Friday, October 03, 2008

Isu Azan dan Lain-lain

Baru-baru ini isu azan menjadi hangat seketika sehinggakan seorang wakil rakyat ditahan menurut Akta Keselamatan Dalam Negeri (I.S.A.). Isu azan adalah satu isu yang sangat sensitif bagi umat Islam, kerana azan adalah antara syi'ar Islam yang utama. Azan yang dilaungkan adalah bukti kebebasan umat Islam beribadah, sehinggakan ada di antara 'ulama Islam yang meletakkan laungan azan yang bebas berkumandang sebagai salah satu syarat negara Islam. Biarpun tidak ramai umat Islam yang mengerjakan solat di masjid, isu azan tetap sensitif sehinggakan kesemua lapisan masyarakat Islam termasuk yang perangai huhahuha akan tampil mempertahankan isu azan.

Bagi penulis, azan perlu berkumandang, dan masyarakat bukan Islam perlu bertolak ansur dalam perkara ini. Kedudukan azan itu terlalu utama dalam Islam. Cuma, mungkin ada beberapa perkara lain yang perlu turut diberi perhatian oleh umat Islam agar tidak menyinggung perasaan kaum lain. Di Malaysia misalnya, ada beberapa perkara lain yang sengaja dihebahkan melalui pembesar suara masjid, padahal ia tidak perlu bahkan tidak berasal dari ajaran sunnah Rasulullah sallallahu 'alayhi wasallam itu sendiri.

Antaranya, memasang kaset bacaan al-Quran sebelum azan, terutama azan subuh. Ada setengah masjid tidak memasang bacaan al-Quran, tetapi dipasang bacaan al-Tarhim dan selawat dengan kuat, ada yang sampai 30 minit sebelum masuk waktu. Yang ada dalam sunnah ialah azan dua kali pada waktu subuh, itupun jarang ada masjid di Malaysia yang azan dua kali pada waktu subuh. Lihat perkara yang ada di dalam sunnah tidak mahu dibuat, yang bukan berasal dari sunnah ingin sangat dibuat. Ada masjid yang memasang bacaan Surah Yasin dengan kuat apabila ada kematian. Ini juga tiada dalam sunnah.

Ceramah-ceramah dan kuliah-kuliah yang diadakan di masjid turut dihebahkan dengan pembesar suara sehingga ke luar masjid. Suatu yang tidak perlu kerana yang mendengar dan memberi perhatian adalah mereka yang berada di dalam masjid. Seelok-eloknya untuk kuliah dan ceramah, cukup sekadar jemaah yang berada di dalam masjid mendengarnya tanpa perlu dipasang pembesar suara ke luar masjid.

Iqamah tidak perlu dilaungkan ke luar seperti azan kerana iqamah bertujuan untuk memulakan solat, bukannya menyeru kepada solat seperti azan. Begitu juga dengan bacaan imam ketika solat, cukup sekadar didengari oleh jemaah yang menunaikan solat di masjid. Bacaan wirid dan zikir selepas solat yang sering dibaca dengan kuat juga tidak perlu dihebahkan dengan pembesar suara ke luar masjid, apatah lagi secara berjemaah. Perbuatan ini juga sebenarnya mengganggu mereka yang masih menunaikan solat.

Marilah kita kembali kepada ajaran sunnah Rasulullah sallallahu 'alayhi wasallam. Tinggalkan segala tokok tambah yang tidak perlu. Cukuplah azan dihebahkan ke luar, dan mungkin juga beberapa perkara lain seperti khutbah Jumaat jika jemaah melimpah ke luar dan takbir raya sebagai tanda kemenangan, lagi pula setahun hanya dua kali.

Terus membaca: Of the azan, kuliah and Arabic signs oleh Prof. M Tajuddin M Rasdi yang disiarkan di laman web Malaysiakini.

1 comment:

Anonymous said...

Yup,saya ada terbaca pasal isu laungan azan nih dan saya rasa mereka yang membantah boleh membantah asalkan bantahan mereka tidak melibatkan azan tetapi ceramah-ceramah yang berkumandang dan sbgnya. Kita bercakap pasal tolak ansur tetapi bagaimana kalau kita sendiri tidak bertolak ansur. Sekalipun ingin berdakwah,tidak semestinya ceramah-ceramah dipaksa atau di"sumbat" kedalam telinga-telinga orang yang tidak mahu mendengarnya kerana dengan demikian,bertambahlah kebencian orang2 tersebut terhadap Islam dan hilanglah sifat-sifat kelembutan dan keindahan Islam. Moga Allah memberikan hidayah agar isu-isu sebegini tidak dipolitikkan dan tidak diperkaumkan.