Saturday, August 18, 2007

Kenangan Yang Terindah IV

Teringat kembali pada zaman menjadi penuntut ilmu di pusat matrikulasi, masa-masa lapang diluangkan untuk menghadiri kuliah-kuliah yang lebih dikenali dengan istilah liqa’ tafaqquh fi al-din. Memandangkan di pusat matrikulasi pada ketika itu kesedaran ilmiah masih kurang, maka kuliah-kuliah ini dipelopori oleh jemaah-jemaah yang wujud di kampus, dari jemaah yang terang-terangan aktif dalam politik kampus sehinggalah kepada jemaah yang menyeru orang ramai untuk solat berjamaah, baca kitab Fadha’il al-A’mal, keluar berdakwah dan lain-lain aktiviti yang baik. Kuliah kebiasaannya disampaikan oleh penceramah jemputan yang terdiri dari kalangan pensyarah kampus induk, pensyarah pusat matirkulasi, seniors dan kadang-kadang terdapat juga penceramah luar yang dijemput. Ada antara kuliah ini yang diadakan secara terang-terangan di surau kolej kediaman, ada juga yang diadakan secara tidak terang-terangan dan tertumpu ke kawasan kelas-kelas yang sunyi di kawasan kampus yang agak terpencil. Penganjur terpaksa bersusah-payah mengadakan kuliah di kawasan terpencil kerana aktiviti sebegini kebiasaannya tidak digemari pihak tertentu. Kadangkala, apabila penceramah asal gagal hadir, maka ada pula beberapa seniors yang menjadi bidan terjun mengisi kekosongan. Pengisian? Secara umum, kebanyakan ceramah yang disampaikan tidak lebih seperti pidato umum, di mana penceramah melontarkan apa sahaja yang dirasakan betul pada pandangannya, apatah lagi mereka yang menjadi bidan terjun...

Pun begitu, tatkala melangkah ke kampus induk, rasanya mata penglihatan kita lebih luas dan cerah. Teringat pada tahun pertama di kampus induk, muncul beberapa individu yang meniup gelombang arus tajdid dengan kuliah-kuliah beliau yang sangat ilmiah. Setiap idea dan pandangan yang dilontarkan siap disandarkan pada hujjah al-Quran dan al-Sunnah. Selesai kuliah, para hadirin diberi peluang untuk bertanyakan sebarang persoalan yang terbuku, dan nyata berjaya dijawab dengan baik dan ilmiah.

Kuliah mereka yang pada awalnya bermula secara kecil-kecilan dengan bilangan yang hadir kurang dari 10 orang, akhirnya menjadi sesak. Jarang sekali ada kerusi kosong. Ada juga yang sanggup berdiri di pintu dewan kuliah mendengar dengan setia. Ramainya yang hadir ke kuliah tersebut sehinggakan kuliah-kuliah anjuran jamaah-jamaah tertentu semakin kurang mendapat sambutan. Bahkan penulis pernah hadiri satu perjumpaan khas yang diadakan oleh satu jemaah untuk membincangkan bagaimana menghadapi krisis kurangnya muslimat yang hadir ke program jemaah sebaliknya lebih sibuk dengan kuliah-kuliah ilmiah individu tersebut. Subhanallah! Sepatutnya mereka bersyukur kerana ramainya muslimat mereka yang semakin suka mempelajari ilmu aqidah, fiqh dan hadith; dan memikirkan bagaimana memanfaatkan kuliah-kuliah ini semaksima mungkin. Sepatutnya lagi mereka memikirkan bagaimana kuliah-kuliah ini membantu jemaah mereka daripada menganggap ia sebagai musuh yang menghalang cita-cita mereka tercapai.

Dengan melebarnya sayap tajdid, pimpinan jemaah merasakan mereka perlu melakukan perubahan. Jika dahulu mereka tidak pernah memeriksa latar belakang penceramah, sekarang mereka terpaksa menapis penceramah dan mencari penceramah yang benar-benar menjaga disiplin ilmu. Mereka perlu memastikan penceramah-penceramah jemputan mereka turut menyokong pidato mereka dengan ayat-ayat al-Quran dan petikan hadith. Penulis sendiri turut merasakan perubahan kualiti kuliah-kuliah yang dianjurkan jemaah-jemaah ini melainkan satu jemaah yang tetaplah berpuas hati dengan satu kitab sahaja. Graduan dari timur tengah menjadi favorites untuk menjadi penceramah kuliah dan liqa’ yang diadakan. Malang sekali apabila ada di antara graduan-graduan ini yang menyanyi lagu yang hampir sama dengan individu terbabit, lantas mereka ini tidak dijemput lagi. Pada masa itu, bagi jemaah, kepentingan jemaah masih lagi mengatasi sebarang kepentingan lain, termasuklah pendapat penyokong mereka sendiri yang disuarakan berdasarkan ilmu yang mereka pelajari yang dirasakan tidak selari dengan arus perdana. Walaubagaimanapun, masih ada penceramah yang semelodi dengan mereka tetapi masih mampu menyampaikan pendapat dengan hujjah yang baik.

Ini adalah kesan baik arus tajdid. Kualiti penyampai ceramah dijaga dan diperhatikan. Begitu juga dengan aliran tradisional seperti pondok yang semakin hari semakin kurang pengikutnya akibat tekanan arus tajdid, akhirnya mereka sendiri beralah dan mula melakukan tajdid mereka sendiri. Suatu masa dahulu, kita sering mendengar mereka menghina penuntut universiti. Belajar ilmu dunia hati sudah gelap, tak boleh belajar agama. Banyak bertanya tanda kurang iman. Menuntut ilmu mesti memakai kain pelikat, memaki seluar adalah tidak elok. Belajar pula mesti duduk di lantai bukan di meja. Kini mereka muncul dengan slogan tersebdiri seperti tajdid segar dan sebagainya sebagai menyahut seruan tajdid dan menggantikan kata-kata lapuk mereka. Bukankah ini suatu kesan yang baik? Sudah ada pelajar universiti yang menjadi pendokong aliran pondok, sedangkan sebelum ini pelajar pondok sendiri bermusuhan dengan pelajar universiti. Mereka sendiri semakin rajin menyelak lembaran kitab-kitab dan memulakan pengembaraan mencari kebenaran ilmiah sendiri. Biarpun ada yang tidak sebulu, sekurang-kurangnya matlamat tajdid untuk melahirkan budaya ilmiah tercapai. Ini adalah antara kesan baik munculnya arus tajdid di institusi pengajian tinggi di tanahair.

No comments: