Friday, February 29, 2008

Ia tak patut berlaku tapi ia tetap berlaku

Dalam menjalani rutin kehidupan setiap hari, pernahkah kita terfikir, betapa banyak masa dan tenaga yang kita buang kerana memberi perhatian kepada perkara yang langsung tidak ada kaitan dengan kita, sebaliknya banyak perkara yang sangat penting dalam hidup kita sengaja abaikan begitu sahaja?

Kita begitu banyak berbicara mengenai perkara yang tidak ada sangkut paut dengan kita. Bahkan kebanyakan perkara ini tidak pula kita miliki maklumat yang tepat. Baik pemimpin negara mahupun orang awam tidak terlepas dari suka berbicara akan perkara yang tidak penting dan kurang jelas maklumatnya. Gosip mengenai personaliti, arena politik, dan seumpamanya lebih kita sukai sedangkan kita sendiri tidak pasti entah benar entah tidak perkara yang kita bincangkan. Al-Quran yang jelas lagi terang benar isi kandungannya mengenai panduan hidup kita di dunia ini - jangan kata berusaha memahaminya, hendak membuka dan membaca sepuluh ayat sehari pun kita malas. Cerita artis, berita politik dan umpat-mengumpat lebih kita suka.

Ini antara intipati pengajaran dalam Surah al-Kahfi, ayat 19 dan 22. Dalam ayat 19, diceritakan apabila penghuni gua bangun dari tidur mereka yang sangat panjang, salah seorang daripada mereka bertanya, berapa lama agaknya mereka tidur. Jawab seorang yang lain, mungkin satu hari atau setengah hari. Lantas akhirnya mereka terus berkata, Tuhan kamu lebih tahu berapa lama kamu tidur. Dalam ayat 22 pula, Allah menyebut mengenai khilaf bilangan penghuni gua. Ada yang berkata tiga pemuda dan seekor anjing, ada yang kata lima pemuda dan seekor anjing, ada yang kata tujuh pemuda dan seekor anjing. Lantas Allah menyuruh Muhammad sallallahu 'alayhi wasallam menjawab: "Tuhanku lebih tahu berapa bilangan mereka."

Lihat bagaimana respon orang-orang beriman. Penghuni gua, bagi mereka, berapa lama tempoh mereka tertidur tidaklah penting. Yang penting adalah survival iman mereka. Mereka lari kerana ingin memelihara iman mereka dari kejahatan kaum mereka.

Berapa bilangan penghuni gua juga bukanlah sesuatu yang penting. Yang penting, peristiwa ini benar-benar berlaku dan ia menjadi tanda kekuasaan Allah untuk membangkitkan manusia di Akhirat. Di Akhirat kita tidak akan dipersoal mengenai berapa bilangan mereka, atau di mana gua tersebut, tetapi kita akan ditanya mengenai iman kita. Adakah kita benar-benar beriman bahawa Allah mampu membangkitkan semula manusia yang telah mati? Apa pula tindakan kita dalam menjaga agama kita, adakah kita mencontohi sikap penghuni gua?

Lihat sajalah kehidupan kita. Berapa usaha yang kita lakukan untuk kesejahteraan di Akhirat yang lebih penting dari dunia? Berapa lama pula kita cuba meluangkan masa belajar aqidah yang menjadi tonggak kepercayaan kita? Semoga kita sama-sama dapat memperbaiki fokus kehidupan kita agar tidak membuang masa dengan perkara yang tidak ada kepentingan dalam hidup kita.

*Petikan Kuliah Tafsir Syeikh Abdurrahman al-Hijazi di Masjid Ottawa

Tuesday, February 26, 2008

The Presidential Puzzle: Political Cycles and the Oil Price

Kesibukan menyiapkan research paper menyebabkan tiada masa untuk menulis di blog. Alhamdulillah, buat masa ini, proposal telah dihantar dan disemak oleh supervisor, yang tinggal hanyalah presentation dan final draft. Insya-Allah dalam masa sebulan lagi selesai.

Bersama-sama dengan Richard, rakan sekelas yang berasal dari Mumbai, kami melakukan analisis antara harga minyak dunia dan kuasa politik Rumah Putih. Setakat ini, kami dapati harga minyak mentah setong 40 cent lebih murah apabila parti Demokrat menang pilihanraya presiden Amerika Syarikat berbanding parti Republikan.

Insya-allah, nantikan final draft pada awal April ini.

Sunday, February 17, 2008

How to be Successful - the Harvard MBA Way

An American investment banker was at the pier of a small coastal Mexican village when a small boat with just one fisherman docked.

Inside the small boat were several large yellow fin tuna. The American complimented the Mexican on the quality of his fish and asked how long it took to catch them. The Mexican replied, "Only a little while."

The American then asked, "Why didn't you stay out longer and catch more fish?"

The Mexican said, "With this I have more than enough to support my family's needs."

The American then asked, "But what do you do with the rest of your time?"

The Mexican fisherman said, "I sleep late, fish a little, play with my children, take siesta with my wife, Maria, stroll into the village each evening where I sip wine and play guitar with my amigos, I have a full and busy life."

The American scoffed, "I am a Harvard MBA and could help you. You should spend more time fishing; and with the proceeds, buy a bigger boat: With the proceeds from the bigger boat you could buy several boats. Eventually you would have a fleet of fishing boats. Instead of selling your catch to a middleman you would sell directly to the processor; eventually opening your own cannery. You would control the product, processing and distribution. You would need to leave this small coastal fishing village and move to Mexico City, then Los Angeles and eventually New York where you will run your ever-expanding enterprise."

The Mexican fisherman asked, "But, how long will this all take?"

To which the American replied, "15 to 20 years."

"But what then?" asked the Mexican.

The American laughed and said that's the best part. "When the time is right you would announce an IPO and sell your company stock to the public and become very rich, you would make millions."

"Millions?... Then what?"

The American said, "Then you would retire. Move to a small coastal fishing village where you would sleep late, fish a little, play with your kids, take siesta with your wife, stroll to the village in the evenings where you could sip wine and play your guitar with your amigos."

Author Unknown
p.s. Harta kekayaan bukan segala-galanya...

Friday, February 15, 2008

Tafsir Ayat al-Kursi

Ayat 255 Surah al-Baqarah - dikenali sebagai Ayat al-Kursi. Ayat terhebat dalam al-Quran. Mengandungi prinsip-prinsip utama Tauhid selain pelbagai khasiat dan faedah seperti yang termaktub dalam hadith-hadith sahih.

Dimulakan dengan menyatakan kalimah Tauhid - tidak ada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah. Diikuti pula dengan dua nama daripada nama-nama-Nya yang mulia: al-Hayy dan al-Qayyum. Ada sebahagian 'ulama berpendapat bahawa kedua-dua nama ini adalah nama Allah yang teragung, sementara yang lain berpendapat nama Allah yang teragung ialah al-Rahman, al-Rahim dan Allah. Wallahu a'lam, menurut Syeikh Abdurrahman al-Hijazi, di dalam satu hadith, diriwayatkan bahawa ada seorang Sahabah yang berdoa kepada Allah dengan menyebut beberapa nama Allah, kemudian Rasulullah sallallahu 'alayhi wasallam memberitahu bahawa Sahabat tadi telah menyebut nama Allah yang teragung, sekiranya sesiapa sahaja yang berdoa dengan nama itu nescaya doanya diterima Allah.

Al-Hayy dan al-Qayyum sangat istimewa. Al-Hayy - Allah itu Maha Hidup, azali dan abadi. Dia Yang Awal, tiada sebelumnya sesuatu dan Dia Yang Akhir, tiada selepasnya sesuatu. Al-Qayyum - Dia bukan sekadar hidup bahkan Maha Mentadbir seluruh yang wujud. Syeikh menyamakan maksud al-Qayyum dengan al-Samad di dalam Surah al-Ihklas. Dia menajdi tempat kesemua makhluk bergantung harap meminta pertolongan. Ini sama sekali menafikan pandangan sebahagian agama yang menganggap tuhan mendiamkan diri selepas mencipta alam ini. Lihat perumpamaan politik dunia, ada raja-raja yang sekadar bertakhta tetapi tidak berkuasa (reigning but not ruling).

Kemudian dinyatakan pula bahawa Allah itu tidak tidur dan tidak mengantuk. Penjelasan mendalam agar manusia tidak sesat dalam mengenali pencipta mereka. Ada manusia yang tidak tidur tetapi mereka tidak lepas dari mengantuk. Maha Suci Allah dari semua sifat kelemahan ini.

Kemudian dinyatakan pula Allah itu pemilik segala yang ada di langit dan segala yang ada di bumi.

Kemudian dinyatakan pula Allah itu pemilik tunggal hak memberi syafaat. Diberi syafaat kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya, termasuk kepada Rasulullah sebagai pemberi syafaat di Akhirat kelak. Tidak ada sesiapa yang boleh memberi syafaat pertolongan melainkan setelah mendapat izin dari-Nya.

Kemudian dinyatakan pula kesempurnaan ilmu Allah itu, dari apa yang berlaku dalam kehidupan manusia di bumi sehinggalah kepada apa yang akan berlaku kepada mereka di Akhirat kelak. Manusia itu pula sekadar mendapat ilmu yang diizinkan Allah jua.

Kemudian disebut pula mengenai al-Kursi yang luasnya meliputi langit dan bumi. Menurut syeikh, disebut di dalam hadith bahawa al-Kursi ialah tempat dua tapak kaki. Sepertimana Rasulullah sebut tempat dua tapak kaki begitu jugalah kita sebut. Bagaimana rupanya kita tidak tahu kerana tidak diberitahu, yang kita pasti ia tidak sama dengan kaki manusia mahupun kaki mana-mana makhluk kerana Allah itu suci dari menyamai makhluk. Yang kita tahu, al-Kursi sangatlah besar kerana alam semesta ini yang sekadar berada di bawah naungan langit pertama sahaja belum habis kita terokai. Di dalam satu hadith disebut pula bahawa perbandingan antara al-Kursi dan al-Arsy seperti sebentuk cincin yang dilempar ke tengah padang pasir yang luas. Maka al-Arsy lebih hebat dan besar. Lebih dari itu tidaklah kita tahu.

Kemudian dinyatakan pula bahawa Allah itu tidak pernah berasa letih untuk menjaga dan mentadbir langit dan bumi. Ini sekali lagi menyanggah tanggapan sebahagian manusia yang menyamakan Allah dengan makhluk yang dilanda letih setelah bekerja keras menjaga dan mentadbir kawasan yang luas. Ini termasuklah Koen yang kadang kala berasa kasihan kepada Allah kerana menurutnya pasti Allah letih kerana sudahlah mentadbir alam, kena pula memperkenan pelbagai permintaan seluruh manusia.

Akhir sekali disebut pula dua nama Allah yang mulia, al-Aliy dan al-Azim; Yang Maha Tinggi dan Yang Maha Agung.

Kuliah tamat tepat jam 9 malam. Kami perlu cepat kerana hendak ke Food Basics. Sewaktu di pintu keluar masjid, seorang budak lelaki bertanya kepada Mishal mengenai Koen, "Is he new?" Dia bertanya adakah Koen baru masuk Islam. Mishal pun memberitahu belum lagi. Tiba-tiba sahaja budak itu dengan nada kurang senang berkata, "Then why is he here?" Hampir saja Mishal naik angin. Orang lagi nak dakwah ajak datang masjid supaya mereka mengenal Islam dan lunak hati dengan Islam, masih ada pemikiran lapuk ditanam dalam akal generasi muda bahawa masjid adalah tempat khusus bagi orang Islam sahaja. Sabar Mishal, budak tu kecil lagi. Betul juga kata Mishal. Kuliah kat masjid pun berapa ramai sangat orang Islam yang datang, kira bagus jugalah Koen yang bukan Islam sanggup datang luangkan masa dengar.

Kami terus ke Food Basics di Merivale Road dan membeli barang-barang dapur untuk rumah masing-masing.

Alkisah seorang ayah yang cintakan keluarganya

Malam itu, Syeikh Abdurrahman al-Hijazi memulakan kuliah dengan menceritakan suatu kisah kepada kami. Katanya, kisah ini mungkin sebahagian dari kita pernah mendengar atau membaca, tetapi sangat baik untuk dibuat analogi agar kita kembali beramal dengan al-Quran. Begini ringkasannya...

Pada suatu masa dahulu, ada sebuah keluarga yang terdiri dari ayah, ibu dan anak-anak yang ramai. Kehidupan mereka sangatlah bahagia. Pada suatu ketika, tibalah masa buat si ayah pergi bermusafir jauh untuk suatu tempoh yang sangat lama, lebih 10 tahun.

Sepanjang tempoh beliau bermusafir, si ayah sentiasa mengutus surat kepada keluarga yang ditinggalkan. Oleh kerana ahli-ahli keluarga sangat-sangatlah menyayangi dan mengasihi beliau, mereka menjaga surat-surat kiriman beliau dengan baik. Surat-surat itu diletakkan di kotak-kotak mahal dan sangat dihargai sehinggakan mereka langsung tidak mahu membukanya. Setiap hari mereka sekadar membelek dan merenung surat-surat tersebut.

Akhirnya selesailah urusan si ayah lalu pulanglah beliau menemui keluarganya. Alangkah terkejut setelah beliau tiba di rumah, yang tinggal hanyalah anak kecilnya. Isterinya yang tersayang telah menemui ajal kerana sakit teruk, manakala anak-anaknya kesemuanya telah rosak, ada yang melakukan jenayah, ada yang melakukan aktiviti tidak bermoral dan pelbagai lagi.

Si ayah tambah terkejut dibawa anak kecilnya melihat surat-surat kirimannya yang bertimbun - langsung tidak diusik sedikit pun bahkan dihias cantik di satu sudut rumahnya. Aduhai, kata si ayah. Bukankah dalam surat-surat ini senantiasa ku kirimkan nasihat-nasihat dan wang belanja untuk keselamatan dan kebahagiaan kamu semua. Kenapa kamu tidak mahu membuka dan membacanya? Andai kamu membuka dan membaca surat-suratku, nescaya kamu tidak akan sampai begini jadinya...

Kata Syeikh, Allah sangat-sangat menyayangi hamba-hamba-Nya. Dia tahu hamba-hambanya hidup dalam keadaan susah payah di dunia, maka diutus al-Quran buat pedoman agar hamba-hambanya tidak binasa.

Malang sungguh bila ada antara kita yang sangat memuliakan al-Quran - mengucup mushaf, membingkaikan ayat-ayat al-Quran dengan bingkai cantik lagi mahal dan digantung di rumah - tetapi langsung tidak pernah meluangkan masa memahami isi kandungan al-Quran dan beramal dengannya.

Al-Dajaj Al-Meshawi di Les Grillades

Petang. Selesai Solat Asar; Mishal, Taposh, Koen dan aku bergerak ke Masjid Ottawa. Malam ini aa Kuliah Tafsir Syeikh Abdurrahman al-Hijazi. Dalam e-mail yang dihantar, beliau menyatakan malam ini kami akan belajar tafsir mengenai "the greatest verse in al-Quran." Sudah pasti Ayat al-Kursi. Ketika kami melalui Holland Avenue, ternampak "Les Grillades" kini kembali beroperasi setelah sekian lama tutup disebabkan kebakaran Jun lalu. Koen lantas mencadangkan agar kami makan malam di situ.

Selepas Solat Maghrib, kami terus ke restoran. Wajah baru. Dulu apabila melangkah masuk sahaja ke ruang makan terasa seolah-olah berada di negara Arab. Sayang kini dirubah kepada suasana restoran Barat. Menurut seorang senior di Ottawa yang rajin makan-makan, tuan punya Les Grillades ini berfahaman Syi'ah. Teringat lagi kali pertama apabila kami dan rakan-rakan senegara ke sini, dia mengingatkan aku bahawa restoran ini orang Syi'ah yang punya. Kalau tak selesa makan makanan Syi'ah, maka boleh saja ke tempat lain.

Pernah kuajukan pertanyaan ini kepada salah seorang imam di tempatku. Jawapannya agak menarik. Menurutnya, tidak banyak beza antara orang awam Sunni dan orang awam Syi'ah. Ramai mereka sekadar mengikut fahaman orang tua mereka. Sepertimana ramai orang awam Sunni yang sekadar mengikut telunjuk 'ulama Sunni, begitu juga dengan orang awam Syi'ah yang sekadar mengikut telunjuk 'ulama mereka. Lainlah jika restoran tersebut dimiliki "ilmuwan Syi'ah", maka perlu berwaspada. Kenapa pula begini? Kerana para 'ulama mereka yang sesat dan menyesatkan. Mereka yang terkehadapan mengkafirkan para Sahabah serta menghina Ummul Mukminin 'A'isyah radiyallahu 'anhum ajma'in. Kebanyakan pengusaha restoran Sunni atau Syi'ah mempunyai matlamat yang sama seperti pengusaha restoran lain, iaitu mencari nafkah dan mengaut keuntungan melalui perniagaan makanan.

"Restoran orang Sunni kan ada..."

Benar atau tidak, terpulang kepada masing-masing untuk membuat penilaian. Di Ottawa kebanyakan restoran Arab diusahakan oleh masyarakat Syi'ah. Aku sentiasa berusaha untuk meminimumkan tahap menaja restoran-restoran ini.

Hajat Koen untuk makan kambing tidak kesampaian kerana stok kambing bakar telah habis.Tidak dapat dinafikan kambing bakar mereka adalah antara yang terbaik di Ottawa. Kami hanya memesan ayam bakar dan kafta. Sedap, cuma servis terlalu lembab. Hampir sejam menunggu baru siap. Mungkin tidak akan datang ke sini lagi, melainkan jika ada kawan-kawan yang berhajat.

Alhamdulillah, selesai makan kami sempat Solat Isyak di masjid. Selesai solat, masing-masing terpaksa berjuang bersungguh-sungguh untuk mencelikkan mata ketika mendengar kuliah.

1. Les Grillades di zabihah.com
2. Les Grillades di restaurantica.com

Semangat Seorang Kerani Pos

Pagi ini salji turun agak lebat diikuti dengan angin bertiup kencang. Dari tingkap bilik dobi nampak berbalam-balam Experimental Farm dan Downtown Ottawa diserang angin ribut. Sementara menantikan kain baju siap dibasuh, aku ke Pejabat Pos Rideauview Mall untuk mengambil bungkusan dari Malaysia.

Bungkusan sengaja dialamatkan menggunakan nama isteri kerana pengalaman buruk tatkala bungkusan berisi baju raya yang dikirim keluarga di kampung ditahan selama lebih sebulan di sempadan US. Sia-sia sahaja bayar mahal untuk kiriman ekspress melalui Fedex. Lepas raya juga baru sampai. Tidak cukup dengan itu, baju raya yang dikirim telah bercompang-camping dikerjakan pegawai sempadan US. Mungkin mereka menyangka kain baju raya mengandungi bahan kimia berbahaya tahap antraks. Iyalah, dialamatkan kepada individu bernama MUHAMMAD yang sudah pasti beragama Islam. Alhamdulillah setelah diadukan kepada Fedex, mereka memulangkan kos penghantaran serta nilai baju raya.

Kali ini pula hampir-hampir gagal mendapatkan bungkusan yang dikirim. Oleh kerana bungkusan dialamatkan menggunakan nama isteri, maka isteri yang perlu datang sambil membawa dokumen pengenalan diri. Jika diwakilkan kepada orang lain, perlu mendapat surat pengesahan yang disertakan tandatangan dan salinan dokumen pengenalan diri.

Lantas kuceritakan pengalaman lalu. Akhirnya dapat juga mengambil bungkusan, itupun setelah mendengar nasihat dari kerani pos yang panjang lebar, yang mana kudapati segala kata-katanya benar belaka, dan kuringkaskan seperti berikut:
"Kenapa awak perlu menggunakan nama isteri awak? Setiap manusia berhak menggunakan nama mereka dan berhak beramal dengan agama mereka. Sekiranya bungkusan awak dibuka dan dirosakkan, maka awak perlu mengajukan pertanyaan kepada mereka. Sekiranya tiada sebab yang munasabah, maka awak perlu tampil menuntut hak awak. Hak awak untuk bernama MUHAMMAD dan hak awak untuk beragama Islam. Kenapa awak mesti takut untuk memperjuangkan hak awak sendiri? Sekiranya awak sendiri tidak mahu memperjuangkan hak awak, maka awak akan terus dipandang lemah. Ia juga tanda bahawa semangat awak lemah dan ini akhirnya akan menyebabkan fikiran awak kacau bilau kerana sering merasa tertekan. Jangan biarkan perkara ini berterusan. Ini Kanada. Negara ini ada undang-undang. Setiap individu ada hak yang perlu dihormati. Pertahankan hak awak!"
Walaupun kerani tersebut bukan seorang Muslim dan hanyalah seorang kerani pejabat pos, kata-katanya benar-benar meragsang semangat. Andai kita sendiri membiarkan orang lain menindas hak kita, sudah tentu kita akan terus ditindas. Tidak ada orang lain yang akan menuntut hak kita bagi pihak kita. Kita sendiri perlu bangun berjuang.

Pengalaman berharga buatku...