Tindakan Suruhanjaya Telekomunikasi dan Multimedia menyekat akses ke laman web Malaysia Today boleh memberi kesan yang tidak baik terhadap pembangunan negara. Sungguhpun isi kandungan laman web tersebut penuh kontroversi, namun tindakan menyekat akses mungkin bukan pilihan terbaik. Ini mencerminkan polisi kerajaan terhadap kebebasan bersuara di internet, dan pastinya imej ini kurang baik pada mata masyarakat dunia.
Benar, kebebasan bersuara tidak seharusnya diberi tanpa batasan. Islam sendiri meletakkan lunas-lunas panduan saluran terbaik bagi rakyat untuk bersuara. Kenyataan-kenyataan daripada pemimpin-pemimpin kerajaan bahawa kebebasan bersuara perlu dibatasi dengan perasaan tanggungjawab juga ada benarnya. Cuma, sepatutnya jika benar tindakan blogger penuh kontroversi, Raja Petra Kamaruddin, telah melanggar undang-undang, maka eloklah dia didakwa dahulu di mahkamah. Biar mahkamah menentukan sama ada dia telah melakukan kesalahan atau tidak. Sekiranya sekatan dibuat tanpa ada pendakwaan, ini pasti memberi kesan buruk terutama kepada pelabur-pelabur asing yang sebelum ini melihat Multimedia Super Corridor sebagai peluang besar untuk melabur sekaligus menaikkan nama Malaysia di kalangan negara-negara berteknologi maju.
Tidak banyak beza antara sekatan terhadap Malaysia Today dan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Jika benar bersalah, eloklah didakwa di mahkamah, jangan disekat atau dipenjara. Saya sendiri bukanlah sokong sangat Malaysia Today, banyak juga benda yang mengarut di situ. Tapi biarlah segala tindakan kita mengikut undang-undang. Jika benar dia didapati bersalah oleh mahkamah, maka saya sendiri menyokong tindakan menyekat laman web tersebut. Selagi siasatan masih berjalan dan dia belum didapati bersalah, tidak patut rasanya ia disekat.
No comments:
Post a Comment