Friday, November 27, 2009

Catur dan Islam


Dalam perjumpaan usrah mingguan siswa Carleton University pada minggu lepas, timbul pertanyaan mengenai catur. Terdapat larangan daripada para 'ulama mengenai permainan catur. Dan sememangnya ada hadith yang menegah nardasyir, iaitu sejenis permainan catur, di mana Buraydah ibn al-Hasib radiyallahu 'anhu berkata yang beliau mendengar Rasulullah sallallahu 'alayhi wasallam menyebut mereka yang bermain nardasyir seolah-olah telah melumuri tangan mereka dengan daging dan darah babi. Hadith ini diriwayatkan oleh al-Imam Muslim.

Tiada masalah pada status hadith ini kerana ia diriwayatkan oleh al-Imam Muslim dalam kitab sahih beliau. Masalah timbul pada terjemahan dan tafsiran nardasyir. Adakah ia merujuk kepada kesemua jenis catur, atau hanya untuk nardasyir dan permainan yang sama sepertinya? Maka saya cadangkan tiga artikel berikut untuk bacaan agar mendapat gambaran yang lebih jelas:

1. Dadu dan Catur Menuai Kecaman Islam oleh Ustaz Muhammad Abduh Tuasikal
2. Hadith Larangan Bermain Nardasyir oleh Ustaz Abu Umair
3. Pendapat Dr. Yusuf al-Qaradhawi mengenai catur dalam Kitab al-Halal wa al-Haram fi al-Islam (m/s 129)

Artikel Ustaz Abu Umair ada disertakan link dalam Wikipedia Arab untuk menunjukkan gambar nardasyir. Pendapat saya, permainan catur yang ada sekarang berbeza dengan nardasyir yang disebut dalam hadith, dan sekiranya catur tidak disertai apa-apa unsur yang haram (seperti perjudian, lewat solat dsb), adalah harus. Nampak bahawa nardasyir ini tidak bergantung kepada kecekapan akal, sebaliknya bergantung kepada dadu. Seperti yang kita maklum, dadu adalah alat yang digunakan untuk mencuba nasib. Mana-mana permainan yang melibatkan penggunaan dadu seolah-olah menafikan kebolehan akal, sebaliknya lebih menyerah kepada dadu untuk menentukan pemenang. Oleh itu elakkan dari bermain apa-apa permainan yang menggunakan dadu. Nardasyir jelas haram berdasarkan hadith di atas.

2 comments:

Faisal Admar said...

kira catur black and white tu ok la? wah! rajin hang cari bahan. or memang research hang?

Seri Negara said...

Catur hitam putin tu bagi aku ok, insya-Allah selagi tiada unsur luar yang haram, macam main sampai lalai solat. Aku cari bahan saja, sebab time tulis ni kat Canada kitab-kitab aku semua kat Penang.