Monday, October 29, 2007

Musolla Quba tinggal kenangan

Inna lillahi wa inna ilayhi raji'un...


Tiada lagi Musolla Quba. Sudah suratan taqdir surau yang menjadi tempat warga sekitar Prince of Wales Dr. dan Meadowsland Rd. menunaikan solat berjamaah telah diambil semula oleh tuan punya bangunan disebabkan tidak ada sesiapa yang ingin meneruskan bayaran sewa bulanan. Surau ini terletak di tingkat 3 bangunan Chateau Royale Professional, 1390 Prince of Wales Dr. Betul-betul bertentangan dengan apartment kami. Tambah pula di hadapan bangunan tersebut terletaknya Tim Horton's dan Rideauview Mall. Pada musim winter yang lalu seakan menjadi sunnah untuk singgah di Tim Horton's untuk mengatasi kesejukan subuh dan isyak.

Ah, segalanya tinggal kenangan.

Friday, October 12, 2007

Haru Biru Pasal Eid 2007

Masalah biasa setiap kali menjelangnya Eid. Bila sebenarnya Eid?

Pada zaman awal Islam, perubahan bulan ditentukan berdasarkan rukyah, atau melihat anak bulan dengan mata kasar. Ini jelas selari dengan Al-Quran dan hadith-hadith sahih. Andai bulan jelas kelihatan, maka bulan baru telah tiba. Andai bulan tidak kelihatan disebabkan sudah terbenam, atau ada awan tebal yang melindungi penglihatan mata, maka bulan tersebut digenapkan 30 hari.

Perkembangan ilmu astronomi dan teknologi sepatutnya memudahkan lagi umat Islam dalam menentukan perkiraan bulan dan menyebabkan mereka lebih sepakat. Malang sekali yang sebaliknya terjadi.

Tahun ini, alhamdulillah majoriti umat Islam sepakat memulakan Ramadhan pada 13 September 2007. Maka 29 Ramadhan jatuh pada hari Khamis, 11 Oktober 2007. Pada senja hari tersebut umat Islam bersiap sedia untuk memerhatikan anak bulan Syawal sama ada telah muncul atau belum.

Berdasarkan kiraan astronomi, mustahil untuk anak bulan baru muncul pada malam 11 Oktober kerana bulan terbenam seminit sebelum matahari terbenam di Makkah. Jadi pada malam tersebut bulan tidak mungkin kelihatan di langit Makkah. Laporan ini boleh dibaca di website The Fiqh Council of North America. Hasilnya, badan rasmi tersebut tetap dengan pendirian mereka bahawa Eid tahun ini ialah pada Sabtu, 13 Oktober 2007.

Walau bagaimanapun, laporan rasmi dari Majlis Fatwa Tertinggi Arab Saudi mengisytiharkan bahawa anak bulan Syawal telah kelihatan pada 11 Oktober 2007, lantas Jumaat, 12 Oktober 2007 diisytiharkan sebagai Eid. Ramadhan tahun ini menjadi 29 hari sahaja.

Akhirnya ada tempat yang mengambil keputusan mengikut keputusan Arab Saudi berdasarkan kaedah Ittihad al-Matali' atau Kesatuan Tempat Terbit Bulan. Bila ada satu kawasan yang mendakwa telah melihat anak bulan Syawal, maka seluruh dunia Islam menyambut Eid. Ini berbeza dengan mereka yang mengikut kaedah Ikhtilaf al-Matali', atau Perbezaan Tempat Terbit Bulan. Kaedah ini menyatakan bahawa kemunculan anak bulan baru berbeza dari satu kawasan ke satu kawasan yang lain. Dalam erti kata lain, untuk mensabitkan kedatangan anak bulan baru, setiap kawasan perlu memerhatikan sendiri. Kaedah ini memungkinkan berlakunya perbezaan tarikh menyambut Eid. Pun begitu, bagaimana sempadan sesuatu kawasan ditentukan masih menjadi perdebatan, adakah kawasan itu negara, atau negeri, atau sekadar kampung. Bayangkan jika setiap kampung perlu melihat anak bulan, sudah pasti kacau bilau. Sempadan negara yang ada sekarang pula adalah hasil seni penjajah (dulu hanya sebuah negara), ada negara yang besar seperti Indonesia, ada pula yang kecil seperti Brunei. Bolehkah jika anak bulan kelihatan di Aceh, maka mereka di Irian Jaya perlu mengikut keputusan tersebut? Ini kerana saiz negara yang terlalu besar juga kadang kala menyukarkan kaedah Ikhtilaf al-Matali' digunakan. Jika ada pun negara yang mengikut kaedah Ikhtilaf al-Matali', keputusan tersebut tetap menjadi Ittihad al-Matali' dalam negara tersebut. Contoh mudah, dua negara iaitu Arab Saudi dan Mesir. Berdasarkan kaedah Ikhtilaf al-Matali', Arab Saudi menyambut Eid pada hari Jumaat manakala Mesir menyambut pada hari Sabtu, kerana pihak berkuasa Mesir mendakwa anak bulan tidak kelihatan pada malam Khamis. Pun begitu, bukanlah setiap kampug di Arab Saudi atau Mesir perlu melihat anak bulan, hanya di beberapa kawasan tertentu sahaja. Pun begitu, keputusan tersebut tetap dipaksakan ke seluruh negara. Jika tidak, dalam satu negara pun boleh ada tarikh berbeza sambutan Eid.

Berdasarkan hadith, kedatangan anak bulan Syawal mesti disaksikan oleh sekurang-kurangnya dua orang, berbeza dengan kedatangan anak bulan Ramadhan yang boleh disabitkan dengan hanya seorang saksi.

Maka apabila satu kerajaan Islam, iaitu Arab Saudi mengisytiharkan mereka telah melihat anak bulan Syawal, maka sudah tentu lebih dari dua orang yang melihatnya.

Yang menjadi masalah ialah kiraan astronomi yang menyatakan mustahil anak bulan Syawal muncul pada malam tersebut.

Siapakah yang tersilap? Kiraan astronomi atau penglihatan manusia? Sebagai manusia yang berfikiran waras, kita tidak boleh menolak kemungkinan saudara kita yang mendakwa nampak anak bulan di Makkah tersilap, dalam masa yang sama kita tidak boleh menolak kemungkinan kiraan astronomi telah silap. Tetapi untuk menuduh saudara kita di Arab Saudi berbohong demi kepentingan politik mereka tidak mungkin sama sekali.

Pendapat peribadi saya, apabila ada saudara kita yang memberitahu mereka telah melihat anak bulan, maka sepatutnya kita ikut. Jika mereka tersilap, maka Allah mengampuni kesilapan. Bahkan kesilapan ini tidak disedari. Jika mereka berbohong sekalipun mereka yang bersalah. Mungkin kerana biasa menyibukkan diri dengan manhaj al-Quran dan Hadith semenjak menuntut di zaman muda, maka segala yang mustahil pada kaca mata saintifik tidak lagi mustahil dengan mata wahyu. Lautan terbelah, bulan terbelah, semuanya mustahil pada kaca mata saintifik. Bahkan hadith-hadith yang kita ambil dari al-Bukhariy, Muslim dan lain-lain imam hadith kesemuanya berdasarkan perkhabaran belaka. Pun kita percaya tanpa banyak soal tentang kesahihannya pada kaca mata saintifik. Cuba kita lihat di luar kotak. Dengan menghormati pendirian Fiqh Council of North America (bagus kerana mereka tidak pernah berniat memaksa keputusan mereka kepada orang lain), andaikan perkara ini terjadi pada Eid al-Adha, ketika jutaan umat Islam mengerjakan wukuf di Arafah, dan anda termasuk di kalangan mereka. Sahabat-sahabat anda yang pakar dalam kiraan astronomi mengatakan mustahil anak bulan muncul pada malam 29 Zulkaedah, tetapi Kerajaan Arab Saudi menyatakan mereka telah melihat anak bulan. Adakah anda akan berwukuf pada hari lain, atau mengikut keputusan rasmi Kerajaan Arab Saudi?

Satu lagi, hadith-hadith menyatakan sekiranya anak bulan kelihatan, bukannya ia sudah ada di situ. Sekiranya anak bulan sudah ada, tetapi dilindungi awan tebal, sepatutnya bulan tersebut digenapkan 30 hari.

Cara terbaik, ikut sahaja pendapat masjid di kawasan anda demi menjaga kesatuan dan ukhuwwah umat Islam. Sekiranya kita berbalah dalam kalangan tetangga kita sendiri, sudah tentu tujuan sambutan Eid tersasar dari haluan yang sepatutnya. Alhamdulillah, kesemua masjid di Ottawa melainkan dua yang terletak di pinggir Ottawa sepakat mengisytiharkan Eid jatuh pada Jumaat, 12 Oktober 2007. Kedua-dua masjid tersebut tidak menyertai jemputan menganggotai Jawatankuasa Anak Bulan Ottawa yang ditubuhkan demi menjaga kesatuan umat Islam di Ottawa.

Pelik juga kerana sungguhpun Eid jatuh pada hari Jumaat dan solat Eid telah dikerjakan pada hari Jumaat, sambutan Eid yang dirancang pada hari Sabtu diteruskan kerana Ottawa Civic Center telah ditempah lebih awal. Sambutan sahaja tidak pelik, yang menjadi pelik apabila agenda sambutan dimulakan dengan takbir raya dan solat Eid sekali lagi. Hairan! Hanya ada satu keadaan sahaja di mana solat Eid boleh dikerjakan pada hari raya kedua, iaitu apabila pengisytiharan Eid diketahui sesudah condongnya matahari. Ini adalah perkara yang mungkin terjadi pada zaman dahulu disebabkan keterbatasan komunikasi dan masalah geografi. Adanya kampung yang jauh dari kota Islam, mereka berpuasa tanpa mengetahui bahawa di kota mereka telah berhari raya. Datang utusan dari kota ke kampung setelah condongnya matahari memberitahu sebenarnya hari tersebut ialah hari raya, maka kesemua warga kampung berbuka ketika itu juga dan beraya, dan solat pada keesokan hari. Situasi di Ottawa tidak mencerminkan keadaan ini kerana rata-rata pengumuman raya yang jatuh pada hari Jumaat telah disiarkan di laman-laman web masjid dan persatuan Islam.

Yang lebih pelik apabila mengetahui ada pula dakwaan bahawa selama ini kiraan umat Islam salah sejak ratusan tahun dahulu. Akhirnya ada pula yang menyambut Eid seminggu lewat, dan perbezaan tarikh lain yang langsung tidak masuk akal. Kesemua ini kerana taksub dengan syeikh-syeikh tertentu yang mendakwa kiraan mereka tepat. Kelakar dan sedih melihat mereka ini. Bagaimana agaknya nanti apabila mereka mengerjakan haji yang menjadi kewajipan umat Islam, agaknya mereka akan berwukuf di Arafah pada ketika semua umat Islam sudah pulang ke tanahair masing-masing.


Taqabbalallahu minna wa minkum
Selamat Hari Raya
Maaf Zahir Batin

Hukum Solat Jumaat pada Hari Raya

Intro
Eid al-Fitri tahun ini disambut umat Islam Ottawa pada hari Jumaat. Apa hukum Solat Jumaat?

Teori

Petikan dari Fiqh al-Sunnah:
Andai Jumaat dan Eid berkumpul pada satu hari yang sama, maka gugurlah Jumaat bagi sesiapa yang menunaikan Solat Eid. Daripada Zayd ibn Arqam katanya: "Nabi sallallahu 'alayhi wasallam telah menunaikan Solat Eid dan kemudian baginda meringankan hukum Solat Jumaat lalu bersabda: "Sesiapa yang ingin solat (Jumaat), maka solatlah dia."
[Diriwayatkan oleh Lima Imam, dan sahih menurut Ibn Khuzaimah dan al-Hakim]

Nota: Lima Imam ialah Muslim, Abu Dawud, al-Tirmidhi, al-Nasa'i dan Ibn Majah.

Praktik
Sesiapa yang tetap ingin menunaikan Jumaat, silakan. Sesiapa yang tidak mahu, tidak mengapa. Jangan pula yang solat mengkritik yang tak solat sebab kedua-duanya dibenarkan.