Wednesday, April 12, 2006

Bersyair di Masjid?

Berlaku khilaf di antara 'ulama mengenai hukum menasyidkan syair di masjid disebabkan dua hadith berikut:

1. Daripada 'Aisyah r.a., katanya: "Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. membina untuk Hasan ibn Thabit sebuah minbar di masjid buat dia menasyidkan sya'ir di atasnya."

Hadith riwayat Abu Dawud, al-Tirmizi, al-Hakim. Kata al-Tirmizi: Hadith hasan sahih gharib. Kata al-Hakim: Sanad sahih, tetapi tidak diriwayatkan oleh al-Bukhariy dan Muslim, dipersetujui oleh al-Zahabi. Sahih menurut Sayyid ibn 'Abbas al-Jalimi, pentahqiq al-Syama'il al-Muhammadiyah. Mempunyai penyokong dari Sahih al-Bukhariy, hadith riwayat 'Aisyah dalam Bab Sya'ir di Masjid, Kitab Solat.

2. Daripada 'Amru ibn Syu'aib dari ayahnya dari datuknya: "Rasulullah s.a.w. melarang perbuatan berjual-beli di masjid, bersya'ir di masjid, mengumumkan barang hilang di masjid, dan mengadakan halaqah di masjid pada hari Jumaat sebelum solat."

Hadith riwayat Ahmad, Ibn Khuzaimah dan al-Tirmizi. Kata al-Tirmizi: Hadith hasan. Abu Daud dan Ibn Majah meriwayatkan dari Hakim ibn Hizam r.a. dengan sedikit perbezaan pada matan. Kata Ibn Hajar dalam Fath al-Bari: Sanadnya sahih sehingga 'Amr ibn Syu'aib, terdapat beberapa hadith lain yang mempunyai maksud yang sama tetapi bermasalah pada sanad.

Masalah ini turut disebut oleh Ibn Syahin dalam Nasikh al-Hadith wa Mansukhihi [Kitab Jami', Bab Menasyidkan Sya'ir di Masjid], al-Hafiz Ibn Hajar dalam Fath al-Bari telah cuba menyelesaikan perbezaan ini dengan berpendapat bahawa larangan yang terdapat dalam hadith 'Amru ibn Syu'aib ialah larangan perbuatan membaca sya'ir jahiliyyah dan sesat, dan selain dari itu diizinkan.

Dr. Karimah bint Ali, pentahqiq Nasikh al-Hadith wa Mansukhihi berpendapat bahawa hadith hadith larangan bersifat 'umum manakala hadith keizinan bersifat khusus.

WaLlahu a'lam.

No comments: