Monday, August 20, 2007

Hubungan Guru-Murid: Antara Kemesraan dan Ketegasan

Semalam kami sekeluarga berpeluang menziarahi keluarga Ustaz Hannan, pegawai MUIS yang menyambung pengajian di Canada. Majlis makan-makan diadakan untuk meraikan rakan-rakan anaknya dan guru mereka di Sekolah Abraar. Sekolah Abraar adalah antara sekolah swasta yang ditubuhkan masyarakat Islam Ottawa, dan sukatan pelajarannya diadun ke arah melahirkan generasi muda Islam Canada yang mapan dan teguh menggunakan tiga bahasa utama dunia: Arab, Inggeris dan Perancis.

Nyata sekali di Sekolah Abraar, badan pengurusan sekolah berpendapat pendekatan terbaik untuk mendidik anak-anak ialah dengan menjadikan guru-guru sebagai teman dan sahabat mereka. Pergaulan guru dan anak murid kelihatan seperti pergaulan antara rakan sebaya. Bagi mereka, dengan menjadi rakan para pelajar, sudah tentu para pelajar dapat meluahkan segala isi hati kepada mereka tanpa sebarang halangan sosial yang wujud akibat perbezaan umur dan pengalaman. Panggilan untuk guru hanyalah brother atau sister, dan kemesraan yang terjalin begitu jitu sehinggakan guru dan anak murid boleh duduk bersama bergurau senda menghadap televisyen bermain PS3 dan lain-lain. Pun begitu, kemesraan ini masih perlu diimbangi dengan perasaan hormat kepada seorang guru. Jika tidak, mungkin produk yang lahir akan mengalami kekurangan masalah disiplin yang nyata.

Beginilah antara perbezaan ketara yang wujud antara sistem pendidikan Barat dan Timur. Masyarakat Barat lebih mementingkan keterbukaan sehinggakan hubungan guru-murid ibarat rakan sebaya, manakala masyarakat Timur lebih mementingkan perasaan hormat kepada guru melebihi keterbukaan. Dengan zaman globalisasi kini, sudah tiba masanya bagi kita mengadun satu sistem pendidikan yang terbaik berdasarkan panduan al-Quran dan al-Sunnah dan mengambil iktibar dari pengalaman masyarakat dunia lain. Tidak boleh lagi mana-mana masyarakat merasakan mereka adalah yang terbaik lantas menutup minda daripada belajar dari orang lain.

Maryam pulang bersama hadiah pemberian Kak Ayu, isteri Ustaz Hannan. Terima kasih.

Saturday, August 18, 2007

Kenangan Yang Terindah IV

Teringat kembali pada zaman menjadi penuntut ilmu di pusat matrikulasi, masa-masa lapang diluangkan untuk menghadiri kuliah-kuliah yang lebih dikenali dengan istilah liqa’ tafaqquh fi al-din. Memandangkan di pusat matrikulasi pada ketika itu kesedaran ilmiah masih kurang, maka kuliah-kuliah ini dipelopori oleh jemaah-jemaah yang wujud di kampus, dari jemaah yang terang-terangan aktif dalam politik kampus sehinggalah kepada jemaah yang menyeru orang ramai untuk solat berjamaah, baca kitab Fadha’il al-A’mal, keluar berdakwah dan lain-lain aktiviti yang baik. Kuliah kebiasaannya disampaikan oleh penceramah jemputan yang terdiri dari kalangan pensyarah kampus induk, pensyarah pusat matirkulasi, seniors dan kadang-kadang terdapat juga penceramah luar yang dijemput. Ada antara kuliah ini yang diadakan secara terang-terangan di surau kolej kediaman, ada juga yang diadakan secara tidak terang-terangan dan tertumpu ke kawasan kelas-kelas yang sunyi di kawasan kampus yang agak terpencil. Penganjur terpaksa bersusah-payah mengadakan kuliah di kawasan terpencil kerana aktiviti sebegini kebiasaannya tidak digemari pihak tertentu. Kadangkala, apabila penceramah asal gagal hadir, maka ada pula beberapa seniors yang menjadi bidan terjun mengisi kekosongan. Pengisian? Secara umum, kebanyakan ceramah yang disampaikan tidak lebih seperti pidato umum, di mana penceramah melontarkan apa sahaja yang dirasakan betul pada pandangannya, apatah lagi mereka yang menjadi bidan terjun...

Pun begitu, tatkala melangkah ke kampus induk, rasanya mata penglihatan kita lebih luas dan cerah. Teringat pada tahun pertama di kampus induk, muncul beberapa individu yang meniup gelombang arus tajdid dengan kuliah-kuliah beliau yang sangat ilmiah. Setiap idea dan pandangan yang dilontarkan siap disandarkan pada hujjah al-Quran dan al-Sunnah. Selesai kuliah, para hadirin diberi peluang untuk bertanyakan sebarang persoalan yang terbuku, dan nyata berjaya dijawab dengan baik dan ilmiah.

Kuliah mereka yang pada awalnya bermula secara kecil-kecilan dengan bilangan yang hadir kurang dari 10 orang, akhirnya menjadi sesak. Jarang sekali ada kerusi kosong. Ada juga yang sanggup berdiri di pintu dewan kuliah mendengar dengan setia. Ramainya yang hadir ke kuliah tersebut sehinggakan kuliah-kuliah anjuran jamaah-jamaah tertentu semakin kurang mendapat sambutan. Bahkan penulis pernah hadiri satu perjumpaan khas yang diadakan oleh satu jemaah untuk membincangkan bagaimana menghadapi krisis kurangnya muslimat yang hadir ke program jemaah sebaliknya lebih sibuk dengan kuliah-kuliah ilmiah individu tersebut. Subhanallah! Sepatutnya mereka bersyukur kerana ramainya muslimat mereka yang semakin suka mempelajari ilmu aqidah, fiqh dan hadith; dan memikirkan bagaimana memanfaatkan kuliah-kuliah ini semaksima mungkin. Sepatutnya lagi mereka memikirkan bagaimana kuliah-kuliah ini membantu jemaah mereka daripada menganggap ia sebagai musuh yang menghalang cita-cita mereka tercapai.

Dengan melebarnya sayap tajdid, pimpinan jemaah merasakan mereka perlu melakukan perubahan. Jika dahulu mereka tidak pernah memeriksa latar belakang penceramah, sekarang mereka terpaksa menapis penceramah dan mencari penceramah yang benar-benar menjaga disiplin ilmu. Mereka perlu memastikan penceramah-penceramah jemputan mereka turut menyokong pidato mereka dengan ayat-ayat al-Quran dan petikan hadith. Penulis sendiri turut merasakan perubahan kualiti kuliah-kuliah yang dianjurkan jemaah-jemaah ini melainkan satu jemaah yang tetaplah berpuas hati dengan satu kitab sahaja. Graduan dari timur tengah menjadi favorites untuk menjadi penceramah kuliah dan liqa’ yang diadakan. Malang sekali apabila ada di antara graduan-graduan ini yang menyanyi lagu yang hampir sama dengan individu terbabit, lantas mereka ini tidak dijemput lagi. Pada masa itu, bagi jemaah, kepentingan jemaah masih lagi mengatasi sebarang kepentingan lain, termasuklah pendapat penyokong mereka sendiri yang disuarakan berdasarkan ilmu yang mereka pelajari yang dirasakan tidak selari dengan arus perdana. Walaubagaimanapun, masih ada penceramah yang semelodi dengan mereka tetapi masih mampu menyampaikan pendapat dengan hujjah yang baik.

Ini adalah kesan baik arus tajdid. Kualiti penyampai ceramah dijaga dan diperhatikan. Begitu juga dengan aliran tradisional seperti pondok yang semakin hari semakin kurang pengikutnya akibat tekanan arus tajdid, akhirnya mereka sendiri beralah dan mula melakukan tajdid mereka sendiri. Suatu masa dahulu, kita sering mendengar mereka menghina penuntut universiti. Belajar ilmu dunia hati sudah gelap, tak boleh belajar agama. Banyak bertanya tanda kurang iman. Menuntut ilmu mesti memakai kain pelikat, memaki seluar adalah tidak elok. Belajar pula mesti duduk di lantai bukan di meja. Kini mereka muncul dengan slogan tersebdiri seperti tajdid segar dan sebagainya sebagai menyahut seruan tajdid dan menggantikan kata-kata lapuk mereka. Bukankah ini suatu kesan yang baik? Sudah ada pelajar universiti yang menjadi pendokong aliran pondok, sedangkan sebelum ini pelajar pondok sendiri bermusuhan dengan pelajar universiti. Mereka sendiri semakin rajin menyelak lembaran kitab-kitab dan memulakan pengembaraan mencari kebenaran ilmiah sendiri. Biarpun ada yang tidak sebulu, sekurang-kurangnya matlamat tajdid untuk melahirkan budaya ilmiah tercapai. Ini adalah antara kesan baik munculnya arus tajdid di institusi pengajian tinggi di tanahair.

Sunday, May 06, 2007

Tok Bilal dan Tok Mufti

Alkisah, dalam sebuah negeri nan permai, tok muftinya telah memasyhurkan ke seluruh ceruk negeri bahawa dalam solat, bacaan selawat pada tahiyyat tidak boleh ditambah perkataan ‘sayyidina’ sebelum nama Muhammad dan Ibrahim. Alasan tok mufti mudah, kerana Nabi Muhammad sallallahu ‘alayhi wasallam sendiri tidak menambah, bahkan memerintahkan umat baginda agar solat sepertimana baginda solat.

Maka tidak puas hatilah tok bilal negeri tersebut, lantas pergi bertemu tok mufti.

“Tok Mufti, pada pandangan saya, siapa yang tak sebut sayyidina dalam tahiyyat ni biadap dan kurang ajar.”

“Tapi Tok Bilal, time Nabi ajar solat dulu, tang tahiyyat ni baginda sendiri tak sebut sayyidina. Lepas tu baginda perintah solatlah kamu sepertimana aku solat. Jadi kita ikut sajalah apa yang baginda ajar.”

“Apa la Tok Mufti ni, Nabi memanglah tak sebut. Takkan baginda nak puji diri sendiri pulak.”

“Tapi Tok Bilal, Nabi ada puji diri baginda sendiri. Perkara ni ada disebut dalam hadith-hadith sahih yang banyak, seperti aku sayyid bani Adam, aku sebaik-baik manusia…”

“Ahh, saya tak peduli. Siapa yang tak sebut sayyidina dalam tahiyyat, dia kurang ajar! Lagipun, tambah sayyidina tu benda baik.”

“Tok Bilal, jika begitu Tok Bilal juga seorang yang kurang ajar!”

“Aik, how come saya kurang ajar pulak??”

“Ye lah, bukankah setiap kali Tok Bilal azan kat masjid negeri kita ni, time syahadah Asyhadu anna Muhammad Rasulullah Tok Bilal tak sebut pun Asyhadu anna Sayyidana Muhammad Rasulullah?!”

“Ish, tak pernah orang buat benda tu…”

“Takpe la Tok Bilal, bila Tok Bilal buat, pada masa akan datang nanti lama-lama orang akan kata la oh dulu dah biasa ada orang buat.”

“Ish, tak mahu la saya. Azan ni Nabi dah ajar macam tu, takkan la kita nak ubah.”

“Tok Bilal, tambah sayyidina tu kan benda baik, kan elok tambah tang azan tu sekali?”

“Tok Mufti, saya tak mahu la buat macam tu.”

“Aik, tang azan tak boleh, tapi tang tahiyyat boleh pulak. Camana ni Tok Bilal?”

“Entahlah Tok Mufti, saya pun tak tahu dah nak jawab macam mana…”

“Tiada komunikasi di sini…”

Kali pertama Solat jumaat di tanahair, saya berkunjung ke sebuah masjid di Petaling Jaya. Seperti biasa, saya mendapatkan tempat di saf hadapan berdekatan dengan imam. Selesai solat, saya tidak menunggu untuk berdoa berjamaah bersama imam, sebaliknya bangun untuk solat sunat empat rakaat. Nyata tindak tanduk saya menarik perhatian salah seorang jamaah di situ yang menghampiri saya. Seorang warga emas berusia dalam lingkungan 60-an, namun masih nampak segak dan kemas.

Pada mulanya, beliau menegur tindakan saya yang pada pandangan beliau adalah salah. Kata beliau, solat sunat hukumnya sunat, tetapi berdoa hukumnya wajib. Jadi tindakan saya menyalahi tuntutan agama, kerana menginggalkan yang wajib untuk mengerjakan yang sunat.

Alhamdulillah, nampaknya beliau cuba untuk berhujjah. Ini lebih baik dari terus menuduh saya sebagai Wahhabi dan lain-lain. Saya cuba menjawab hujjah beliau sebaik mungkin, sambil memastikan adab perlakuan seorang yang muda kepada seorang yang tua tetap dijaga.

Lantas saya nyatakan kepada beliau, bahawa pendapat beliau itu ada benarnya. Cuma, saya bertanyakan kepada beliau, bolehkah kita berdoa mengikut imam, sedangkan imam membaca butiran doa dalam bahasa Arab yang kita sendiri tidak faham? Bahkan mungkin imam itu sendiri tidak faham. beliau berfikir sejenak, kemudian memberitahu bahawa benar juga, mana mungkin kita meminta sesuatu daripada Allah dengan menutur kata-kata yang kita sendiri tidak fahami? “Tidak ada komunikasi di sini....” Kemudian beliau menambah lagi, “Sama saja seperti ayat-ayat al-Quran yang mereka jadikan hiasan di dinding masjid ini, dengan tulisan yang terlalu berseni, pakcik sendiri tidak dapat baca, apatah lagi faham. Patutnya mereka letak rujukan ayat ini, kerana tiada komunikasi di sini. Ayat al-Quran bukannya untuk hiasan atau digantung, sebaliknya untuk dibaca, difahami dan diamal.”

Terkejut juga saya melihat beliau meluahkan rasa hati. Menurut beliau, inilah antara rasa hati yang terpendam sekian lama di hatnya. Beliau melihat antara faktor utama kegagalan Islam mendapat tempat di hati masyarkaat adalah masalah komunikasi. Tiada komunikasi berlaku.

Beliau lantas memberi kata-kata perangsang kepada saya agar belajar rajin-rajin dan ubahlah perkara ini suatu hari kelak. Beliau sudah tua, mungkin sudah tidak mampu untuk merubah kesemua ini. Insya-Allah, andai ada kekuatan, nescaya saya akan ubah perkara-perkara ini suatu hari kelak.

Sikap yang ada pada beliau jarang didapati di kalangan masyarakat Islam di Malaysia. Jarang ada seseorang yang apabila melihat sesuatu yang pada pandangannya salah, terus dia pergi mendapatkan penjelasan dan berhujjah. Andai majoriti masyarakat Islam di Malaysia bersikap seperti pakcik ini, nescaya banyak perkara yang dapat diubah. Ada saja benda tak puas hati, terus kita dapatkan penjelasan. Ini juga rahsia kejayaan pelajar cemerlang. Ada saja perkara tidak jelas di dalam kelas, terus bertanya kepada pensyarah. Usah tunggu lagi.

Tariqat Qadiriyah, Wahhabi dan Mencium Kaki di bumi Vancouver

“Excuse me sir, can you show me the direction for Makkah?”

“Oh, go to my friend at the counter and ask him, he’ll show it to you.”

Perjalanan selama enam jam dari Ottawa ke Vancouver memang meletihkan. Petang tadi Setiausaha Politik Suruhanjaya Tinggi Malaysia berbesar hati menghantar ke Lapangan Terbang Antarabangsa MacDonald-Cartier. Kapal terbang Air Canada berlepas sedikit terlewat, lebih kurang jam 6:20 petang, 30 minit lewat dari jadual asal. Tiba di Vancouver lebih kurang jam 9:00 malam. Perjalanan nampak seperti tiga jam sahaja disebabkan perbezaan zon masa antara Ottawa dan Vancouver.

“How are you?”

“Alhamdulillah, I’m fine. Can you show me the direction for Makkah?”

“It’s easy. Face southwest, this way. After you pray come over and we can have a talk together. I’m Rasyeed of Qadiri Tariqah.”

Alhamdulillah, ada juga pegawai keselamatan seagama. Selesai mengerjakan Maghrib dan Isyak secara jamak takhir, masa dihabiskan bersembang bersama Encik Rasyeed. Beliau dengan bangga memperkenalkan dirinya sebagai seorang pengamal Tariqat Qadiriyah. Nyata beliau seorang yang komited kerana memberitahu bahawa beliau merupakan khalifah yang dilantik mewakili syaikhnya di Vancouver. Dengan pantas beliau mengajak berbicara mengenai kepentingan mengikut tariqat.

Diceritakan bagaimana dirinya memperoleh pelbagai nikmat dan ketenangan dalam beribadah. Beliau menceritakan juga mengenai mimpi-mimpinya, bagaimana beliau diberi kurniaan oleh Allah untuk bertemu Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam, para anbiya’ lain seperti Nuh, Ibrahim dan Isa. Begitu juga dengan para Sahabah radiyallahu ‘anhum, seperti Abu Bakr, Uthman, ‘Ali, dan kedua-dua Hasan dan Husayn. Beliau menceritakan dengan detail bagaimana wajah-wajah insan yang mulia ini, ada yang berjanggut hitam panjang, ada yang berjanggut perang sejengkal, ada yang berkening tebal, ada yang berkumis nipis, ada yang tiada kumis.

Inilah anugerah Allah kepada hamba-hamba-Nya yang soleh dan taat beribadah. Pun begitu, berulang-ulang kali beliau memberitahu bahawa segala perkara yang diceritakan ini bukanlah bertujuan untuk memberitahu kelebihan dirinya, tetapi sekadar berkongsi pengalaman hasil amalannya yang komited dengan ajaran Tariqat Qadiriyah.

Kemudian dibuka pula lembaran buku notanya yang dipenuhi dengan tulisan-tulisan wirid dan zikir Tariqat Qadiriyah dan juga gambar-gambar syeikh-syeikh tariqat tersebut yang kebanyakannya telah pun meninggal dunia. Beliau menasihatkan bahawa selain daripada berkhidmat kepada kedua-dua ibu bapa, kita juga perlu setia berkhidmat kepada syeikh kita. Setiap kali berjumpa mesti mencium tangan dan kaki mereka. Terkejut juga tatkala diberitahu bahawa mencium kaki syeikh adalah satu perbuatan yang dituntut dalam Tariqat Qadiriyah. Kata beliau, dengan melakukan perkara ini maka kita akan memperoleh barakah yang tidak terhingga daripada Allah kerana para syeikh ini sebenarnya adalah wali-wali yang dicintai Allah.

Beliau bertanya juga andai saya belajar di Vancouver. Saya nyatakan yang saya belajar di Ottawa, singgah di Vancouver sekadar transit dalam perjalanan pulang ke tanahair. Jika saya belajar di Vancouver, mungkin saya berpotensi untuk direkrut sebagai pengikut Tariqat Qadiriyah dan berjuang menghadapi bahaya Wahhabi yang merupakan ancaman terbesar kepada survival Tariqat Qadiriyah di bumi Vancouver.

Timbul satu persoalan di benak saya. Lantas saya bertanya, kenapa adanya pelbagai tariqat, kerana di tanahair sendiri ada juga yang mengikut Naqsyabandiyah, Syazaliyah dan lain-lain. Saya mengagak, mungkin jawapan yang akan diberikan sama seperti faktor yang menerangkan perbezaan antara mazhab-mazhab fiqh. Namun sangkaan saya meleset. Beliau mula menceritakan bagaimana sepatutnya kesemua tariqat ini bersatu di bawah Qadiriyah. Beliau menyebut bagaimana syeikh-syeikh Naqsyabandiyah dan lain-lain tariqat kesemuanya bertemu pada Syeikh Abdul Qadir al-Jilani. Beliau menyebut nama-nama imam-imam terdahulu yang kesemuanya mengamalkan Tariqat Qadiriyah, termasuk beberapa imam Syi‘ah. Sempat juga saya mencelah, bagaimana imam-imam Syi‘ah diterima sebagai syeikh Tariqat Qadiriyah. Kata beliau, sebenarnya kesemua imam-imam Syi‘ah beriqtiqad dengan aqidah Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah tetapi perkara ini diselewengkan oleh penganut-penganut Syi‘ah terkemudian.

Beliau mengakhiri perbualan dengan menasihatkan saya agar mencari syeikh yang dapat membimbing saya kepada kebahagiaan dunia dan akhirat, dan mengingatkan saya agar memuliakan dan berkhidmat kepada mereka, dan jangan lupa mencium kaki mereka.

Andai saya bertanya kepada pengikut tariqat lain, mungkin mereka juga akan menyatakan perkara yang sama, iaitu tariqat mereka adalah tariqat yang benar-benar asli dan tariqat-tariqat lain sepatutnya dibubarkan dan mengikut mereka. Tidak dinafikan kemungkinan kita bermimpi berjumpa dengan para anbiya’, namun mimpi tetap tidak boleh dijadikan hujjah dalam agama. Mungkin benar menurut beliau, mimpi seperti ini tidak ubah sekadar anugerah Allah kepada hamba-hamba-Nya yang terpilih. Cuma, daripada sibuk merancang strategi menghadapi ancaman Wahhabi, lebih baik mereka berfikir bagaimana untuk bekerjasama menyampaikan dakwah di bumi Vancouver.

Apa pun, setiap manusia berhak memiliki pandangan mereka sendiri mengenai tariqah, wahhabi dan mencium kaki untuk mendapat barakah.

Sunday, April 29, 2007

Kenangan Yang Terindah III

Tatkala berada di pusat matrikulasi, tidak banyak jamaah yang terang-terang dan bersungguh-sungguh menyeru kepada kepentingan solat berjamaah dan kepentingan menuntut ilmu. Kebanyakan jamaah ketika itu lebih enak berbicara mengenai ciri-ciri pemimpin siyasah yang berjaya dan tidak kurang juga perancangan menghadapi ancaman musuh-musuh yang kebiasaannya terdiri dari jamaah-jamaah lain yang sibuk juga hendak merebut kerusi gerakan Islam, pihak pentadbir universiti yang dianggap khadam parti pemerintah dan banyak lagi musuh-musuh lain. Tidak dinafikan, ada juga majlis-majlis ilmu yang dianjurkan jamaah-jamaah ini yang mengisi kekosongan jiwa-jiwa yang dahagakan semangat perjuangan. Biarpun ada ceramah yang berapi-api menaikkan semangat, namun masih terdapat kekurangan yang mencacatkan pidato hebat tersebut. Segala isi penyampaian pidato lebih berkisar kepada pemikiran yang bersifat Islamik, dan bukannya ilmu Islam seperti tafsir ataupun hadith.

Teringat pula kepada satu pergerakan yang terang-terangan menyeru kepada solat berjamaah dan majlis ilmu sehingga mereka langsung mengasingkan diri dari sebarang perbicaraan bersifat politik. Siswa yang terlibat dengan pergerakan ini tidak pernah menisbahkan diri mereka kepada sebarang label, biarpun umum masyarakat menggunakan label tertentu tatkala membicarakan mengenai mereka. Ramai siswa yang terlibat secara aktif dengan pergerakan ini. Semangat mereka menyampaikan dakwah patut mendapat pujian, semoga Allah membalas kebaikan mereka. Biarpun dicaci atau diherdik, mereka tetap mengetuk pintu-pintu kolej kediaman menyeru siswa-siswa agar menghadirkan diri ke masjid. Mereka tampil dengan imej yang menggambarkan keikhlasan hati mereka. Sesiapa sahaja yang ingin bersama mereka, maka mereka membuka tangan mereka seluas-luasnya tanpa mengira latar belakang. Sekali-sekala mereka akan keluar berdakwah di kawasan yang jauh. Pada mereka, kesusahan berdakwah sebenarnya adalah untuk kebaikan diri mereka sendiri.

Majlis ilmu mereka pula biasanya membicarakan isu-isu simple dan basic, seperti iman dan amal. Mereka mengajak manusia agar sentiasa ikhlas. Topik seperti ini sangat sesuai untuk manfaat kesemua lapisan masyarakat. Teringat lagi bagaimana tekun mereka mengajak siswa-siswa hadir ke majlis ilmu mereka. Pada waktu itu, diri ini suka juga hadir ke majlis ilmu mereka, sebagaimana diri ini hadir juga ke majlis ilmu jamaah-jamaah lain.

Sayang seribu kali sayang majlis-majlis ilmu ini dipenuhi dengan penceramah yang tidak lebih sekadar qusos. Berbicara tanpa ilmu, sehingga mereka terkenal sebagai antara agen utama penyebaran hadith-hadith dha‘if dan palsu di kalangan masyarakat. Teringat lagi bagamana ada di antara mereka membaca kitab Fadha‘il A‘amal tanpa mengetahui butiran apa yang dibacanya. Alangkah indahnya dunia Islam, sekiranya dengan semangat berkobar-kobar mereka berdakwah itu mereka manfaatkan sekelumit masa menuntut ilmu-ilmu Islam yang mampu mengajar mereka membezakan apa yang betul, dan apa yang salah tetapi selama ini dianggap betul. Alangkah indahnya jika mereka tingkatkan kualiti majlis-majlis ilmu mereka. Pastikan penceramah yang berpidato di hadapan mereka benar-benar memiliki kelayakan. Alangkah indahnya juga, seandainya mereka tidak menghadkan bacaan mereka kepada kitab Fadha‘il A‘amal sahaja, sebaliknya turut memetik kebun al-Bukhariy dan Muslim.

Teringat pula tatkala selesai program matrikulasi, pergerakan ini tetap hebat dan gah di kampus utama. Mereka adalah juara penyeru kepada solat berjamaah dan majlis ilmu mereka. Sekali lagi tembelang mereka pecah.

Apabila tajdid mula melebarkan sayap, tiba-tiba pendokong-pendokong tajdid yang terkesan dengan banyaknya majlis ilmu pergerakan ini mula menganjurkan kuliah-kuliah ilmiah. Ini kerana majlis ilmu pergerakan ini, selain rendah kualitinya, tidak dianjurkan pada kala yang tetap. Maka pendokong tajdid mula menganjurkan kuliah-kuliah ilmiah. Antara kuliah-kuliah ilmiah yang terawal ialah kelas aqidah, kelas hadith yang merangkumi perbincangan ‘ulum al-hadith dan syarah Riyadh al-Salihin dan Fiqh Perbandingan. Ini adalah tiga kelas terawal yang dianjurkan pendokong tajdid. Kemudian ditambah pula dengan kelas syarah al-Aqidah al-Wasitiyah, syarah al-Aqidah al-Thahawiyah dan perbincangan sirah berpandukan al-Raheeq al-Makhtum. Tidak termasuk lagi kelas-kelas yang diadakan di masjid besar universiti anjuran pentadbiran masjid: Tafsir Ibn Kathir, syarah Sahih al-Bukhariy, kelas Subulussalam, kelas sirah Fathul Bari, kelas Bahasa ‘Arab. Diikuti pula kursus-kursus ilmiah yang diadakan secara berkala seperti Sifat Solat al-Nabi sallallahu ‘alayhi wasallam, Tanda-tanda Qiyamah menurut Sahih al-Bukhariy dan Sahih Muslim, Ramadhan dan Terawih, dan banyak lagi. Perbahasan mengenai kelas, pengajar, sambutan dan kesan kuliah-kuliah ini akan dibicarakan pada masa yang akan datang, insya-Allah.

Sudah tentu pergerakan tadi terpukul dengan kuliah-kuliah ilmiyah pendokong tajdid. Mana seruan mereka agar hadir ke majlis-majlis ilmu? Nyata sekali mereka juga tidak terlepas dari tempias jamaah-centric. Rupa-rupanya seruan mereka selama ini ialah hadir ke majlis ilmu mereka sahaja. Tidak dinafikan, ada juga ahli-ahli pergerakan ini yang hadir ke kuliah-kuliah ilmiyah pendokong tajdid, iaitu sekadar dua tiga orang. Jika benar mereka mencintai ilmu dan menyeru umat Islam untuk hadir ke majlis ilmu, sepatutnya mereka menjuarai kehadiran ke kuliah-kuliah ilmiyah ini. Tanpa menafikan jasa pergerakan ini, kelakuan sebegini amatlah jelek. Anda menyeru orang lain agar hadir ke majlis ilmu anda, kerana anda mengatakan ilmu itu penting dan wajib dituntut oleh setiap yang bergelar muslim, tetapi apabila orang lain mengadakan majlis ilmu, anda menyepi diri. Ingatlah ancaman Allah terhadap mereka yang berkata sesuatu yang mereka tidak lakukan. Melihat kelakuan pergerakan ini, akhirnya diri ini menetapkan untuk tidak lagi hadir ke majlis ilmu mereka. Jika hadirpun, sekadar atas dasar hormat dan ukhuwwah, tetapi bukan sebagai telaga ilmu yang memuaskan dahaga penuntut ilmu.

Alhamdulillah, pendokong tajdid menjuarai kehadiran ke kuliah-kuliah ilmiyah ini, termasuk kuliah-kuliah anjuran pentadbiran masjid. Memandangkan masjid kini penuh dengan aktiviti pendokong tajdid, pergerakan tadi yang kononnya hebat menyeru kepada solat berjamaah mula menjauhi masjid besar universiti, sebaliknya memusatkan aktiviti mereka di salah satu surau kolej kediaman. Sekali sebulan mereka akan mengadakan perhimpunan di masjid besar universiti. Biarpun keburukan ini menjejaskan pergerakan mereka, pendokong tajdid tidak lupa memuji semangat mereka yang gigih berdakwah walaupun dengan serba-serbi kekurangan ilmu di dada. Semoga Allah memberi petunjuk kepada mereka.

Thursday, April 26, 2007

Samurai, Kucing dan Tikus

Tersebutlah kisah seorang samurai yang berhadapan dengan masalah seekor tikus yang teramat licik di rumahnya. Tidak tahan dengan kerenah sang tikus, maka pergilah samurai ke pekan dengan hasrat membeli seekor kucing. Penjual kucing menjual seekor kucing yang menurutnya mampu menangkap sang tikus, dan kucing tersebut tampak gagah. Namun, setelah dibawa pulang, nyata sang tikus lebih licik dari kucing. Seminggu berlalu tanpa hasil memberangsangkan. samurai tersebut memulangkan kucing kepada penjual kucing. Lantas penjual kucing mengeluarkan seekor kucing yang besar, tangkas dan garang, sambil memberi jaminan penuh bahawa tidak ada seekor tikus pun yang akan dapat lepas darinya. Setelah dibawa pulang, nyata kucing baru ini sangat tangkas. Namun sang tikus yang cerdik tahu bahawa kucing baru ini bukan tandingannya, maka sepanjang waktu kucing berjaga, sang tikus berdiam diri di lubangnya. Sementelah kucing tidur, maka keluarlah sang tikus melakukan kerjanya seperti biasa. Separuh hari sang tikus bersembunyi, separuh lagi habis rumah samurai diporak-perandakan. Samurai akhirnya memulangkan kucing kepada penjual kucing. Sambil menggelengkan kepalanya, penjual kucing memberitahu kepada samurai bahawa dia telah memberi kucing yang terbaik kepadanya, dan tidak ada apa lagi yang dia dapat lakukan untuk membantu samurai. Dengan perasaan kecewa samurai berjalan pulang sambil memikirkan nasibnya yang dihantui masalah tikus.

Dalam perjalanan pulang, samurai bertemu dengan seorang sami dan meluahkan masalahnya kepada sami tersebut. Sami yang kasihankan samurai menawarkan khidmat seekor kucing yang ada di kuilnya. Kucing tersebut amatlah tua dan gemuk, dan langsung tidak menyedari samurai datang mengambilnya dari kuil dan membawanya ke rumah. Selama dua minggu di rumah samurai, kucing tua dan gemuk tersebut tidak bergerak langsung – ia tidur sepanjang hari dan sepanjang malam sambil menunggu makanan diletakkan di hadapannya. Samurai ingin memulangkan kucing yang tidak berguna ini kepada sami, namun sami meminta agar samurai tetap menyimpan kucing tua itu kerana tidak lama lagi masalah tikus akan selesai.

Sang tikus pula telah terbiasa dengan kehadiran tikus tua gemuk yang pemalas tersebut. Sang tikus tidak perlu lagi takut dan risau, malah kadangkala berani pula ia bermain-main dan menari-nari di sekeliling kucing tua yang kuat tidur itu. Akhirnya, pada suatu hari, tatkala sang tikus berada terlalu hampir dengan kucing tua tersebut, “pow!” dengan sekali tamparan pantas dari kucing tua tersebut matilah sang tikus serta-merta di tempat kejadian.

Kadangkala, apabila berhadapan dengan musuh yang lebih superior, jangan terus berdepan dengannya. Sebaliknya tunjuklah kelemahan kita agar musuh kita lalai dan leka. Apabila mereka merendah-rendahkan kita, mereka akan banyak melakukan kesilapan. Tatkala masa yang tepat tiba, gunakan segala kekuatan. Dengan sekali pukulan sahaja nescaya mereka akan tersungkur. Kesabaran itu tinggi nilainya. Hanya mereka yang bijak memahami kekuatan yang terlindung di sebalik kesabaran.