Sunday, May 06, 2007

“Tiada komunikasi di sini…”

Kali pertama Solat jumaat di tanahair, saya berkunjung ke sebuah masjid di Petaling Jaya. Seperti biasa, saya mendapatkan tempat di saf hadapan berdekatan dengan imam. Selesai solat, saya tidak menunggu untuk berdoa berjamaah bersama imam, sebaliknya bangun untuk solat sunat empat rakaat. Nyata tindak tanduk saya menarik perhatian salah seorang jamaah di situ yang menghampiri saya. Seorang warga emas berusia dalam lingkungan 60-an, namun masih nampak segak dan kemas.

Pada mulanya, beliau menegur tindakan saya yang pada pandangan beliau adalah salah. Kata beliau, solat sunat hukumnya sunat, tetapi berdoa hukumnya wajib. Jadi tindakan saya menyalahi tuntutan agama, kerana menginggalkan yang wajib untuk mengerjakan yang sunat.

Alhamdulillah, nampaknya beliau cuba untuk berhujjah. Ini lebih baik dari terus menuduh saya sebagai Wahhabi dan lain-lain. Saya cuba menjawab hujjah beliau sebaik mungkin, sambil memastikan adab perlakuan seorang yang muda kepada seorang yang tua tetap dijaga.

Lantas saya nyatakan kepada beliau, bahawa pendapat beliau itu ada benarnya. Cuma, saya bertanyakan kepada beliau, bolehkah kita berdoa mengikut imam, sedangkan imam membaca butiran doa dalam bahasa Arab yang kita sendiri tidak faham? Bahkan mungkin imam itu sendiri tidak faham. beliau berfikir sejenak, kemudian memberitahu bahawa benar juga, mana mungkin kita meminta sesuatu daripada Allah dengan menutur kata-kata yang kita sendiri tidak fahami? “Tidak ada komunikasi di sini....” Kemudian beliau menambah lagi, “Sama saja seperti ayat-ayat al-Quran yang mereka jadikan hiasan di dinding masjid ini, dengan tulisan yang terlalu berseni, pakcik sendiri tidak dapat baca, apatah lagi faham. Patutnya mereka letak rujukan ayat ini, kerana tiada komunikasi di sini. Ayat al-Quran bukannya untuk hiasan atau digantung, sebaliknya untuk dibaca, difahami dan diamal.”

Terkejut juga saya melihat beliau meluahkan rasa hati. Menurut beliau, inilah antara rasa hati yang terpendam sekian lama di hatnya. Beliau melihat antara faktor utama kegagalan Islam mendapat tempat di hati masyarkaat adalah masalah komunikasi. Tiada komunikasi berlaku.

Beliau lantas memberi kata-kata perangsang kepada saya agar belajar rajin-rajin dan ubahlah perkara ini suatu hari kelak. Beliau sudah tua, mungkin sudah tidak mampu untuk merubah kesemua ini. Insya-Allah, andai ada kekuatan, nescaya saya akan ubah perkara-perkara ini suatu hari kelak.

Sikap yang ada pada beliau jarang didapati di kalangan masyarakat Islam di Malaysia. Jarang ada seseorang yang apabila melihat sesuatu yang pada pandangannya salah, terus dia pergi mendapatkan penjelasan dan berhujjah. Andai majoriti masyarakat Islam di Malaysia bersikap seperti pakcik ini, nescaya banyak perkara yang dapat diubah. Ada saja benda tak puas hati, terus kita dapatkan penjelasan. Ini juga rahsia kejayaan pelajar cemerlang. Ada saja perkara tidak jelas di dalam kelas, terus bertanya kepada pensyarah. Usah tunggu lagi.

No comments: