Saturday, September 22, 2007

Kenangan Terawih di Jami Umar


View Larger Map
Malam ini Mishal mencadangkan agar kami ke Jami Umar di Nepean yang terletak di pertengahan perjalanan antara Ottawa dan Kanata. Walaupun jauh, dengan menggunakan Queensway Highway katanya kami akan tiba dengan cepat. Seperti biasa, Mishal meyakinkan kami bahawa dia tahu lokasi masjid tersebut dengan baik kerana dia pernah solat di sana.

Akhirnya kami setuju ke sana. Ini adalah kali kedua aku memandu di Queensway Highway. 120km sejam. Dari ramp Catherine Street ke Bayshore Mall mengambil masa lima minit sahaja (wow!). Malang sekali kami tidak menjumpai Jami Umar yang sepatutnya terletak di Moodie Drive, bahkan kami terlepas sehingga ke West Hunt Club yang sebenarnya sudah dekat dengan Prince of Wales Drive. Mahu tidak mahu terpaksa berpatah balik sementara menunggu Mishal menelefon kawannya bertanyakan lokasi Jami Umar. Nasib baik Ramadhan, jika tidak sudah tentu teruk Mishal dimarahi kerana dia meyakinkan kami bahawa dia mengetahui lokasi masjid tersebut. Baca peta pun tak betul!

Akhirnya, aku sendiri terpaksa hentikan kereta dan melihat peta. Rupa-rupanya Moodie Drive dan Richmond Road bersilang sehinggakan kami tidak menyedari yang kami telah tersilap dan tertukar jalan. Jika dilihat peta dengan betul-betul, seandainya kita memandu dari Queensway ke Moodie Drive terus ke arah selatan tanpa menukar haluan, selepas simpang Richmond Road tiba-tiba sahaja jalan telah bertukar menjadi Richmond Road. Moodie Drive yang tadinya merupakan jalan utama kini menjadi jalan kecil di sebelah kiri. Alhamdulillah, akhirnya dapat juga kami temui Jami Umar walaupun agak terlewat.
Inilah kali pertama kami hadir ke masjid yang menunaikan terawih 20 rakaat. Malang sekali imam yang mengetuai solat tidak mampu membaca al-Quran dengan baik. Tajwid dan makhraj hancur, dan terlalu banyak kesilapan baris. Bacaan pula tidak konsisten, kadangkala beliau membaca setengah muka surat untuk satu rakaat, dan rakaat kedua pula dibacanya lebih dua muka surat. Dengan keadaan masjid yang panas (disebabkan imam batuk maka mereka memperlahankan kesemua kipas dalam masjid) akhirnya kami mengambil keputusan untuk pulang sahaja setelah cukup lapan rakaat. Separuh jamaah telahpun pulang seusai rakaat kelapan. Majoriti jamaah di sini berasal dari Asia Selatan. Ini dapat kami lihat jelas dari fizikal dan pakaian mereka, ditambah dengan bacaan imam yang berbaur Urdu dan cara solat yang mengikut Mazhab Hanafi. Segalanya mengingatkan Mishal pada suasana terawih di negaranya, Bangladesh.

Kemungkinan besar kami tidak akan ke sini lagi untuk solat terawih.

No comments: