tempat solat, tetapi bagiku ia lebih dari itu. Surau adalah pusat bagi pelajar-pelajar Islam menjaga agama mereka bersama-sama di samping mengeratkan ukhuwwah. Kewujudan surau seakan memberi kekuatan bagiku untuk sentiasa menjaga iman di rantau orang. Ia seakan-akan memberi suatu motivasi agar aku dapat bersaing secara sihat bersama-sama saudara-saudara seIslam dalam mengejar keredhaan Allah dan kebahagiaan Akhirat tatkala aku sering dilupakan dan dilalaikan dengan dunia. Tanpa adanya surau, mungkin sukar bagiku untuk istiqamah...

Selamat tinggal McGill. Kita berpisah sebelum sempat kita bertemu.

Sunday, January 13, 2008

KUL-MNL-YVR-YOW

Alhamdulillah, perjalanan selama 25 jam dari Kuala Lumpur ke Ottawa selesai juga, walaupun berdepan sedikit masalah di Manila disebabkan pertukaran terminal. Berlepas dari Kuala Lumpur pada 12 Januari 2008 pukul 10:15 pagi, dan tiba di Ottawa pada hari sama pukul 11:05 malam. Philippines Airlines tidak menyediakan makanan MOML seperti dipinta, namun alhamdulillah menu ikan ada. Lagi pula, ayam dan daging hidangan mereka tidak mungkin bermasalah bagi orang Islam kerana Filipina adalah negara Kristian Katolik, maka sudah pasti makanan mereka termasuk dalam kategori makanan ahlul kitab yang boleh dimakan oleh orang Islam. Sepanjang penerbangan juga skrin senantiasa menunjukkan arah Qiblah. Pun begitu, saya lebih gemar untuk bertayammum dari tempat duduk dan solat di tempat duduk juga. Manakala di Vancouver seperti biasa urusan imigresen dan kastam berjalan dengan lancar dan pantas.

Tiba sahaja di Ottawa, lega melihat rakan-rakan telah sedia menanti. Tambah pula ada yang memasak dan menyediakan makanan. Terima kasih daun keladi. Maklumlah, perjalanan jauh seperti ini memang meletihkan, tambah pula polisi Air Canada yang tidak menyediakan makanan untuk penerbangan domestik.

Sayu juga di hati kerana terpaksa berjauhan dengan keluarga tercinta, namun inilah pengorbanan menuntut ilmu. Semoga diberkati Allah.

Nota: Transit di Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino Manila (MNL) melecehkan sekiranya berlaku pertukaran pesawat dengan Philippines Airlines maka penumpang perlu melalui urusan imigresen dan kastam, kemudian mengambil luggage dan naik coaster dari Terminal 1 ke Terminal 2, dan kemudian daftar masuk dan melalui urusan imigresen dan kastam sebelum masuk ke ruang menunggu. Pemeriksaan keselamatan juga remeh, terpaksa buka tali pinggang dan kasut dua kali sebelum ke ruang menunggu. Tak nak dah transit di Manila.

Wednesday, January 09, 2008

Solat Jumaat sebelum Zuhur?

Isu:

Para pelajar yang berpeluang melanjutkan pelajaran ke negara yang mengalami empat musim akan mendapati waktu solat yang berbeza-beza sepanjang tahun. Untuk Solat Jumaat, kebiasaannya para pelajar terpaksa menunaikannya di universiti kerana kesuntukan masa untuk ke masjid. Seperti di Carleton, Muslim Students Association menempah gymnasium. Tempahan dibuat mengikut waktu yang tetap untuk setahun, seperti dari pukul 12:30 tengahari sehingga 2:00 petang, sehingga ada masanya Solat Jumaat akan selesai sebelum masuknya waktu Zuhur ketika musim panas. Bolehkah Solat Jumaat didirikan sebelum waktu Zuhur?

Teori:

Waktu Solat Jumaat

1) Boleh Solat Jumaat sebelum tergelincir matahari. Ini pendapat al-Imam Ahmad ibn Hanbal rahimahullah.

2)Waktu Solat Jumaat ialah waktu Solat Zuhur, iaitu setelah matahari tergelincir ke barat dan tidak boleh sebelumnya. Ini pendapat majoriti 'ulama.

Sebab berlakunya khilaf:

Khilaf dalam memahami hadith mengenai perbuatan mempercepatkan atau mengawalkan Solat Jumaat.

Contoh 1: Daripada Sahl ibn Sa'd radiyallahu 'anhu katanya:
"Kami tidak makan tengahari atau tidur qaylulah (tidur sebentar di siang hari) pada zaman Rasulullah sallallahu 'alayhi wasallam melainkan setelah selesai Solat Jumaat."
[Riwayat al-Bukhariy, Muslim, Abu Dawud & al-Tirmidhi]

Contoh 2: Diriwayatkan bahawa mereka menunaikan Solat Jumaat dan bersurai dan bayang-bayang mereka tidak kelihatan pada dinding (menunjukkan seolah-olah matahari masih tegak di atas kepala kerana tiada bayang-bayang pada dinding)

[Riwayat al-Bukhariy, Muslim, Abu Dawud & al-Nasa'ie]

Mereka yang mengatakan waktu Solat Jumaat boleh didirikan sebelum tergelincir matahari menyatakan bahawa hadith-hadith ini menunjukkan Solat Jumaat pada zaman Nabi sallallahu 'alayhi wasallam ada didirikan sebelum tergelincir matahari.

Mereka yang mengatakan tidak boleh Solat Jumaat sebelum waktu Zuhur pula faham bahawa hadith-hadith ini sekadar menunjukkan Solat Jumaat ini diselesaikan pada awal waktu Zuhur. Lagi pula pemahaman golongan pertama seolah-olah bertentangan dengan hadith Anas ibn Malik radiyallahu 'anhu:
"Sesungguhnya Nabi sallallahu 'alayhi wasallam mendirikan Solat Jumaat tatkala
matahari condong."
[Riwayat al-Bukhariy, Abu Dawud & al-Tirmidhi]

Hadith-hadith sebelumnya sekadar menceritakan keadaan situasi setelah selesainya Solat Jumaat, sedangkan hadith Anas ini menyebut secara jelas dan terang mengenai waktu Solat Jumaat. Pun begitu, golongan pertama boleh mengatakan pula bahawa pemahaman mereka tidak bertentangan dengan hadith Anas kerana hadith Anas cuma menyebut waktu dengan jelas tanpa ada suruhan atau larangan padanya.

Golongan kedua turut berhujjah bahawa oleh kerana Solat Jumaat adalah ganti kepada Solat Zuhur pada hari Jumaat, maka hendaklah Solat Jumaat didirikan pada waktu Zuhur juga. Golongan pertama pula berhujjah bahawa oleh kerana hari Jumaat adalah hari raya, maka Solat Jumaat boleh didirikan dalam batas waktu Solat Eid.



Penyelesaian:

Sekiranya kita bandingkan pula dengan pendapat 'ulama kontemporari, hampir kesemuanya berpendapat tidak boleh Solat Jumaat sebelum waktu Zuhur. Saya sendiri cenderung dengan pendapat majoriti. Memandangkan pendapat ini mungkin menyebabkan kesusahan di kalangan pelajar yang perlu menghadiri kuliah, maka ada sesetengah 'ulama memberi keringanan berdalilkan hadith Abu Hurayrah radiyallahu 'anhu yang masyhur daripada Rasulullah sallallahu 'alayhi wasallam:
"...Apa yang aku perintahkan kamu maka laksanakannya semampu yang mungkin..."
[Riwayat al-Bukhariy & Muslim]

Bagi diri saya sendiri, sekiranya tiada apa-apa urusan di universiti pada hari Jumaat tersebut, maka saya sepatutnya pergi menunaikan Solat Jumaat di masjid yang mendirikan Solat Jumaat pada waktu Zuhur. Andainya ada urusan di kampus pada hari Jumaat tersebut, maka saya akan menyertai rakan-rakan menunaikan Solat Jumaat di gymnasium. Lagipun, penyelesaian ini hanya akan menjadi praktikal pada musim panas, iaitu apabila waktu Zuhur terlalu lewat...

Jauhi Pertelingkahan Dalam Persoalan Khilaf


إن مسائل الخلاف في الفروع لا يعبغي أن تكون مثار فتن وشقاق وتنازع والأفضل بحث المسائل في جو ودي علمي فما وصل منه أهل العلم إلى اتفاق فذاك وما اختلفوا فيه فلا ينكر بعضُهم على بعض ويعادي بعضهم بعضا وإنما الواجب أن يعذر بعضهم بعض بما وصل إليه المخالف من الإجتهاد فإن العداوة والبغضاء هو سبب تعريض كلمة المسلمين وتشتيت أمرهم وضعف شأنهم حتى أصبحوا ممزقين قد تسلط عليهم أعداؤهم فاستباحوا بلادهم وأضعفوا كيانهم وصار المسلمون لهم أتباعا وفيما بينهم أحزابا فإن لله وإنا إليه راجعون

