Good Friday - hari ini merupakan cuti umum bagi Ottawa. Oleh sebab itu, pihak MSA Carleton tidak mengadakan Solat Jumaat di universiti. Arif, Azman dan Mukmin - kami berempat ke Masjid Assalam di St. Laurent Boulevard untuk Solat Jumaat bersama. Walaupun waktu Zuhur ialah pada 1:30 petang, khutbah bermula pada pukul 12:45 tengahari. Kami terpaksa bergerak awal kerana jika terlambat, pasti berhadapan dengan masalah parking.Khutbah yang disampaikan berkisar gejala sosial yang semakin mengancam kefahaman agama di kalangan remaja Islam. Kata khatib, kebanyakan anak muda Islam di Barat kini semakin terikut-ikut dengan gaya hidup remaja Barat sehingga susah dibezakan antara kedua-duanya. Inilah akibatnya apabila tiada lagi rasa malu.
Lantas imam mengingatkan jemaah yang hadir agar menitik-beratkan pendidikan agama kepada anak-anak semasa mereka masih kecil. Tanamkan benih-benih tauhid di hati mereka dan pastikan ia sentiasa subur dan membesar menjadi pohon yang teguh. Hanya semasa anak-anak masih kecil perkara ini dapat dilakukan. Setelah mereka melangkah ke alam persekolahan, pengaruh rakan sebaya lebih kuat dari pengaruh ibu bapa. Oleh sebab itu, pastikan sebelum mereka meninggalkan rumah dan melangkah ke alam persekolahan, mereka telah mendapat kefahaman secukupnya mengenai tauhid.
Selesai solat, kami menuju ke Sakura Sushi di Merivale Road untuk makan tengahari.
No comments:
Post a Comment