Saturday, December 31, 2005

Laporan Program Kem Penghayatan Solat dan Kecemerlangan Akademik

Tarikh:
25-27 November 2005

Tempat:
Institut al-Qayyim, Mengkuang, Bukit Mertajam, Pulau Pinang

Anjuran:
Yayasan Penuntut al-Imam al-Syafi’e (YAPIS-UIAM) & Institut al-Qayyim (IQ-DPIQAJ)

Tema Program:
“Sunnah sebadai panduan kecemerlangan sahsiah dan akademik.”


Alhamdulillah, dengan izin Allah, kem tersebut telah dapat dijalankan sebagai salah satu usaha dakwah dan khidmat kepada masyarakat, terutama generasi muda di kawasan utara tanahair. Untuk siri ke-3, kali ini elemen kecemerlangan akademik turut dimasukkan dalam objecktif program memandangkan kepada keperluan untuk menghasilkan pelajar Islam yang cemerlang dalam sahsiah dan akademik. Seramai 58 peserta telah menyertai program kali ini, dari umur 8 tahun ke 15 tahun.


Antara cadangan dan komen yang diterima dari waris peserta ialah untuk memanjangkan tempoh program kerana tiga hari terlalu singkat dan ditambah modul-modul untuk pembinaan sahsiah seperti jungle-trekking, hiking dan lain-lain. Pihak penganjur mengucapkan jutaan penhargaan kepada pihak IQ yang telah memberi bantuan sepenuhnya sepanjang perjalanan program.


Selaku salah seorang jawatankuasa pelaksana program, saya ingin merakamkan sejuta penghargaan buat rakan-rakan dari UIAM dan UiTM yang sanggup berkorban masa dan tenaga dalam usaha mereka menjayakan program ini walaupun dalam jumlah yang amat sedikit, baik committee program mahupun fasilitator. Sesungguhnya perjuangan menuntut kepada pengorbanan dan kesungguhan. Hanya Allah yang dapat membalas keikhlasan kalian.

Sunday, December 25, 2005

Azan Jumaat dua kali bid'ah?

Al-Imam al-Zuhri berkata: "Al-Sa`ib ibn Yazid memberitahuku: "Sesungguhnya azan [yang disebut Allah dalam al-Quran] yang pertama ialah tatkala imam duduk di atas minbar [dan kemudian ketika iqamah untuk solat dilakukan] pada hari Jumaat [di pintu masjid] pada zaman Nabi s.a.w., Abu Bakr dan 'Umar. Pada zaman pemerintahan Uthman, manusia bertambah ramai [dan jarah antara rumah bertambah jauh] Uthman telah memerintahkan agar dilakukan azan ketiga (dalam satu riwayat disebut: azan permulaan, dalam riwayat lain disebut: azan kedua) [di atas rumah [kepunyaannya] di pasar yang diberi nama al-Zawra'] maka azan pun dilaungkan di al-Zawra' [sebelum Uthman keluar, untuk memberitahu manusia bahawa waktu Jumaat telah tiba], dan kemudian tetaplah urusan tersebut, [dan manusia tidak menyanggahi keputusan Uthman tersebut, sedangkan Uthman telah disanggah orang ramai ketika beliau menunaikan solat dengan tamam di Mina]."
*Riwayat al-Bukhariy, Abu Dawud (lafaz hadith ini mengikut Abu Dawud), al-Nasa`ie, al-Tirmidhi, Ibn Majah, al-Syafi'ie, Ibn al-Jarud, al-Baihaqi, Ahmad, Ishaq, Ibn Khuzaimah dan lain-lain.

Rumusan dari pendapat al-Syeikh al-Albani: Kita tidak mengikut perbuatan Uthman secara mutlaq tanpa memerhatikan hujjah-hujjah beliau, dan telah kita ketahui bahawa Uthman menambah azan kerana beberapa sebab yang rasional, iaitu bilangan penduduk Madinah yang bertambah ramai dan jarak antara kawasan perumahan yang semakin jauh dari Masjid Nabi, maka sesiapa yang mengikut pendapat Uthman secara taqlid buta tanpa memerhatikan sebab-sebab ini maka dia telah menyanggah Uthman, kerana jika sebab-sebab tersebut tidak berlaku, sudah tentu Uthman tidak akan menambah azan dan meneruskan sahaja azan yang dilakukan pada zaman Nabi, Abu Bakr dan 'Umar.
*Al-Ajwibah al-Nafi'ah, m/s 9.

Thursday, December 22, 2005

Nak belajar Sihir?

Al-Syeikh Muhammad ibn Salih al-'Uthaimin ditanya:
"Bolehkah seseorang mempelajari ilmu sihir?"

Jawab al-Syeikh Ibn 'Uthaimin:
"Mempelajari sihir adalah haram, bahkan seseorang menjadi kafir sekiranya dia menggunakannya sebagai jalan memohon bantuan syaitan, firman Allah: "Hanya syaitan-syaitan itulah yang kafir (mengerjakan sihir). Mereka mengajarkan sihir kepada manusia..." [al-Baqarah, 2: 102].

Maka mempelajari sihir dari jenis ini, di mana sihir menjadi perantara untuk mendapatkan bantuan syaitan adalah kufur, oleh itu ahli sihir dibunuh disebabkan dia telah murtad atau dikenakan hudud. Sekiranya sihir tersebut dari jenis yang mengkafirkan seseorang, maka dia dibunuh di bawah peruntukan hukum murtad dan kafir. Sekiranya sihir tersebut tidak sampai ke tahap menyebabkan dia kafir, maka dia dibunuh di bawah peruntukan hudud, untuk melindungi kaum muslimin dari kejahatannya dan kecederaan disebabkan perbuatannya."

Sunday, December 18, 2005

Secrecy and keeping secrets

Menyembunyikan rahsia saudara dan tidak menyebarkannya sebahagian dari kemuliaan akhlaq dan adab Islam - Nuzhatul Muttaqin 1/489.

Dari Anas r.a. beliau berkata: "Suatu ketika aku sedang bermain dengan dua budak, Rasulullah s.a.w. datang kepadaku, baginda memberi salam ke atas kami dan menyuruhku menunaikan suatu suruhan, maka aku telah terlambat (menemui) ibuku. Ibuku bertanya: "Apa yang menahan engkau (menyebabkan engkau lambat)?" Aku menjawab: "Rasulullah s.a.w. telah menyuruhku melakukan suatu keperluan." Ibuku bertanya lagi: "Apakah keperluan tersebut?" Aku menjawab: "Ianya rahsia." Ibuku berkata: "Jika demikian jangan beritahu rahsia Rasulullah s.a.w. kepada sesiapapun." [Muslim]

Thursday, December 15, 2005

Misplacing the Temple of Solomon

Kajian oleh Dr. Ernest Martin membuktikan bahawa lokasi asal Rumah Ibadah Kaum Yahudi yang dibina oleh Nabi Sulaiman a.s. berada di luar kawasan Masjid al-Aqsa, Baitul Maqdis...



The book The Temples That Jerusalem Forgot is a result of the in-depth research of Dr. Ernest Martin that shows that the Temples of God in Jerusalem were indeed located over the Gihon Spring and not under the Dome of the Rock.

http://www.askelm.com/temple/t000601.htm

Tuesday, December 06, 2005

Sumber Yang Suci Murni

Muhammad ibn Sirin (w. 110 H), seorang tokoh generasi al-Tabi'in berkata:

"Sesungguhnya ilmu ini (mengenai al-Quran dan al-Sunnah) adalah din (agama); oleh itu perhatilah daripada siapa kamu semua mengambil agama kamu."

Riwayat Muslim dalam Muqaddimah Sahih Muslim.

Saturday, December 03, 2005

Solat Mayat Hilang?

Kata al-Imam Ibn Qayyim al-Jawziyyah: "Dan bukanlah dari petunjuk dan sunnah Nabi s.a.w. mengerjakan solat jenazah ke atas setiap mayat yang ghaib.

Sesungguhnya telah mati ramai dari kalangan orang Islam dan mayat mereka ghaib, sedangkan Nabi tidak pula mengerjakan solat jenazah untuk mereka, dan yang sahih dari baginda: Bahawa baginda telah mengerjakan solat jenazah untuk Najasyi sepertimana solat untuk mayat..."

Kata Syeikh al-Islam Ibn Taymiyyah: "Sekiranya seseorang mati di suatu negeri dan mayatnya belum disolatkan, hendaklah dikerjakan solat jenazah ghaib untuknya, sepertimana Nabi s.a.w. solat untuk Najasyi, kerana beliau mati di kalangan orang kafir dan mayat beliau belum disolatkan. Sekiranya mayat telah disolatkan selepas kematiannya, tidaklah dikerjakan solat jenazah ghaib untuknya, kerana kewajipan tersebut telah gugur setelah orang Islam mengerjakan solat jenazah untuknya, dan Nabi s.a.w. telah mengerjakan solat ghaib dan meninggalkan solat ghaib, perbuatan baginda yang mengerjakan dan meninggalkan adalah sunnah, apabila baginda mengerjakan sesuatu maka pada keadaan tersebut menjadi sunnah dilakukan, dan apabila baginda meninggalkan sesuatu maka pada keadaan tersebut menjadi sunnah ditinggalkan."

*Solat ghaib untuk Najasyi diriwayatkan dari ramai Sahabat (Abu Hurayrah, Jabir ibn Abdillah, 'Imran ibn Husayn, Jarir ibn Abdillah dll) oleh imam-imam hadith yang enam, Ahmad dan al-Tayalisi.

[Zaad al-Ma'aad fi Hady Khayr al-'Ibaad 1/500-501]