Saturday, October 02, 2010

Berilah kerana Allah

Seringkali saya berdepan dengan situasi di mana manusia mudah berasa kecewa apabila jasa baik mereka tidak berbalas. Baik sewaktu berada di sekolah, pusat pengajian tinggi sehinggalah di tempat kerja, sesama kaum kerabat, rakan dan jiran. Sering terdengar kekesalan dan keluhan, "Dahulu sewaktu dia dalam kesusahan bukan main baik minta pertolongan kepada kita, kita pun berbesar hati tolong dia; sekarang bila tiba giliran kita dalam kesusahan langsung dia tidak ingat, apatah lagi hendak menghulur bantuan." Seolah-olah timbul penyesalan kerana telah bersusah-payah memberi pertolongan kepadanya suatu ketika dahulu. "Kalau tahu perangai dia macam ni, sejak dulu lagi tak patut dibantu."

Seakan-akan menjadi lumrah manusia, apabila diminta melakukan sesuatu, maka pasti dia akan menimbang-tara antara kos dan manfaat. Kos yang perlu ditanggung dan manfaat yang akan diperoleh. Kadangkala apabila saudara kita memohon pertolongan, antara perkara pertama yang akan kita fikirkan ialah adakah kelak bila kita dalam kesusahan dia akan tolong kembali. Itu yang utama. Kerana untuk menolongnya, pasti kita terpaksa menanggung beban masa, tenaga dan mungkin juga wang. Jadi sekiranya kita mencurah masa, tenaga dan wang untuk membantunya; perlulah kelak menerima balasan setimpal. Sekurang-kurangnya bila kita susah, dia juga patut melakukan perkara sama.

Apabila bantuan telah diberi dan tiba kitaran waktu kita pula dilanda musibah, rasa kecewa memuncak di hati sekiranya bantuan yang kita pinta dari insan yang telah kita bantu dahulu ditolak. "Dulu dia susah kita yang tolong, sekarang dah senang dia lupa kita."

Akibatnya ramai yang menjadi kecewa, dan budaya tolong menolong antara satu sama lain diganti dengan budaya penting diri sendiri dahulu sebelum orang lain. Kita akan hanya berkorban jika habuannya setimpal atau lebih besar. Budaya ini menular hebat dalam masyarakat; daripada penuntut-penuntut ilmu di pusat pengajian sehinggalah kepada pemimpin-pemimpin politik.

Adalah menjadi fitrah manusia itu akan senantiasa pertimbang kos dan manfaat, baik dan buruk sesuatu perkara sebelum membuat keputusan. Cuma malang sekali apabila manfaat tersebut dilihat dari neraca duniawi. Habuan yang diharapkan semuanya dalam perkara keduniaan: harta, pengaruh dan lain-lain. Sebelum kita memberi wang bantuan yang dipinta umpamanya, kita akan berfikir kelak apabila kita susah adakah dia akan memberi wang bantuan juga? Adakah dia akan meluangkan masa membantu kita pula? Bolehkah dia mengembangkan pengaruh kita? Dan pelbagai lagi persoalan keduniaan yang bermain. Kita lupa kepada ganjaran syurga dan pahala yang jauh lebih hebat. Hati kita lebih tertarik kepada kesenangan duniawi yang apalah sangat berbanding kesenangan Akhirat. Apabila tidak pula mendapat kesenangan duniawi itu, kita merasa kecewa pula. Adakah patut kita kecewa kerana dunia? Lupa pada Akhirat?

Allah menceritakan keadaan orang-orang baik (al-Abraar) di dunia dan balasan mereka di Akhirat kelak:

[5] Sesungguhnya orang-orang yang berbakti (dengan taat dan kebajikan), akan meminum dari piala: sejenis minuman yang bercampur dengan "Kafur", - [6] Iaitu sebuah matair (di Syurga), yang diminum daripadanya oleh hamba-hamba Allah (yang taat); mereka boleh mengalirkannya (di tempat-tempat tinggal mereka) dengan aliran yang semudah-mudahnya dan menurut kemahuannya. [7] (Mereka dikurniakan kesenangan itu kerana) mereka menyempurnakan nazarnya (apatah lagi yang diwajibkan Tuhan kepadanya), serta mereka takutkan hari (akhirat) yang azab seksanya merebak di sana sini. [8] Mereka juga memberi makan benda-benda makanan yang dihajati dan disukainya, kepada orang miskin dan anak yatim serta orang tawanan, [9] (Sambil berkata dengan lidah atau dengan hati): "Sesungguhnya kami memberi makan kepada kamu kerana Allah semata-mata; kami tidak berkehendakkan sebarang balasan dari kamu atau ucapan terima kasih, [10] "Kami sebenarnya takutkan Tuhan kami, takut Ia kenakan kami azab hari yang padanya muka orang-orang yang bersalah: masam berkerut-kerut". [11] Dengan sebab (mereka menjaga diri dari kesalahan), maka Allah selamatkan mereka dari kesengsaraan hari yang demikian keadaannya, serta memberikan kepada mereka keindahan yang berseri-seri (di muka), dan perasaan ria gembira (di hati). [12] Dan kerana kesabaran mereka (mengerjakan suruhan Allah dan meninggalkan laranganNya), mereka dibalas oleh Allah dengan Syurga dan (persalinan dari) sutera.
[Surah Al-Insaan; 76: 5-12]

Fokus kepada ayat 8 sehingga ayat 10. Pada ayat 8, Allah menceritakan bagaimana orang-orang baik ini memberi makanan yang mereka perlu dan mereka suka kepada orang lain yang lebih memerlukan; iaitu fakir miskin, anak-anak yatim dan tawanan perang. Lihat bahawa orang-orang soleh ini memberi apa yang mereka perlu dan suka. Itu baru kebajikan sebenar, seperti firman Allah:

[92]
Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian dari apa yang kamu sayangi. Dan sesuatu apa jua yang kamu dermakan maka sesungguhnya Allah mengetahuinya.
[Surah Ali Imran; 3: 92]

Bukan seperti kebanyakan kita yang hanya memberi apa yang kita sudah tidak mahu lagi. Kebajikan sebenar ialah apabila kita berkorban apa yang sangat kita sayangi dan sukai.

Bukan itu sahaja, setelah orang-orang baik ini memberi apa yang sangat mereka sayangi, pada ayat 9 mereka berkata pula bahawa pemberian mereka adalah kerana Allah semata-mata, dan mereka tidak sedikit pun mengharap balasan daripada orang yang telah dibantu, bahkan ucapan terima kasih pun mereka tidak mahu. Ramai antara kita yang mudah melatah sekiranya orang yang kita bantu tidak ucap terima kasih, bahkan ramai yang sebenarnya mengharapkan balasan sesuatu daripada orang yang dibantu. Sedangkan orang-orang yang baik itu mereka adalah sebaliknya. Jangankan balasan bantuan, ucapan terima kasih pun tidak mahu. Itulah semata-mata kerana Allah! Pada ayat 10, diterangkan bahawa orang-orang soleh ini, apabila memberi bantuan, mereka hanya mengharap balasan daripada Allah! Mengharap kepada kasih dan rahmat Allah agar mereka selamat dan mendapat layanan baik dari Allah pada Hari Pembalasan - pada hari tersebut Allah menimpakan azab di mana orang-orang jahat akan berkerut wajah mereka kerana pedihnya dan beratnya azab hari tersebut. Moga-moga Allah akan kasihankan orang-orang baik atas segala bantuan yang pernah mereka lakukan dahulu semata-mata kerana Allah tanpa mengharap apa-apa balasan. Maka pada ayat-ayat berikutnya Allah menceritakan bagaimana orang-orang baik ini mendapat ganjaran-ganjaran yang sangat hebat: Syurga dan diceritakan pula segala isinya yang akan dinikmati mereka.

Aduhai celakalah kita kerana tertipu dengan dunia. Mata hati kita tertutup daripada melihat kehebatan Syurga dan kehinaan dunia. Akhirnya berapa banyak persaudaraan dan persahabatan yang putus kerana kecewa akibat pertolongan yang tidak berbalas. Marilah sama-sama membudayakan amalan orang-orang baik: berilah semata-mata kerana Allah! Lupakan balasan dunia, utamakan ganjaran Akhirat. Moga-moga kita tidak akan lagi dilanda kekecewaan dalam hidup, dan moga-moga Allah berasa kasihan kepada kita pada Hari Pertemuan dengan-Nya nanti.

Sunday, May 23, 2010

Hendak bercakap atau tidak?

Daripada Abu Hurayrah radiyallahu 'anhu, bahawa Rasulullah sallallahu 'alayhi wasallam bersabda: Sesiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, hendaklah dia berkata yang baik-baik atau diam. Sesiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, hendaklah dia memuliakan jirannya. Sesiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya.

[Riwayat al-Bukhariy dan Muslim]

Rata-rata umat Islam, apabila ditanya, "Adakah awak beriman kepada Allah dan Hari Akhirat?" Pastinya mereka akan menjawab, "Ya." Tetapi, adakah benar kita beriman kepada Allah dan Hari Akhirat? Dalam hadith di atas, Rasulullah telah memberitahu beberapa syarat yang menjadi bukti bahawa seseorang itu benar-benar beriman kepada Allah dan Hari Akhirat.

Rasanya mendiamkan diri bukanlah sesuatu yang susah, kerana mendiamkan diri itu tidak memerlukan apa-apa usaha dari anggota badan. Ibarat manusia yang pemalas, pastinya menyuruh dia diam itu lebih dia sukai dari disuruh bangun solat tahajjud pada waktu malam atau disuruh berbuat apa-apa saja pekerjaan lain! Pun begitu, arahan sebegini ringkas payah pula diikuti. Maka sebelum apa-apa perkataan keluar dari mulut kita, periksa dahulu adakah perkataan itu baik atau tidak. Sekiranya baik, maka luahkan. Sekiranya tidak, lebih baik kita diam. Pepatah Arab ada yang bermaksud, manusia itu berkuasa ke atas perkataan selagi perkataan itu berada di antara dua bibirnya, tetapi setelah perkataan itu keluar maka perkataan itu pula yang berkuasa ke atas dirinya.

Perkataan baik itu pastilah perkataan yang akan memberi manfaat kepada kita di Akhirat kelak. Sayang sekali mulut kita lebih banyak berbicara tentang perkara yang tidak mendapat pahala dan tidak pula mendapat dosa, dan itu lebih baik dari mereka yang acapkali hanya perkataan yang jahat keluar dari mulut mereka. Perkataan yang sebenarnya menjauhkan mereka dari syurga dan mendekatkan mereka dengan neraka. Walhal bukanlah susah untuk mengawal mulut ini agar hanya megeluarkan perkataan baik-baik. Fitrah manusia, hatta yang kafir sekalipun, menyukai manusia yang selalu berkata perkataan yang baik. Tidak ada sesiapa yang suka manusia yang suka berkata perkataan yang jahat. Bahkan ramai yang tidak suka kepada manusia yang suka bercakap banyak! Para Sahabat radiyallahu 'anhum sangat berhati-hati sebelum mengeluarkan sebarang kata. Mereka mengelakkan diri dari bercakap banyak walaupun dalam perkara harus, sebaliknya mereka pastikan apa sahaja yang keluar dari mulut mereka akan memberi manfaat kepada mereka di Akhirat kelak. Ibarat pekerja yang bekerja di pejabat, jika dia berpenat-lelah berbuat perkara yang disukai bos, pasti gaji cepat naik. Tetapi apa guna berpenat-lelah berbuat perkara yang tidak memberi pulangan?

Para 'ulama menggariskan panduan apa itu perkataan baik, dan perkataan baik itu berkisar kepada tiga perkara utama. Pertama, perkataan yang menggalakkan orang membelanjakan harta ke jalan kebajikan. Kedua, perkataan yang menegakkan amar makruf dan nahi munkar. Ketiga, perkataan yang dapat mendamaikan dua puak yang berkelahi. Selain dari tiga perkara ini, maka tiada kebaikan pada perkataan tersebut. Boleh jadi ia harus, atau makruh, atau haram. Pasti ramai yang menganggap perkara ini remeh, maka ingatlah kepada dialog antara Muadz ibn Jabal radiyallahu 'anhu dengan Rasulullah yang diriwayatkan oleh al-Imam al-Tirmidhi, tatkala Muadz bertanyakan baginda amalan-amalan yang memasukkan kita ke dalam syurga dan menjauhkan kita dari neraka, tatkala Rasulullah memberitahu bahawa untuk menjauhkan diri dari neraka, baginda mengisyaratkan kepada lidah sambil menyuruh Muadz menjaga lidah. Muadz sendiri bertanya kembali adakah setiap kita dipertanggungjawabkan atas segala sesuatu yang keluar dari lidah, seolah-olah takkanlah sebab lidah manusia masuk neraka? Lantas Rasulullah menjawab dengan tegas dan keras bahawa ramai manusia yang wajah mereka dihumban ke dalam neraka hanyalah disebabkan lidah mereka.

Berbalik kepada persoalan beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, marilah kita renungi bersama. Ramai yang apabila ditanya, pasti akan berkata memang kita beriman kepada Allah dan Hari Akhirat. Tetapi adakah iman itu sempurna sehingga memberi kesan kepada semua tingkah laku kita: kepada mulut kita, kelakuan dengan jiran dan tetamu? Bayangkan jika tiba-tiba kita mendapat panggilan penting daripada pejabat Perdana Menteri, bahawa esok Perdana Menteri ingin berjumpa dengan kita. Oh, esok ada appointment dengan Perdana Menteri. Pastinya hari ini segala jadual hidup dirombak. Nak pakai apa? Bahkan butang apa, kasut apa, rambut dah ok ke? Kalau belum perlu pergi salon. Kalau belum ada sut perlu pergi ke butik sekarang juga untuk mencari sut paling cantik, mahal pun tak mengapa kerana Perdana Menteri nak jumpa esok ni. Kalau ibu bapa atau isteri atau anak-anak telefon minta tolong pun semua akan diminta tangguh, lusa saja kerana esok ada urusan maha penting kerana Perdana Menteri nak jumpa. Malamnya pula pasti tidur tak lena kerana resah mengatur biacara, apa yang hendak dicakapkan bila berjumpa nanti? Puas disusun segala ayat yang cantik seindah bahasa. Pagi-pagi lagi sudah siap, tiga jam sebelum waktu appointment sudah ada di pejabat Perdana Menteri. Lihat bagaimana apabila kita percaya esok ada appointment dengan Perdana Menteri, habis segala urusan kehidupan kita, kita pusatkan kepada perjumpaan tersebut. Looking forward dengan bersungguh-sungguh. Penampilan, bicara semuanya dipastikan terbaik. Nah, sekarang janji appointment kita dengan Allah pada Hari Akhirat adalah sesuatu yang pasti! Semua kita akan berdiri seorang demi seorang di hadapan Allah pada hari tersebut, maka sudahkah kita membuat persiapan untuk hari tersebut? Apakah bekalan kita nanti? Apakah pula bicara kita nanti?

Friday, January 29, 2010

Menyembah Allah - kalimah yang sama antara kita

Sedikit nota mengenai isu penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam di Malaysia. Perkara ini telah ditimbulkan dalam perjumpaan usrah mingguan Pelajar-pelajar (Lelaki) Carleton-Malaysia di Ottawa.

Secara ringkas, pengamatan saya merumuskan bahawa tiada dalil syarak dalam al-Quran dan al-Sunnah yang melarang penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam untuk merujuk Tuhan yang utama, iaitu Tuhan pencipta yang paling berkuasa dan mulia. Ayat-ayat al-Quran berhujjah dengan kaum musyrikin Makkah dan mengakui bahawa tuhan yang pencipta, pentadbir alam ialah Allah. Begitu juga tatkala menyanggah dakwaan Kristian bahawa Allah itu satu dari yang tiga dan Nabi ‘Isa itu Allah, ayat-ayat tersebut kesemuanya mengajak Kristian agar kembali kepada aqidah yang murni. Lihat saja seruan dakwah terhadap Ahli Kitab dalam al-Quran, di mana Allah menyuruh kita menyeru Ahli Kitab (Yahudi dan Kristian) dengan baik dan menyeru kepada kalimah yang sama antara kita, iaitu janganlah kita menyembah selain Allah dan janganlah menyekutukan-Nya dengan sesuatu apa pun, dan jangan pula kita ambil sebahagian dari kita menjadi tuhan. Perhatikan bahawa menyembah Allah itu diiktiraf al-Quran sebagai kalimah yang sama antara Islam, Yahudi dan Kristian. Begitu juga kisah masyhur perjanjian Hudaibiyyah, di mana Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam tidak membantah apabila pihak musyrikin Makkah yang menyembah berhala memulakan perjanjian dengan menyebut nama Allah.


Ketika kecil, saya ada seorang kawan beragama Kristian di kampung. Kami sering bersembang, dan percaya atau tidak, kami berdua mendapati bahawa agama saya dan agama dia sama kecuali dua perkara sahaja yang kami berbeza; iaitu ketuhanan Isa dan kerasulan Muhammad ‘alayhimassalam. Allah, malaikat, syurga, neraka, Adam, Nuh, Ibrahim, Musa dan lain-lain semuanya sama. Bukankah lebih mudah berdakwah dengan mencari titik persamaan?



Bahkan ketika melancong di bumi Mesir, saya sempat melawat Gereja St. Virgin Mary di Kaherah yang lebih dikenali sebagai gereja tergantung kerana dibina di atas puing kota lama Rumawi. Gereja ini terletak di bahagian Kaherah Lama (Old Cairo) atau Fustat, pusat pemerintahan Mesir ketika dibuka oleh ‘Amr ibn al-‘As radiyallahu ‘anhu, pusat penempatan warga Qibti Ortodoks (Coptic Orthodox). Gereja tersebut dihiasi dengan kaligrafi ayat-ayat Kitab Bible dalam Bahasa Arab. Bahkan sebelum memulai ayat-ayat Kitab Bible, tertulis kalimah “Bismillah al-Rauf al-Rahim” di dinding gereja.

Sesuai dengan fahaman kita sebagai umat Islam, maka apabila terjadi percanggahan pendapat marilah kita sama-sama kembali kepada al-Quran dan al-Sunnah. Sekiranya al-Quran dan al-Sunnah membenarkan, maka apa hak kita untuk tidak mahu ikut? Bukankah lebih selamat untuk mengikut al-Quran dan al-Sunnah? Apa lagi setelah para ‘ulama tersohor dunia pun tidak melarang penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam untuk merujuk kepada Tuhan yang paling utama.

Rata-rata yang melarang berpendapat bahawa isu ini jika dibiarkan kelak akan mempengaruhi dan mengelirukan umat Islam. Saya katakan, segala permasalahan yang melanda umat Islam adalah disebabkan kelemahan kita sendiri. Saya tidak suka menuding jari kepada orang lain. Jika demikian mentaliti kita, maka semuanya adalah salah syaitan kerana syaitan yang mempengaruhi kita untuk berbuat jahat. Hidup di akhir zaman ini memang pelbagai cabaran yang mendatang. Maka sebaik-baik persiapan ialah pemantapan aqidah yang murni berdasarkan ilmu dan keyakinan. Bukan aqidah ikut-ikutan. Oleh kerana kita sendiri yang malas menuntut ilmu aqidah, maka sudah tentu kefahaman kita tentang aqidah tidak kukuh dan mudah goyang. Kita sendiri menjadikan pengajian aqidah itu sesuatu perkara yang susah dan membosankan. Kita sendiri malas mencari strategi menimbulkan minat di kalangan masyarakat agar mereka gemar mempelajari aqidah. Maka akhirnya yang terhasil ialah tiadanya kefahaman aqidah di kalangan masyarakat. Kalau yang faham pun sekadar ikut-ikutan, belum berjaya bertapak dengan kuat di hati sehingga mampu menangkis apa jua cabaran yang datang.



Kenapa anak-anak tidak keliru apabila mereka memanggil orang tua mereka ayah, dan rakan-rakan sebaya mereka juga memanggil ayah? Tidak lain disebabkan anak-anak itu mengenali ayah mereka dengan baik. Oleh itu, bersungguh-sungguhlah perkenalkan Allah sebagai tuhan kepada anak-anak dan mereka yang berada di bawah tanggungjawab kita. Timbulkan rasa cinta kepada Allah di hati mereka, timbulkan rasa saying kepada Rasulullah di hati mereka. Bersungguh-sungguhlah menanam aqidah dalam hati masing-masing, kerana menanam aqidah itu adalah usaha yang berada dalam kawalan kita, sedangkan cabaran pihak musuh bukannya dalam kawalan kita. Andai aqidah kuat, apa jua cabaran yang datang pasti dapat dihadapi dengan mudah.

Oh ya, kenapa saya katakan lekeh? Kerana kesemua rakan-rakan Arab Islam yang saya temui berkata demikian. Tidakkah umat Islam di Malaysia ada banyak lagi perkara lain yang lebih penting untuk diberi perhatian selain dari merebut kalimah Allah, sehingga berlaku kejadian-kejadian tidak diingini ke atas rumah-rumah ibadat?

Ini hanya pandangan saya, tiada paksaan. Anda berhak untuk tidak bersetuju, dan saya hormati pandangan anda.

Monday, January 18, 2010

Goodbye Fall 2009

It's been a while since I wrote my last entry. Now so many events have taken place, and I'm not sure whether I'm supposed to addresss each of them.

It's winter in Ottawa. The Fall Semester has ended, and all the hard works, spending hundred of hours in front of computer solving assignments and preparing papers, have yield the results. Am I satisfied? Well, whatever it is, I always believe that I can always do better. However I kind of feeling content with my achievement, since juggling between PhD courses and family with two small kids has never been as challenging as before. Hahaha, just kidding. I always pray to Allah that He will make me strong and patient. So whatever the challenge is, I always make sure that I should be fully prepared to face them. Econometrics at PhD level was very tough. During the first month of classes, I thought that I will never have the chance to go through it. Yet as the challenge escalates, it really makes you work very hard. Alhamdulillah, getting something better than my expectation is always a great gift from Allah. As for Competition Policy, I love it. Anything that put justice as the supreme goal cathes my interest. Sadly Malaysia still does not have a comprehensive set of good antitrust laws. In that course, I can see clearly how the West hates injustices in the market, such that they even consider certain acts against competition in market to be a serious crime. And believe me, there is always a strong and significant correlation between loving a course and getting an A+, hahaha.

Then come another gift ~ Egypt, for winter holidays. Full 17-day tour to Cairo and its surroundings. But that's another chapter.