Sunday, November 25, 2007

Kemudahan Agama: Sapu Stoking dan Solat Berkasut

Winter datang lagi!

Antara masalah utama time winter ialah wuduk untuk solat. Teringat zaman sekolah rendah dulu, salji termasuk antara air mutlaq yang boleh digunakan untuk bersuci. Namun, setelah merasai kesejukan winter di negara orang, mustahil ada yang sanggup berwuduk dengan salji.

Jika kita sengaja mengikat diri kita dengan fiqh yang rigid, maka janganlah menyalahkan agama andai kita sendiri terpaksa bersusah-payah demi menunaikan tanggungjawab agama. Dalam kesejukan winter yang boleh mencecah -40 celcius, ditambah dengan boot winter yang mengikat kaki, agak payah bagi siswa yang sibuk dengan kuliah dan tugasan untuk membuka boot dan menelanjangkan kaki setiap kali ingin berwuduk. Bagi yang merasa ini bukan satu kepayahan, eloklah diteruskan. Tulisan ini tidak bertujuan untuk membandingkan mana yang lebih baik, sekadar mencerahkan satu alternatif yang mungkin memberi kemudahan kepada sebahagian kita yang merasa kepayahan tersebut.

Dalil-dalil agama menunjukkan adanya alternatif yang mudah daripada membasuh kaki ketika berwuduk. Bukankah Islam ini agama yang mudah (QS Al-Maa'idah, 5:6), dan Rasulullah sallallahu 'alayhi wasallam sendiri memilih yang lebih mudah apabila diberi pilihan (Al-Bukhariy & Muslim)?

Alternatif Pertama:
Sapu Stoking dan Solat Dengan Memakai Stoking

*Sapu bahagian atas stoking sahaja.

Syarat-syarat:
1. Pastikan sebelum pakai stoking anda dalam keadaan berwuduk.

2. Stoking anda suci dan bersih dari najis.

3. Sapu stoking hanya boleh dilakukan untuk mengangkat hadas kecil sahaja. Hadas besar tak boleh.

4. Jangka masa sapu stoking mesti ikut syarak. Bagi yang bermusafir, mereka boleh terus-menerus sapu stoking tanpa buka selama tiga hari tiga malam. Bagi yang bermukim, tempohnya hanya sehari semalam. Selepas dari itu kena basuh kaki macam biasa.

*Masa dikira dari tempoh sapu stoking kali pertama, bukan dari tempoh mula memakai stoking.

Alternatif Kedua:
Sapu Kasut dan Solat Dengan Memakai Kasut

*Sapu bahagian atas kasut sahaja.

Syarat-syarat:

Sama seperti sapu stoking...

Isu dan Perbincangan:

1. Kaedah Sapu

Sapu bahagian atas sahaja, tangan kanan sapu atas kaki kanan, tangan kiri sapu atas kaki kiri serentak. Untuk perbincangan lanjut, lihat hadith Mughirah ibn Syu'bah radiyallahu 'anhu dan ulasan Syeikh Ibn 'Uthaymin dalam Fatawa al-Mar'ah al-Muslimah vol. 1 m/s 250.

2. Kenapa sapu bahagian atas sahaja?

Sebab sunnah cuma beritahu sapu atas sahaja, tepi dan bawah tidak perlu. Sayyidina 'Ali ibn Abi Talib radiyallahu 'anhu ada sebut sesuatu yang menarik mengenai hal ini: "Sekiranya agama ini (Islam) dibina atas paksi logik akal manusia, sudah tentu bahagian bawah stoking lebih patut disapu berbanding bahagian atas." (Abu Dawud & Al-Daraqutniy).

3. Definisi Stoking

Isu ini memang banyak percanggahan pendapat. Ada yang kata stoking kulit sahaja, ada yang kata apa jenis stoking boleh, ada yang letak syarat stoking kena tutup buku lali sahaja, macam-macam lagi. Kalau nak bincang definisi ini memang takkan selesai masalah kita kerana masing-masing menggunakan hadith-hadith yang sama, cuma pemahaman yang berbeza. Terpulang kepada anda pendapat mana yang anda rasakan lebih tepat. Bagi saya, sekiranya diletakkan syarat kena stoking kulit atau stoking yang saiz tertentu sahaja yang boleh, maka ini sudah lari dari maqsad atau tujuan asal sapu stoking dibenarkan dalam sunnah. Cuba kita fikirkan kembali, kenapa sapu stoking dibenarkan? Sudah tentu tujuan ia dibenarkan adalah untuk memberi kemudahan kepada umat Islam. Jika kita letak pula syarat-syarat lain yang menjadikan satu kemudahan itu susah sikit, sudah tentu kita telah lari dari tujuan asal. Apapun, ini pendapat saya.

4. Wuduk dan Solat dengan Kasut - biar betul?!!

Sebahagian dari kita mesti rasa benda ni pelik. Sebelum rasa pelik mengatasi cinta pada sunnah, baca dan fahami hadith-hadith yang menunjukkan Rasulullah sallallahu 'alayhi wasallam membenarkan solat dengan memakai kasut.

4.1 Anas ibn Malik radiyallahu 'anhu pernah ditanya: "Benarkah Nabi sallallahu 'alayhi wasallam pernah solat sambil memakai kasut?" Jawab Anas: "Ya." (Al-Bukhariy & Muslim).

4.2 Kisah Nabi sallallahu 'alayhi wasallam solat bersama para Sahabah radiyallahu 'anhum sambil memakai kasut, di pertengahan solat baginda membuka kasut dan diikuti para Sahabah. Baginda berbuat demikian kerana diberitahu Jibrail bahawa kasut baginda tidak suci. Kemudian Nabi berpesan agar mereka memeriksa kasut mereka dan bersihkan kasut sebelum solat sanbil berkasut (Abu Dawud - sahih menurut Al-Albaniy).

4.3 Antara sebab Nabi sallallahu 'alayhi wasallam suruh solat pakai kasut ialah untuk membezakan kita dengan kaum Yahudi yang tidak solat sambil berkasut (Abu Dawud - sahih menurut Al-Albaniy).
_
5. Menanggalkan stoking atau kasut, wuduk batal atau tidak?

'Ulamak berbeza pendapat. Ada yang kata batal, ada yang kata tidak. Masing-masing ada alasan kukuh. 'Ulamak seperti Qatadah, Hasan al-Basri, Ibn Abi Layla, Ibn Hazm, Ibn Taimiyah, al-Nawawi dan lain-lain berpendapat menanggalkan stoking atau kasut tidak membatalkan wuduk, kerana once kita dah berwuduk, maka wuduk akan hanya batal bila perkara yang membatalkan wuduk berlaku, seperti buang air kecil, kentut dan sebagainya. Memandangkan pendapat ini lebih senang, maka saya lebih cenderung dengan pendapat ini.

Kesimpulan
A
Solat pakai kasut ini adalah satu kemudahan yang ada dalam agama. Pun begitu, gunakanlah akal yang bijaksana dalam menilai situasi dan keadaan untuk solat pakai kasut. Janganlah sampai masjid yang dihampar permaidani indah pun nak dicelapak dengan kasut.
A
Sekiranya situasi tidak menyusahkan sangat, saya lebih suka ambil wuduk baru dengan membasuh kaki seperti biasa.

Wallahu A'lam.