"Berkorban apa saja, harta ataupun nyawa..."
Teringat akan lirik lagu Tan Sri P. Ramlee dalam filem Hang Tuah. Betapa Hang Tuah berkorban demi raja dan negaranya. Sudah menjadi sunnah alam ini, kehidupan manusia dipenuhi dengan pelbagai pengorbanan yang bukan calang-calang, sehinggakan nyawa yang menjadi penyambung kehidupan boleh tergadai. Sungguh misteri, apakah kekuatan yang mendorong manusia melakukan pengorbanan yang begitu tinggi, sedangkan menurut bapa ekonomi moden, Adam Smith dalam bukunya Theory of Moral Sentiment, manusia adalah makhluk yang sangat mementingkan diri sendiri...
Lihat saja kejadian alam di sekeliling kita, betapa haiwan yang tidak berakal tetap berkorban mempertahankan anak-anak kesayangan dan masyarakat mereka...
Sungguh pelik manusia, sejarah menunjukkan mereka berusaha bermati-matian mengumpul harta dan mencari penawar kematian, namun harta dan nyawa itu jualah yang dikorbankan apabila mereka berasa sesuatu yang mereka hargai terancam.
Islam datang mengajar tertib disiplin pengorbanan. Manusia diajar menyusun prioriti dalam kehidupan mereka agar pengorbanan yang mereka lakukan nilainya setimpal dengan perkara yang dipertahankan. Sememangnya dakwah memerlukan pengorbanan. Para rasul dan nabi terdahulu merupakan contoh terbaik dalam perkara ini.
"Dan di antara manusia ada orang yang mengorbankan dirinya kerana mencari keredhaan Allah; dan Allah Maha Penyantun kepada hamba-hamba-Nya." [al-Baqarah: 207]
"Apakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum datang kepadamu (cubaan) sebagaimana halnya orang-orang terdahulu sebelum kamu? Mereka ditimpa malapetaka dan kesengsaraan, serta digoncangkan (dengan bermacam-macam cubaan) sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya: "Bilakan datangnya pertolongan Allah?" Ingatlah, sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat." [al-Baqarah: 214]
Ayat ini sangat memberi kesan di hati... manusia terlalu cepat ingin melihat buah kejayaan, sedangkan usaha dan pengorbana mereka belum melayakkan mereka melihat tunas-tunas dakwah berkembang subur. Aduhai, andai diri kita belum boleh berkorban seperti pejuang-pejuang dahulu, usahlah berharap kejayaan datang bergolek. Berkorbanlah apa saja demi kedaulatan al-Quran dan al-Sunnah... Ingatlah, semua kita tetap akan mati, cuma kita boleh memilih bagaimana kita ingin mati, mati sebagai insan biasa yang hidup bahagia bersama keluarga jauh dari mehnah dan tribulasi dakwah, atau mati sebagai pejuang yang hidupnya dipenuhi kesengsaraan hanya kerana ingin menegakkan kesucian Islam...
Wednesday, April 19, 2006
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment