Monday, June 09, 2008

Pusat asasi UIAM hilang hala tuju

Benarkah?

Dahulukala, sehabis SPM, memang UIAM menjadi pilihan kerana penat-lelah menekuni Bahasa Arab selama lima tahun sewaktu di sekolah menengah tidak sia-sia begitu sahaja. Empat daripada lima pilihan dalam borang permohonan diisi dengan nama UIAM. Ekonomi, Ilmu Wahyu, Sains Kemanusiaan dan Undang-undang. Pilihan terakhir ialah UM. Satu lagi, nama UIAM pada 1990-an begitu gah. Maklumlah presiden tika itu adalah Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan yang tersohor sebagai pemidato dan pejuang unggul. Ditambah pula dengan nama Islam.

Sememangnya zaman di Pusat Matrikulasi menyimpan banyak kenangan indah. Walaupun program matrikulasi UIAM dua tahun, alhamdulillah aku berjaya menamatkannya dalam tempoh setahun sahaja. Ketika diterima masuk, kampus matrikulasi telah berpindah ke bangunan Kolej Islam Malaya di Jalan Universiti, Petaling Jaya. Tambahan waktu itu negara masih dilanda krisis politik 1998, tahun aku menghadapi SPM.

Mengenai tulisan YANG SAYANGKAN CFSUIAM, sedikit sebanyak mungkin ada juga kebenarannya. Kini sudah hampir 10 tahun aku meninggalkan Pusat Matrikulasi, pasti banyak perkara yang telah berubah. Nama juga sudah diubah. Komen beliau mengenai ketiadaan kampus tetap benar kerana kampus yang ada sekarang di Petaling Jaya disewa. Terpulang kepada pentadbiran UIAM, tentu mereka lebih arif membuat perbandingan kos sewa yang dibayar saban tahun di lokasi strategik seperti Petaling Jaya dengan kos membina kampus baru.

Komen kedua mengenai kehilangan pensyarah yang berkaliber, ada juga kebenarannya. Aku sendiri hairan melihat ramai pensyarah-pensyarah yang berpindah keluar. Tambahan pula sekarang banyak universiti dan kolej baru yang sangat memerlukan tenaga akademik, apatah lagi pensyarah yang berkaliber.

Benar nasihat ramai pensyarah yang ku dengar sendiri, jika kekayaan yang dikejar maka jangan jadi pensyarah. Jarang ada pensyarah yang kaya-raya. Jika benar skim gaji staf akademik UIAM tidak menarik, maka pastinya ada sesuatu yang lain yang menyebabkan masih ada pensyarah yang kekal di UIAM. Sayang. Hanya perasaan sentimental seperti sayang menyebabkan ramai sanggup kekal di UIAM. Mudah beribadah, suasana Islamik. Islam menjadi pusat aktiviti. Islamisasi menjadi objektif. Banyak perkara yang menyebabkan terbitnya rasa sayang pada UIAM.

Namun, ruang untuk perubahan masih banyak. Janganlah dihapuskan nilai-nilai Islam dari UIAM kerana itu yang menjadikan UIAM unik, jika tidak sama sahaja dengan lain-lain institusi. Andai perubahan tidak lakukan, tidak mustahil yang sayang sanggup berpisah apabila muncul yang lebih memahami dan menyayangi...

Minyak naik?! Part III

Minyak adalah salah satu sumber tenaga yang tidak boleh diperbaharui. Satu hari kelak kesemua simpanan minyak akan habis. Itu adalah satu kemungkinan yang perlu kita hadapi. Kadar penemuan simpanan minyak baru tidak setanding dengan kadar pengeluaran minyak. Kajian-kajian oleh pakar-pakar ekonomi minyak biasanya membahagikan situasi harga minyak kepada tiga fasa: fasa jatuh, fasa stabil dan fasa naik. Apabila diteliti perubahan harga minyak sejak pengeluaran minyak secara komersial pada 1860-an, harga minyak kini berada di fasa naik. Pada jangka masa panjang, harga minyak bergerak dalam bentuk U kuadratik. Sejak 1860-an, harga minyak menurun sehingga tahun 1960-an dan 1970-an sebelum naik. Rata-rata pengkaji ekonomi minyak berpendapat harga minyak tidak akan turun lagi dalam jangka masa panjang. Dalam jangka masa pendek, harga minyak boleh turun naik mengikut keadaan pasaran.

Jadi, dalam situasi sekarang, memang harga minyak naik. Pendapat peribadi saya, memang subsidi minyak adalah satu bentuk pengacau keadaan pasaran. Seeloknya harga minyak dibiar mengikut kadar pasaran. Cuma, bagi keadaan ini berlaku, saya ada satu syarat. Kerajaan berkata, mereka tidak mampu menanggung subsidi yang begitu tinggi kerana harga minyak dunia adalah di luar kawalan kerajaan. Benar, kita tidak patut menyalahkan seseorang jika sesuatu itu berlaku di luar kawalan mereka. Tetapi, kerajaan sebagai pemerintah negara pasti mampu menyediakan sistem pengangkutan awam yang baik dan efektif. Maka, sekiranya kerajaan berhasrat menghapuskan subsidi, eloklah kerajaan bekerja keras memastikan sistem pengangkutan awam yang ada benar-benar baik. Pengangkutan awam dalam negara sudah pasti berada di bawah telunjuk kuasa kerajaan. Jika tidak, ia adalah kerajaan yang tidak efisien.

Secara peribadi, saya tidak kisah jika harga minyak melambung sehingga RM 5 seliter asalkan sistem pengangkutan awam elok. Apabila sistem pengangkutan awam elok, maka kerajaan sudah melaksanakan sebahagian tanggungjawab memudahkan rakyat bergerak. Sekiranya rakyat tetap mahu menggunakan kenderaan persendirian, maka mereka perlu membayar harga minyak yang tinggi. Seolah-olah denda kerana tidak mahu menggunakan sistem pengangkutan awam yang hebat. Juga sebagai denda kerana mereka menambah pencemaran alam berbanding jika mereka menaiki kenderaan awam.

Seperti di Kanada, harga minyak ditentukan pasaran. Rakyat tidak marah kerana sistem pengangkutan yang dipantau kerajaan sangat baik, dan di sana tiada tol. Di Ottawa misalnya, rakyat boleh semak jam berapa bas seterusnya akan tiba melalui telefon atau internet, dan bas tiba tepat pada waktunya, jika berbeza pun disasarkan kepada empat minit sahaja. Oleh yang demikian, ramai yang suka menggunakan pengangkutan awam kerana mudah dan murah. Boleh bergerak ke mana sahaja.

Apa pun, ini sekadar pendapat peribadi saya sahaja.

Sunday, June 08, 2008

Minyak naik?! Part II

Dalam keadaan masyarakat yang masih terkejut dengan kenaikan mendadak harga minyak, ada baiknya kita muhasabah dan bersabar. Sesungguhnya orang-orang beriman, tatkala mereka ditimpa kesusahan mereka akan bersabar. Mereka akan ingat kepada Allah. Jangan biarkan emosi dan nafsu menguasai jiwa. Berfikir dan bertindak.

Pertama, kita perlu tahu bahawa harga minyak di pasaran dunia naik begitu tinggi sekali. Maka sudah pasti tempiasnya akan terkena kepada kesemua pengguna minyak. Dalam masa yang sama, jangan lupa, apabila harga minyak tinggi, maka negara-negara pengeksport minyak akan mengaut untung besar. Jual dalam kuantiti yang sama tapi dengan harga yang lebih tinggi, memang untung besar. Persoalan sekarang, bagaimana keuntungan tersebut hendak digunakan? Ada bermacam-macam cara, terpulang kepada yang berkuasa. Boleh dilabur untuk memastikan syarikat minyak lebih kaya, dan kerajaan boleh pungut cukai lebih banyak. Kemudian suka hati kerajaan untuk melaburkan pula cukai keuntungan tersebut untuk projek-projek pembangunan negara. Sudah pasti, dalam sebuah negara demokrasi, projek-projek ini sudah dipastikan terlebih dahulu untuk kemudahan rakyat juga. Jika wang tersebut disalurkan ke arah yang salah seperti perut-perut kroni, sudah pasti kerajaan itu akan tumbang. Percayalah perkara ini tidak mungkin berlaku dalam negara demokrasi, apatah lagi negara demokrasi Islam pula...?

Boleh juga negara yang mengeksport minyak itu menggunakan keuntungan tersebut untuk rakyat marhaen. Kita kena ingat, ada kerajaan yang menaikkan harga minyak tetapi beri subsidi dalam bentuk lain. Cukai jalan dipotong, rebet untuk mereka yang taat dengan membayar cukai jalan, dan bermacam-macam lagilah. Boleh juga jika kerajaan terus menerus memberi subsidi langsung agar harga minyak tidak naik, dan kerajaan ini akan menanggung beban yang berat pula. Tidak mengapalah kerana kerajaan itu wujud untuk kepentingan rakyat dan bukan sebaliknya.

Apa yang sudah berlaku tetaplah berlaku. Terpulang kepada masing-masing bagaimana menghadapi situasi ini. Yang penting, janganlah memperbodoh atau diperbodoh orang lain. Biarlah rebet yang diberi setimpal dengan kenaikan harga minyak. Harga minyak negara pengeksport minyak pula tidak patut dibanding dengan harga minyak negara pengimport minyak. Ubah gaya hidup pula sepatutnya ditujukan kepada pemimpin sendiri dan bukannya rakyat jelata yang miskin. Apa lagi yang mereka hendak berjimat kerana sebelum ini mereka sendiri memang berjimat. Jika benar pemimpin serius untuk menangani krisis ini, maka sama-samalah merasai keperitan hidup rakyat.

Ingat, jangan memperbodoh atau diperbodoh. Bacalah dua artikel berikut, pertama mengenai keuntungan negara akibat kenaikan harga minyak oleh mantan Perdana Menteri, Y.A.Bhg. Tun Dr. Mahathir dan kedua tindakan yang sepatutnya diambil oleh pemimpin negara jika mereka benar-benar serius dalam menangani krisis harga minyak oleh Mufti Kerajaan Negeri Perlis, SS Dr. Mohd. Asri.

Hiduplah seperti berikut: Jika anda tidak suka dengan situasi baru sekeliling anda, ubah situasi. Jika tidak boleh, bersabar dan ubah diri anda agar sesuai dengan situasi baru. Bila ada peluang ubah situasi jangan disia-siakan.

Wednesday, June 04, 2008

Minyak naik?! Part I

Biasalah tu. Apa nak hairannya. Bukan boleh buat apa pun. Demonstrasi nanti jadi perhimpunan haram. Boikot stesen minyak nanti kena menapak atau kayuh gerek. Tukar naik pengangkutan awam? Selagi tiada improvement dalam pengangkutan awam di negara kita, mungkin anda akan dihambat rasa marah melebihi marah harga minyak naik.

Ubah gaya hidup? Atau ubah pangkah anda?

Tak tahulah. Yang tahu, hidup mesti diteruskan...

Sunday, June 01, 2008

Jiranku Indonesia II

Lagi perkara menarik dari Indonesia.

Kelima, cara memandu. Subhanallah, jika anda belajar ekonomi dan pernah mendengar istilah free market, maka jalan raya di Indonesia mencerminkan situasi free market. Semua bebas, hampir-hampir saja tiada peraturan. Melawan arus, potong ikut lorong kecemasan, buat lorong sendiri, boleh juga minta kepada polis trafik agar beri kebenaran untuk buat pusingan di tempat yang tidak dibenarkan. Semua ikut suka hati. Bahkan sewaktu buat pusingan-U, jika tidak lepas boleh reverse sesuka hati. Pejalan kaki juga begitu. Nak lintas jalan cara Malaysia, tunggu kenderaan tiada baru nak lintas adalah sesuatu yang agak mustahil di kota besar seperti Jakarta. Cara melintas, meluru saja sambil melambai-lambai tangan minta kenderaan berhenti. Ajaibnya, biar seteruk mana pemanduan di jalanan, mereka benar-benar bertolak ansur. Habis marah pun sekadar menekan hon. Tidak pula keluar caci-maki. Malaysia? Jangan main-main di jalanan, banyak gangster a.k.a. samseng pembuli jalanan. Silap haribulan nyawa melayang!

Keenam, setiap stesen minyak milik Pertamina meletakkan beberapa polisi yang mesti dipenuhi operator mereka, seperti memberi salam kepada pelanggan, mengembalikan wang secukupnya dan mengucapkan terima kasih setelah selesai. Sekiranya ada antara polisi ini yang tidak dilakukan oleh operator, pelanggan boleh lapor dan berhak mendapat satu liter minyak percuma. Malaysia? Itu semua kenangan lama, sekarang semua self-service.

Ketujuh, masjid yang begitu banyak. Hatta gedung-gedung perniagaan, shopping complex semua ada masjid sendiri. Senang. Bukan saja satu kemudahan setiap kali waktu solat, bahkan Solat Jumaat juga mudah. Bayangkan Pasar Baru di Bandung yang setinggi tujuh tingkat, ada masjid di puncaknya. Apabila tiba waktu Solat Jumaat, kesemua pengunjung dan pekerja solat di situ sahaja. Dari perspektif ekonomi, ini menjimatkan masa dan kos pengangkutan. Bayangkan kalau di Malaysia, contohnya di Zon Perindustrian Bebas Bayan Lepas di Pulau Pinang, ada beratus kilang, setiap kilang pula ribuan pekerja, setiap kali Jumaat perlu habiskan masa untuk mencari masjid. Kalau tak silap, Bangunan Dewan Bahasa dan Pustaka ada masjid di puncaknya. Mungkin sudah tiba masa bagi kerajaan memikirkan kaedah ini.

Jiranku Indonesia I

Sepanjang berada di Jakarta dan Bandung, ada beberapa perkara yang sangat menarik perhatianku.

Pertama, kesusahan yang dihadapi rakyat Indonesia. Melarat. Rumah-rumah haram dibina di mana saja ruang yang ada, hatta di bawah jambatan sekalipun. Kanak-kanak mengemis di jalanan. Tambah pula harga minyak yang melambung menambahkan lagi kesulitan hidup. Selang tiga bangunan dari Hotel Ardellia adalah pusat pengedar gas Pertamina. Sejak pagi orang ramai beratur panjang sambil membawa tong gas dan menunggu giliran untuk mendapatkan bekalan gas memasak.

Kedua, ajaibnya kemiskinan yang menghimpit menjadikan rakyat Indonesia benar-benar bekerja kuat. Simpang-simpang trafik menjadi pasar bergerak. Air minuman, koran (surat khabar), majalah, permainan kanak-kanak, makanan ringan, penyanyi jalanan membawa gitar. Semuanya ada. Hatta di bandara (lapangan terbang) ramai yang menjual kartu telefon prabayar. Sepanjang jalan kelihatan berpuluh-puluh penjual bakso menolak kereta tolak. Tidak kurang pemungut barangan terbuang. Nyata mereka benar-benar bekerja kuat. Cuba kita fikir, dalam begitu susah payah mereka dihimpit belenggu kemiskinan, tidak pula mereka curi besi dan lain-lain yang menjadi kemudahan rakyat. Ada negara yang konon membangun lebih pesat dari Indonesia dan lebih kaya dari Indonesia, namun kejadian curi besi dah menjadi rutin harian pula. Sampai besi tiang kabel elektrik pun dicuri!

Ketiga, asal ada saja simpang, akan ada penjaga sukarela yang akan membantu melancarkan trafik. Sesibuk mana trafik sekalipun, di Indonesia tidak ada masalah untuk buat pusingan-U atau mencari parking. Begitu cara mereka berbakti. Ada yang baik hati akan memberi mereka wang, jika tidak diberi pun tidak mengapa.

Keempat, angkutan kota. Banyak sekali. Pengangkutan utama di Bandung. Van-van dijadikan kenderaan pengangkutan awam yang dikenali sebagai angkutan kota. Tampak sesuai sekali sebagai pengangkutan awam dalam kota-kota sederhana sibuk seperti Bandung. Kecil dan mudah berhenti. Luar kota baru naik bas besar.

Bercuti ke Bandung dan Jakarta: KUL-CGK-KUL-PEN

Maryam di Bandara Internasional Soekarno-Hatta,
Jakarta 31 Mei 2008

Sempena musim cuti sekolah, kami sekeluarga bercuti ke Bandung dan Jakarta dari 27-31 Mei 2008. Terbang dengan Airasia dari LCCT Kuala Lumpur ke Bandara Internasional Soekarno-Hatta, Jakarta. Kemudian terus melalui Jalan Tol ke Bandung. Empat hari di Bandung. Satu hari di Jakarta. Maryam demam lebih kurang tiga hari selama di Bandung akibat kehujanan pada hari pertama. Masa cuti lebih banyak dihabiskan untuk membeli pakaian yang sememangnya murah-murah. Sebab itu kami pergi dengan bagasi yang kosong. Sewaktu di Bandung kami menginap di Hotel Ardelia, manakala di Jakarta pula kami menginap di Hotel Ibis, Mangga Dua. Pagi Jumaat kami meninggalkan Bandung menuju ke Jakarta. Sabtu malam pulang ke Kuala Lumpur dengan Airasia juga setelah penerbangan ditunda lebih dua jam. Ahad tengahari selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dengan penerbangan Fireflyz yang juga ditunda tiga jam dari Terminal 3 Lapangan Terbang Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Subang.