Showing posts with label Manhaj. Show all posts
Showing posts with label Manhaj. Show all posts

Saturday, November 01, 2008

Bagaimana Cara Anda Berfikir?

Sekali-sekala bertemu sahabat-sahabat lama, teringat kembali kisah-kisah kenangan dakwah suatu masa dahulu. Teringat kembali akan tujuan utama dakwah yang dibawa, yang mana ramai juga yang tersasar atau terlewat.

Dakwah sunnah yang kita bawa mestilah jelas misi utama yang ingin dicapai. Misi yang pastinya akan menjadi tonggak utuh yang bisa menahan apa jua cabaran yang datang. Maka misi ini mesti bersifat dinamik. Fleksibel menurut peredaran zaman dan perbedaan tempat tanpa mengorbankan prinsip-prinsip asas.

Maka dakwah sunnah bukannya bertujuan untuk menyeru manusia meninggalkan Qunut pada Solat Subuh, atau perbuatan melarang tahlil, atau menyuruh mengikut sahaja pandangan tokoh-tokoh tertentu. Ini hanyalah tujuan terkemudian. Ada tujuan yang lebih utama, iaitu seruan kepada manhaj berfikir. Seruan agar manusia berfikir dengan cara yang betul, agar anugerah akal ini diguna pada tempat yang betul dengan cara yang terbaik buat manusia. Seruan ke arah cara berfikir yang betul adalah tujuan utama dakwah sunnah.

Lihat saja bagaimana usaha jitu Rasulullah sallallahu 'alayhi wasallam berdakwah. Baginda tidak terus menyeru kepada solat atau perkara ibadah lain. Sebaliknya baginda menyeru masyarakat Arab mengubah cara mereka berfikir. Jangan sekadar taqlid buta pada generasi terdahulu. Jangan sekadar ikut pendapat majoriti. Jika generasi dahulu menyembah berhala, takkan kita pun ikut membabi buta? Jika orang ramai buat tahlil, adakah kita pun ikut buat? Ikut tanpa bertanya?

Maka Islam menyeru kepada cara berfikir yang mesti didasarkan kepada hujjah. Hairan apabila melihat kaedah ini dilaksana dalam disiplin-disiplin moden, tetapi kurang diberi perhatian dalam ilmu Islam. Apabila kita sakit umpamanya, kita bertegas bahawa hanya nasihat doktor sahaja yang kita percaya, biarpun nasihat doktor berlainan dengan pendapat orang ramai. Itupun kita akan meminta tuan doktor beri penerangan ringkas kenapa beliau berpendapat sedemikian. Di bidang undang-undang, hanya kata-kata peguam yang kita percaya. Kalau mencari peluang perniagaan, nasihat dari tokoh-tokoh perniagaan yang berpengalaman kita pegang. Tapi dalam agama, sesiapapun boleh bersuara, dan kita ikut saja tanpa banyak bicara.

Jejak pertama dakwah mesti menyeru manusia kepada cara berfikir yang betul. Agama mesti berdasarkan al-Quran dan al-Sunnah. Agama ini hak Allah, dan Allah mengajar agama ini melalui rasul utusan-Nya. Maka agama perlu diambil daripada Rasulullah. Rasul-rasul terdahulu, apabila mengajak umat mereka ubah cara fikir, seringkali mereka akan menjawab, "Menyembah berhala ini adalah amalan nenek moyang kami lagi, takkan kami hendak meninggalkannya?" Taqlid, musuh utama Islam. Ambillah agama ini daripada sumbernya. Teliti pemahaman para Sahabah dan generasi salaf yang lain, kerana para Sahabah menerima dakwah secara langsung daripada Rasulullah. Berbahagialah andai kita berjaya mengikut jejak langkah mereka.

Apabila manusia itu betul cara berfikirnya, maka pasti dia akan berada di landasan yang betul. Tidak perlu lagi berkelahi yang ini sunnah, yang itu bid'ah. Banyak perkelahian berlaku disebabkan fokus dakwah yang tersilap.

Saturday, February 09, 2008

Kita mungkin berbeza, namun perlukah kita bersengketa?

Fitrah manusia untuk berbeza pendapat. Hatta di kalangan masyarakat yang memiliki agama yang sama, bahasa yang sama, adat resam yang sama, bahkan tinggal di kampung yang sama, tetpa berbeza pendapat. Dalam keluarga pun sudah pasti akan berlaku perbezaan pendapat antara suami isteri, orang tua dan anak muda.

Skop perbezaan merangkumi segenap aspek kehidupan, dari aspek yang tersangat penting seperti pegangan hidup, penggubalan perlembagaan negara dan perancangan ekonomi negara; sehinggalah kepada aspek kecil seperti corak pinggan mangkuk untuk kegunaan rumah dan lain-lain.

Sememangnya ada di antara perbezaan-perbezaan tersebut yang membawa kepada perbalahan besar dan pertelingkahan yang mengakibatkan pertumpahan darah sesama manusia. Ini tidak dapat dinafikan kerana adakalanya kebenaran memerlukan pengorbanan yang besar dan menuntut kepada perjuangan harta dan nyawa.

Namun, ada juga perbezaan yang biasa sahaja berlaku dan dapat diselesaikan secara aman. Terutama perbezaan yang wujud disebabkan salah faham. Cuma apabila kurangnya ketajaman akal dan penguasaan hawa nafsu ke atas diri manusia, maka banyak perbezaan yang diakhiri dengan perkara yang tidak sepatutnya. Andai manusia menggunakan kebijaksanaan anugerah Allah, kemungkinan besar mereka akan dapat meminimakan kerugian yang ditanggung, bahkan mungkin perbezaan yang wujud langsung tidak memberi impak yang besar dalam kehidupan mereka.

Berikut adalah petikan artikel yang saya petik dari Al-Ahkam.net hasil karangan Saudara Khairol Amin. Semoga ia sedikit sebanyak dapat menambah kebijaksanaan kita tatkala berhadapan dengan mereka yang berbeza pendapat dengan kita.
Aqidah Assyaerah dikaitkan pengasasnya Abu Hasan Assya'ri, yang sebelum itu berpegang kepada aqidah Muktazilah, dan selepasnya mengikut fahaman Ahli Sunnah wa al-Jamaah pada peringkat akhir hidupnya, sebagaimana didapati dalam salah satu buku terakhirnya al-Ibanah. Ia diasaskan dengan kaedah beriman dengan Sifat Allah yang sesuai dengan dirinya, takwil maknanya, dan melarang sesuatu menyerupainya. Aqidah ini diterima ramai dikalangan orang Islam.

Perselisihan yang timbul adalah berkenaan dengan mengtakwil sifat-sifat Allah swt, Dikaitkan perselisihan diantara Aqidah Salaf dan Aqidah Khalaf. Apakah mereka ini sesat atau kafir? Syeikh Dr Yusuf al-Qaradhawi mengatakan bahawa:

"Walaupun saya cenderung kepada pandangan salaf mengenai isu sifat, tetapi saya tidak mengkafir, menyesatkan dan menganggap kaum Khalaf sebagai berdosa kerana melakukan takwil. Sesungguhnya khilaf itu berpunca didalam isu bahasa arab dan memahami nas-nas Quran dan Sunnah.''
Teruskan membaca...

Friday, January 25, 2008

Permusuhan yang tidak perlu...

Satu hari, dalam perjalanan ke Masjid Ottawa untuk Solat 'Isyak, Mishal bertanyakan mengenai Asya'irah dan Maturidiyah. Bukan fahaman, tetapi mu'amalah dengan mereka yang berfahaman Asya'irah dan Maturidiyah. Mishal sendiri melalui kuliah-kuliah agama di Ottawa dan pembacaan sendiri berpendapat kedua-dua golongan ini terbabas dari landasan asal Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah seperti yang dipegang oleh al-Salaf al-Soleh, cuma dia agak kurang berpuas hati dengan cara berinteraksi dengan mereka.

Daripada pemerhatianku sendiri, sememangnya rata-rata umat Islam Ottawa yang selalu kutemui memenuhi seruan solat berjamaah di surau-surau dan masjid-masjid dan yang selalu memenuhi kuliah-kuliah agama adalah yang mengikut fahaman al-Salaf al-Soleh. Maka tidak hairan jika Asya'irah dan Maturidiyah adalah minoriti, jika dibandingkan dengan Syi'ah nyata Syi'ah lebih terkehadapan berbanding kedua-dua golongan ini.

Pada Mishal, jika sungguhpun Asya'irah dan Maturidiyah sesat, bagaimana cara terbaik untuk berinteraksi dengan mereka? Ini disebabkan Mishal melihat sebahagian mereka yang berfahaman al-Salaf al-Soleh langsung tidak mahu bertegur sapa dengan rakan-rakan Asya'irah dan Maturidiyah biarpun ketika sama-sama berjamaah di surau universiti.

Hmm... Mishal, di Ottawa ni, kawan-kawan dan pensyarah kita dalam kelas yang kafir pun kita bertegur sapa, sudah tentu yang seagama dengan kita lebih sepatutnya kita bertegur sapa dengan mereka. Mengenai persoalan kesesatan mereka, ada medannya. Biar para 'ulama berhujjah. Dunia akademik. Tulis buku, datangkan dalil kenapa ia sesat atau kenapa ia benar. Pun begitu, adab berhujjah mesti dijaga. Mesti diingat, yang dibahaskan adalah prinsip pegangan, bukan personaliti individu. Dunia harian, sudah tentu kita perlu bermu'amalah secara baik dengan mereka. Bukankah orang-orang beriman itu bersaudara? Oleh itu, janganlah terpengaruh dengan sebahagian manusia yang melampau. Bila bertemu mereka, beri salam, tanya khabar. Mengapa hendak diwujudkan permusuhan yang tidak perlu?

Alhamdulillah, nampaknya Mishal berpuas hati dengan penerangan yang kuberikan. Sayang apabila melihat ada juga manusia yang melampau. Semoga Allah merahmati kita semua.

Tuesday, January 22, 2008

Angkara dusta dan fitnah, keharmonian akan musnah

Oleh: Abd al-Razzaq A. Muthalib

Fitnah dan dusta merupakan dua elemen yang menjadi racun perosak dalam kehidupan bermasyarakat. Oleh itu, Islam yang senantiasa menyeru ke arah keharmonian dan keamanan, telah menetapkan dua perkara ini sebagai larangan yang tidak boleh dilakukan. Sekiranya dua unsur perosak ini dibiarkan berlegar di dalam masyarakat, apatah lagi jika dijadikan amalan dan suatu kemestian, maka nantikanlah kehancuran dan kepincangan.

Teruskan membaca...

Friday, January 18, 2008

"...but they don't have a Muslim prayer room!"

McGill University pada asalnya termasuk dalam senarai tempat yang mungkin akan kupohon untuk melanjutkan pengajian dalam bidang PhD dalam Economics. Seperti biasa, nasihat rakan-rakan dapat membantu kita membuat sesuatu keputusan.

Tatkala aku menunjukkan borang permohonan yang lengkap diisi kepada Mishal, lantas beliau nampak kurang bersetuju. Memang aku tahu walaupun McGill memiliki status yang gah dan terkenal, tetapi dalam pengajian ekonomi standard McGill dan Carleton hampir sama. Ingatkan itu adalah sebab mengapa Mishal kurang setuju, tetapi rupa-rupanya ada sebab lain kenapa dia tidak menyukai McGill. Antara sebab lain aku ingin memohon McGill ialah kerana penerbangan dari Kuala Lumpur ke Montreal hanya perlu singgah satu transit, tidak seperti Ottawa yang perlu singgah dua transit.

Katanya, dia pernah mendapatkan nasihat orang-orang agama mengenai McGill, dan kebanyakan mereka memuji Allah kerana Mishal berada di Ottawa dan bukannya di Montreal. Menurut mereka, Montreal adalah antara tempat fitnah yang dahsyat. Masyarakat Islam di sana tidaklah sekomited masyarakat Islam di bandar-bandar lain seperti Ottawa dan Toronto. Dasar diskriminasi di sana juga kuat, di mana McGill sendiri tidak ada surau bagi para pelajar Islam berkumpul dan solat. Dahulu ada, tetapi disebabkan tentangan hebat oleh pendokong idea sekularisme, maka Muslim Student Association McGill terpaksa akur dengan keputusan pentadbir universiti untuk menutup surau.

Wallahu a'lam, inilah cerita dari mulut Mishal sendiri. Kemudian Zhenjiang masuk dan melihat borang permohonan McGill di tanganku.

"I can see that you are applying to McGill for PhD."

"No, I changed my mind."

"Why? McGill is good in Econometrics."

"Yea, but they don't have a Muslim prayer room like Carleton."

Macam bodoh saja alasan yang kuberikan. Tapi itulah hakikatnya. Pada pandanganku, sebaik mana sekalipun status sesebuah universiti, andai aku terpaksa mengurangkan agamaku, baiklah tak payah. Carleton sendiri sudah cukup baik. Pada sebahagian orang, surau mungkin sekadar tempat solat, tetapi bagiku ia lebih dari itu. Surau adalah pusat bagi pelajar-pelajar Islam menjaga agama mereka bersama-sama di samping mengeratkan ukhuwwah. Kewujudan surau seakan memberi kekuatan bagiku untuk sentiasa menjaga iman di rantau orang. Ia seakan-akan memberi suatu motivasi agar aku dapat bersaing secara sihat bersama-sama saudara-saudara seIslam dalam mengejar keredhaan Allah dan kebahagiaan Akhirat tatkala aku sering dilupakan dan dilalaikan dengan dunia. Tanpa adanya surau, mungkin sukar bagiku untuk istiqamah...

Selamat tinggal McGill. Kita berpisah sebelum sempat kita bertemu.

Wednesday, January 09, 2008

Jauhi Pertelingkahan Dalam Persoalan Khilaf


إن مسائل الخلاف في الفروع لا يعبغي أن تكون مثار فتن وشقاق وتنازع والأفضل بحث المسائل في جو ودي علمي فما وصل منه أهل العلم إلى اتفاق فذاك وما اختلفوا فيه فلا ينكر بعضُهم على بعض ويعادي بعضهم بعضا وإنما الواجب أن يعذر بعضهم بعض بما وصل إليه المخالف من الإجتهاد فإن العداوة والبغضاء هو سبب تعريض كلمة المسلمين وتشتيت أمرهم وضعف شأنهم حتى أصبحوا ممزقين قد تسلط عليهم أعداؤهم فاستباحوا بلادهم وأضعفوا كيانهم وصار المسلمون لهم أتباعا وفيما بينهم أحزابا فإن لله وإنا إليه راجعون

Maksudnya: “Sesungguhnya permasaalahan-permasaalahan khilaf dalam perkara-perkara cabang tidak sepatutnya menjadi sebab timbulnya fitnah, perpecahan dan pertelagahan, yang lebih utama adalah mengkajinya dalam suasana semangat ilmu, maka apa yang disepakati oleh Ahli Ilmu maka itulah yang diambil, dan apa yang mereka berbeza pendapat, maka sebagian orang jangan mengingkari sebahagian yang lain, sebaliknya yang sewajarnya ialah saling memaafkan antara sebahagian dengan sebahagian yang lain, ini kerana permusuhan dan persengketaan merupakan sebab kepada menjauhkan kesatuan umat Islam dan memecah-belahkan urusan mereka, melemahkan keadaan mereka, sehingga menjadi musnah, sesungguhnya demikian itu menyebabkan musuh-musuh mereka menguasai ke atas mereka dan merampas negara mereka dan melemahkan entiti mereka, maka jadilah kaum muslimin pengikut-pengikut kepada musuh-musuh mereka dan sesama mereka wujudnya berbagai-bagai parti atau puak, Inna lillaahi wa inna ilaihi raji’uun.” (al-Syeikh Abdullah bin Abdul Rahman al-Bassam, Taudhi al-Ahkam min Bulugh al-Maram, 2/80)

*Dipetik dari Laman Web Institut al-Qayyim. Terima kasih buat Ustaz Mohamad Abdul Kadir Sahak. Moga menjadi nasihat berguna buat kita semua, insya-Allah.

Thursday, February 22, 2007

Antara Pemeliharaan Tinggalan Sejarah dan Pemeliharaan Aqidah II

Lagi tentang 'Umar ibn al-Khattab, kali ini bersama Abu Musa al-Asy'ari radiyallahu 'anhuma. Dalam salah satu ekspedisi ketenteraan pada zaman 'Umar, umat Islam menemui jenazah Daniel 'alayhissalam. (Para 'ulama khilaf sama ada Daniel ini Nabi atau orang soleh Bani Israel).

Jenazah Daniel yang berusia ratusan tahun tidak rosak langsung. Di samping jenazahnya tentera Islam menemui warkah-warkah dari kitab suci, cincin Daniel dan sejumlah wang yang agak banyak.

Kata tentera Islam, menurut masyarakat yang tinggal di kawasan tersebut, apabila mereka dilanda kemarau, mereka akan mengusung keranda Daniel keluar, maka nescaya hujan turun. Duit-duit tersebut pula adalah untuk kegunaan sesiapa yang susah sebagai pinjaman, jika tidak dipulangkan maka si peminjam akan sakit. Banyak lagi kehebatan yang Allah kurniakan kepada Daniel walaupun tatkala dia telah meninggal dunia. Pun begitu, bukanlah fokus utama penulisan ini untuk menceritakan kelebihan-kelebihan tersebut, sekadar memberi contoh sedikit. Andai kita susuri kisah Daniel, maka beliau adalah antara contoh hamba Allah yang soleh dan sabar menghadapi dugaan dgn penuh tawakkal. Diriwayatkan dia pernah disiksa oleh Maharaja Babylonia, dihumban ke dalam kandang singa, tetapi tidak cedera.

Maka ini adalah kesan sejarah penting. Mayatnya tidak reput tidak perlu lagi kita bersusah-payah untuk awetkannya. Elok juga jika jenazah tersebut dijaga elok-elok sampai ke hari ini agar semua manusia dapat lihat bagaimana Daniel ini. Bila kemarau, usung sahaja kerandanya nescaya hujan turun dan tamatlah kesusahan manusia akibat kemarau. Tatkala ada orang Islam yang susah, maka boleh saja dipinjamkan kepadanya wang Daniel buat modal berniaga.

Tetapi, lihat saja apa yang orang ramai buat apabila mereka ziarah kubur-kubur yang didakwa kubur nabi itu, nabi ini. Lemahnya ilmu dan iman kita, sehingga ada antara kita yang berdoa sambil bertawassul dengan tuan kubur yang kita sendiri tidak yakin 100% siapa pemiliknya, ada juga yang lepas nazar, kemudian solat sunat ambil berkat. Generasi akan datang pula akan buat lebih lagi, hingga akhirnya tidak mustahil jika mereka menyembah kubur tersebut akhirnya. Lihat saja apa yg berlaku pada kubur Imam al-Syafi'e di Mesir. Belum lagi kita menjengah apa yang berlaku di benua kecil India dan negara-negara Islam lain yang dipenuhi dengan kubur-kubur yang didakwa keramat.

Lihat bagaimana tentera Islam mengurus jenazah Daniel. Andai dibiar sahaja, maka sudah tentu aqidah umat Islam tergugat. Ramai yang akan mengadu kesusahan mereka kepada Daniel daripada Allah.

Sungguhpun terdapat lebih dari satu riwayat oleh Ibn Kathir dalam kisah ini, cukuplah andai saya ceritakan satu daripadanya. Apa yang Abu Musa lakukan?

Tatkala malam gelap, Abu Musa dan beberapa orang keluar dan mengorek 13 lubang kubur, dan mereka letakkan jenazah Daniel dalam salah satu daripada 13 kubur tersebut. Keesokan harinya semua orang melihat ada 13 kubur, tetapi mereka tidak tahu yang mana satu kubur Daniel yang sebenar.

Lihat sahaja kebijakan strategi politik tauladan kita dalam menimbang kepentingan memelihara kesan sejarah atau menyelamatkan aqidah. Moga ia menjadi ikutan pemimpin umat Islam sepanjang zaman.

*Sengaja saya menulis secara santai. Buat mereka yang ingin melihat rujukan kisah-kisah ini, bolehlah merujuk riwayat penuh dalam Majmu' Fatawa Ibn Taymiyyah, al-Bidayah wa al-Nihayah Ibn Kathir dan Jewish Encyclopedia.

Sunday, November 06, 2005

Bid'ah: Antara Ibadah dan Adat

Setiap bid'ah dalam agama adalah sesat, manakala bid'ah dalam urusan dunia tidak ditegah selagi tidak bertentangan dengan prinsip-prinsip asas yang telah diletakkan agama. Allah memberi kebenaran kepada manusia untuk meneroka dunia dan memenuhi tuntutan kehidupan mereka sepertimana yang mereka mahu, asalkan tidak bercanggah dengan prinsip-prinsip asas agama, iaitu memelihara keadilan, menghalang mudarat dan menghasilkan manfaat.

Kata Syeikh al-Islam Ibn Taymiyyah:

"Segala amal perbuatan makhluk terbahagi kepada dua: 1) Ibadah yang diambil sebagai agama, memberi manfaat di akhirat atau memberi manfaat di dunia dan akhirat; 2) Adat yang memberi manfaat kepada kehidupan mereka.

Maka, hukum asal dalam ibadah: Tidak diperintah melakukannya melainkan apa yang Allah perintahkan.

Dan hukum asal dalam adat pula: Tidak dihalang daripada melakukannya melainkan apa yang Allah telah larangkan."
[Iqtida' al-Sirat al-Mustaqim li Mukhalafah Ashab al-Jahim]