*Siri Risalah terbitan Unit R&D, YAPIS-UIA 01/06
Ketahuilah bahawa sumber aqidah Islam ialah kitab Allah, Sunnah Rasul-Nya s.a.w. yang sahih dan Ijma’ al-Salaf al-Soleh. Ini merupakan perkara yang pasti di dalam agama Islam. Kita wajib mengambil segala perkara berkaitan aqidah dari al-Quran dan al-Sunnah. Ini kerana Allah s.w.t. telah menjamin sesiapa sahaja yang berpegang kepada keduanya tidak akan sesat di dunia dan tidak akan binasa di akhirat.
Allah berfirman:
فَإمَّا يأتِيَنَّكُمْ مِنِّي هدىً فَمَنِ اتَّبَعَ هُدايَ فلا يَضِلُّ ولا يَشْقَى, ومن أعْرَضَ عن ذِكْرِي فإنَّ له معِيْشَةً ضَنْكا ونَحْشُرُهُ يومَ القيامةِ أَعْمَى
Maksudnya: Maka jika datang kepadamu petunjuk dari-Ku, lalu barangsiapa yang mengikuti petunjuk-Ku ia tidak akan sesat dan ia tidak akan celaka. Dan barangsiapa yang berpaling dari peringatan-Ku, maka baginya kehidupan yang sempit, dan kami akan menghimpunkannya pada hari kiamat dalam keaadaan buta. (surah Thaha: 123-124)
Allah juga berfirman:
فَإمَّا يأتِيَنَّكُمْ مِنِّي هدىً فمَن تَبِعَ هُدايَ فلا خوفٌ عليهِمْ ولاهم يحزَنُونَ
Maksudnya: Kemudian jika datang petunjuk-Ku kepadamu, maka barangsiapa yang mengikuti petunjuk-Ku, nescaya tidak ada ketakutan atas mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati. (surah al-Baqarah: 38)
Juga firman-Nya:
وَمآ أنزَلْناَ علَيْكَ الكِتَابَ إلا لتُبَيِّنَ لَـهُمُ الذي اختلفوا فيه وهدىً وَرَحْمَةً لقوم يؤمِنُونَ
Maksudnya: Dan kami tidak menurunkan kepadamu al-Kitab (al-Quran) ini melainkan agar kamu dapat menjelaskan kepada mereka apa yang mereka perselisihkan itu dan menjadi petunjuk dan rahmat bagi kaum yang beriman. (surah al-Nahl: 64)
Juga firman-Nya:
كِتَابٌ أَنزَلْناَهُ إلَيْكَ لِتُخْرِجَ النَّاسَ من الظُّلُمَاتِ إلى النُّورُ بإذْنِ ربِّهِمْ إلى صراط العزيزِ الحمِيْدِ
Maksudnya: (Ini adalah) kitab yang kami turunkan kepadamu supaya kamu mengeluarkan manusia dari gelap-gelita kepada cahaya terang benderang dengan izin Rabb mereka, (iaitu) menuju jalan Rabb yang Maha Perkasa lagi Maha Terpuji. (surah Ibrahim: 1)
Nabi s.a.w. bersabda:
ألا إنِّي أُوْتِيْتُ الكِـَتابَ ومِثْلَـهُ مَعَهُ
Ketahuilah aku telah diberikan al-Kitab (al-Quran) dan bersamanya yang sepertinya. (iaitu al-Sunnah). Hadis riwayat Ahmad, 4/131-132, hadis sahih.
Al-Kitab dan al-Sunnah cukup sebagai pegangan sehingga tidak memerlukan kepada selainnya. Allah berfirman:
اتَّبِعُوا مآ أنزِلَ إلَيكُمْ مِّن رَّبِّكُمْ ولا تتبعوا من دونِهِ أولِيآء قليلاً ما تَذَكَّرُونَ
Maksudnya: Ikutilah apa yang diturunkan kepadamu dari Rabbmu dan janganlah kamu mengikuti pemimpin-pemimpin selainnya. Amat sedikitlah kamu mengambil pelajaran daripadanya. (surah al-A’raf:3).
Imam Ibnu Kathir berkata dalam menafsirkan ayat ini: “Ikutilah apa yang diturunkan kepadamu dari Rabbmu) iaitu ikutilah peninggalan-peninggalan Nabi yang ummi yang datang kepada kamu membawa kitab (al-Quran) yang telah diturunkan kepada kamu dari Penguasa dan Pemilik segala sesuatu. (Dan janganlah kamu mengikuti pemimpin selain-Nya) iaitu janganlah kamu keluar dari apa yang dibawa oleh rasul kepadamu menuju selainnya, sehingga kamu menyimpang dari hukum Allah kepada hukum selainnya”. (Tafsir Ibnu Kathir surah al-A’raf: 3)
Nabi s.a.w. bersabda:
ترَكْتُ فِيْـكُمْ أمْرَيْنِ لن تَضِلُّوا ما تَمَسَّـكْتُمْ بِهما: كتابَ الله وسنةَ رسولهِ
Aku telah tinggalkan untuk kamu dua perkara. Kamu tidak akan sesat selama berpegang kepada keduanya: Kitab Allah dan Sunnah Rasul-Nya. (Hadis sahih lighairihi, riwayat Malik, al-Hakim, al-Baihaqi, Ibnu Nasr, Ibn Hazm. Disahihkan oleh Syeikh Salim al-Hilali dalam Ta’zim wal Minnah fil Intisharis Sunnah, hlm.12-13.)
Adapun Ijma’ al-Salaf al-Soleh juga merupakan hujah, kerana kesepakatan mereka merupakan kebenaran sehingga wajib diikuti.
Nabi s.a.w. bersabda:
إن اللهَ لا يجمعُ أمَّتي أو قال أمَّهُ محمدٍ على ضلالةٍ.
Sesungguhnya Allah tidak akan menghimpunkan umatku (atau beliau bersabda umat Muhammad) di atas kesesatan. (Hadis riwayat Tirmizi, no 2167 dan lafaz ini dari Abu Daud no 4253.)
Oleh kerana umat Islam umat yang adil seperti firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 143, maka kesepakatan mereka adalah hak (kebenaran) sehingga Ijma’ mereka merupakan hujah. Penyimpangan
Setelah mengetahui penjelasan di atas kita dapati ramai di antara umat Islam yang terjerumus ke dalam kesalahan-kesalahan yang tidak diizinkan oleh Agama. Sebahagian orang menjadikan akal dan logik sebagai sumber aqidah dan hukum. Mereka meletakkan akal manusia yang terbatas berada di atas wahyu Allah sehingga mereka meninggalkan wahyu dengan alasan logik dan akal, sepertimana Muktazilah dan semacamnya. Sebahagiannya menyebut diri mereka Rationalist. Padahal wahyu merupakan kebenaran mutlak. Kemudian akal siapakah yang dipakai sebagai ukuran untuk menolak wahyu? Kalau akal orang-orang kafir, seperti Iblis, Fir’aun, Abu Lahab atau Abu Jahal maka sangatlah wajar mereka menolak wahyu kerana mereka mendustakan Allah dan Rasul-Nya. Namun jika akal Abu Bakar, Umar, Usman dan Ali pastilah akal mereka ini menerima wahyu tanpa keraguan.
Sebahagian orang menjadikan perkataan imam-imam atau tokoh-tokoh yang dianggap maksum sebagai sumber aqidah, sepertimana Rafidhah (Syiah) dan firqah-firqah Batiniyyah. Padahal tidak ada peribadi yang maksum dikalangan umat ini setelah Nabi Muhammad s.a.w. sehingga perkataan sesiapapun kecuali rasulullahdapat diterima atau ditolak dilihat dari segi kebenarannya. Ibnu Abbas berkata: “Tidak ada seorangpun perkataanya diambil dan ditolak kecuali Nabi”. (Hadis riwayat Tabrani dalam al-Mu’jam al-Kabir no. 11941). Maknanya perkataan nabi semuanya wajib diterima.
Sebahagian lain menjadikan perasaan, mimpi, hikayat dan kasyaf sebagai (boleh melihat perkara ghaib) sebagai sumber aqidah. sepertimana keadaan puak-puak sufi dan tarikat. Padahal semua perkara tersebut tidak ada jaminan kebenarannya, sehingga tidak boleh dijadikan sumber aqidah.
Sebahagian yang lain pula menjadikan hadis-hadis lemah dan palsu sebagai sumber agama termasuk aqidah. Ibnu Taimiyyah berkata: Adapun Ahli Bid’ah maka mereka ialah ahli ahwa’ dan ahli syubhat. Mereka mengikuti persangkaan dan apa-apa yang disukai hawa nafsu. Padahal telah datang petunjuk kepada mereka dari Rabb mereka. Setiap kelompok dari ahli bid’ah telah membuat sendiri kaedah agama untuk dirinya sendiri. Kemungkinan dengan akal fikirannya dan perbandingan secara logik, dia namakan sebagai perkara-perkara yang ditetapkan akal. Kemungkinan dengan perasaannya dan hawa nafsunya yang dia namakan perkara-perkara yang ditetapkan perasaan.
Dan kemungkinan dengan apa yang dia tafsirkan dari al-Quran dan dia merubah-rubah kalimat-kalimat al-Quran dari tempat-tempatnya dalam masa yang sama dia mendakwa dia semata-mata mengikuti al-Quran sebagaimana Khawarij.
Dan kemungkinan dengan apa yang dia anggap sebagai hadis atau sunnah padahal ianya palsu dan lemah. Sebagaimana yang disangka oleh kelompok Rafidhah (Syiah). Kebanyakan mereka yang mereka-reka agama dengan fikiran atau perasaannya dia berhujah dengan al-Quran mengikut kehendak nafsunya. Dia menjadikan al-Quran hanya sebagai hujah bukan pegangan. Tetapi dasar sebenarnya akal fikirannya seperti Jahmiyyah dan Muktazilah dalam masalah sifat-sifat dan perbuatan-perbuatan Allah. (al-Nubuwwat hlm.129)
Kesimpulannya inilah sumber-sumber aqidah Islam iaitu al-Quran, sunnah serta Ijmak al-Salaf al-Soleh. Adapun keadaan orang-orang yang menyimpang dari kebenaran menjadikan akal fikiran, hawa nafsu, perasaan, mimpi serta hadis-hadis yang lemah dan palsu sebagai sumber aqidah mereka. Kesemuanya adalah batil. Semoga Allah selalu membimbing kita di atas jalan kebenaran. (dipetik dari majalah as-Sunnah)
Thursday, January 05, 2006
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment