Friday, May 16, 2008

Kata Seorang Pakcik Tua

Kampungku menjadi lokasi pasar malam setiap hari Jumaat malam Sabtu. Seperti biasa, sebelum membeli-belah, aku singgah sebentar untuk Solat Maghrib di surau berdekatan. Boleh juga bertemu dengan orang-orang kampung di sini.

Kata seorang pakcik tua yang mengetahui bahawa ibu negara Kanada ialah Ottawa, menangnya Pakatan Rakyat baru-baru ini bukanlah disebabkan masyarakat suka pada perjuangan mereka. Sebaliknya masyarakat amat marah pada Barisan Nasional, khususnya UMNO. Mana mungkin UMNO boleh kalah di kubu kuat sendiri melainkan masyarakat memang marah. Sombong sangat. Ingat masyarakat boleh diperbodoh sewenang-wenang. Zaman sekarang zaman teknologi dan masyarakat sudah berpendidikan tinggi.

Harga petrol naik. Harga barang keperluan naik. Tol naik. Kata pakcik tua, takkanlah harga petrol kita nak dibanding dengan Myanmar... Kita pengeluar minyak. Bodoh sangatkah kita sampai dibanding-banding dengan keadaan di negara yang ntah apa-apa.

Kata pakcik tua lagi, dalam kita marah-marah, kita tak boleh nafikan sumbangan UMNO dan Barisan Nasional. Banyak juga kemudahan yang mereka buat untuk kesenangan masyarakat. Cuma bila dah melampau sangat kesombongan mereka, mereka perlu diajar.

Lihat saja surau kita ni. Projek untuk bina surau baru dah bertahun lamanya diluluskan dan duit peruntukan semua dah ada tapi tak tahu di mana yang tersekat. Bila Pakatan Rakyat menang, baru UMNO cepat-cepat umum lepas Eidul Fitri tahun ni surau baru siap. Projek Kerajaan Persekutuan, untuk orang kampung kita.

Lagi pula, siapa kata kuasa Melayu semakin terhakis. Sekarang bilangan wakil rakyat Melayu di Parlimen, bila dicampur semua wakil UMNO, PKR dan PAS bilangannya adalah lebih ramai dari penggal lepas. Takkanlah bila perlembagaan mengenai Islam, kedudukan Raja-Raja Melayu dan keistimewaan orang Melayu terancam mereka akan berdiam diri sahaja.

Sekarang kita bagi peluang kepada Pakatan Rakyat. Jika mereka tidak bagus, selepas empat tahun kita buat kepada mereka apa yang kita pernah buat kepada Barisan Nasional.

Alahai, kalau pakcik tua pun dah boleh celik politik, kalau yang muda masih buta terkapai-kapai tak tahulah...

No comments: