Malam ini merupakan kali kelima kami ke Masjid Assalam, St. Laurent Avenue. Hampir 2 tahun dahulu bangunan ini merupakan sebuah disko. Masyarakat Islam di Selatan Ottawa telah mengumpul dana dan membeli bangunan ini dan kemudiannya diubahsuai menjadi sebuah masjid.
Pertama kali menjejakkan kaki di sini mengimbau suasana di Almasjidil Haram di Makkah. Dengan bumbung yang tinggi dan gelap dan cahaya lampu spotlight yang terang benderang benar-benar menyamai suasana solat di ruang terbuka di hadapan Kaabah.
Pada tiga kunjungan kami yang pertama, solat terawih diimami oleh seorang pemuda dari Somalia, manakala dua kunjungan terakhir kami telah ada imam jemputan khas dari Mesir. Sememangnya bacaan mereka indah dan mempesonakan. Mereka menghabiskan satu muka untuk satu rakaat. Pada tiga kunjungan pertama, wakil jawatankuasa masjid memberikan tazkirah selepas empat rakaat pertama. Tazkirah beliau amat ringkas namun menyentuh isu-isu asas yang penting, seperti hukum-hakam berpuasa, kepentingan melakukan amal baik sebanyak mungkin, kepentingan menggunakan nikmat kurniaan Allah sebaik mungkin dan tanggungjawab kita yang akan disoal di Akhirat kelak. Dengan kehadiran imam jemputan dari Mesir, tiada lagi tazkirah tetapi digantikan dengan tilawah al-Quran selepas habis terawih.
Selepas tamat terawih juga kedai-kedai yang diusahakan kaum Muslim yang ada di sekitar masjid mula dibuka. Macam-macam barang yang dijual, dari buku-buku agama, busana Muslimah sehinggalah kepada kedai menjual makanan ringan yang menjadi tumpuan remaja dan kanak-kanak.
Tempat meletak kereta juga selesa, ditambah pula pengurusan masjid menyediakan juadah iftar.
Sememangnya seronok berterawih di Masjid Assalam. Insya-Allah kami akan selalu ke sini lagi.
Related link: Masjid Assalam, Ottawa.
No comments:
Post a Comment