Sebenarnya, saya menghormati Wali Songo atas jasa mereka menyebarkan Islam di Tanah Jawa. Mereka telah bersusah payah menghadapi pelbagai rintangan dalam memperjuangkan dakwah di jalan Allah. Semoga Allah membalas segala jasa baik mereka. Pun begitu, janganlah rasa kagum kita terhadap manusia menyebabkan kita menjadi ekstrem sehingga melewati batas Al-Quran dan Al-Sunnah.
Kehebatan Wali Songo seharusnya dilihat kepada kesungguhan dan kehebatan mereka berdakwah tatkala masyarakat Jawa masih menebal dengan pengaruh Hindu. Pada masa itu, Melaka telahpun Islam, sehingga ada kajian sejarah yang mengatakan ada di kalangan Wali Songo itu belajar agama Islam di Melaka sebelum pulang ke Tanah Jawa. Maka dakwaan ESQ bahawa Wali Songo berjasa menyebarkan Islam di Malaysia adalah salah. Perjuangan Wali Songo bermula di penghujung kekuasaan Majapahit sehingga tertegaknya kerajaan Islam Demak di Tanah Jawa.
Malang sekali kehebatan perjuangan dakwah Wali Songo ini seringkali ditenggelami dengan pelbagai kisah karut-marut yang dikaitkan dengan peribadi-peribadi mulia ini. Andai benar mereka memiliki beberapa kesaktian, itu adalah anugerah Allah buat mereka - dan mereka tidak perlu diagungkan disebabkan kesaktian tersebut, sebaliknya dimuliakan kerana perjuangan dakwah mereka dan usaha-usaha pembaharuan yang mereka lakukan dalam masyarakat. Lihat bagaimana Islam mengajar umatnya agar tidak mudah mengagungkan seorang hamba Allah yang diperjalankan di malam hari dari Makkah ke Baitul Maqdis terus ke langit, sebaliknya yang diagungkan adalah Tuhan yang memperjalankan hamba tersebut.
Sehingga sekarang, banyak kegiatan khurafat yang dilakukan di perkuburan Wali Songo. Kubur-kubur mereka dianggap sebagai tempat keramat, ada kelebihan dan tempat mengambil keberkatan. Saya percaya, andai Wali Songo itu bangun dari kubur, nescaya mereka akan melarang masyarakat daripada mengagung-agungkan kubur mereka - sebaliknya pergilah mengagungkan Allah.
Oleh kerana peribadi-peribadi mulia Wali Songo ini sangat mudah untuk disalahfahami dan diseleweng, saya lebih suka jika pihak ESQ dapat mengelakkan daripada menonjolkan mereka dalam kursus-kursus motivasi. Pihak ESQ menggunakan kisah Wali Songo untuk slot MCB "Perumpamaan," maka tidak sukar mencari ganti kisah lain yang lebih sesuai dan lebih layak untuk dijadikan teras slot ini.
Firman Allah:
[27] Dan demi sesungguhnya! Kami telah mengemukakan kepada umat manusia berbagai misal perbandingan dalam Al-Quran ini, supaya mereka mengambil peringatan dan pelajaran. [28] laitu Al-Quran yang berbahasa Arab, yang tidak mengandungi sebarang keterangan yang terpesong; supaya mereka bertaqwa. [29] Allah memberikan satu misal perbandingan: Seorang hamba lelaki yang dimiliki oleh beberapa orang yang berkongsi yang bertentangan tabiat dan kemahuannya; dan seorang hamba lelaki yang lain hanya dimilik oleh seorang sahaja; adakah kedua-dua hamba itu sama keadaannya (Tentulah tidak sama). Ucaplah: "Alhamdulillah" (sebagai bersyukur terhadap penjelasan soal tauhid itu) bahkan kebanyakan mereka (yang musyrik) tidak mengetahui (hakikat tauhid).
[Surah Al-Zumar, 39:27-29]
Bukankah Allah sendiri mengatakan bahawa Dia telah mengemukakan pelbagai perumpamaan dan perbandingan dalam Al-Quran, agar manusia mengambil peringatan dan pelajaran? Maka ambillah perumpaan yang sebegitu banyak dalam Al-Quran - nescaya terhindar dari sebarang kontroversi, bahkan itu yang lebih patut - kerana bersumberkan wahyu. Lebih baik dari perumpamaan Wali Songo - insya-Allah!
No comments:
Post a Comment