Saturday, April 25, 2009

Village Park - Second Visit

Kali kedua bersarapan pagi di Village Park, Damansara Uptown bersama-sama isteri tersayang. Maryam dan Aiman tinggal di rumah sebab masih belum bangun. Tujuan utama ialah untuk membayar ansuran pinjaman rumah di OCBC, kemudian alang-alang sudah ke Uptown waktu pagi, singgah sarapan di sana. Ada kisah yang teramat panjang mengenai rumah yang baru dibeli, tetapi akan dikisahkan pada ruangan lain, insya-Allah.

Menu-menu biasa:
Nasi Lemak, Roti Bakar dan Telur Setengah Masak...

Keistimewaan Village Park - milo raksasa... ehh, milo dinosar. Entah, tak berapa ingat yang mana satu. Tapi memang besar. Teringat mug RM 2 kat ofis yang dibeli dari Sungai Buloh.

Hidangan baru kali ini - mee rebus. Asalnya terlihat ada pelanggan di meja bersebelahan yang pesan mee rebus. Nampak macam sedap, terus pesan sepinggan. Memang sedap.

Thursday, April 16, 2009

Treats Cafe TTDI

Haa... makan lagi. Kali ini ke Treats Cafe. Dekat sangat dengan rumah. Treats Cafe ni agak tersorok a.k.a. terpencil. Memang sunyi, bahkan waktu kami sekeluarga sampai, memang tiada pelanggan. Malam itu hanya kami yang makan di situ.

Inilah bahagian depan Treats Cafe.

Aiman dah setahun - big boy dah ni... Semoga menjadi hamba Allah yang bertaqwa!

Di restoran ini ada disediakan kid's corner. Ada buku, permainan, meja, stool untuk menarik perhatian kanak-kanak. Jadi senanglah kalau parents nak makan, sekurang-kurangnya anak-anak akan sibuk bermain.

Aiman seronok bermain sementara menanti hidangan.

Antara makanan yang dipesan:

Salmon

Fish Fillet

Secara keseluruhan, Treats Cafe memang best. Bersih. Layanan mesra. Ada astro. Interior design restoran tampak ekslusif dan mewah. Yang paling best ialah makanan. Fuh, memang sedap! Tambahan pula kebanyakan menu di sini unik. Tak main letak sos lada hitam je, tapi memang tukang masak akan sediakan sos-sos yang tersendiri, macam kat dalam gambar hidangan kat atas. Nak beritahu nama penuh atau sos apa yang digunakan pun dah tak ingat. Kalau ingat pun rasanya tak tahu apa benda pun. Oh ya, restoran ini dimiliki dan dikendalikan oleh Muslim, jadi jangan keliru dengan nama Treats Cafe. Harga pula berpatutan dengan kualiti dan saiz hidangan. Cuba jangan tak cuba!

Lagi gambar dan cerita penuh kat blog berikut bawah tajuk Aiman turns 1.

Naruto dan Sakura?!

Hari ini mama bawa Maryam, Aiman, Farihah, Faiq dan Aisar ke playground kat IKANO.

Gambar ni nampak macam Faiq baru je lepaskan bebola api, Maryam pula baru tengah nak hasilkan bola angin rasengan!

Hahaha... pengaruh anime zaman baba muda-muda bujang trang tang-tang. Cerita penuh dan gambar-gambar di IKANO ada di blog berikut dengan tajuk Ikano Mutiara Damansara.

Aiman genap setahun hari ini.

Datang waktu hari kerja, baru dapat bermain dengan selesa dan puas! Takde orang, melainkan Maryam, Aiman dengan sepupu-sepupu sahaja.

Tuesday, April 14, 2009

Swimming Day

Hari ini Maryam dan Aiman, bersama-sama dengan sepupu mereka, Aisar, pergi ke rumah sepupu mereka, Farihah dan Faiq di Emerald Damansara Perdana. Budak-budak memang suka swimming!

Maryam dah sedia dengan beg sandang. Bakal ratu renang ni...

Aisar tak sabar nak swimming. Cuma tak tahu kenapa setiap kali ambil gambar, mesti Aisar genggam kedua-dua tangan dan letak kat mulut.

Baba tak berpeluang ambil gambar Maryam, Aiman dan sepupu-sepupu swimming sebab baba pergi kerja. Bila balik kerja sahaja...


Maghrib dua-dua dah tidur! Banyak sungguh faedah swimming, bukan saja badan sihat, ibu bapa juga ada masa boleh berehat!

Friday, April 10, 2009

Restoran Sri Melaka, TTDI

Malam ini asalnya nak try restoran baru kat TTDI - Restoran Cengkih, tapi tak buka. Sebaris dengan Cengkih ialah Sri Melaka, jadi tukar selera ke Sri Melaka pula. Aiman tak ikut, sebab tidur.

Inilah Restoran Sri Melaka TTDI. Menghidangkan juadah Melayu. Persekitaran restoran bersih dan sunyi, hampir-hampir saja menyebabkan suasana romantis. Pelayan pula mesra dan tangkas. Harga mahal, tetapi sesuai dengan keadaan restoran yang tampak ekslusif. Sekali dua saja boleh ke sini, kalau berkala-kala boleh bankrap.

Kat sini, untuk kanak-kanak disediakan set hidangan plastik untuk kanak-kanak.
Tetapi apa kelas Maryam nak guna sudu garfu plastik, tak real! Besi baru real!

Maryam: Sabar menanti hidangan. Orang lain datang restoran mewah pakai cantik-cantik,
saya pakai kaftan je. Saya tak kisah pun.

Mama cuma pesan bihun goreng. Nak diet kot!

Set nasi ayam pandan - baba punya!

Inilah ayam goreng pandan. Dua ketul untuk setiap hidangan. Besar juga!

Sedapnya! Patutlah baba suka minum kopi, memang sedap!
Maryam pun suka.

Dah habis makan. Bila dah nak balik, hujan pun turun. Mari baba,
Maryam payungkan! Kita kan tak boleh kena hujan, nanti demam!

Thursday, April 09, 2009

Jet Tesco Kali Kedua

Khamis. Setelah pulang dari pejabat, terus bersama keluarga membeli barang keperluan di Tesco Mutiara Damansara. Seperti biasa, sebelum pulang ada kewajiban yang mesti ditunaikan...

video
Permainan lain Maryam tak berani atau tak suka naik, hanya jet ini sahaja yang ok. Jadi buat kali yang kedua dipaparkan video Maryam dan Aiman naik jet.

Tuesday, April 07, 2009

Roti Canai Montel

Pagi ini terasa hendak sarapan dengan roti canai. Sekali lagi singgah di medan selera di depan Sekolah Menengah Teknik Gombak. Kalau dulu kena roti canai Sasaran Selera, kali ini ke roti canai Montel pula. Kedua-dua gerai berada dalam blok medan selera yang sama.

Inilah gerai roti canai Montel - penulis sendiri tidak tahu kenapa diberi nama Montel

Ini pula roti canai Montel - dihidang bersama dua jenis kuah - dalca dan kari. Harga sama dengan Sasaran Selera - sekeping roti canai 80 sen. Kualiti roti pun sama, cuma mungkin roti canai montel lebih rangup sedikit berbanding Sasaran Selera (sebenarnya tak banyak beza sangat sebab roti canai Sasaran Selera pun dah rangup). Kuah ada perbezaan. Kalau di Sasaran Selera, disediakan kari dalca pekat. Di sini dalcanya berwarna kuning dan cair. Tapi boleh dapat kuah kari bersama. Bagi penulis, kedua-dua roti canai ini setakat ini memang memenuhi kriteria roti canai idaman hati (eh, perut yang sebenarnya...). Alhamdulillah tak perlu kembara jauh!

Minuman pula di sini lebih banyak pilihan berbanding Sasaran Selera. Yang dalam gambar tu ialah kopi radix 'aircond' (maknanya suruh letak ais kat luar cawan). Minuman paket harganya kalau tak silap RM 2 satu. Layanan pula kedua-duanya baik, tetapi jika dibuat perbandingan, Montel lebih mesra pelanggan. Lagi pula kerana Montel hanya ada dua pekerja berbanding Sasaran Selera yang ada ramai pekerja.

Lagi satu, penulis suka konsep gerai yang menyediakan tempat basuh tangan dalam bekas air macam yang ada kat dalam gambar tu. Betul-betul menggamit nostalgia waktu kecil-kecil dahulu, dan rasa macam dilayan sungguh-sungguh sebab ada orang yang ambil berat menyediakan air untuk basuhan tangan. Kalau ada sinki tu dah jadi perkara biasa, tapi bila ada bekas air dekat dengan kita rasa macam dilayan sebagai tetamu betul...

Rupa-rupanya ada satu lagi gerai roti canai yang baru beroperasi di sebelah Montel. Maknanya sekarang ada tiga gerai roti canai di sini. Insya-Allah ada peluang cuba gerai yang baru pula.

Monday, April 06, 2009

Dinner di Shoru, Kelana Jaya

Malam ini ada makan besar. Semua ahli keluarga terlibat. Oleh sebab ramai sangat, buat survey dulu nak makan apa. Majoriti nak makan western food. Kemudian baru decide nak makan kat mana. Keputusan yang dicapai ialah Restoran Cowboy di pinggir tasik di Taman Bandaran Kelana, berhampiran Stadium MBPJ di Kelana Jaya. Sampai di sana lebih kurang pukul 8 malam, nampaknya restoran berkenaan tidak lagi beroperasi. Memandangkan masing-masing sudah lapar, semua setuju untuk makan di Restoran Shoru, di sebelah bangunan MAS.

Char koay teow special - sedap. Memang sedap char koay teow kat sini, cuma kena hati-hati sikit berkenaan kualiti udang - kadang-kadang sudah hampir busuk.

Gerai Char Koay Teow Gurney di Restoran Shoru


Maryam: "Mana makanan saya tak sampai lagi, dah lama tunggu..." (sambil menepuk meja)
Aisar: "Eh, apa la kecoh-kecoh tepuk meja, sabar sekejap lagi sampai la."

Maryam: "Awak penyabar, saya tak..."

Maryam: "No - no take my picture, please... nak makan ni."

Aiman - sedang khusyuk merenung makanan

Parking tiada masalah sebab sebelah restoran ada kawasan lapang yang luas. Ada gerai cuci kereta lagi. Restoran Shoru adalah main anchor restaurant di sini, menyediakan makanan barat dan siam. Menurut ahli keluarga yang makan makanan barat, kualiti makanan sekadar boleh diterima. Manakala yang makan makanan siam pula memberi komen yang baik - memang sedap. Selain itu, ada banyak gerai kecil yang mengelilingi ruang makan, tapi hampir kesemuanya sudah tidak beroperasi kecuali Gerai Char Koay Teow Gurney dan gerai roti canai. Ada roti canai walaupun sudah malam. Cuma layanan sangat kurang baik, terutama pembuat roti canai. Apabila ingin menambah pesanan roti canai, pembuat roti canai akan menjawab dengan kasar, seolah-olah pesanan tambahan kita telah menambah bebannya untuk menebar lagi roti canai. Kemudian, ada sekali salah seorang bayi (baby) tertumpahkan air. Jadi bila diminta tisu, pembuat roti canai tadi akan ke belakang mengambil seberkas tisu dan mencampakkannya di meja roti canai. Jadi bersedialah anda untuk mengambil tisu itu dan mengelap meja sendiri.

Saturday, April 04, 2009

Sarapan di Village Park, Damansara Uptown

Weekend. Hari Sabtu. Ambil kesempatan sarapan bersama keluarga. Lebih kurang pukul 8 pagi, penulis dan keluarga menuju ke Damansara Uptown. Lokasi yang dituju ialah Village Park Restaurant yang sememangnya terkenal dengan nasi lemak dan nasi dagang. Kena datang awal sebab kalau lambat susah nak dapat meja.

Suasana dalam restoran yang sesak dengan pelanggan

Nasi lemak dengan rendang daging - sedap tak terkata!

Telur setengah masak, roti bakar lagi - banyaknya makanan... Boleh habis ke? Alang-alang nak datang pun susah, dah dapat meja pesan je la banyak-banyak.

Air kosong je ke? Apa kelas Maryam nak minum air kosong. Nak kopi ais la!

Aiman dah siap nganga mulut, tunggu makanan masuk saja ni.

Biarpun ramai pelanggan, layanan cepat. Kualiti makanan memang lazat, harga pun berpatutan walaupun agak tinggi sedikit sebenarnya - tetapi padan dengan kualiti makanan. Harga dan kualiti nasi lemak di sini jauh lebih baik berbanding Nasi Lemak Antarabangsa Kampung Baru. Pemilik restoran adalah Cina Muslim - jadi jangan lepaskan peluang makan di kopitiam milik Muslim.

**Soalan kuiz kali ini: Cuba teka siapa yang telah pergi ke Restoran Village Park tanpa sempat mandi? Dengan sukacitanya Aiman beritahu hint: perhatikan pakaian kami...

Thursday, April 02, 2009

Jet Tesco Kali Pertama

Sebulan yang lepas, penulis ditawarkan untuk membuat kad debit RHB-Tesco. Disebabkan selalu ke Tesco untuk membeli keperluan harian, penulis pun menerima tawaran tersebut. Ini adalah kali pertama penulis menggunakan kad tersebut setelah mengambilnya dari RHB Taman Tun Dr. Ismail dua hari yang lalu. Tapi tak mengapa, kita akan bincang isu kad debit tersebut dan membeli-belah di Tesco pada waktu lain. Kali ini sekadar hendak berkongsi video Maryam dan Aiman bermain di sana. Sudah menjadi kebiasaan, mesti nak naik jet sewaktu penulis memasukkan barang ke dalam kereta.

video
Dua-dua excited yang amat! Mungkin elok kalau beli satu letak kat rumah.
Mesti mama tak setuju! Bising.