Benar, itu disebut dalam al-Quran. Nabi Muhammad sallallahu 'alayhi wasallam dan para Sahabah radiyallahu 'anhum ajma'in beriman bahawa Allah itu Maha Tinggi. Tidak pula mereka sibuk bertanya, tinggi yang bagaimana? Atau tinggi di arah mana? Maka aku sebagai umat terkemudian juga tidak patut bertanyakan maklumat terperinci mengenainya kerana mereka yang mendahuluiku dalam agama ini tidak pula sibuk bertanya. Dalam pada tidak mensibukkan diri dengan pendetailan ini, iman mereka adalah yang terbaik antara umat manusia.
Adalah satu penghinaan kepada Rasulullah, andai aku berpandangan definisi Maha Tinggi itu perlu penjelasan yang mendalam. ini kerana seolah-olah Rasulullah sebelum meninggalkan kita, masih ada sudut-sudut aqidah yang tidak dijelaskan dengan sempurna. Sedangkan Allah berfirman:
[الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِى وَرَضِيتُ لَكُمُ الأِسْلاَمَ دِيناً]
(This day, I have perfected your religion for you, completed My favor upon you, and have chosen for you Islam as your religion.)
[Surah al-Maidah, 5:3]
Menurut al-Hafiz Ibn Kathir, ayat ini menunjukkan betapa besar anugerah Allah kepada umat ini, kerana agama mereka telah disempurnakan dan mereka tidak perlu lagi mencari agama lain atau mencari nabi lain selain dari Muhammad sallallahu a'alyhi wasallam.
Maka antara aspek terpenting agama ialah aqidah, maka sudah tentu aqidah ini telah sempurna. Di antara aspek aqidah pula yang terpenting sudah tentu Tauhid kepada Allah yang Maha Esa. Berdasarkan ayat ini, sepatutnya aku yakin bahawa agama Islam ini telah cukup sempurna dan tidak perlu lagi kepada apa-apa tambahan.
Begitu juga dengan Maha Tinggi yang merupakan salah satu sifat-sifat Allah yang Agung. Tinggi itu maknanya dari segi bahasa jelas dan difahami. Bagaimana tinggi itu, tidaklah aku ketahui, danaku tidak berhajat untuk tahu. Untuk nafikan sifat Tinggi, tidak mungkin kerana Allah sendiri menyebut Diri-Nya Maha Tinggi. Untuk ubah kepada maksud lain, juga bukan hakku untuk merubah perkataan Tuhanku. Jelas bagiku, untuk memperoleh iman sempurna, aku tidak perlu tahu detail bagaimana sifat Tinggi itu. Yang pasti, sifat Tinggi bagi Allah itu tidak sama dengan sifat tinggi yang terdapat pada makhluk.
Al-Hafiz Ibn Kathir menyebut bahawa Rasulullah seringkali apabila membaca ayat pertama Surah al-A'la, baginda akan bertasbih memenuhi perintah ayat tersebut dengan membaca:
«سُبْحَانَ رَبِّيَ الْأَعْلَى»
Cuma, perlu diingatkan bahawa respon terhadap ayat-ayat al-Quran seharusnya dilakukan tatkala solat bersendirian. Respon yang bagaimana? Apabila aku membaca ayat-ayat al-Quran yang mengkhabarkan suasana indah di Syurga, maka aku seharusnya berdoa memohon kepada Allah agar menempatkan aku di Syurga; apabila membaca ayat-ayat azab maka aku seharusnya meminta perlindungan Allah; apabila membaca ayat-ayat perintah untuk bertasbih, maka aku seharusnya bertasbih; dan apabila membaca ayat-ayat soalan mengenai kekuasaan Allah, aku seharusnya menjawab dan mengakui kekuasaan Tuhanku.
Wallahu a'lam.
*Kupasan Kuliah Tafsir Surah al-A'la oleh Syeikh Abdurrahman al-Hijazi, imam Masjid Ottawa.
No comments:
Post a Comment