Friday, November 27, 2009

Catur dan Islam


Dalam perjumpaan usrah mingguan siswa Carleton University pada minggu lepas, timbul pertanyaan mengenai catur. Terdapat larangan daripada para 'ulama mengenai permainan catur. Dan sememangnya ada hadith yang menegah nardasyir, iaitu sejenis permainan catur, di mana Buraydah ibn al-Hasib radiyallahu 'anhu berkata yang beliau mendengar Rasulullah sallallahu 'alayhi wasallam menyebut mereka yang bermain nardasyir seolah-olah telah melumuri tangan mereka dengan daging dan darah babi. Hadith ini diriwayatkan oleh al-Imam Muslim.

Tiada masalah pada status hadith ini kerana ia diriwayatkan oleh al-Imam Muslim dalam kitab sahih beliau. Masalah timbul pada terjemahan dan tafsiran nardasyir. Adakah ia merujuk kepada kesemua jenis catur, atau hanya untuk nardasyir dan permainan yang sama sepertinya? Maka saya cadangkan tiga artikel berikut untuk bacaan agar mendapat gambaran yang lebih jelas:

1. Dadu dan Catur Menuai Kecaman Islam oleh Ustaz Muhammad Abduh Tuasikal
2. Hadith Larangan Bermain Nardasyir oleh Ustaz Abu Umair
3. Pendapat Dr. Yusuf al-Qaradhawi mengenai catur dalam Kitab al-Halal wa al-Haram fi al-Islam (m/s 129)

Artikel Ustaz Abu Umair ada disertakan link dalam Wikipedia Arab untuk menunjukkan gambar nardasyir. Pendapat saya, permainan catur yang ada sekarang berbeza dengan nardasyir yang disebut dalam hadith, dan sekiranya catur tidak disertai apa-apa unsur yang haram (seperti perjudian, lewat solat dsb), adalah harus. Nampak bahawa nardasyir ini tidak bergantung kepada kecekapan akal, sebaliknya bergantung kepada dadu. Seperti yang kita maklum, dadu adalah alat yang digunakan untuk mencuba nasib. Mana-mana permainan yang melibatkan penggunaan dadu seolah-olah menafikan kebolehan akal, sebaliknya lebih menyerah kepada dadu untuk menentukan pemenang. Oleh itu elakkan dari bermain apa-apa permainan yang menggunakan dadu. Nardasyir jelas haram berdasarkan hadith di atas.

Muzik oh Muzik

Antara persoalan yang timbul pada perjumpaan usrah mingguan siswa Carleton University pada hari Sabtu minggu lepas ialah mengenai muzik. Isu muzik disebut oleh Syeikh Abdurrahman al-Hejazy ketika menyampaikan khutbah Jumaat di Carleton University. Secara ringkas, beliau berpendapat bahawa muzik adalah haram.
a
Pendekatan yang beliau gunakan agak menarik, di mana beliau tidak terus membincangkan dalil-dalil khas dari al-Quran atau hadith, sebaliknya mengajak kita merenung sejarah dan berfikir secara logik. Sebelum kedatangan Islam, masyarakat Arab hidup dalam keadaan jahiliyyah. Antara yang menjadi budaya kehidupan masyarakat jahiliyyah ialah muzik. Muzik sangat berleluasa sehingga menjadi satu aspek kehidupan seharian. Pendek kata, masyarakat jahiliyyah menyibukkan diri mereka dengan muzik. Walau bagaimanapun, setelah kedatangan Islam, tiba-tiba muzik seolah-olah lenyap daripada kehidupan seharian generasi awal Islam. Tiada kisah-kisah Rasulullah sallallahu 'alayhi wasallam, para Sahabat baginda dan generasi Tabi'in mendengar muzik seperti kebiasaan masyarakat Arab sebelumnya. Maka kelihatan bahawa kedatangan Islam tiba-tiba telah melenyapkan muzik dari kehidupan seharian masyarakat Arab. Atas persektif ini, beliau berpendapat muzik ditegah dalam Islam.
a
Melihat dari perspektif dalil-dalil al-Quran dan hadith, terdapat banyak ayat al-Quran dan hadith yang digunakan sebagai dalil tentang pengharaman muzik. Pihak yang berpendapat muzik ialah halal pula mengemukakan kaedah istinbat dan tafsiran yang pelbagai. Sebagai permulaan, eloklah jika kita merenung sebuah hadith yang diriwayatkan oleh al-Imam al-Bukhariy, di mana Rasulullah sallallahu 'alayhi wasallam menyebut bahawa kelak pada akhir zaman akan ada di kalangan umat baginda yang menghalalkan zina, sutera untuk lelaki, arak, khinzir dan alat muzik. Rasulullah menyebut bahawa sebahagian mereka akan Allah musnahkan dengan meruntuhkan gunung ke atas mereka, manakala sebahagian lagi Allah akan ubah menjadi kera dan khinzir, dan mereka kekal dalam keadaan sedemikian sehingga Kiamat. Hadith yang termaktub dalam Sahih al-Bukhariy ini sepatutnya menjadi peringatan keras bagi sesiapa jua sebelum sewenang-wenang menghalalkan muzik, kerana muzik itu disebut setaraf dengan zina, sutera, arak dan khinzir yang semuanya adalah haram.
a
Ayat-ayat al-Quran tidak menyebut muzik dengan jelas, tetapi sekiranya kita soroti tafsiran para Sahabah dan 'ulama tafsir terkemuka, kesemua mereka apabila mentafsirkan ayat-ayat ini berkata bahawa yang dimaksudkan oleh ayat-ayat tersebut ialah muzik, nyanyian dan sebagainya.
a
Seperti kata Syeikh Abdurrahman al-Hejazy, pada zaman ini sekiranya kita mahu mencari pendapat yang menghalalkan apa yang haram, pasti akan jumpa. Bagi yang berpandangan bahawa muzik ini khilaf, ketahuilah bahawa khilaf ini hanya berlaku dengan banyak pada zaman sekarang. Pada zaman awal Islam, hanya al-Imam Ibn Hazm al-Zahiri dari al-Andalus yang menghalalkan muzik, itupun telah disanggah dengan hebat oleh para 'ulama sezaman dengannya. Hanya kebelakangan ini muncul pendapat-pendapat baru yang menghalalkan muzik melalui pelbagai kaedah usul fiqh. Perlu diingatkan juga, para 'ulama zaman kini yang menghalalkan muzik turut meletakkan syarat-syarat yang ketat.
a
Terdapat banyak site yang membincangkan masalah muzik. Untuk mereka yang suka membaca perincian hukum, bagaimana hujjah-hujjah pihak yang menghalalkan dipatahkan oleh pihak yang mengharamkan, saya cadangkan ikuti perbincangan di laman web berikut:
a
Bagi yang suka kepada ringkasan, saya cadangkan laman berikut:
a
Setelah menekuni hujjah-hujjah pihak yang menghalalkan dan pihak yang mengharamkan, saya lebih cenderung berpegang kepada pandangan yang mengharamkan muzik. Pengecualian hanyalah bermain duff (seperti kompang) pada dua hari raya dan kenduri kahwin. Pendapat ini sangatlah berat bagi saya, kerana dalam isu ini saya terpaksa berlain pandangan dengan beberapa guru saya sendiri. Sememangnya saya mencintai mereka, tetapi kebenaran lebih dekat di hati. Itu jugalah yang mereka sering peringatkan kepada semua anak murid agar jangan taksub dengan tokoh (kecuali baginda yang bersemadi di bumi Madinah), sebaliknya taksublah dengan ilmu.
a
Ramai yang bertanyakan penyelesaian masalah muzik kerana muzik ini telah menjadi kebiasaan kehidupan seharian kita. Nasihat saya, cubalah sedaya upaya menjauhi muzik seperti mana kita menjauhi perkara haram yang lain. Mulailah kurangkan mendengar muzik. Sekurang-kurangnya janganlah sampai kita menghalalkan pula apa yang Allah haramkan. Ahli maksiat itu lebih hampir dengan pintu taubat berbanding ahli bid'ah. Kita ini hidup pada zaman gelombang fitnah yang datang berbondong-bondong, tiada siapa yang dapat lari daripadanya. Maka mana fitnah yang dapat dielakkan, elakkanlah.
a
Ops, ini hanya pandangan saya. Seperti mana saya tidak suka dipaksa menerima pandangan sesiapa, saya juga tiddak suka memaksa sesiapa menerima pandangan saya. Terpulanglah kepada anda...