Sunday, April 29, 2007

Kenangan Yang Terindah III

Tatkala berada di pusat matrikulasi, tidak banyak jamaah yang terang-terang dan bersungguh-sungguh menyeru kepada kepentingan solat berjamaah dan kepentingan menuntut ilmu. Kebanyakan jamaah ketika itu lebih enak berbicara mengenai ciri-ciri pemimpin siyasah yang berjaya dan tidak kurang juga perancangan menghadapi ancaman musuh-musuh yang kebiasaannya terdiri dari jamaah-jamaah lain yang sibuk juga hendak merebut kerusi gerakan Islam, pihak pentadbir universiti yang dianggap khadam parti pemerintah dan banyak lagi musuh-musuh lain. Tidak dinafikan, ada juga majlis-majlis ilmu yang dianjurkan jamaah-jamaah ini yang mengisi kekosongan jiwa-jiwa yang dahagakan semangat perjuangan. Biarpun ada ceramah yang berapi-api menaikkan semangat, namun masih terdapat kekurangan yang mencacatkan pidato hebat tersebut. Segala isi penyampaian pidato lebih berkisar kepada pemikiran yang bersifat Islamik, dan bukannya ilmu Islam seperti tafsir ataupun hadith.

Teringat pula kepada satu pergerakan yang terang-terangan menyeru kepada solat berjamaah dan majlis ilmu sehingga mereka langsung mengasingkan diri dari sebarang perbicaraan bersifat politik. Siswa yang terlibat dengan pergerakan ini tidak pernah menisbahkan diri mereka kepada sebarang label, biarpun umum masyarakat menggunakan label tertentu tatkala membicarakan mengenai mereka. Ramai siswa yang terlibat secara aktif dengan pergerakan ini. Semangat mereka menyampaikan dakwah patut mendapat pujian, semoga Allah membalas kebaikan mereka. Biarpun dicaci atau diherdik, mereka tetap mengetuk pintu-pintu kolej kediaman menyeru siswa-siswa agar menghadirkan diri ke masjid. Mereka tampil dengan imej yang menggambarkan keikhlasan hati mereka. Sesiapa sahaja yang ingin bersama mereka, maka mereka membuka tangan mereka seluas-luasnya tanpa mengira latar belakang. Sekali-sekala mereka akan keluar berdakwah di kawasan yang jauh. Pada mereka, kesusahan berdakwah sebenarnya adalah untuk kebaikan diri mereka sendiri.

Majlis ilmu mereka pula biasanya membicarakan isu-isu simple dan basic, seperti iman dan amal. Mereka mengajak manusia agar sentiasa ikhlas. Topik seperti ini sangat sesuai untuk manfaat kesemua lapisan masyarakat. Teringat lagi bagaimana tekun mereka mengajak siswa-siswa hadir ke majlis ilmu mereka. Pada waktu itu, diri ini suka juga hadir ke majlis ilmu mereka, sebagaimana diri ini hadir juga ke majlis ilmu jamaah-jamaah lain.

Sayang seribu kali sayang majlis-majlis ilmu ini dipenuhi dengan penceramah yang tidak lebih sekadar qusos. Berbicara tanpa ilmu, sehingga mereka terkenal sebagai antara agen utama penyebaran hadith-hadith dha‘if dan palsu di kalangan masyarakat. Teringat lagi bagamana ada di antara mereka membaca kitab Fadha‘il A‘amal tanpa mengetahui butiran apa yang dibacanya. Alangkah indahnya dunia Islam, sekiranya dengan semangat berkobar-kobar mereka berdakwah itu mereka manfaatkan sekelumit masa menuntut ilmu-ilmu Islam yang mampu mengajar mereka membezakan apa yang betul, dan apa yang salah tetapi selama ini dianggap betul. Alangkah indahnya jika mereka tingkatkan kualiti majlis-majlis ilmu mereka. Pastikan penceramah yang berpidato di hadapan mereka benar-benar memiliki kelayakan. Alangkah indahnya juga, seandainya mereka tidak menghadkan bacaan mereka kepada kitab Fadha‘il A‘amal sahaja, sebaliknya turut memetik kebun al-Bukhariy dan Muslim.

Teringat pula tatkala selesai program matrikulasi, pergerakan ini tetap hebat dan gah di kampus utama. Mereka adalah juara penyeru kepada solat berjamaah dan majlis ilmu mereka. Sekali lagi tembelang mereka pecah.

Apabila tajdid mula melebarkan sayap, tiba-tiba pendokong-pendokong tajdid yang terkesan dengan banyaknya majlis ilmu pergerakan ini mula menganjurkan kuliah-kuliah ilmiah. Ini kerana majlis ilmu pergerakan ini, selain rendah kualitinya, tidak dianjurkan pada kala yang tetap. Maka pendokong tajdid mula menganjurkan kuliah-kuliah ilmiah. Antara kuliah-kuliah ilmiah yang terawal ialah kelas aqidah, kelas hadith yang merangkumi perbincangan ‘ulum al-hadith dan syarah Riyadh al-Salihin dan Fiqh Perbandingan. Ini adalah tiga kelas terawal yang dianjurkan pendokong tajdid. Kemudian ditambah pula dengan kelas syarah al-Aqidah al-Wasitiyah, syarah al-Aqidah al-Thahawiyah dan perbincangan sirah berpandukan al-Raheeq al-Makhtum. Tidak termasuk lagi kelas-kelas yang diadakan di masjid besar universiti anjuran pentadbiran masjid: Tafsir Ibn Kathir, syarah Sahih al-Bukhariy, kelas Subulussalam, kelas sirah Fathul Bari, kelas Bahasa ‘Arab. Diikuti pula kursus-kursus ilmiah yang diadakan secara berkala seperti Sifat Solat al-Nabi sallallahu ‘alayhi wasallam, Tanda-tanda Qiyamah menurut Sahih al-Bukhariy dan Sahih Muslim, Ramadhan dan Terawih, dan banyak lagi. Perbahasan mengenai kelas, pengajar, sambutan dan kesan kuliah-kuliah ini akan dibicarakan pada masa yang akan datang, insya-Allah.

Sudah tentu pergerakan tadi terpukul dengan kuliah-kuliah ilmiyah pendokong tajdid. Mana seruan mereka agar hadir ke majlis-majlis ilmu? Nyata sekali mereka juga tidak terlepas dari tempias jamaah-centric. Rupa-rupanya seruan mereka selama ini ialah hadir ke majlis ilmu mereka sahaja. Tidak dinafikan, ada juga ahli-ahli pergerakan ini yang hadir ke kuliah-kuliah ilmiyah pendokong tajdid, iaitu sekadar dua tiga orang. Jika benar mereka mencintai ilmu dan menyeru umat Islam untuk hadir ke majlis ilmu, sepatutnya mereka menjuarai kehadiran ke kuliah-kuliah ilmiyah ini. Tanpa menafikan jasa pergerakan ini, kelakuan sebegini amatlah jelek. Anda menyeru orang lain agar hadir ke majlis ilmu anda, kerana anda mengatakan ilmu itu penting dan wajib dituntut oleh setiap yang bergelar muslim, tetapi apabila orang lain mengadakan majlis ilmu, anda menyepi diri. Ingatlah ancaman Allah terhadap mereka yang berkata sesuatu yang mereka tidak lakukan. Melihat kelakuan pergerakan ini, akhirnya diri ini menetapkan untuk tidak lagi hadir ke majlis ilmu mereka. Jika hadirpun, sekadar atas dasar hormat dan ukhuwwah, tetapi bukan sebagai telaga ilmu yang memuaskan dahaga penuntut ilmu.

Alhamdulillah, pendokong tajdid menjuarai kehadiran ke kuliah-kuliah ilmiyah ini, termasuk kuliah-kuliah anjuran pentadbiran masjid. Memandangkan masjid kini penuh dengan aktiviti pendokong tajdid, pergerakan tadi yang kononnya hebat menyeru kepada solat berjamaah mula menjauhi masjid besar universiti, sebaliknya memusatkan aktiviti mereka di salah satu surau kolej kediaman. Sekali sebulan mereka akan mengadakan perhimpunan di masjid besar universiti. Biarpun keburukan ini menjejaskan pergerakan mereka, pendokong tajdid tidak lupa memuji semangat mereka yang gigih berdakwah walaupun dengan serba-serbi kekurangan ilmu di dada. Semoga Allah memberi petunjuk kepada mereka.

Thursday, April 26, 2007

Samurai, Kucing dan Tikus

Tersebutlah kisah seorang samurai yang berhadapan dengan masalah seekor tikus yang teramat licik di rumahnya. Tidak tahan dengan kerenah sang tikus, maka pergilah samurai ke pekan dengan hasrat membeli seekor kucing. Penjual kucing menjual seekor kucing yang menurutnya mampu menangkap sang tikus, dan kucing tersebut tampak gagah. Namun, setelah dibawa pulang, nyata sang tikus lebih licik dari kucing. Seminggu berlalu tanpa hasil memberangsangkan. samurai tersebut memulangkan kucing kepada penjual kucing. Lantas penjual kucing mengeluarkan seekor kucing yang besar, tangkas dan garang, sambil memberi jaminan penuh bahawa tidak ada seekor tikus pun yang akan dapat lepas darinya. Setelah dibawa pulang, nyata kucing baru ini sangat tangkas. Namun sang tikus yang cerdik tahu bahawa kucing baru ini bukan tandingannya, maka sepanjang waktu kucing berjaga, sang tikus berdiam diri di lubangnya. Sementelah kucing tidur, maka keluarlah sang tikus melakukan kerjanya seperti biasa. Separuh hari sang tikus bersembunyi, separuh lagi habis rumah samurai diporak-perandakan. Samurai akhirnya memulangkan kucing kepada penjual kucing. Sambil menggelengkan kepalanya, penjual kucing memberitahu kepada samurai bahawa dia telah memberi kucing yang terbaik kepadanya, dan tidak ada apa lagi yang dia dapat lakukan untuk membantu samurai. Dengan perasaan kecewa samurai berjalan pulang sambil memikirkan nasibnya yang dihantui masalah tikus.

Dalam perjalanan pulang, samurai bertemu dengan seorang sami dan meluahkan masalahnya kepada sami tersebut. Sami yang kasihankan samurai menawarkan khidmat seekor kucing yang ada di kuilnya. Kucing tersebut amatlah tua dan gemuk, dan langsung tidak menyedari samurai datang mengambilnya dari kuil dan membawanya ke rumah. Selama dua minggu di rumah samurai, kucing tua dan gemuk tersebut tidak bergerak langsung – ia tidur sepanjang hari dan sepanjang malam sambil menunggu makanan diletakkan di hadapannya. Samurai ingin memulangkan kucing yang tidak berguna ini kepada sami, namun sami meminta agar samurai tetap menyimpan kucing tua itu kerana tidak lama lagi masalah tikus akan selesai.

Sang tikus pula telah terbiasa dengan kehadiran tikus tua gemuk yang pemalas tersebut. Sang tikus tidak perlu lagi takut dan risau, malah kadangkala berani pula ia bermain-main dan menari-nari di sekeliling kucing tua yang kuat tidur itu. Akhirnya, pada suatu hari, tatkala sang tikus berada terlalu hampir dengan kucing tua tersebut, “pow!” dengan sekali tamparan pantas dari kucing tua tersebut matilah sang tikus serta-merta di tempat kejadian.

Kadangkala, apabila berhadapan dengan musuh yang lebih superior, jangan terus berdepan dengannya. Sebaliknya tunjuklah kelemahan kita agar musuh kita lalai dan leka. Apabila mereka merendah-rendahkan kita, mereka akan banyak melakukan kesilapan. Tatkala masa yang tepat tiba, gunakan segala kekuatan. Dengan sekali pukulan sahaja nescaya mereka akan tersungkur. Kesabaran itu tinggi nilainya. Hanya mereka yang bijak memahami kekuatan yang terlindung di sebalik kesabaran.

Wednesday, April 25, 2007

Kenangan Yang Terindah II

Masih lagi kisah kenangan tatkala bergelar siswa. Selesai minggu silaturrahmi atau minggu suai-kenal, bermulalah cabaran sebagai penuntut ilmu. Ilmu bukan sekadar dituntut dalam kelas, bahkan ilmu di luar kelas lebih banyak mengajar pengalaman hidup. Atas kesedaran akan pentingnya ilmu di luar kelas, maka tidak hairan jika ramai siswa yang menganggotai gerakan-gerakan Islam, atau jika tidak anggota sekadar mendekati gerakan-gerakan ini.

Teringat pengalaman diri dan rakan-rakan ditempat di kolej kediaman baru yang paling jauh dari masjid universiti. Pun begitu, dengan semangat perjuangan Islam yang jitu, setiap Subuh terkedek-kedeklah kami melangkah kaki menuju ke masjid untuk berjamaah. Siapa antara kami yang bangun awal akan terus mengejutkan rakan-rakan. Perjalanan selama 15 minit meredah kesejukan dinihari akan tetap terpahat sebagai memori indah, kerana mengharapkan redha Allah apa pun tidak dipedulikan. Begitu juga tatkala sama-sama bersolat Subuh berjamaah di masjid universiti. Zuhur, Asar, Maghrib dan Isyak pun sama-sama di masjid universiti. Selesai Isyak, maka kami sama-sama menyusun langkah meninggalkan masjid dan kawasan kampus yang sunyi. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah yang telah mengikat hati-hati kami dengan masjid-Nya.

Kadangkala, selepas Isyak adalah waktu favourite gerakan-gerakan Islam mengadakan perjumpaan dengan ahli-ahli mereka, sama ada bertujuan tafaqquh (kuliah pemahaman agama) mahupun musyawarah (meeting). Kebiasaannya perjumpaan-perjumpaan di awal dan akhir semester mendapat sambutan hangat, manakala yang di pertengahan semester jarang mencapai kuota penuh. Pada perjumpaan awal dan akhir semester, kelas-kelas penuh sesak dengan kehadiran ahli-ahli gerakan, dan ucapan berapi-api pimpinan memberi amanat, ditambah dengan ucapan-ucapan mana-mana ahli yang ingin mengemukakan pendapat.

Sementelah sekian lama menghadiri perjumpaan-perjumpaan ini, maka sudah tentu adanya hasrat di hati yang ingin sama-sama dikongsi dengan pimpinan dan ahli-ahli gerakan lain. Sudah tentu peluang berucap tatkala perjumpaan di awal atau akhir semester adalah peluang yang sukar dilepaskan.

Pun begitu, diri ini dan rakan-rakan yang sama-sama terkedek-kedek setiap Subuh ke masjid tidaklah pernah bermimpi untuk berpidato berapi-api, sekadar memberi nasihat simple. Dua point sahaja yang sering kami suarakan. Mungkin ada yang menganggap kedua-dua point ini remeh, namun dua point ini mempunyai signifikan yang tidak dapat dinafikan.

Pertama, jika benar jamaah ini adalah gerakan Islam, maka sepatutnya kita jadikan masjid sebagai pusat segala aktiviti kita. Ini jangankan mesyuarat atau kuliah di masjid, waktu solat fardhu lima kali sehari tidak nampak pun ahli-ahli gerakan ini? Pimpinan pun, di mana antum semua solat? Kalaulah kita sekadar orang Islam biasa, mungkin tidak kisah kita solat di mana pun. Tapi sekarang kita sendiri menampilkan diri kita pada masyarakat sebagai pejuang Islam. Kita mahu masyarakat mengiktiraf kita sebagai gerakan Islam. Seharusnya kita praktikkan Islam dalam hidup kita, jangan sekadar slogan. Solat adalah asas hubungan seorang hamba dengan Tuhan-Nya. Jika solat pun kita kantoi, bagaimana hendak menjadi pejuang Islam?

Kedua, apabila kita menampilkan pada masyarakat jamaah kita sebagai gerakan Islam, maka kita perlu senantiasa ingat bahawa segala perlakuan kita tidak lagi mencerminkan sekadar peribadi kita sahaja, bahkan Islam itu sendiri. Atas sebab itu setiap kita perlu menghidupkan Islam dalam diri kita. Ingatlah, apabila kita berbuat silap, sedikit sebanyak Islam dan gerakan Islam akan turut terkena tempiasnya. Jika jamaah ini gagal membentuk peribadi Islam di kalangan ahli-ahlinya, maka eloklah jangan tampilkan imej pejuang Islam. Tukarlah kepada kebajikan pelajar atau mana-mana yang tidak akan mencemarkan imej Islam. Hadirlah ke masjid untuk solat berjamaah. Kalau solat berjamaah di masjid pun kita gagal, tak payahlah minta orang iktiraf kita sebagai pejuang. Orang biasa sudahlah...

Pendapat sebegini sudah tentu mendapat pelbagai jenis respons, apatah lagi yang berkata-kata adalah junior tahun satu. Pun begitu, diri ini dan rakan-rakan tidak peduli. Setelah peristiwa tersebut, tetaplah kami terkedek-kedek berjalan ke masjid sebelum Allah mengurniakan motosikal dan kereta tatkala di tahun-tahun senior.

Sayang sekali apabila gerakan-gerakan Islam gagal menjadikan masjid sebagai pusat aktiviti. Apabila penguasaan pentadbiran masjid dijadikan objektif utama, dan sememangnya objektif tersebut sukar dicapai, maka banyak peluang lain terabai. Dalam keadaan yang amat terhad ini, masjid mesti digunakan setakat yang termampu. Apabila tajdid melebarkan sayapnya, akhirnya masjid menjadi pusat kegiatan utama. Tidak seperti gerakan-gerakan Islam lain yang suka mengadakan mesyuarat selepas waktu Isyak, pendokong-pendokong tajdid memanfaatkan waktu di masjid setiap kali selepas solat dengan perbincangan ilmiah dan santai. Tidak seperti mesyuarat gerakan-gerakan Islam yang kadangkala tidak cukup korum, perjumpaan pendokong tajdid sentiasa meriah kerana setiap pendokong tajdid menyedari kepentingan menghadiri solat berjamaah. Tidak seperti mesyuarat gerakan-gerakan Islam yang kadangkala terhalang kerana kehadiran pak guard, perjumpaan di masjid tidak ada siapa pun yang menghalang, bahkan menjadi tempat berbaik-baik dan berdakwah kepada pak guard yang solat bersama di masjid. Tidak seperti majlis-majlis ilmu gerakan-gerakan Islam yang dibuat di kelas-kelas dan tidak akan dihadiri oleh ahli gerakan lain, pendokong-pendokong tajdid mengadakan kuliah-kuliah di masjid, baik di dewan solat utama, dewan kuliah dan kelas-kelas sekitar masjid dan dihadiri oleh segenap kumpulan manusia.

Kehadiran solat berjamaah di masjid dianggap antara perkara utama bagi pendokong tajdid. Ia dianggap sebagai antara tanda betapa komitednya kita kepada Islam, selain dari menjadi bukti ilmu yang diamalkan dan tempat bergantung harap dan cinta kepada Allah. Betapa dalam kesibukan mengejar ilmu dan rutin kehidupan lain, solat berjamaah tetap menjadi priority. Perjumpaan yang begitu kerap, sehari lima kali di masjid universiti akhirnya membina ukhuwwah yang sangat kukuh di antara pendokong-pendokong tajdid. Pun begitu, pada tahap ini, mereka masih belum pernah mengisytihar mereka sebagai pendokong tajdid, mahupun keluar dari gerakan-gerakan Islam. Mereka masih bersama gerakan-gerakan tersebut, cuma kini mereka telah menemui sahabat-sahabat berlainan gerakan tetapi sehati sejiwa di rumah Allah. Masjid telah menyatukan hati-hati mereka agar melupakan perbezaan sesama mereka dan sebaliknya sama-sama mengerah tenaga ke arah matlamat yang sama. Bagaimana meriah dan hebatnya mereka di masjid menuntut ilmu dan berkasih sayang sesama mereka, insya-Allah di lain episod.

Comment: Youth not always wasted on young

I HAVE just experienced something I shall never forget.

Over the Easter weekend, more than 200 Malaysian students from all over the United Kingdom and Eire descended on Malaysia Hall in London. It was a meeting of the Malaysian tribes, to participate in a well-organised "pow-wow" dealing with a range of national issues they considered vital to their country’s future.....

p/s: click topic for full article!

George Bernard Shaw, the great British playwright, once said that youth was a great thing but somewhat wasted on the young.