Maksudnya: “Sesungguhnya permasaalahan-permasaalahan khilaf dalam perkara-perkara cabang tidak sepatutnya menjadi sebab timbulnya fitnah, perpecahan dan pertelagahan, yang lebih utama adalah mengkajinya dalam suasana semangat ilmu, maka apa yang disepakati oleh Ahli Ilmu maka itulah yang diambil, dan apa yang mereka berbeza pendapat, maka sebagian orang jangan mengingkari sebahagian yang lain, sebaliknya yang sewajarnya ialah saling memaafkan antara sebahagian dengan sebahagian yang lain, ini kerana permusuhan dan persengketaan merupakan sebab kepada menjauhkan kesatuan umat Islam dan memecah-belahkan urusan mereka, melemahkan keadaan mereka, sehingga menjadi musnah, sesungguhnya demikian itu menyebabkan musuh-musuh mereka menguasai ke atas mereka dan merampas negara mereka dan melemahkan entiti mereka, maka jadilah kaum muslimin pengikut-pengikut kepada musuh-musuh mereka dan sesama mereka wujudnya berbagai-bagai parti atau puak, Inna lillaahi wa inna ilaihi raji’uun.” (al-Syeikh Abdullah bin Abdul Rahman al-Bassam, Taudhi al-Ahkam min Bulugh al-Maram, 2/80)

*Dipetik dari Laman Web Institut al-Qayyim. Terima kasih buat Ustaz Mohamad Abdul Kadir Sahak. Moga menjadi nasihat berguna buat kita semua, insya-Allah.

Monday, January 07, 2008

Lewat Solat Jumaat sehingga terlepas rukuk bersama Imam pada rakaat kedua


Isu
Terlewat hadir Solat Jumaat, hanya sempat join imam setelah imam mengangkat kepada daripada rukuk pada rakaat kedua. Adakah hanya perlu Solat Jumaat (2 rakaat), atau Solat Zuhur (4 rakaat)?
a
Teori
Sesiapa yang sempat join ketika imam sedang rukuk pada rakaat kedua Solat Jumaat atau sebelumnya, tidak syak lagi ia telah mendapat Solat Jumaat berdasarkan hadith berikut:

“Apabila seseorang diantara kamu datang (untuk) solat sewaktu kami sujud, hendaklah ikut sujud dan janganlah kamu hitung itu satu rakat. Barang siapa yang dapat rukuk bersama imam, maka ia telah mendapat satu rakaat.”
[Riwayat Abu Dawud]
Dan sesiapa yang mendapat satu rakaat, dia telah mendapat solat tersebut secara keseluruhannya berdasarkan hadith berikut:
“Sesiapa yang dapat satu rakaat dari solat, maka dia telah mendapat solat itu.”
[Riwayat al-Bukhariy & Muslim]
Walau bagaimanapun, terdapat khilaf di kalangan 'ulama mengenai mereka yang terlepas daripada menyertai rukuk pada rakaat kedua ketika Solat Jumaat. Hadith yang diriwayatkan oleh 'Abdullah ibn 'Umar radiyallahu 'anhuma, Rasulullah sallallahu 'alayhi wasallam bersabda:

“Barangsiapa yang sempat mendapat satu rakaat bersama imam dalam Solat Jumaat atau mana-mana solat, maka tambahlah bilangan rakaat dan telah sempurna solatnya.”
[Riwayat al-Nasa’ie]

Berdasarkan hadith di atas, sesiapa yang mendapat sekurang-kurangnya satu rakaat bersama imam, maka dia dikira mendapat solat tersebut. Berdasarkan hadith pertama di atas pula, untuk mendapat satu rakaat, sekurang-kurangnya seseorang itu mesti sempat rukuk bersama imam. Jadi seseorang yang terlepas dari rukuk pada rakaat kedua Solat Jumaat telah terlepas dari mendapatkan Solat Jumaat. Antara 'ulama yang berpendapat golongan ini tidak mendapat Solat Jumaat sebaliknya perlu menunaikan Solat Zuhur ialah para 'ulama Mazhab al-Syafi'e, al-Imam Malik, al-Imam al-Auza'ie, al-Imam Sufyan al-Tsauri, al-Imam Abu Yusuf dan al-Imam Ahmad.
aa
Merujuk kepada satu lagi pendapat, sesiapa yang hatta sempat menyertai imam ketika tasyahhud akhir tetap dikira mendapat Solat Jumaat. Sabda Nabi sallallahu 'alayhi wasallam:

“Jika solat itu telah didirikan, pergilah (kamu untuk menunaikannya) dan hendaklah kamu bertenang. Apa (rakaat) yang kamu masih berpeluang untuk menunaikannya, lakukanlah (solat tersebut) dan apa (rakaat) yang kamu telah tertinggal daripadanya, hendaklah kamu sempurnakan kemudian.”
[Riwayat al-Bukhariy dan Muslim]

Daripada hadith ini, lafaz yang digunakan bersifat umum di mana kita diperintahkan agar jangan tergesa-gesa menunaikan solat sebaliknya hendaklah bertenang ketika menyertai jamaah. Kadangkala kita dapat menyaksikan sebahagian sahabat kita yang tergopoh-gapah, bahkan ada yang berlari semata-mata kerana hendak mengejar solat sedangkan ia perbuatan yang ditegah. Apabila kita telah menyertai jamaah, maka sempurnakan apa yang telah ktia tertinggal sehingga sempurna solat kita. Maka begitu juga untuk Solat Jumaat, dan hadith kedua tadi tidak pula menyebut bahawa mereka yang tidak mendapat satu rakaat tidak mendapat solat.

Antara 'ulama yang berpendapat golongan ini hanya perlu menambah dua rakaat (iaitu menunaikan Solat Jumaat) ialah al-Imam Abu Hanifah dan Mazhab al-Zahiri.

Praktik
Sesiapa yang suka dengan pendapat golongan pertama, tunaikan empat rakaat. Saya lebih cenderung dengan pendapat golongan kedua yang menyatakan golongan ini sekadar perlu menambah dua rakaat berdasarkan perbincangan yang telah disebutkan. Ini sekadar pandangan saya... Anda bebas membuat pandangan sendiri.

Friday, January 04, 2008

Industri Pelancongan Negara: Antara Demonstrasi Jalanan dan Hak Asasi Penginap Hotel

Ada diwarwarkan sesetengah pihak, bahawa demonstrasi jalanan akan menyebabkan bilangan pelancong asing berkurangan. Dakwaan ini ada juga kebenarannya jika kita perhatikan, apatah lagi jika demonstrasi jalanan dicemari pula dengan unsur-unsur keganasan. Apabila ada demonstrasi jalanan, biasanya orang ramai yang neutral akan terselit perasaan takut di sanubari mereka. Kedai-kedai ditutup, jadi industri pelancongan akan menerima padah.

Tapi bila pendedahan terbaru mengenai kes rakaman hubungan seks yang melibatkan tokoh politik negara di sebuah hotel tempatan, rasanya ini akan lebih merisaukan pelancong asing dari datang. Hak privasi keluarga mungkin tidak dapat dijamin. Itu pun terpulang pada pandangan para pelancong, andai kes ini dianggap kes terpencil mungkin mereka tak kisah. Bagi yang kisah, mungkin pihak bertanggungjawab perlu pulihkan keyakinan mereka.

Wednesday, December 12, 2007

Fenomena Negara Kaya-Negara Miskin I

Setiap negara di dunia menginginkan kekayaan melimpah ruah. Kekayaan sesebuah negara secara umumnya menjamin pelbagai kebaikan walaupun kekayaan bukanlah segala-galanya. Dari kaca mata kerajaan, kekayaan menjamin politik yang stabil, ekonomi yang mapan, kuasa yang kuat, dan yang lebih penting, keupayaan untuk maju ke hadapan mengatasi negara-negara lain. Dari kaca mata rakyat pula, kekayaan negara membuka lebih banyak peluang untuk menikmati taraf hidup yang lebih selesa.
a
Pandangan konvensional mengatakan bahawa fenomena negara kaya-negara miskin wujud disebabkan perbezaan simpanan yang digunakan untuk tujuan pelaburan. Sesebuah negara itu kaya disebabkan rakyat yang sanggup berkorban dan banyak menyimpan demi masa depan. Lagi banyak yang disimpan, maka akan lebih kayalah negara itu pada masa depan. Bagaimana ini berlaku?
a
Situasi sebuah ekonomi mudah (tanpa sebarang masalah seperti birokrasi, rasuah, riba dan lain-lain) : Rakyat menerima gaji dari pekerjaan mereka. Apabila mereka menyimpan dengan banyak di bank dan institusi kewangan, bank dan institusi kewangan akan meminjamkan dan melabur simpanan tersebut kepada sektor perniagaan dan industri. Sektor perniagaan dan industri kini boleh membeli lebih banyak mesin dan menghasilkan lebih banyak produk. Banyaklah untung yang diperoleh. Keuntungan ini dikongsi semua dalam bentuk yang berbeza, pemilik perniagaan dapat untung dan dividen, kerajaan pula dapat cukai. Pendek kata, negara bertambah kaya.
a
Sekiranya teori ini benar, maka sepatutnya kita menyimpan pada tahap maksimum.
a
Namun, benarkah teori ini?