Oleh : Mohamad Abdul Kadir Bin Ishak
Di bawah ini adalah Takhrij atau semakan sumber dan darjat hadith-hadith yang digunakan oleh Prof. Dr. Uthman al-Muhammadi di awal tulisannya yang menyokong konsep Nur Muhammad bertajuk : KONSEP NUR MUHAMMAD DI DUNIA MELAYU DALAM KONTEKS WACANA SUNNI – SATU PENGAMATAN AWAL.
Di dalam tulisan tersebut Prof. Dr. Uthman al-Muhammadi langsung tidak menyebutkan darjat hadith-hadith yang dibawanya, samaada ianya Hadith Sahih ataupun tidak. Memastikan darjat sesuatu hadith sebelum menyampaikannya kepada umum adalah salah satu daripada amanah ilmu. Terutamanya hadith adalah perkataan-perkataan Nabi saw yang padanya ada unsur-unsur wahyu, dan apabila diucapkan ia menjadi sebahagian daripada agama. Sesuatu hadith yang tidak mencapai darjat sahih ataupun hasan pada hakikatnya bukanlah ucapan Nabi saw. Samaada ia adalah ucapan yang direka oleh individu lain, lalu dinisbahkan kepada Nabi saw secara dusta, atau kepastian ucapan tersebut dari Nabi saw tidak dapat dibuktikan. Maka tindakan menyebut hadith tanpa memastikan terlebih dahulu samaada hadith tersebut benar dari Nabi saw ataupun tidak adalah satu tindakan mengambil mudah menggunakan nama Nabi saw. Lebih parah jika hadith itu adalah hadith palsu, lalu orang yang menyebutnya termasuk dalam kumpulan orang-orang yang meneruskan pembohongan atas nama Baginda saw. Menyedari perkara ini, Nabi saw di dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Imam Muslim bersabda :
Maksudnya : “Sesungguhnya pembohongan ke atasku , tidak sama seperti pembohongan atas seseorang yang lain. Maka sesiapa yang berbohong atas namaku dengan sengaja, maka siaplah tempat duduknya di dalam neraka.”
Hadith ini menunjukkan betapa besarnya kesalahan berbohong atas nama Nabi saw. Ancaman neraka itu menunjukkan kesalahan berbohong atas nama Nabi saw adalah salah satu daripada dosa-dosa besar. Al-Imam al-Nawawi (salah seorang tokoh ulama mazhab al-Syafi’e) ketika mensyarahkan hadith-hadith ancaman ke atas orang yang berbohong atas nama Nabi saw di dalam muqaddimah Syarah Sahih Muslim menyebut para ulama seperti Imam Ahmad bin Hanbal, Abu Bakar al-Humaidi dan ulama-ulama mazhab al-Syafie tidak menerima lagi riwayat dari orang yang pernah melakukan pembohongan atas nama Nabi saw. Ini menggambarkan betapa besarnya kesalahan berbohong atas nama Nabi saw kerana perkataan Nabi saw atau yang dinamakan sebagai hadith itu akan terus menjadi sumber syara’ hingga ke hari kiamat. Jika perbuatan berbohong atas nama Nabi saw dipandang ringan maka salah satu daripada sumber syara’ yang teragung (hadith) tidak terjamin lagi keasliannya.
Al-Imam al-Nawawi menyambung dengan mengatakan : “Tidak ada perbezaan haramnya berbohong atas nama Nabi saw samaada ianya dalam soal hukum-hakam, atau bukan hukum-hakam seperti dalam urusan memberi galakan, ancaman ataupun peringatan dan selainnya. Semua ini adalah haram termasuk dalam perkara yang paling besar dari dosa-dosa besar yang lain, dan termasuk dalam seburuk-buruk perbuatan dari perbuatan buruk yang lain dengan kesepakatan semua (ulama) umat islam.”
Seterusnya al-Imam al-Nawawi menyambung :
“Diharamkan juga meriwayatkan hadith yang palsu bagi sesiapa yang mengetahui kepalsuan hadith tersebut, atau sangkaannya yang banyak mengakui kepalsuan hadith tersebut. Maka sesiapa yang meriwayatkan satu hadith dalam keadaan dia mengetahui atau sangkaannya berat mengatakan yang hadith itu palsu, sebaliknya dia tidak menjelaskan kepalsuan hadith tersebut ketika meriwayatkannya, maka orang sebegini termasuk dalam ancaman (pengharaman dan neraka) ini. Dia termasuk dalam kumpulan orang yang berbohong atas Nabi saw.
Ini berdasarkan hadith (yang bermaksud) : “Sesiapa yang menyampaikan satu hadith daripadaku dalam keadaan dia melihat hadith itu adalah tidak benar, (tapi dia sampaikan juga) maka dia termasuk salah seorang daripada pembohong.” (Sila lihat Muqaddimah Syarah Sahih Muslim)
Demikianlah betapa besarnya ancaman berbohong atas nama Nabi saw dan pentingnya memastikan kesahihan sesuatu hadith sebelum mengunakannya.
Di atas kesedaran ini, maka saya mengambil anisiatif untuk memeriksa kedudukan hadith-hadith yang digunakan oleh Prof. Dr. Uthman al-Muhammadi dalam tulisannya tersebut, supaya para pembaca dapat menilai kedudukan hadith-hadith tentang konsep Nur Muhammad. Demikian juga semoga tulisan ini dapat memberi rangsangan kepada para pendakwah lain untuk memastikan setiap hadith yang hendak mereka gunakan, samaada di dalam tulisan ataupun ceramah, hanyalah hadith-hadith yang sahih dan hasan sahaja.
