Melihat pelbagai reaksi terhadap ESQ 165 kebelakangan ini, maka penulis ingin memberi sedikit komen. Pada pengamatan penulis, kursus ESQ 165 - seperti program-program motivasi lain, pastinya memiliki kekurangan-kekurangan. Ini adalah sesuatu yang sukar dielakkan dalam kehidupan. Jarang ada sesuatu perkara yang benar-benar sempurna dan elok.
Maka sebagai manusia, kita mempunyai banyak pilihan bagaimana untuk berinteraksi dengan keadaan seperti ini. Bagi penulis, apabila berhadapan dengan sesuatu yang tidak diketahui, eloklah kita selidik dahulu. Pastikan maklumat diperoleh daripada sumber yang terpercaya agar dapat membuat keputusan yang terbaik. Ini adalah perintah dari al-Quran yang menyuruh orang-orang beriman menyelidik sesuatu daripada sumber yang boleh dipercayai. Disiplin ilmu hadith turut mementingkan rangkaian perawi sesuatu perkara. Jika ada peluang untuk mendapatkan maklumat secara langsung daripada sumber asal, maka jangan dilepaskan peluang tersebut kerana maklumat secara langsung adalah lebih tepat. Apatah lagi peluang untuk sama-sama merasai atau melalui peristiwa tersebut. Bukankah apabila berlaku sesuatu bencana, mereka yang ditimpa bencana lebih tahu apa yang telah terjadi berbanding orang lain? Para Sahabah radiyallahu 'anhum yang sama-sama hidup dengan Rasulullah sallallahu 'alayhi wasallam - bukankah mereka yang lebih arif mengenai kehidupan baginda? Maka orang-orang yang hadir ke kursus ESQ 165 lebih tahu akan apa yang ada di sana berbanding orang lain yang tidak hadir, dan jika kita sendiri hadir, maka pastinya kita sendiri mengetahui apa yang ada di sana.
Oleh itu, sekiranya kita sendiri tidak tahu dan tidak pasti apa itu ESQ 165, dan tidak pula ada sumber-sumber yang dipercayai, lebih baik kita jangan berbicara mengenainya. Bukankah al-Quran memperingatkan bahawa setiap perkataan yang keluar dari lisan itu akan dipertanggungjawabkan?
No comments:
Post a Comment