Friday, January 25, 2008

Permusuhan yang tidak perlu...

Satu hari, dalam perjalanan ke Masjid Ottawa untuk Solat 'Isyak, Mishal bertanyakan mengenai Asya'irah dan Maturidiyah. Bukan fahaman, tetapi mu'amalah dengan mereka yang berfahaman Asya'irah dan Maturidiyah. Mishal sendiri melalui kuliah-kuliah agama di Ottawa dan pembacaan sendiri berpendapat kedua-dua golongan ini terbabas dari landasan asal Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah seperti yang dipegang oleh al-Salaf al-Soleh, cuma dia agak kurang berpuas hati dengan cara berinteraksi dengan mereka.

Daripada pemerhatianku sendiri, sememangnya rata-rata umat Islam Ottawa yang selalu kutemui memenuhi seruan solat berjamaah di surau-surau dan masjid-masjid dan yang selalu memenuhi kuliah-kuliah agama adalah yang mengikut fahaman al-Salaf al-Soleh. Maka tidak hairan jika Asya'irah dan Maturidiyah adalah minoriti, jika dibandingkan dengan Syi'ah nyata Syi'ah lebih terkehadapan berbanding kedua-dua golongan ini.

Pada Mishal, jika sungguhpun Asya'irah dan Maturidiyah sesat, bagaimana cara terbaik untuk berinteraksi dengan mereka? Ini disebabkan Mishal melihat sebahagian mereka yang berfahaman al-Salaf al-Soleh langsung tidak mahu bertegur sapa dengan rakan-rakan Asya'irah dan Maturidiyah biarpun ketika sama-sama berjamaah di surau universiti.

Hmm... Mishal, di Ottawa ni, kawan-kawan dan pensyarah kita dalam kelas yang kafir pun kita bertegur sapa, sudah tentu yang seagama dengan kita lebih sepatutnya kita bertegur sapa dengan mereka. Mengenai persoalan kesesatan mereka, ada medannya. Biar para 'ulama berhujjah. Dunia akademik. Tulis buku, datangkan dalil kenapa ia sesat atau kenapa ia benar. Pun begitu, adab berhujjah mesti dijaga. Mesti diingat, yang dibahaskan adalah prinsip pegangan, bukan personaliti individu. Dunia harian, sudah tentu kita perlu bermu'amalah secara baik dengan mereka. Bukankah orang-orang beriman itu bersaudara? Oleh itu, janganlah terpengaruh dengan sebahagian manusia yang melampau. Bila bertemu mereka, beri salam, tanya khabar. Mengapa hendak diwujudkan permusuhan yang tidak perlu?

Alhamdulillah, nampaknya Mishal berpuas hati dengan penerangan yang kuberikan. Sayang apabila melihat ada juga manusia yang melampau. Semoga Allah merahmati kita semua.

No comments: