Showing posts with label Ukhuwwah. Show all posts
Showing posts with label Ukhuwwah. Show all posts

Sunday, May 25, 2008

Memulaukan Saudara Sendiri

Setelah sekian lama berada di luar negara, baru kali ini berpeluang untuk menghadiri kuliah SS Mufti Kerajaan Negeri Perlis di Surau Al-Muhajirin, Taman Sri Ukay. Masya-Allah, bilangan hadirin terlalu ramai sehingga memenuhi segenap ruang yang ada di surau.

Kuliah berkisar mengenai perbuatan memulaukan saudara. Tiga hadith dibaca dan diulas dari Kitab Riyadh al-Salihin. Secara ringkas, Islam meraikan emosi manusia. Kadangkala, dalam pergaulan seharian, kita tidak dapat mengelakkan daripada mengguris perasaan orang lain atau orang lain mengguris perasaan kita disebabkan perkara peribadi. Maka, dibenarkan kita tidak bertegur sapa selama maksimum tiga hari. Selepas tiga hari berlalu, kita perlu menegur kembali saudara tersebut. Walau bagaimanapun, sekiranya rasa marah masih belum reda, maka Islam masih meraikan perasaan tersebut. Kita hanya perlu memberi salam. Tidak perlu bersembang disebabkan rasa marah yang masih ada. Setelah kita memberi salam, maka tanggungjawab kita sudah pun selesai. Sekiranya dia menjawab, maka kita berkongsi pahala dengannya. Sekiranya tidak dijawab, maka kita sudah terlepas dari menanggung dosa kerana telah menunaikan tanggungjawab kita.

Janganlah kita terus-menerus tidak bertegur sapa kerana Allah akan mengampunkan kesemua dosa pada setiap Isnin dan Khamis kecuali golongan musyrikin dan menangguhkan pengampunan terhadap mereka yang tidak bertegur sapa sehingga mereka berbaik semula.

Ada yang bertanya kepada tuan mufti, adakah pengecualian ini termasuk mereka yang tidak bertegur sapa kerana sebab-sebab lain seperti berjauhan atau sibuk bekerja? Jawab tuan mufti, mereka ini tidak termasuk golongan yang memulaukan, kerana pemulauan atau tidak bertegur sapa ini disebabkan rasa marah akibat perselisihan faham yang lebih bersifat peribadi.

Pemerintah pula berhak menjatuhkan hukuman pemulauan lebih dari tiga hari kerana mereka diberi kuasa dan hukuman yang dijatuhkan itu tidak bersifat peribadi, tetapi disebabkan kesalahan jenayah yang berat. Ini pernah berlaku pada zaman Nabi sallallahu 'alayhi wasallam apabila baginda memulaukan tiga sahabat baginda yang tidak menyertai peperangan Tabuk lebih dari sebulan lamanya.

Friday, May 16, 2008

Carilah Agama Yang Benar Kawanku...

Suatu masa tidak lama dahulu, setelah mengetahui serba sedikit mengenai Islam, Koen pernah berkata, Islam adalah agama yang susah. Lihat kena solat lima kali sehari semalam. Kena bangun seawal waktu fajar untuk bersihkan diri dan solat. Tambah pula di Kanada, waktu fajar boleh mencecah seawal 3:30 pagi pada musim panas. Ketika sedang belajar di kelas pun kena berhenti seketika untuk Zuhur, Asar dan Maghrib. Sebelum tidur kena bersihkan diri dan tunggu untuk Solat Isyak, di mana waktu Isyak pada musim panas di Kanada boleh mencecah selewat 11:00 malam. Kemudian pada bulan Ramadhan perlu pula menahan diri dari makan dan minum pada siang hari. Sebulan pula. Kemudian perlu juga beramai-ramai ke Makkah, bersusah-payah mengerjakan haji. Banyak pula larangan lain. Khinzir tidak boleh, daging yang tidak halal tidak boleh. Dating tidak boleh. Susah sangat menjadi penganut Islam.

Lebih mudah menjadi seorang Kristian katanya. Ramai kawan-kawannya yang berpegang dengan agama Kristian tidak pernah ada sebarang pantang larang. Asal ada masa boleh pergi ke gereja. Jika tidak pergi pun tidak mengapa. Cukup sekadar hati percaya kepada Jesus. Cara penganut Kristian beramal ibadah lebih senang dari Islam. Lagi pula, semua agama lebih kurang sama sahaja, membawa kepada Tuhan...

Nasihatku kepadanya, jangan dikira mana mudah mana susah. Yang penting, cari agama yang benar. Katanya pula, mestilah semua agama benar sebab mereka ada pengikut. Kataku, tidak semestinya. Ada banyak ujian untuk mengukur kebenaran sesuatu agama. Jalankan ujian-ujian tersebut menggunakan aqal yang ada, kemudian ikut kata hati mana yang lebih benar dan lebih tepat.

Mungkin benar agama Kristian nampak mudah dari sudut praktikal, tetapi cuba fahami ajaran Kristian. Lihat adakah mereka ada satu kitab yang dijadikan rujukan utama. Lihat pula kesatuan mereka dan perbezaan mereka. Betapa mereka miliki gereja yang berbeza-beza anutan, dan naskhah Bible yang berlainan versi, dan banyak pula percanggahan isinya. Bandingkan dengan Islam. Hanya ada satu kitab iaitu al-Quran. Tanya umat Islam Kanada, umat Islam Arab, umat Islam China, umat Islam India dan mana-mana umat Islam di dunia, kesemua merujuk kepada al-Quran yang satu. Kesemua mengerjakan solat lima waktu sehari semalam. Jika Islam bukan agama yang benar, sudah pasti kitab rujukan dan cara beribadah berbeza mengikut kawasan. 1500 tahun adalah suatu jangka masa yang sangat panjang. Namun al-Quran tidak berubah, solat, puasa, zakat dan haji tetap sama di seluruh dunia Islam. Tidak mungkin sesuatu yang palsu dapat bertahan begitu lama, dan seragam pula di semua kawasan.

Carilah agama yang benar kawanku...

Wednesday, April 23, 2008

Sahabat dari Korea Selatan

Sudah lama Won-Il menjemput aku makan malam bersama dengannya. Won-Il adalah rakan sekelas yang berasal dari Korea Selatan. Seorang pelajar bijak, dalam masa yang sama sangat kuat berpegang dengan ajaran Kristian. Memandangkan aku akan pulang setelah selesai pengajianku pada semester ini dan belum pasti sama ada akan kembali atau tidak, Won-Il sekali lagi bersungguh-sungguh mengajak aku makan malam. Setelah berbincang mengenai jadual peperiksaan masing-masing, kami setuju untuk makan bersama pada hari Rabu, 23 April. Mishal akan turut hadir sama, dan atas permintaan Mishal, kami bergerak menuju ke Nando's.

Won-Il suka bercerita mengenai ajaran Kristian yang dianutinya, dan aku suka mendiamkan diri mendengar dan hanya sekali-sekala bertanya. Jika Mishal hadir bersama, pastinya sesi ceramah sebelah pihak itu akan bertukar menjadi sesi debat. Biasalah, orang Melayu kan suka diam dan mendengar, bangsa-bangsa lain di dunia pula apabila ada sesuatu yang mereka tidak puas hati akan terus diasak dengan pertanyaan dan hujjah. Bukan apa, aku lebih suka mendengar cerita sampai habis dahulu sebelum bertanya apa-apa.

Malam itu, Won-Il menceritakan pengalaman dan nikmat dirinya didampingi Holy Ghost. Pada pandangannya, Holy Ghost ibarat satu spirit baik yang akan mendampingi mereka yang dipilih Tuhan. Tidak semestinya orang baik saja yang dapat, sesiapa saja yang dipilih Tuhan akan dapat nikmat tersebut. Hidup akan menjadi lebih tenang dan bersemangat. Syaratnya cuma satu, beriman kepada Jesus.

Pasti Mishal tidak berdiam diri. Pelbagai soalan ditanya. Malam ini perbincangan didasarkan kepada asas kepercayaan Kristian, three-in-one. Nampaknya Won-Il mampu juga menjawab beberapa persoalan yang ditimbulkan Mishal walaupun tidak kesemuanya, seperti keaslian Kitab Bible.

Aku pula sekadar tidak bersetuju apabila Won-Il menyatakan Islam dan Kristian sama sahaja. Tidak lama dahulu aku ada memberi satu naskhah terjemah al-Quran berbahasa Inggeris kepadanya, dan dia sedang membaca beberapa mukasurat awal Surah al-Baqarah. Dalam tauhid, kunyatakan tauhid Yahudi lebih hampir dengan Islam berbanding Kristian kerana Kristian percayakan konsep trinity. Tanya mana-mana Yahudi, pasti mereka menolak konsep ini. Sama juga dengan konsep patung dan lukisan. Kemudian kunyatakan pula petikan ayat-ayat terakhir Surah al-Nisaa' di mana di Akhirat kelak Jesus sendiri akan menafikan dirinya Tuhan dan dia sendiri tidak pernah menyeru sesiapa menyembahnya sebaliknya sekadar berdakwah kepada Tuhan yang satu. Won-Il agak terkejut apabila kunyatakan ini, kerana selama ini disangkanya al-Quran tidak pernah menuduh agama Kristian sudah diselewengkan. Kunyatakan kepadanya, memang al-Quran menganjurkan berbuat baik sesama manusia, dan disebut pula bahawa penganut Kristian lembut hatinya dan berkawan baik pula dengan kaum Muslimin, namun dalam masa yang sama al-Quran bertegas mengenai konsep kepercayaan. Berbeza kepercayaan tidak semestinya terus membawa kepada permusuhan, namun perbezaan tersebut tetap perlu dinyatakan dan dibetulkan jika ada silapnya.

Mishal lebih fokus kepada keaslian Kitab Bible, lantas dibawa pula perbincangan mengenai Council of Nicaea. Tidak seperti umat Islam yang memiliki al-Quran dalam versi asal Bahasa Arab, Won-Il sendiri tidak pasti wujudkah Bible dalam bahasa asalnya. Mishal nyatakan, terjemahan Bible dalam bahasa lain termasuk Bahasa Inggeris tidak boleh dianggap sebagai Bible yang asal kerana perkataan-perkataan antara bahasa sudah pasti tidak membawa maksud yang sama 100%. Seperti juga al-Quran, terjemahan al-Quran dalam bahasa lain bukan al-Quran sebenar dan tidak boleh dijadikan hujjah. Sudah panjang, restoran pula sudah hampir ditutup. Kami pulang sahaja, sambil Mishal tidak henti-henti terus berhujjah mengenai penyelewengan yang telah berlaku terhadap Kitab Bible.

Friday, April 04, 2008

Saya sudah dekat sangat dengan Tuhan. Tambah sikit saja lagi memang saya akan terus menemui Tuhan!

Kali ini bercerita sedikit. Cerita biasa saja, tidak ada yang menarik sangat pun.

Hari Khamis. Hari terakhir kelas untukku pada semester ini. 8:30-11:30 pagi - International Monetary Theory and Policy; kemudian 6:00 - 9:00 malam - Applied Time Series Analysis. Malam sebelumnya hanya sempat tidur sejam kerana menyiapkan assignment untuk kelas Time Series. Jawapan semua sudah siap petang semalam, tetapi perlu ditulis semula dengan lebih kemas. Oleh kerana keletihan, aku memandu kereta ke universiti.

Seperti selalu, kelas International Monetary habis awal. Kali ini pukul 10:00 sudah tamat. Mungkin apabila seseorang guru itu semakin hebat, maka kelas yang sepatutnya tiga jam berjaya dihabiskan dalam masa sejam setengah sahaja. Itulah kehebatan Prof. Ehsan Choudhri yang merupakan satu-satunya Chancellor's Professor di Department of Economics. Cuma, biasalah bila dah senior dan kelas pula di awal pagi, ramailah yang menggayakan watak beruang kutub memancing ikan (mengantuklah tu!).

Pagi ini Richard tidak hadir. Richard merupakan rakan sekelas sejak semester lepas. Dia berasal dari Mumbai, sama seperti Akhil. Aku mengenali Akhil terlebih dahulu kerana kami sama-sama mengikuti program Qualifying Master. Akhil seorang Hindu, Richard seorang Kristian. Richard biasa dengan Islam disebabkan ada ahli keluarganya yang beragama Islam. Dia sering bertanya padaku tentang Adam dan Hawa, Hari Qiyamah, kedatangan Nabi 'Isa 'alayhissalam, Yakjuj dan Makjuj, taqdir, dan macam-macam lagi.

Pagi itu Akhil pun tidak tahu kenapa Richard tidak hadir. Kata Zhenjiang, Richard memberitahu semalam bahawa dia akan hadir kelas pagi ini untuk memulangkan nota Zhenjiang yang dipinjamnya. Kesian Zhenjiang hari ini belajar tanpa notanya.

Lebih kurang 1:30 petang baru Richard datang ke bilik pelajar pasca-siswazah. Kami lantas bertanya kenapa dia tidak hadir pagi tadi. Katanya, pagi ini dia terlewat bangun kerana tersilap kunci jam. Tertukar a.m. dengan p.m. Kemudian, tatkala menyiapkan sarapan, baru dia perasan bahawa kesemua makanannya yang ada di dalam peti sejuk akan expire pada hari tersebut. Lantas dia mengambil keputusan untuk menghabiskan kesemua makanan yang ada. Yogurt, telur, roti, susu - semua sekali.

Richard memang kuat makan. Kali pertama kami sama-sama ke Moni Mahal, restoran buffet makanan India, dia makan lima pinggan lauk-pauk buffet tanpa henti. Dia sering mengatakan aku jenis manusia yang menguntungkan tauke buffet sebab aku tak makan banyak. Kali terakhir kami pergi ke sana pada hari Selasa lepas. Empat pinggan. Dia kelihatan agak sedih kerana tidak mampu memecah rekod terdahulu.

Petang sebelum aku ke kelas Time Series, aku bertanyakan rakan-rakan jika ada di antara mereka yang hendak turun bersama ke kafeteria di Loeb. Aku hanya ingin makan pizza kerana tadi tengahari tidak makan. Tidak mungkin aku mampu bertahan dalam kelas selama tiga jam lagi dengan perut kosong. Sudah tentu Richard mahu ikut. Seleranya tidak pernah padam. Dua keping pizza dengan sandwich tuna dan tiga ketul ayam goreng.

Hari ini Zhenjiang menerima e-mail dari University of British Columbia (UBC). Dia mendapat tawaran program PhD in economics dari UBC. Gembira sakan! Lantas dia mengajak kami untuk makan malam. Apa boleh buat, aku ada kelas sehingga 9:00 malam. Tetapi oleh kerana aku ada kereta, kesemua mereka sanggup menunggu sehingga kelasku tamat. Zhenjiang, Taposh, Mishal dan tidak ketinggalan, Richard.

Kelas Time Series juga habis awal. Dr. Chu Ba Manh mengajak kami semua minum di bar malam itu. Aku menolak pada awalnya tetapi oleh kerana hanya ada empat pelajar sahaja, aku terpaksa ikut. Pada awalnya mereka ingin ke Oliver's Pub. Oliver's Pub adalah bar yang diuruskan pelajar undergrad. Besar dan sudah tentu ramai. Alhamdulillah oleh kerana terlalu ramai akhirnya mereka membawaku ke Mark's Place, bar untuk pelajar post-grad. Kurang orang. Dekat pula dengan surau. Alhamdulillah malam itu aku tidak keseorangan. Derek juga tidak minum arak. Kami berdua minum coke. Derek seorang pelajar PhD in economics di Carleton dan memiliki alasan tersendiri untuk tidak minum arak. Setelah bersembang hingga hampir pukul 9:00 malam, aku terpaksa meminta diri. Alhamdulillah mereka memahami. Kata Dr. Chu, "Muhammad has to leave early because he has family. All others are bachelor and should stay!"

Selesai solat Isyak, Zhenjiang dan lain-lain sudah menunggu di luar surau. Kami bergerak ke Sakura Sushi, restoran buffet makanan Jepun. Malam itu Zhenjiang dan Richard bagai gajah naik minyak. Makanan yang dipesan terlalu banyak. Richard seorang saja order tiga ayam bakar, satu daging bakar, semangkuk nasi ayam dengan dua pinggan udon goreng ayam. Zhenjiang dengan lima temaki salmon, dua mangkuk tofu goreng, semangkuk tofu basah, jejari ikan, jejari udang, banyak lagi. Mishal dengan Taposh pula dengan koleksi ikan - salmon teriyaki, snapper teriyaki, dua pinggan seafood udon. Mishal sendiri order kepala salmon bakar dengan ikan sanma bakar. Aku sekadar fokus kepada salmon maki dan vegetable tempura kegemaranku.

Malam itu memang perang besar. Mishal tidak habis-habis marah Richard kerana order terlampau banyak. Memang tak habis. Sampai restoran dah nak ditutup pun tak habis. Dah tak habis, Richard sempat lagi order dua mangkuk aiskrim. Akhirnya dia sendiri tersandar kekenyangan kerana tidak mampu menghabiskan makanannya. Mishal makin hangat bersuara, cuma senyap sedikit apabila dia sendiri tidak mampu menghabiskan ikan sanma bakar yang dipesannya. Tatkala membayar bil, kami semua didenda bayar extra $2 setiap seorang kerana makanan yang tidak habis.

Dua malam lepas di Moni Mahal, setelah Richard menghabiskan empat pinggan, apabila diseloroh agar makan lagi, katanya, "If I take some more I'll be nearer to God." Malam ini pula, "It seems that I'm too near to God. Anymore food will take me directly to Him."

Keesokannya Richard langsung tidak hadir ke universiti. Risau juga kami. Petang aku berutus msn dengannya. Alhamdulillah dia ok, cuma katanya dia sudah serik dengan makanan yang banyak. Hari ini perutnya meragam teruk. Langsung tidak boleh menjamah makanan. Kasihan Richard! Mungkin semalam adalah hari di mana dia makan paling banyak dalam hidupnya.

Jauh di sudut hatiku, rasa kasihan dengan hidup pelajar. Duit tak banyak, jadi mungkin sebab itu para pelajar sepertiku gemar ke restoran buffet. Dengan bayaran yang tetap, boleh makan sesuka hati. Sudah tentu bila sudah bayar rasa hendak memaksimakan makanan yang boleh dimakan. Terasa rugi kalau makan sedikit. Inilah keburukan sistem buffet. Lain kali, hanya pergi ke restoran buffet kalau mampu mengawal nafsu. Jangan bandingkan nilai duit dengan makanan yang nak masuk ke perut, sebaliknya fikirkan nilai duit dengan nikmat kesihatan dan kesyukuran kepada Allah. Tak mengapa la sudah bayar harga tetap untuk buffet, makan setakat yang boleh makan sudahlah, jangan dipaksa makan sebanyak mungkin. Bila dah terlebih had, tengok apa yang terjadi. Richard, perut meragam sepanjang hari. Tak selesa pula tu.

Tiba giliran Sakura Sushi memberi peringatan kepada kami agar jangan mengikut hawa nafsu!

Friday, February 01, 2008

Ribut Salji dan Solat Jamak di Masjid Ottawa

Selesai Solat Asar di Surau Carleton, aku bersiap untuk pulang ke rumah. Mishal pun ikut sama kerana katanya jika aku pulang bersendirian nescaya aku akan tidur dan mungkin terlewat untuk ke kuliah tafsir di masjid malam ini. Memandangkan ribut belum reda kami menaiki bas 117.

Selepas mandi dan bersiap, kami keluar. Sudah agak terlewat, 15 minit lagi Maghrib dan keadaan di luar pula ribut. Tidak mungkin kami sempat tiba untuk mendapatkan takbir pertama. Salji yang tebal menyebabkan aku terpaksa lebih berhati-hati dan memandu dengan perlahan.

"Hopefully there are wise people in the masjid that will delay the prayer and wait for others to come. In his kind of weather it is impossible for people to come before time," aku berkata kepada Mishal.

Tiba-tiba di bulatan trafik Prince of Wales Drive-Experimental Farm Scenic Driveway kereta kami terbabas disebabkan jalan licin dan melanggar pembahagi jalan. Alhamdulillah salji yang tebal menampan kereta dari melanggar tiang. Dan alhamdulillah, tiada kenderaan lain di situ. Dengan perlahan-lahan aku mengundurkan kereta sekuat mungkin, dan kemudian meneruskan perjalanan kami.

Jangkaanku tepat, adanya mereka yang bijaksana di masjid. Mereka masih menunggu jamaah untuk datang. Kemudian kami Solat Maghrib bersama. Selesai salam, muazzin terus bangun dan melaungkan iqamah. Nampak gaya si imam akan menunaikan Solat Isyak secara jamak disebabkan cuaca buruk. Mishal kebingungan sambil bertanyakanku, "What on earth are they praying?" Disebabkan imam telah mengangkat takbir, aku hanya sempat memberitahu kepadanya, "Just follow. They are praying 'Isyak and I'll explain it to you later."

Selesai salam, aku menerangkan kepada Mishal bahawa adalah sunnah bagi umat Islam untuk menjamakkan solat disebabkan cuaca buruk. Keadaan ribut salji yang melanda Ottawa pada hari itu adalah faktor yang tepat bagi membolehkan kami menjamakkan Solat Maghrib dan Solat Isyak. Ini juga adalah pengalaman pertama bagiku, kerana di Malaysia jarang berlaku cuaca buruk sehingga ke tahap ini.

Kami kemudian mengunjungi rumah Muhammad al-Indonesi dan sahabatnya dari Bangladesh. Mereka menyewa basement Maktabah al-Sahabah yang berdekatan dengan masjid. Nyata Muhammad memiliki koleksi buku-buku Syeikh al-Albaniy dalam bahasa Indonesia. Dia kini menuntut di Algonquin College. Banyak perkara yang kami sembangkan pada malam itu, dari kepentingan mempelajari Bahasa Arab, kelebihan menuntut ilmu di Arab Saudi dan Jordan, sistem pendidikan Malaysia sehinggalah isu-isu semasa seperti perpecahan masyarakat dan lain-lain. Kemudian sahabat Muhammad, Daniel datang sambil membawa Kitab Adab al-Mufrad karangan al-Imam al-Bukhariy. Dia meminjam buku Sahih dan Dha'if Adab al-Mufrad karangan Syeikh al-Albaniy yang dimiliki Muhammad dan menanda hadith-hadith yang dha'if dalam kitabnya berpandukan buku Syeikh al-Albaniy.

Memandangkan imam di masjid tadi menjamakkan Solat Maghrib dan Solat Isyak, kami menyangka kuliah tafsir malam itu dibatalkan. Rupa-rupanya sangkaan kami meleset, kuliah tetap berjalan seperti biasa cuma bilangan hadirin kurang. Tinggal lima minit sahaja lagi, maka kami mengambil keputusan untuk pulang sahaja, dan ribut masih mengganas.