Kali ini bercerita sedikit. Cerita biasa saja, tidak ada yang menarik sangat pun.
Hari Khamis. Hari terakhir kelas untukku pada semester ini. 8:30-11:30 pagi - International Monetary Theory and Policy; kemudian 6:00 - 9:00 malam - Applied Time Series Analysis. Malam sebelumnya hanya sempat tidur sejam kerana menyiapkan assignment untuk kelas Time Series. Jawapan semua sudah siap petang semalam, tetapi perlu ditulis semula dengan lebih kemas. Oleh kerana keletihan, aku memandu kereta ke universiti.
Seperti selalu, kelas International Monetary habis awal. Kali ini pukul 10:00 sudah tamat. Mungkin apabila seseorang guru itu semakin hebat, maka kelas yang sepatutnya tiga jam berjaya dihabiskan dalam masa sejam setengah sahaja. Itulah kehebatan Prof. Ehsan Choudhri yang merupakan satu-satunya Chancellor's Professor di Department of Economics. Cuma, biasalah bila dah senior dan kelas pula di awal pagi, ramailah yang menggayakan watak beruang kutub memancing ikan (mengantuklah tu!).
Pagi ini Richard tidak hadir. Richard merupakan rakan sekelas sejak semester lepas. Dia berasal dari Mumbai, sama seperti Akhil. Aku mengenali Akhil terlebih dahulu kerana kami sama-sama mengikuti program Qualifying Master. Akhil seorang Hindu, Richard seorang Kristian. Richard biasa dengan Islam disebabkan ada ahli keluarganya yang beragama Islam. Dia sering bertanya padaku tentang Adam dan Hawa, Hari Qiyamah, kedatangan Nabi 'Isa 'alayhissalam, Yakjuj dan Makjuj, taqdir, dan macam-macam lagi.
Pagi itu Akhil pun tidak tahu kenapa Richard tidak hadir. Kata Zhenjiang, Richard memberitahu semalam bahawa dia akan hadir kelas pagi ini untuk memulangkan nota Zhenjiang yang dipinjamnya. Kesian Zhenjiang hari ini belajar tanpa notanya.
Lebih kurang 1:30 petang baru Richard datang ke bilik pelajar pasca-siswazah. Kami lantas bertanya kenapa dia tidak hadir pagi tadi. Katanya, pagi ini dia terlewat bangun kerana tersilap kunci jam. Tertukar a.m. dengan p.m. Kemudian, tatkala menyiapkan sarapan, baru dia perasan bahawa kesemua makanannya yang ada di dalam peti sejuk akan expire pada hari tersebut. Lantas dia mengambil keputusan untuk menghabiskan kesemua makanan yang ada. Yogurt, telur, roti, susu - semua sekali.
Richard memang kuat makan. Kali pertama kami sama-sama ke Moni Mahal, restoran buffet makanan India, dia makan lima pinggan lauk-pauk buffet tanpa henti. Dia sering mengatakan aku jenis manusia yang menguntungkan tauke buffet sebab aku tak makan banyak. Kali terakhir kami pergi ke sana pada hari Selasa lepas. Empat pinggan. Dia kelihatan agak sedih kerana tidak mampu memecah rekod terdahulu.
Petang sebelum aku ke kelas Time Series, aku bertanyakan rakan-rakan jika ada di antara mereka yang hendak turun bersama ke kafeteria di Loeb. Aku hanya ingin makan pizza kerana tadi tengahari tidak makan. Tidak mungkin aku mampu bertahan dalam kelas selama tiga jam lagi dengan perut kosong. Sudah tentu Richard mahu ikut. Seleranya tidak pernah padam. Dua keping pizza dengan sandwich tuna dan tiga ketul ayam goreng.
Hari ini Zhenjiang menerima e-mail dari University of British Columbia (UBC). Dia mendapat tawaran program PhD in economics dari UBC. Gembira sakan! Lantas dia mengajak kami untuk makan malam. Apa boleh buat, aku ada kelas sehingga 9:00 malam. Tetapi oleh kerana aku ada kereta, kesemua mereka sanggup menunggu sehingga kelasku tamat. Zhenjiang, Taposh, Mishal dan tidak ketinggalan, Richard.
Kelas Time Series juga habis awal. Dr. Chu Ba Manh mengajak kami semua minum di bar malam itu. Aku menolak pada awalnya tetapi oleh kerana hanya ada empat pelajar sahaja, aku terpaksa ikut. Pada awalnya mereka ingin ke Oliver's Pub. Oliver's Pub adalah bar yang diuruskan pelajar undergrad. Besar dan sudah tentu ramai. Alhamdulillah oleh kerana terlalu ramai akhirnya mereka membawaku ke Mark's Place, bar untuk pelajar post-grad. Kurang orang. Dekat pula dengan surau. Alhamdulillah malam itu aku tidak keseorangan. Derek juga tidak minum arak. Kami berdua minum coke. Derek seorang pelajar PhD in economics di Carleton dan memiliki alasan tersendiri untuk tidak minum arak. Setelah bersembang hingga hampir pukul 9:00 malam, aku terpaksa meminta diri. Alhamdulillah mereka memahami. Kata Dr. Chu, "Muhammad has to leave early because he has family. All others are bachelor and should stay!"
Selesai solat Isyak, Zhenjiang dan lain-lain sudah menunggu di luar surau. Kami bergerak ke Sakura Sushi, restoran buffet makanan Jepun. Malam itu Zhenjiang dan Richard bagai gajah naik minyak. Makanan yang dipesan terlalu banyak. Richard seorang saja order tiga ayam bakar, satu daging bakar, semangkuk nasi ayam dengan dua pinggan udon goreng ayam. Zhenjiang dengan lima temaki salmon, dua mangkuk tofu goreng, semangkuk tofu basah, jejari ikan, jejari udang, banyak lagi. Mishal dengan Taposh pula dengan koleksi ikan - salmon teriyaki, snapper teriyaki, dua pinggan seafood udon. Mishal sendiri order kepala salmon bakar dengan ikan sanma bakar. Aku sekadar fokus kepada salmon maki dan vegetable tempura kegemaranku.
Malam itu memang perang besar. Mishal tidak habis-habis marah Richard kerana order terlampau banyak. Memang tak habis. Sampai restoran dah nak ditutup pun tak habis. Dah tak habis, Richard sempat lagi order dua mangkuk aiskrim. Akhirnya dia sendiri tersandar kekenyangan kerana tidak mampu menghabiskan makanannya. Mishal makin hangat bersuara, cuma senyap sedikit apabila dia sendiri tidak mampu menghabiskan ikan sanma bakar yang dipesannya. Tatkala membayar bil, kami semua didenda bayar extra $2 setiap seorang kerana makanan yang tidak habis.
Dua malam lepas di Moni Mahal, setelah Richard menghabiskan empat pinggan, apabila diseloroh agar makan lagi, katanya, "If I take some more I'll be nearer to God." Malam ini pula, "It seems that I'm too near to God. Anymore food will take me directly to Him."
Keesokannya Richard langsung tidak hadir ke universiti. Risau juga kami. Petang aku berutus msn dengannya. Alhamdulillah dia ok, cuma katanya dia sudah serik dengan makanan yang banyak. Hari ini perutnya meragam teruk. Langsung tidak boleh menjamah makanan. Kasihan Richard! Mungkin semalam adalah hari di mana dia makan paling banyak dalam hidupnya.
Jauh di sudut hatiku, rasa kasihan dengan hidup pelajar. Duit tak banyak, jadi mungkin sebab itu para pelajar sepertiku gemar ke restoran buffet. Dengan bayaran yang tetap, boleh makan sesuka hati. Sudah tentu bila sudah bayar rasa hendak memaksimakan makanan yang boleh dimakan. Terasa rugi kalau makan sedikit. Inilah keburukan sistem buffet. Lain kali, hanya pergi ke restoran buffet kalau mampu mengawal nafsu. Jangan bandingkan nilai duit dengan makanan yang nak masuk ke perut, sebaliknya fikirkan nilai duit dengan nikmat kesihatan dan kesyukuran kepada Allah. Tak mengapa la sudah bayar harga tetap untuk buffet, makan setakat yang boleh makan sudahlah, jangan dipaksa makan sebanyak mungkin. Bila dah terlebih had, tengok apa yang terjadi. Richard, perut meragam sepanjang hari. Tak selesa pula tu.
Tiba giliran Sakura Sushi memberi peringatan kepada kami agar jangan mengikut hawa nafsu!

No comments:
Post a Comment