Lagi tentang 'Umar ibn al-Khattab, kali ini bersama Abu Musa al-Asy'ari radiyallahu 'anhuma. Dalam salah satu ekspedisi ketenteraan pada zaman 'Umar, umat Islam menemui jenazah Daniel 'alayhissalam. (Para 'ulama khilaf sama ada Daniel ini Nabi atau orang soleh Bani Israel).
Jenazah Daniel yang berusia ratusan tahun tidak rosak langsung. Di samping jenazahnya tentera Islam menemui warkah-warkah dari kitab suci, cincin Daniel dan sejumlah wang yang agak banyak.
Kata tentera Islam, menurut masyarakat yang tinggal di kawasan tersebut, apabila mereka dilanda kemarau, mereka akan mengusung keranda Daniel keluar, maka nescaya hujan turun. Duit-duit tersebut pula adalah untuk kegunaan sesiapa yang susah sebagai pinjaman, jika tidak dipulangkan maka si peminjam akan sakit. Banyak lagi kehebatan yang Allah kurniakan kepada Daniel walaupun tatkala dia telah meninggal dunia. Pun begitu, bukanlah fokus utama penulisan ini untuk menceritakan kelebihan-kelebihan tersebut, sekadar memberi contoh sedikit. Andai kita susuri kisah Daniel, maka beliau adalah antara contoh hamba Allah yang soleh dan sabar menghadapi dugaan dgn penuh tawakkal. Diriwayatkan dia pernah disiksa oleh Maharaja Babylonia, dihumban ke dalam kandang singa, tetapi tidak cedera.
Maka ini adalah kesan sejarah penting. Mayatnya tidak reput tidak perlu lagi kita bersusah-payah untuk awetkannya. Elok juga jika jenazah tersebut dijaga elok-elok sampai ke hari ini agar semua manusia dapat lihat bagaimana Daniel ini. Bila kemarau, usung sahaja kerandanya nescaya hujan turun dan tamatlah kesusahan manusia akibat kemarau. Tatkala ada orang Islam yang susah, maka boleh saja dipinjamkan kepadanya wang Daniel buat modal berniaga.
Tetapi, lihat saja apa yang orang ramai buat apabila mereka ziarah kubur-kubur yang didakwa kubur nabi itu, nabi ini. Lemahnya ilmu dan iman kita, sehingga ada antara kita yang berdoa sambil bertawassul dengan tuan kubur yang kita sendiri tidak yakin 100% siapa pemiliknya, ada juga yang lepas nazar, kemudian solat sunat ambil berkat. Generasi akan datang pula akan buat lebih lagi, hingga akhirnya tidak mustahil jika mereka menyembah kubur tersebut akhirnya. Lihat saja apa yg berlaku pada kubur Imam al-Syafi'e di Mesir. Belum lagi kita menjengah apa yang berlaku di benua kecil India dan negara-negara Islam lain yang dipenuhi dengan kubur-kubur yang didakwa keramat.
Lihat bagaimana tentera Islam mengurus jenazah Daniel. Andai dibiar sahaja, maka sudah tentu aqidah umat Islam tergugat. Ramai yang akan mengadu kesusahan mereka kepada Daniel daripada Allah.
Sungguhpun terdapat lebih dari satu riwayat oleh Ibn Kathir dalam kisah ini, cukuplah andai saya ceritakan satu daripadanya. Apa yang Abu Musa lakukan?
Tatkala malam gelap, Abu Musa dan beberapa orang keluar dan mengorek 13 lubang kubur, dan mereka letakkan jenazah Daniel dalam salah satu daripada 13 kubur tersebut. Keesokan harinya semua orang melihat ada 13 kubur, tetapi mereka tidak tahu yang mana satu kubur Daniel yang sebenar.
Lihat sahaja kebijakan strategi politik tauladan kita dalam menimbang kepentingan memelihara kesan sejarah atau menyelamatkan aqidah. Moga ia menjadi ikutan pemimpin umat Islam sepanjang zaman.
*Sengaja saya menulis secara santai. Buat mereka yang ingin melihat rujukan kisah-kisah ini, bolehlah merujuk riwayat penuh dalam Majmu' Fatawa Ibn Taymiyyah, al-Bidayah wa al-Nihayah Ibn Kathir dan Jewish Encyclopedia.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment