Hairan apabila melihat sebahagian manusia berusaha bersungguh-sungguh ingin menyesatkan tokoh-tokoh ilmuwan agung terdahulu, sedangkan tokoh-tokoh ilmuwan ini telah pun lama meninggalkan kita, sebahagian besar mereka telah pun membuktikan kecintaan mereka terhadap Islam dan menyeberang jambatan menuju keredhaan Ilahi, dan keilmuwan mereka diiktiraf tokoh-tokoh ilmuwan terkemudian. Antara yang sering menjadi perhatian golongan ini ialah Syeikhul Islam Ibn Taymiyyah rahimahullah.
Andai diperhatikan usaha golongan ini, mereka bukan sekadar menyesatkan Ibn Taymiyyah, bahkan dengan tidak segan silu mengkafirkan beliau, berpaksikan aqidah murni Ibn Taymiyyah yang pada timbangan falsafah mereka adalah terkeluar dari Islam. Cacat dengan virus musyabbihah dan mujassimah kononnya, padahal mereka sebenarnya yang terjebak dalam perangkap musyabbihah dan mujassimah akibat ketaksuban mereka kepada falsafah.
Tidakkah golongan ini sedar, bahawa ketokohan Ibn Taymiyyah diakui tokoh-tokoh Islam terkemudian? Buku-buku karangan beliau memenuhi rak-rak perpustakaan di serata dunia Islam dalam serata bidang: aqidah, tafsir, ulum al-tafsir, siyasah, ekonomi, kemudian terdapat pula himpunan fatwa beliau yang merangkumi hampir segenap disiplin ilmu Islam. Pendapat-pendapat beliau sering dijadikan rujukan dan panduan oleh tokoh-tokoh ilmuwan Islam. Beratus-ratus kajian tesis kesarjanaan mengenai ilmu beliau dihasilkan oleh universiti-universiti di serata dunia Islam. Ratusan graduan institut pengajian tinggi di dunia Islam memperoleh ijazah sarjana dan doktor falsafah hasil kajian mengenai ilmu beliau. Karya-karya beliau senantiasa memenuhi ruang nota kaki khazanah Islam. Bahkan sifat beliau yang sabar menghadapi fitnah yang dilemparkan terhadapnya yang mengakibatkan beliau dihukum pemerintah pada zamannya, hidupnya yang zuhud, perjuangan beliau di medan perang bersama tentera Islam menghadapi kemaraan Tartar sering disebut sebagai tauladan baik yang harum sepanjang zaman buat umat Islam.
Tiba-tiba pada zaman sekarang ada pula suara-suara yang mengkafirkan beliau. Hati manakah yang tidak terasa apabila melihat saudara seagamanya dicerca dan dituduh kafir? Apatah lagi jika saudara seagama tersebut telah lama mati, dan meninggalkan khazanah ilmuwan tak ternilai yang diakui oleh tokoh-tokoh ilmuwan lain pula? Apakah mereka hendak membuang puluhan karya Ibn Taymiyyah yang memenuhi perpustakaan dunia Islam? Kemudian tidak mengiktiraf pula ratusan kajian dan tesis yang telah dihasilkan mengenai keilmuwan beliau?
Bagi saya, keilmuwan Syeikhul Islam Ibn Taymiyyah ibarat gunung yang kukuh terpasak ke dalam bumi menjulang tinggi ke awan. Bukan seorang dua sahaja tokoh yang menyanjung keilmuwan beliau, bahkan terlalu ramai yang mengakui keilmuwan beliau. Suara-suara yang mengkafirkan beliau hanyalah ibarat lolongan anjing kurap yang tidak sedar keadaan dirinya yang hina. Menyalaklah sekuat hati, nescaya gunung tersebut tetap kukuh.
Daripada membuang masa mencerca saudara seagama yang telah meninggal dunia dan diakui pula kebaikannya, saya doakan semoga Allah memberi kesedaran kepada golongan ini akan kesalahan besar mereka. Lebih baik mereka menginsafi kesalahan mereka sendiri daripada mencerca kesalahan Ibn Taymiyyah.
Artikel ringkas pembelaan tokoh-tokoh ilmuwan terhadap Ibn Taymiyyah:
http://yapis.blogspot.com/2007/03/pembelaan-para-ulama-terhadap-ibnu.html
Sunday, March 11, 2007
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comment:
Alhamudillah.
Kita mengakui bahawasanya ketokohan Syeikh al-Islam Ibn Taymiyyah, segala ketinggian dan keluasan ilmunya, dan sikapnya yang mempertahankan as-Sunnah. Demikian adalah sesuatu yang tidak dapat dibantah lagi.
Namun begitu, tidak ada sesiapa di dalam dunia ini yang terlepas dari melakukan kesilapan dan kesalahan. Hanya nabi kita, Muhammad Sallallahu 'Alaihi Wasallam sahaja yang ma'sum. Hanya perkataan2 dan sabdaan baginda sahaja yang benar 100% dan tidak dapat dibantah lagi dengan suatu cara apa pun.
Syeikh al-Islam Ibn Taymiyyah adalah seorang ulama yang agung dan kita mengakui perkara itu. Namun, beliau tidak dapat lepas dari melakukan sebarang kesilapan. Beliau bukanlah nabi atau rasul, hanya seorang manusia biasa juga.
Maka oleh itu, berkenaan dengan perkataan2 para ulama tentang Syeikh al-Islam Ibn Taymiyyah, sekiranya kita perhatikan dengan baik, maka boleh kita bahagikan kepada 3 kelompok
1) Mereka yang semata2 memuji beliau. Dan yang demikian itu kerana melihat kepada kelebihan2 yang ada padanya, baik dari segi ketinggian dan keluasan ilmu, kewarakan dan ketaqwaan, dan pembelaannya terhadap sunnah.
2) Mereka yang semata2 menghina dan mengkritik beliau. Yang demikian itu kerana memandangkan kepada kesalahan2 yang beliau lakukan dalam masalah akidah, yang bukan merupakan sesuatu yang dipandang ringan di sisi agama.
3) Mereka yang memuji beliau, dan juga sekaligus mengkritiknya. Ini adalah golongan yang memandang dari sudut yang paling adil dan menyeluruh. Allah telah merahmati golongan ini dengan menyelamatkan mereka dari sikap fanatik dan berlebih-lebihan dalam menyokong dan mengagungkan seseorang ulama.
Adapun yang paling baik di antara ketiga-tiga golongan ini, tidak syak lagi adalah golongan yang ketiga. Mereka2 inilah yang dikurniakan dengan pemikiran yang paling adil dan lurus. Mereka tidak hanya melihat Syeikhul Islam hanya dari satu segi sahaja, tetapi dari kedua-dua segi : kebolehan, kelebihan dan keburukan, kelemahan dengan maksud atau tujuan menepis segala keburukan dan kelemahan tersebut.
Post a Comment