
Ceramah bermula selesai Solat Maghrib. Pengerusi majlis membuka majlis dengan pidato berapi-api seolah-olah berucap di hadapan tentera yang hendak berperang. Diikuti pula dengan ucapan Pengerusi Jawatankuasa Tadbir Masjid yang mengalu-alukan kedatangan Prof. Dato' Dr. Harun Din.
Beliau memulakan ceramah dengan menyentuh isu hidayah. Betapa ramainya manusia di atas muka bumi ini, sedikit sangat yang menerima hidayah daripada Allah, ramai yang menolak. Dalam jumlah mereka yang menerima hidayah, ada pula yang kurang yakin dengan hidayah tersebut, sehingga mereka ragu-ragu dengan hukum-hakam yang ditetapkan Allah.

Katanya lagi, di kalangan mereka yang kurang yakin dengan hidayah ini, ada yang sampai ragu-ragu akan kesempurnaan Islam sehingga Islam yang ada sekarang belum sempurna atau kurang sesuai. Al-Quran perlu ditafsir semula, dan Islam perlu ditokok tambah. Ini semua adalah tanda was-was akan kesempurnaan Islam.
Sejam kemudian, beliau mula berbicara mengenai kepentingan membaca al-Fatihah dengan betul. Beliau menceritakan mengenai institutsi Darussyifa' yang dipimpinnya sejak tujuh tahun yang lalu. Mereka menerima kira-kira 200-400 pelajar setiap tahun. Kemasukan ke Darussyifa' ketat kerana ramai yang ingin sertai, jadi mereka perlu disaring dan ditemuduga. Daripada 200-300 yang diterima masuk saban tahun, tidak sampai 20% yang lulus bacaan al-Fatihah.

Tuan Guru, pendapat ini kurang baik untuk masyarakat. Nanti akan ada yang kata, tengok anak-anak murid Darussyifa' yang hebat pun baca al-Fatihah tak betul dan solat mereka tidak sah, baik kita yang dah tentu salah al-Fatihah ni tak payah solat sebab solat kita memang tidak sah. Tunggulah sampai kita boleh baca al-Fatihah dengan betul baru kita solat.
Sah atau tidak, itu hak Allah. Sebagai hamba, kita hanya perlu berusaha memperbaiki bacaan al-Fatihah sebaik mungkin, sekadar termampu. Allah itu Maha Pemaaf, andai kita telah berusaha bersungguh-sungguh untuk memperbaiki kualiti bacaan al-Fatihah namun tetap tak dapat, insya-Allah solat kita akan tetap diterima Allah.

Tepat 9.00 malam aku mengundurkan diri kerana tuntutan keluarga. Maryam dan Aiman sudah hendak tidur, maka seharusnya aku pulang ke rumah. Apa pun, alhamdulillah harapnya Masjid Al-Huda akan lebih meriah dengan ceramah-ceramah dan kuliah-kuliah sejak Pakatan Rakyat menguasai kerajaan negeri. Kredit bagi Prof. Dato' Dr. Harun Din untuk ceramah yang baik mengenai kesempurnaan Islam dan keperluan menerima Islam dengan yakin, yang kurang tu sekadar dari perspektif peribadiku sahaja...
No comments:
Post a Comment