Saturday, April 21, 2007

Penyakit Hati II

Segala penyakit hati berasal dari sumber yang satu, iaitu diri kita sendiri yang dikuasai nafsu. Segala kerosakan berpunca dari nafsu, dari nafsu terbitnya penyakit yang melanda hati dan kemudian anggota-anggota badan yang lain. Maka manusia secara umumnya terbahagi kepada dua kategori. Pertama, manusia yang menyerahkan diri mereka kepada nafsu mereka. Nafsu mereka menguasai kehidupan mereka. Mereka taat dan patuh kepada segala kemahuan nafsu. Akhirnya nafsu yang menguasai mereka akan membinasakan mereka. Kedua, manusia yang enggan tunduk kepada nafsu mereka. Mereka berjaya menguasai nafsu mereka dan menjadikan nafsu taat dan patuh kepada segala kemahuan mereka dan melaksanakan segala perintah mereka.
Maka (dapatlah masing-masing mengetahui kesudahannya); adapun orang yang melampau (perbuatan derhakanya); Serta dia mengutamakan kehidupan dunia semata-mata; Maka sesungguhnya Neraka Jahanamlah tempat kediamannya. Adapun orang yang takutkan keadaan semasa dia berdiri di mahkamah Tuhannya, (untuk dihitung amalnya), serta dia menahan dirinya dari menurut hawa nafsu; Maka sesungguhnya Syurgalah tempat kediamannya.
[al-Naazi’aat, 79: 37-41]

Maka nafsu menyeru kepada penderhakaan kepada Allah dan menjadikan manusia terkesan dengan duniawi, sedangkan Allah menyeru hamba-Nya kepada perasaan takut dan gerun kepada-Nya dan menghalang diri dari terpengaruh dengan hawa nafsu. Maka hati berada di antara kedua-dua penyeru ini, kadangkala ia condong ke satu pihak dan kadangkala ia condong ke pihak yang satu lagi, dan inilah ujian dan bala buat manusia.

Kita yang perlu membuat keputusan, golongan mana yang kita ingin sertai, yang dikuasai nafsu atau yang menguasai nafsu. Kita juga yang perlu memilih untuk mencondongkan hati kita ke arah mana, seruan nafsu atau seruan Allah. Bukankah kita sendiri yang membuat keputusan ini saban waktu dalam setiap pekerjaan seharian kita? Andai kita berjaya, bersyukurlah kepada Allah. Andai kita binasa, maka jangan disalahkan yang lain kerana kita sendiri yang mengambil keputusan ini.

*Petikan Kuliah Syeikh Abu 'Abdurrahman Muhammad 'Ali 'Ajaal,
Masjid Besar Ottawa

Friday, April 20, 2007

Kenangan Yang Terindah I

Kenangan tatkala bergelar siswa sangat indah dan sukar dilupakan. Antara yang akan sentiasa mekar di ingatan ialah mengenangkan cabaran yang dihadapi tatkala mengibarkan panji-panji dakwah tajdid yang akhirnya telah merubah corak pemikiran dan gerakan Islam di universiti.

Tidak dinafikan, sebelum tersebarnya pemikiran tajdid, gerakan-gerakan Islam yang wujud di institut-institut pengajian tinggi lebih bersifat jama‘ah-centric. Kewujudan pelbagai gerakan atau jama‘ah ini sepatutnya membawa faedah yang banyak, kerana masing-masing akan senantiasa berlumba untuk menjadi yang terbaik. Persaingan yang sihat ini sepatutnya menjadikan Islam itu lebih subur di hati para siswa. Namun, persaingan sihat hanya akan wujud apabila pemimpin gerakan memiliki kefahaman yang kukuh mengenai manhaj kepimpinan dan siyasah yang diletakkan Islam. Akhirnya, pendokong gerakan-gerakan ini telah lupa kepada tujuan asal penubuhan gerakan mereka. Slogan “Marilah kepada Islam” kini diganti dengan “Marilah sertai jama‘ah kami.” Mereka menjadikan Islam itu hak ekslusif mereka. Sesiapa yang tidak menyertai jama‘ah mereka, maka mereka ini terus dicop sebagai manusia yang tidak ada perasaan cinta kepada Islam.

Bukan itu sahaja, jama‘ah-jama‘ah lain yang sepatutnya dilihat sebagai pesaing sihat kini dianggap seteru utama. Bukti jelas dapat dilihat tatkala pendaftaran siswa-siswa baru. Minggu suai-kenal dipenuhi dengan upacara tarik-menarik ahli. Situasi yang sepatutnya ialah: “Di universiti ini ada banyak gerakan Islam, dengarlah penerangan kami mengenai jama‘ah kami, kemudian dengar pula mengenai jama‘ah lain, selepas itu buatlah keputusan, yang mana pun anda sertai tidak menjadi masalah kerana kami sama-sama bergerak untuk Islam.” Yang sedihnya, situasi ini tidak berlaku. Setiap peluang yang ada digunakan untuk memuja jama‘ah sendiri sebagai jama‘ah Islam sebenar dan melaknat gerakan-gerakan lain. Apabila wujud mana-mana tokoh ilmuwan yang tidak menjadi ahli pendokong jama‘ah, maka para pengikut jama‘ah diberi peringatan agar jangan pergi dengar kuliah ustaz tu, ustaz tu bukan orang jama‘ah, fikrah dia kurang jelas, dia ingat nak perjuangkan Islam seorang diri ni boleh berjaya konon. Berapa ramai tokoh ilmuwan di universiti diboikot semata-mata kerana pimpinan melarang ahli-ahli dari mengikuti kuliah mereka. Ahli-ahli pula ditanam dengan konsep al-wala wa al-bara kepada pimpinan jama‘ah, sehingga kadangkala pimpinan memiliki kuasa mutlak dalam mengeluarkan apa jua arahan yang wajib dipatuhi oleh ahli-ahli di bawah pimpinan mereka. Alangkah baiknya jika konsep al-wala wa al-bara ini digunakan buat menanam kefahama aqidah yang sahih kepada para ahli!

Tatkala pergolakan sesama jama‘ah semakin meruncing, akhirnya muncul gerakan tajdid yang pada awalnya kelihatan hampir mustahil untuk berjaya, apatah lagi gerakan-gerakan Islam yang wujud memiliki cengkaman yang kuat. Namun, arus tajdid yang hebat ini telah menembusi tembok halangan ini, bahkan memberi semangat baru yang menyirnakan gerakan-gerakan Islam dari kesilapan yang mereka lakukan sebelum ini. Insya-Allah, andai ada peluang akan kita selidik kebaikan-kebaikan yang dinikmati jama‘ah-jama‘ah ini apabila mereka terkena tempias arus tajdid.

Apakah rahsia kejayaan tajdid ini?

Catatan ini sekadar pemerhatian diri yang kerdil ini tatkala bergelar siswa pada permulaan arus tajdid. Tidak ada yang rahsia pun. Tajdid hadir membawa tujuan asal gerakan Islam. Slogan “Marilah kepada Islam” dan “Kembali Mendaulatkan al-Quran dan al-Sunnah” lantang bergema. Kuliah-kuliah ilmu asas Islam menjadi tumpuan. Aqidah, Hadith, Fiqh Perbandingan, Sirah dan lain-lain. Budaya ilmu kembali mekar. Alhamdulillah, mungkin faktor pengkuliah yang mantap ilmu dan penyampaian yang baik berjaya menarik minat siswa-siswi. Teringat bagaimana kuliah-kuliah tajdid dihadiri oleh siswa-siswi dari pelbagai latar belakang, pelbagai jama‘ah, semuanya tekun mendengar ilmu. Dari gadis-gadis bertudung litup dan berniqab kepada gadis-gadis berseluar jeans, lelaki-lelaki berjubah yang selalu kita nampak kat masjid kepada mat-mat motor yang nampak seminggu sekali saja waktu solat Jumaat, termasuk ahli-ahli gerakan Islam yang pelbagai, dari pelajar aliran agama kepada pelajar kejuruteraan dan perubatan, semuanya hadir dengan tujuan yang sama – menuntut ilmu. Kefahaman mengenai ilmu-ilmu asas Islam sangat dititik-beratkan berbanding pemikiran Islam. Hati kadangkala merasa sebak kerana gembira melihat ahli-ahli jama‘ah yang sebelum ini bercakaran sesama sendiri kini boleh duduk di bawah satu bumbung menuntut ilmu.

Maka budaya ilmu ini akhirnya meresap ke dalam kehidupan siswa-siswi. Mereka berlumba-lumba menyelongkar khazanah ‘ulama silam yang selama ini terbiar begitu saja di perpustakaan universiti. Halaqah-halaqah ilmu subur di masjid universiti. Wujud pula perkumpulan-perkumpulan di kalangan siswa yang rajin mengkaji apa saja isu berkaitan Islam dan mengeluarkan hasil sama ada dalam bentuk cetakan atau perbincangan ilmiah sesama mereka.

Mungkin kejayaan utama arus tajdid pada awalnya ialah kerana tajdid bukan satu jama‘ah. Pendokong tajdid tidak pernah menyeru kepada jama‘ah tajdid, kerana jama‘ah tajdid itu sendiri tidak wujud. Objektif utama pendokong tajdid pada waktu itu tidak lain tidak bukan ialah sekadar menyeru kepada manhaj al-Quran dan al-Sunnah. Mereka menyeru kepada budaya ilmu dan menentang taqlid buta dan taksub melampau. Mereka menyeru kepada fakta dan dalil. Mereka tidak pernah mengharapkan sesiapa pun untuk bersimpati dan menyertai mereka. Sikap ini menyebabkan mereka merdeka dan tidak bergantung harap pada sesiapa pun melainkan Allah. Andai siswa yang hadir ke kuliah mendapat manhaj ilmu ini, itu sudah memadai. Manhaj tersebut andai dia pegang sehingga ke akhir hayat maka dia akan selamat. Apabila ada mana-mana ustaz beritahu perkara ini ada dalam agama, dia akan mengkaji sebelum menerima buta-buta. Itu saja yang diharap pendokong tajdid. Andai ada yang ingin menyertai menjadi pendokong tajdid, maka mereka dialu-alukan, tetapi tidak pernah dipaksa.

Strategi ini menyebabkan arus tajdid merebak dengan pantas melangkaui batas-batas jama‘ah. Bukankah slogan-slogan ini yang sepatutnya dilaungkan oleh gerakan-gerakan Islam?

Sungguhpun ada di kalangan pimpinan jama‘ah yang menganggap arus tajdid sebagai faktor utama yang melemahkan mereka sehingga ada yang mengambil langkah proaktif menentang tajdid, diri ini memiliki perspektif berlainan. Arus tajdid ini telah membawa seribu satu kebaikan kepada jama‘ah-jama‘ah ini, insya-Allah jika ada peluang akan dikupas pada waktu yang lain.

Saturday, April 14, 2007

Ingin Menggapai Langit Nan Tinggi, Jangan Lupa Bumi Yang Dipijak I

Khutbah bermula agak lewat hari ini, mungkin disebabkan musim peperiksaan maka masing-masing sibuk termasuk AJK MSA. Namun, penantian berbaloi kerana penyampai khutbah hari ini menepati citarasa, kerana beliau sering mengingatkan para hadirin akan perkara-perkara asas yang kadangkala kita lupa atau lalai kerana terlalu mengejar perkara-perkara yang besar. Tidak seperti sebahagian khatib yang asyik melaungkan slogan politik, atau berceramah mensyarahkan tajuk-tajuk akademik yang rumit seperti falsafah peradaban al-Ghazali dan lain-lain yang bisa melangkau batas waktu sejam; khatib hari ini terkenal dengan kejituannya menyampaikan tajuk asas seperti aqidah, permurnian jiwa, akhlaq dan lain-lain yang praktikal dengan situasi siswa-siwi dalam masa yang begitu singkat.

Kehidupan sebagai penuntut ilmu di menara gading memang sibuk, tambah pula pada musim peperiksaan ini. Namun, dalam kesibukan kita, jangan kita lupa atau lalai dari Allah. Allah berfirman: “Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanKu (dengan mematuhi perintahKu) dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul.” [Surah al-Baqarah, 2:186]. Allah sentiasa sedia mendengar apa sahaja permintaan kita, namun kita sering lupa atau lalai dari merasa kehadiran-Nya. Allah yang mentadbir seluruh ‘alam ini sentiasa mendengar permohonan kita dan berjanji pula untuk menunaikan permohonan tersebut, tetapi kita yang enggan memohon dari-Nya disebabkan kita ditipu dengan kesibukan dunia. Peperiksaan merupakan satu ujian buat para penuntut ilmu, oleh itu, sibuk macam mana sekalipun, pastikan kita senantiasa berdoa kepada Allah.

Fitrah manusia, untuk memulakan sesuatu perkara baik dalam hidup amat menyusahkan. Namun, insya-Allah lama-kelamaan ia akan menjadi tabiat yang sukar dilepaskan. Begitu juga dengan Islam. Janganlah kita jadikan Islam sebagai satu perkara tambahan, seperti aktiviti ko-kurikulum yang tidak lebih dari sekadar tempelan akademik. Sebaliknya jadikan Islam sebagai kehidupan kita.

Para Sahabah radiyallahu ‘anhum adalah generasi yang paling mulia. Kemuliaan mereka bukanlah disebabkan mereka pandai, kerana ada di antara mereka yang tidak tahu membaca pun, tetapi mereka menjadikan Islam sebagai hidup mereka. Ada di antara mereka yang mengadu kepada Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam akan syari’at Islam yang terlalu banyak, lantas diminta nasihat berikan satu perkara mudah yang akan mereka pegang sampai ke akhir hayat.

Antara mereka ada yang dipesan: “Kata: Aku beriman kepada Allah, dan kemudian ikutilah jalan yang lurus.” Lihat, mereka adalah generasi paling mulia di sisi Allah kerana iman mereka. Iman mereka paling sempurna, dan iman sempurna ini mereka peroleh dari ajaran-ajaran mudah yang disampaikan Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam. Mereka tidak perlu membaca tulisan al-Ghazali untuk memahami iman – bahkan jika buku-buku karangan al-Ghazali dan imam-imam mulia yang lain diberi kepada mereka, belum tentu mereka boleh mencerna sepenuhnya isi kandungan buku-buku tersebut. Adakah syarat untuk beriman kepada Allah maka kita perlu bertaqlid dengan tulisan al-Ghazali, Abu Hanifah, Malik, al-Syafi’e, Ahmad ibn Hanbal, al-Asy’ari, al-Maturidi?

Ada pula yang dipesan agar sentiasa berzikir mengingati Allah. Berzikir mengingati Allah bukan terletak pada 999 biji tasbih yang melingkari leher sebahagian para ‘abid, sebaliknya berzikir mengingati Allah ialah menjadikan sunnah Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam sebagai tabiat setiap individu Muslim. Apabila kita makan dan minum, mulakan dengan bismillah, sudahi dengan alhamdulillah; apabila ditanya keadaan kita terus dijawab alhamdulillah; apabila berjanji kita ikat dengan insya-Allah; apabila berjalan kita sebut Allahu akbar dan subhanallah. Kita mengingati Allah dalam semua aktiviti kehidupan kita. Kita sentiasa merasai Allah dekat dengan kita.

Jadikan Islam sebagai hidup kita. Hidup dalam Islam. Praktikkan. Semoga Allah memberkati kita.

Friday, April 13, 2007

Iran and Syi'ah

Mishal: What do you think of Iran?

Muhammad: Why? What’s with Iran?

Mishal: Well, lately it seems that they want to be looked as the real defender of Islam. I used to praise them more than Saudi and other Muslim countries until I discovered the reality of Syi’ah. Before Islam came, the Persians were the ruler of the world. They used to lead the world and other civilizations looked them as the main source of reference in all fields of life: knowledge, politics and social order. But when Islam came, the Persians lost their role as reference since the Arabs now have become their master. All other civilizations started to shift their reference from Persia to Arabic Damascus, Baghdad, Cordoba and others. So they will not be able to challenge Arabs as the main reference of Islam, but they still want to be looked upon as leader in something. So Syi’ah, which was originally political difference among Arabs, provided good opportunity for the Persians to gain their status as a source of reference.

Muhammad: Well said. To me, I think that Syi’ah-Iran claims as the defender of Ahlul Bayt is not more than just a political propaganda. They keep saying that Ali radiyallahu ‘anhu and his descendents are the legitimate rulers of Islam. Now that they’ve got Iran, they should really give the leadership of Iran to members of Ahlul Bayt. How many Ahlul Bayt today are living in despair without help? The Iranian government should officially invites members of Ahlul Bayt into their country, help them and appoint them as leaders; if they are really the defender of Ahlul Bayt.

Mishal: It’s all about politics...

Makanan Halal dan Akaun Halal

Alhamdulillah, selesai kertas Econometrics II yang merupakan peperiksaan pertama bagiku untuk Semester Winter 2007. Tinggal tiga lagi. Selesai Solat Asar, perut meraung kelaparan. Selama tiga jam terkurung dalam bilik peperiksaan, ditambah pula dengan cuaca bumi Kanada yang masih dituruni salji di tengah bulan April sangat cepat menzahirkan kelaparan.

Bersama Mishal, kami mengorak langkah meniti terusan Rideau ke Meadowsland Mall. Mishal ingin mendepositkan wang ke dalam akaun bank rakannya di Bank Canada Trust, dan cawangan yang terdekat dengan kampus ialah di Meadowsland Mall yang terletak seberang jalan dari Apartment Prince of Wales.

Selesai urusan, terus kami ke Restoran McDonalds yang bersebelahan dengan Bank Canada Trust. Sandwich ikan menjadi pilihan. Sambil menikmati hidangan, kami seperti biasa ada saja isu yang hendak disembangkan.

Mishal: Before I came to Canada, I was really worried about the banking system here. I thought that I couldn’t run away from interest-related account for my money. Alhamdulillah for chequing account the banks are not paying any interest to us.

Muhammad: That’s true. Instead we have to pay for service fee for the account.

Di Kanada, rata-rata individu memiliki akaun cek kerana kebanyakan urusan memerlukan cek, dan penggunaan kad debit sangat meluas. Pihak bank mengenakan bayaran perkhidmatan untuk akaun cek, dan tiada sebarang faedah diterima pemilik, banyak persamaan dengan akaun semasa yang ditawarkan bank-bank di Malaysia.

Muhammad: Even in Islam, it seems that as if we are discouraged from putting our money in savings account, because it is a leakage that prevents the economy from being in equilibrium. If you keep money for a period of one year, you are required to pay zakah proportionate of total amount saved.

Mishal: I agree with that view. Everything must be in circulation. This will keep the economy in balance, wealth being rotated in society and fuel growth. Interest will only hinder this circulation.

Mishal: I am surprised to see that some of our Muslim brothers, they are so particular about their food, but ignore their financial obligations.

Muhammad: What do you mean?

Mishal: Well, we can see that some of them are so strict in making sure that they eat halal and pure food. They will not go to restaurant that serves halal meals with pork, like Subways and Pizza-Pizza that sell bacon, ham and pepperoni pizza, but at the same time they have tuna sandwich and veggie pizza. At the same time, they are not feeling guilty putting their money in interest-based account.

Muhammad: Well, it’s better if we avoid both.

Mishal: Well said. To me, taking riba is more haram than eating at these places, since God clearly declared war against those who practice riba. We are not eating the haram food, we are still eating halal food. When we put our money in these banks, we know that they also offer interest-based services, but we intentionally choose ones that are interest-rate free.

Muhammad: Let's just hope that one day there'll be Islamic banks, or at least interest-free banks in Canada.

Tidak dinafikan kebanyakan umat Islam tidak ambil endah dengan wang mereka yang disimpan di bank-bank yang mengamalkan riba, termasuk Malaysia. Duit hasil riba jelas haram, dan kemudian duit itu digunakan pula untuk mengenyangkan perut kita. Hampir sama saja seperti memakan benda haram. Tambah pula jelas Allah dan Rasul-Nya mengisytihar perang terhadap pengamal riba. Kalau ada perkara yang syubhah tentang makanan kita, eloklah jangan dimakan dan cari makanan halal lain yang banyak. Begitu juga jika ada perkara yang syubhah tentang akaun bank kita, kad kredit kita, pelaburan kita, eloklah dielakkan. Yang telah jelas haram tidak perlu diperkatakan lagi...

Tuesday, April 10, 2007

Rahab dan Pengintip Bani Israel

Kisah berikut memaparkan rundingan antara dua watak utama: Rahab, seorang pelacur di negeri Kanaan dan dua orang pengintip Bani Israel (masa meliburkan minda dengan mempelajari strategi-strategi rundingan seorang pelacur yang diungkap dalam Bible!). Rundingan ini adalah contoh ringkas bagaimana pihak-pihak yang berunding berjaya memastikan keinginan mereka tercapai. Pada permulaan kisah ini, kekuatan Bani Israel terserlah ke seluruh pelusuk bumi Kanaan. Mereka telah berjaya menundukkan raja-raja yang memerintah di sekitar Kanaan.

Maklumat mengenai keadaan musuh merupakan antara elemen terpenting yang mampu menjamin kejayaan diperoleh. Joshua, pemimpin Bani Israel selepas Musa ‘alayhissalam, tatkala menggerakkan kempen menawan bumi Kanaan, telah menghantar dua pengintip untuk menyelidik dan mengumpul maklumat keadaan negeri tersebut.

Mereka tiba di rumah seorang pelacur yang bernama Rahab dan menginap di situ. Raja Jericho telah diberitahu: “Beberapa lelaki datang ke sini malam ini, dari Bani Israel, untuk mengintip negeri ini.” Maka Raja Jericho kemudian menyampaikan titah kepada Rahab: “Serahkan lelaki yang telah datang kepadamu dan masuk ke dalam rumahmu, kerana sesungguhnya mereka datang untuk mengintip seluruh negeri ini.” [Joshua, 2:1-3]

Andai kita adalah Rahab, apa yang akan kita lakukan? Ada dua pilihan sahaja, sama ada kita serahkan pengintip-pengintip tersebut kepada tentera raja (dan kemungkinan akan mendapat ganjaran), atau menyembunyikan mereka (dan andai perbuatan kita terbongkar, nyawa mungkin melayang). Rahab mengaku bahawa dia ada melihat kedua-dua lelaki tersebut tetapi memberitahu bahawa mereka telah pergi meninggalkannya, dan dia tidak mengetahui arah tuju mereka. Pun begitu, Rahab meminta agar para tentera raja segera mengesan kedua-dua lelaki tersebut.

Sudah tentu pencarian tersebut tidak berhasil, kerana Rahab telah menyembunyikan kedua-dua lelaki tersebut di atas bumbung rumahnya. Mengapa Rahab sanggup membohongi tentera raja, bahkan sanggup menggadaikan nyawanya sendiri melindungi keselamatan pengintip yang berimpian untuk menakluk negerinya? Rahab berkata kepada pengintip-pengintip tersebut:

“Aku tahu bahawa Tuhan telah mengurniakan negeri ini kepada kamu, kerana kami telah ditimpa perasaan gerun terhadap kamu, dan kesemua penduduk di bumi ini menjadi goyah apabila berhadapan dengan kamu. Kami telah mendengar bagaimana Tuhan mengeringkan air Laut Merah untuk kamu tatkala kamu meninggalkan Mesir, dan apa yang telah kamu lakukan terhadap Sihon dan Og, dua raja Amorite di seberang Jordan, yang telah kamu binasakan. Tatkala kami mendengarnya, jiwa kami hilang, dan tiada lagi lelaki yang memiliki semangat disebabkan kamu, kerana Tuhan yang kamu sembah adalah satu-satunya Tuhan di langit dan di bumi.” [Joshua, 2:9-11]

Strategi Rahab mudah dan rasional. Ganjaran yang mungkin diperoleh dari rajanya tidak setimpal dengan kerugian yang akan dialaminya kerana menyerahkan pengintip-pengintip tersebut. Ini kerana Rahab yakin bahawa lambat-laun Bani Israel akan berjaya menakluk negerinya, dan dia dan keluarganya sudah pasti tidak akan selamat. Bagi Rahab, objektif utamanya ialah melindungi nyawanya dan nyawa mereka yang tersayang. Pertimbangan untuk mengkhianati negara sendiri (yang diperintah Raja Jericho yang kafir) hanya rasional sekiranya ketaatan tersebut menyanggahi keredhaan Tuhan (jangan disalah fahami, situasi yang dihadapi Rahab melambangkan keadaan ini – menyerahkan ketaatan kepada Bani Israel yang beriman). Mereka yang terlibat dengan perundingan mesti mengetahui bagaimana pihak lain meletakkan keutamaan pada objektif-objektif mereka. Taat pada Tuhan? Setia pada negara? Keselamatan nyawa sendiri dan ahli keluarga?

Kini Rahab memulakan rundingan dengan pengintip-pengintip tersebut. Dia tidak mahu perbuatannya meletakkan nyawanya sendiri dalam bahaya tidak berbalas. Rahab lantas mengemukakan cadangannya:

“Sekarang, oleh kerana aku telah menunjukkan kesetiaanku kepada kamu, bersumpahlah di hadapanku dengan nama Tuhan kamu bahawa kamu akan menunjukkan kesetiaan kepada keluargaku. Berikan aku tanda yang meyakinkan bahawa kamu akan melindungi nyawa ayahku dan ibuku, adik-beradikku, dan semua yang ada kaitan dengan mereka, dan selamatkan kami dari kematian.” [Joshua, 2:12-13]

Untuk mengelakkan para pengintip dari memungkiri janji, Rahab meminta mereka bersumpah dengan nama Tuhan mereka. Ini kerana Rahab mengetahui bahawa pengintip-pengintip Bani Israel tersebut tidak mungkin berbohong dengan nama Tuhan mereka sendiri. Rahab kini tidak memiliki modal dalam rundingannya melainkan menggunakan nama Tuhan sebagai modal meminta nyawanya dan ahli keluarganya dilindungi.

Bagi pengintip-pengintip tersebut, ini adalah peluang keemasan untuk memastikan misi mereka kekal rahsia dan nyawa mereka selamat dari dikerjakan tentera Raja Jericho. Pun begitu, andai kita adalah salah seorang pengintip tersebut, adakah kita akan terus memberi jaminan memelihara Rahab atas jasanya?

Tidak semudah itu bagi para pengintip tersebut. Jawab mereka:

“Jiwa kami diletakkan sebagai jaminan kepada jiwa engkau, walaupun jika kami mati! Sekiranya engkau tidak membocorkan misi kami ini, maka kami akan menunjukkan kesetiaan kami kepada engkau tatkala Tuhan mengurniakan bumi ini kepada kami.” [Joshua, 2:14]

Kebijaksanaan para pengintip terserlah tatkala mereka meletakkan syarat kepada Rahab sebelum menerima tawaran tersebut. Andai Rahab tetap setia dan menyembunyikan rahsia mereka, maka mereka berjanji akan memberi perlindungan kepadanya apabila Bani Israel menyerang Kanaan. Kini kedua-dua pihak memiliki modal dalam memastikan objektif mereka tercapai. Rahab dengan janji menyimpan rahsia, dan para pengintip dengan janji memelihara nyawa Rahab dan ahli keluarganya.

Rahab berkata kepada para pengintip:

“Pergilah kamu ke bukit, agar mereka yang mencari kamu tidak menjumpai kamu. Tetaplah di sana dan bersembunyilah selama tiga hari, sehingga mereka yang mencari kamu kembali; kemudian keluarlah kamu ke destinasi kamu.” [Joshua, 2:16]

Sebelum melangkah pergi, pengintip-pengintip tersebut sekali lagi mengingatkan Rahab bahawa janji mereka untuk melindunginya hanya terikat sekiranya Rahab mengotakan janjinya untuk merahsiakan mereka.

“Apabila kami menyerang negeri ini, engkau ikatlah kayu merah ini pada tingkap yang melaluinya engkau lepaskan kami turun. Bawa bersama ayahmu, ibumu, adik-beradikmu, dan kesemua ahli keluarga engkau ke dalam rumahmu.” [Joshua, 2:18]

Rahab mengotakan janjinya, dan pengintip-pengintip tersebut mengikuti nasihat Rahab. Kemudian Bani Israel menggempur Jericho, kesemua yang ada di dalam negeri tersebut – lelaki, wanita, muda, tua, lembu, kambing dan kaldai – kesemuanya dibunuh dengan mata pedang (Joshua, 6:22). Keluarga Rahab dibawa keluar dari Jericho dengan selamat, dan kemudian Jericho sendiri dibakar dengan api yang marak.

Hasil rundingan ini, maka objektif utama kedua-dua pihak tercapai. Para pengintip berjaya pulang dengan maklumat-maklumat penting untuk menawan Jericho, manakala Rahab dan ahli keluarganya terselamat. Dalam menjalankan rundingan, adalah penting sekiranya kita mengetahui susun atur keutamaan objektif pihak lawan. Janji yang diberi pula mesti diikat dengan satu jaminan yang kukuh, yang mana jaminan tersebut mampu menyebabkan pihak lawan mengotakan janji mereka, dan kita hanya akan mengotakan janji kita sekiranya pihak lawan mengotakan janji mereka. Dalam menjalankan rundingan juga, kita mesti sentiasa beringat bahawa pihak lawan akan sentiasa cuba memastikan objektif mereka tercapai, dan sekiranya kita mampu menjadikan objektif kita selari dengan objektif mereka, maka keputusan yang dicapai sudah pasti adalah yang terbaik buat semua pihak.

Thursday, April 05, 2007

Koen, why don't you check the change?

Koen: Muhammad, why are you so good to me?
Muhammad: Oh, I have to be good not only to you, but also to others. Otherwise God will punish me.
Koen: What if someone did bad things to you?
Muhammad: Oh, it doesn't matter to me. If someone did bad things to me, God will take care of that. My concern is that I have to be good to others so that God will do good things to me in return.
Koen: You guys are crazy. You really in love with God...
Muhammad: Yup, we really love God.
Koen: I don't believe in God.
* * * * *

Muhammad: Did you check the change for the coffee?
Koen: No.
Muhammad: Why? You should've checked. Maybe the waitress did a mistake.
Koen: Oh, it's okay. I don't mind. If she cheats on me, then God will punish her.
Muhammad: I thought you said that you don't believe God.
Koen: Oh, I started to belief Him a little bit.

Penyakit Hati I

Penyakit anggota badan mungkin saja terjadi akibat dua punca; pertama, anggota badan tidak melaksanakan perbuatan yang sepatutnya dilakukan; kedua, anggota badan melakukan sesuatu perbuatan yang bukan dikhususkan untuknya.

Begitu juga penyakit hati (reminder: al-Qalb=terpulang nak translate as jantung or hati). Penyakit hati mungkin saja terjadi akibat dua punca; pertama, apabila hati hilang tujuan asal, seperti cinta kepada Allah dan perasaan rindu ingin bertemu dengan Allah; kedua, apabila ada benda yang bukan tujuan asal hati tetapi kini diletakkan sebagai tujuan utama hati, seperti mengejar urusan keduniaan daripada akhirat - yang mana bukan saja akhirat terlepas, bahkan pasti akan ada dari perkara-perkara keduniaan yang akan turut terlepas.

Sebagai manusia, eloklah sekiranya kita berterusan bermuhasabah pada hati kita sebagai amalan rutin agar tidak ditimpa penyakit hati atau andai ada penyakit cepat-cepat pula kita mencari penawarnya, sama seperti pesakit penyakit kronik yang berterusan menemui sang doktor untuk pemeriksaan rutin. Bahkan manusia yang sihat juga sering bertemu dengan sang doktor dalam jangka waktu tertentu, sama jugalah bagi mereka yang menyangka hati mereka sentiasa sihat. Ini kerana boleh saja terjadi seorang pesakit itu tidak tahu yang dia sebenarnya sakit tetapi menyangka segalanya sihat.

Ada manusia yang terlalu sibuk, sehingga dia tidak sempat mencari punca penyakit yang dihidapinya. Ada yang sampai dicabut nyawa tidak menyedari hatinya berpenyakit, dan penyakit itulah yang telah membinasakannya. Ada juga yang tatkala berada di ambang kematian baru menyedari hati mereka berpenyakit, namun malang mereka belum berjaya memperoleh penawar, dan berterus-terusanlah mereka berlawan dengan penyakit tersebut sehinggalah ajal menjemput mereka. Akal mereka telah dikurniakan kekuatan kefahaman untuk mengetahui hati mereka berpenyakit, namun hati mereka belum punya kekuatan semangat untuk berhadapan dengan penyakit tersebut.

Apakah ada ubat yang lebih berkesan dari al-Quran? Cuma hati manusia sering lalai dari menjadikan al-Quran sebahagian dari rutin harian mereka. Alangkah ruginya mereka, sedangkan padanya terdapat penawar bagi segala penyakit hati! Pembacaan, kefahaman mengenai al-Quran akan menghasilkan jiwa yang beriman. Tanda seseorang dalam proses sembuh dari penyakit hati ialah dia merasa tenang dengan dunia. Dunia ini tidak memberi kesan langsung kepada hatinya. Hidupnya di dunia dipastikan tidak lebih sekadar seorang musafir kelana, dan sebagai seorang musafir dia akan hanya mengambil perkara yang benar-benar berguna buat perjalanannya dan meninggalkan segala yang tidak diperlukan kerana membawa lebihan barang akan hanya menyulitkan perjalanannya kelak.

Tanda hati yang kuat ialah apabila tuannya tersilap langkah tersalah perhitungan, ia cepat-cepat mengingatkan tuan pemiliknya agar kembali kepada Allah. Manusia tidak mungkin lari dari melakukan kesilapan dan kesalahan, pun begitu manusia yang sihat ialah mereka yang cepat beristighfar dan bertaubat kepada Allah. Hati mereka sentiasa ingin berkhidmat kepada Allah. Ada saja perkara yang menyenangkan Allah dan membawa kepada redha-Nya, maka hati sentiasa teringin melakukannya. Tatkala hati ini masuk ke dalam solat, terus melupakan dunia. Segalanya ditumpukan kepada Allah. Rasa sayang pula untuk keluar dari solat. Begitu jugalah antara waktu-waktu solat. Hati sentiasa rindu ingin bertemu Allah pada waktu solat seterusnya.

Tidak hairanlah jika ada yang berpendapat bermuhasabah tentang sesuatu amalan itu lebih baik dari melakukan amalan tersebut. Kedua-duanya baik (bukannya tidak buat langsung), cuma memeriksa amalan adalah lebih baik. Adakah amalan kita memenuhi syarat-syarat ikhlas dan ittiba'?

*Ringkasan Kuliah Syeikh Abu 'Abdurrahman Muhammad 'Ali 'Ajaal,
Masjid Besar Ottawa