Pilihanraya Kecil Parlimen Permatang Pauh sudah selesai. Tentunya politik Malaysia tidak akan seperti dahulu lagi. Cuma, isu sumpah mubahalah yang berkaitan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim pasti akan berterusan. Hairan juga apabila melihat banyaknya pro dan kontra dalam isu sumpah mubahalah, dan perbezaan ini bukan sekadar disuarakan oleh orang kebanyakan, malah percanggahan turut berlaku di kalangan 'ulama.
Teringat kembali bahawa cadangan asal sumpah mubahalah ini dilontarkan oleh Mufti Kerajaan Negeri Perlis. Itupun setelah tertuduh seringkali mendakwa bahawa sistem kehakiman dan mahkamah di Malaysia tidak adil dan dimanipulasi oleh kerajaan. Maka, oleh kerana tertuduh sendiri tidak mempercayai kredibiliti mahkamah, pastinya apa jua keputusan yang tercapai kelak tidak boleh dipercayai. Maka sumpah mubahalah dilihat sebagai cadangan yang mampu menyelesaikan isu ini. Mahkamah tidak boleh dipercayai, maka elok penuduh dan tertuduh sama-sama bersumpah mubahalah. Sumpah mubahalah bukan seperti sumpah-sumpah biasa lain. Ini disebabkan pihak-pihak yang terlibat akan mengajak penyokong-penyokong mereka sama-sama bersumpah dan bersungguh-sungguh meminta Allah melaknat mereka andainya mereka berbohong. Tiada manusia normal yang berani meminta Allah melaknati mereka dengan bersungguh-sungguh, oleh itu sumpah mubahalah dilihat sebagai suatu jalan keluar disebabkan tertuduh sendiri mempertikaikan kredibiliti mahkamah.
Sudahnya, rentak kini bertukar. Sumpah mubahalah dianggap tidak selari dengan tuntutan agama disebabkan penuduh sepatutnya membawa saksi dan bukti untuk membuktikan tuduhan tersebut. Hairan juga, pada awalnya tertuduh sendiri mempertikaikan kredibiliti mahkamah. Sekarang tertuduh meminta penuduh membawa saksi dan bukti. Seolah-olah kembali mempercayai mahkamah. Sepatutnya, jika saksi dan bukti yang dipinta, sejak awal-awal lagi tertuduh tidak patut mempertikaikan mahkamah. Maka cadangan sumpah mubahalah ini tidak akan keluar.
Ada pula yang berpendapat sumpah mubahalah ini mudah dimanipulasi. Iyalah, zaman sekarang sesiapa pun berani bersumpah minta laknat dan berbohong. Cuma mungkin mereka lupa sesuatu, bahawa laknat yang dipinta itu pastinya akan ditunaikan Allah jua suatu masa nanti. Masyarakat perlu sesuatu untuk dijadikan sandaran. Jika mahkamah boleh dimanipulasi, sumpah mubahalah mungkin alternatif yang baik. Jika sumpah mubahalah juga boleh dimanipulasi, maka tiada apa lagi yang boleh dipercayai dan kita tunggu saja pembalasan dari Allah. Jika tidak di dunia, di Akhirat tetap menanti.
Yang menjadi kemusykilan, ada juga manusia yang setelah lapan kali dipaksa liwat baru membuat laporan. Ingatkan sekali kena paksa terus lapor. Apapun, nantikan sahaja perbicaraan mahkamah.
1 comment:
Fitnah semakin menjadi-jadi,tak kiralah sama ada yang menuduh memfitnah tertuduh atau pun yang tertuduh memfitnah bahawa yang menuduh berkonspirasi. Yang pasti, salah seorang memfitnah. Maki hamun dikalangan penyokong juga semakin banyak. Yang ditakuti, bukan setakat yang terlibat secara langsung ditimpa musibah yang diturunkan Allah,tetapi seluruh masyarakat. Moga-moga dijauhkan.
Post a Comment