Di samping itu, saya tidak menafikan, di dalam tulisan Prof. Dr. Uthman al-Muhammadi tersebut, beliau ada nyatakan juga beberapa hadith yang didakwa beliau sebagai hadith yang hasan. Namun tulisan ini hanya ditumpukan kepada hadith-hadith yang tidak thabit yang digunakan beliau di dalam tulisannya tersebut. Terutamanya hadith-hadith yang tidak sahih ini diletakkan di awal tulisan beliau dengan tanpa sebarang penjelasan kelemahan dan kepalsuan hadith tersebut. Ini menyebabkan sesiapa yang membacanya beranggapan hadith-hadith tersebut benar-benar dari ucapan Nabi saw, akan tetapi pada hakikatnya adalah sebaliknya.
Hadith (qudsi) pertama :
كنت كنزا لا أعرف فأحببت أن أعرف فخلقت خلقا فعرفتهم بي فعرفوني
Maksudnya : “Aku adalah perbendaharaan yang tersembunyi, maka Aku kasih bahawa Aku dikenali, maka Aku jadikan makhluk, maka dengannya mereka mengenaliKu.”
Komenter para ulama hadith tentang hadith di atas :
1- Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah :
· Khulasah Darjat Hadith : “Ia bukanlah dari perkataan Nabi saw, dan tidak diketahui baginya (ada) Isnad yang Sahih dan tiada juga isnad yang Dhoief.”
· Sumber : Majmu’ al-Fatawa (مجموع الفتاوى)
· Muka Surat & Bil. Hadith : 18/376
2- Al-Syakhawi (السخاوي)
· Khulasah Darjat Hadith : “Tidak diketahui baginya sanad yang Sahih dan Dhoief.”
· Sumber : al-Maqasid al-Hasanah (المقاصد الحسنة)
· Bil. Hadith : 386
3- Al-Syeikh Muhammad Nasiruddin al-Albani
· Khulasah Darjat Hadith : “Tidak ada asl baginya dengan kesepakatan para ulama hadith”
· Sumber : al-Silsilah al-Dhoiefah (السلسلة الضعيفة)
· Bil. Hadith : 6023
Hadith Kedua :
- 1أنا من الله ، والمؤمنون مني
Maksudnya : “Aku (Muhammad) daripada ALLAH, dan orang-orang Mukmin daripadaku.”
- 2أنا من الله عز وجل والمؤمنون مني فمن آذى مؤمنا فقد آذاني
Maksudnya : “Aku (Muhammad) daripada ALLAH ‘azza wajalla, dan orang-orang Mukmin daripadaku, sesiapa yang menyakiti orang Mukmin, maka sesungguhnya dia telah menyakitiku.”
Komentar para ulama hadith :
1- (Hadith pertama) Syeikh al-Islam Ibn taimiyyah
· Khulasah Darjat Hadith : “Pembohongan dan yang direka-reka, tidak ada asal sesuatupun darinya.”
· Sumber : Majmu’ al-Fatawa (مجموع الفتاوى)
· Muka Surat & Bil. Hadith : 11/72
2- (Hadith kedua) Al-Sakhawi (السخاوي)
· Khulasah Darjat Hadith : “Tidak ada baginya Isnad”
· Sumber : al-Maqasid al-Hasanah (المقاصد الحسنة)
· Bil. Hadith : 125
Hadith Ketiga :
لولاك ما خلقت الأفلاك
Maksudnya : “kalaulah tidak kerana engkau (Muhammadd), Aku tidak jadikan sekelian falak ini.”
Komentar para ulama hadith :
1- Al-‘Ajluni (العجلوني)
· Khulasah Darjat Hadith : “ia bukannya hadith.”
· Sumber : Kasyfu al-Khafa’ (كشف الخفاء)
· Muka Surat & Bil. Hadith : 2/214
2- Al-Syeikh Muhammad Nasiruddin al-Albani
· Khulasah Hadith : Palsu
· Sumber : al-Tawassul (التوسل) dan al-Silsilah al-Dhoiefah (السلسلة الضعيفة)
· Muka Surat : 115 / 282
Hadith Kelima :
كنت نبيا وآدم بين الماء والطين
Maksudnya : “Aku telahpun menjadi nabi walhal Adam berada antara air dan tanah”
Komentar para ulama hadith :
1- Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah
· Khulasah Darjat Hadith : “Tidak ada asal baginya” / “Batil” / “Pembohongan dan Batil / “Tidak ada asal baginya bahkan ia Batil”
· Sumber : (الرد على البكري) / Majmu’ al-Fatawa (مجموع الفتاوى) / Majmu’ al-Fatawa / Majmu’ al-Fatawa
· Muka Surah & Bil. Hadith : 65 / 18/369 / 18/125 / 2/137
2- Al-Sakhawi (السخاوي)
· Khulasah Darjat Hadith : PALSU
· Sumber : al-Ajwibah al-Mardhiah (الأجوبة المرضية)
· Muka Surat & Bil. Hadith : 1/166
3- Al-Sakhawi (السخاوي)
· Khulasah Darjat Hadith : Tidak aku ketahui waridnya hadith ini dengan lafaz ini, terutamanya kesahihannya.
· Sumber : al-Fatawa al-Hadithiah (الفتاوى الحديثية)
· Bil. Hadith : 188
Wassalam.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment