Sunday, April 27, 2008

Hari-hari Terakhir di Ottawa

Jumaat, 25 April. Solat Jumaat di kampus. Peperiksaan terakhir aku ialah Applied Time Series Analysis hari ini selama 2 jam dari 7.00 malam dan tamat pada jam 9.00 malam. Hanya dua pelajar sahaja yang mengambil kertas ini. Rakan sekelasku meninggalkan bilik peperiksaan selepas 1 jam berlalu. Tidak mungkin dia berjaya menjawab semua soalan sepantas itu kerana soalan yang diberi oleh pensyarah banyak. Aku tidak pasti sama ada aku patut gembira atau tidak, ini disebabkan rakan sekelasku tidak menjawab peperiksaan dengan baik, maka sudah pastinya aku akan mendapat markah yang lebih baik. Yang aku pasti, strategi aku mengena. Aku benar-benar menumpukan fokus kepada latihan-latihan yang diberikan dalam kelas sebelum ini. Ada lebih kurang dua sub-soalan yang aku tidak sempat jawab, yang lain aku yakin aku telah jawab dengan tepat. Dengan hati gembira aku meninggalkan kampus malam itu menuju ke rumah. Makan malam aku hanya memesan shawarma chicken plate dari Restoran Shawarma's King.

Sabtu, 26 April. Pagi aku terus mengemas rumah. Katil lama ku buang, manakala makanan yang ada kuagihkan kepada Mishal dan Kak Azidah. 10 pagi aku keluar memulangkan set televisyen, telefon dan internet Rogers. Makan malam pula di Pho Bo Ga Truc di downtown.

Ahad, 27 April. Hari yang ditunggu-tunggu. Seawal pagi aku menghantar barang-barng rumah termasuk peti televisyen ke rumah Mishal. Kemudian final shopping mencari baju anak-anak untuk dibawa pulang. Siap-siap kemas barang. Mishal dan Koen menghantar aku ke lapangan terbang lebih kurang pukul 3 petang. Di sana terjumpa pula sebahagian diplomat Malaysia yang kebetulan berada di sana untuk menghantar seorang diplomat Brunei ke Vancouver. Seperti biasa, stroller baby perlu dimasukkan melalui kaunter bagasi lebih saiz. Aku terpaksa memindahkan sebahagian kandungan bagasi kerana terlebih berat. Berat maksimum untuk satu bagasi ialah 23 kg, manakala bagasi milikku terlebih 1 kg. Tepat 5.50 petang, pesawat terbang meninggalkan bumi Ottawa menuju destinasi pertamaku, Vancouver. Wajah keluarga terbayang di mata.

Wednesday, April 23, 2008

Sahabat dari Korea Selatan

Sudah lama Won-Il menjemput aku makan malam bersama dengannya. Won-Il adalah rakan sekelas yang berasal dari Korea Selatan. Seorang pelajar bijak, dalam masa yang sama sangat kuat berpegang dengan ajaran Kristian. Memandangkan aku akan pulang setelah selesai pengajianku pada semester ini dan belum pasti sama ada akan kembali atau tidak, Won-Il sekali lagi bersungguh-sungguh mengajak aku makan malam. Setelah berbincang mengenai jadual peperiksaan masing-masing, kami setuju untuk makan bersama pada hari Rabu, 23 April. Mishal akan turut hadir sama, dan atas permintaan Mishal, kami bergerak menuju ke Nando's.

Won-Il suka bercerita mengenai ajaran Kristian yang dianutinya, dan aku suka mendiamkan diri mendengar dan hanya sekali-sekala bertanya. Jika Mishal hadir bersama, pastinya sesi ceramah sebelah pihak itu akan bertukar menjadi sesi debat. Biasalah, orang Melayu kan suka diam dan mendengar, bangsa-bangsa lain di dunia pula apabila ada sesuatu yang mereka tidak puas hati akan terus diasak dengan pertanyaan dan hujjah. Bukan apa, aku lebih suka mendengar cerita sampai habis dahulu sebelum bertanya apa-apa.

Malam itu, Won-Il menceritakan pengalaman dan nikmat dirinya didampingi Holy Ghost. Pada pandangannya, Holy Ghost ibarat satu spirit baik yang akan mendampingi mereka yang dipilih Tuhan. Tidak semestinya orang baik saja yang dapat, sesiapa saja yang dipilih Tuhan akan dapat nikmat tersebut. Hidup akan menjadi lebih tenang dan bersemangat. Syaratnya cuma satu, beriman kepada Jesus.

Pasti Mishal tidak berdiam diri. Pelbagai soalan ditanya. Malam ini perbincangan didasarkan kepada asas kepercayaan Kristian, three-in-one. Nampaknya Won-Il mampu juga menjawab beberapa persoalan yang ditimbulkan Mishal walaupun tidak kesemuanya, seperti keaslian Kitab Bible.

Aku pula sekadar tidak bersetuju apabila Won-Il menyatakan Islam dan Kristian sama sahaja. Tidak lama dahulu aku ada memberi satu naskhah terjemah al-Quran berbahasa Inggeris kepadanya, dan dia sedang membaca beberapa mukasurat awal Surah al-Baqarah. Dalam tauhid, kunyatakan tauhid Yahudi lebih hampir dengan Islam berbanding Kristian kerana Kristian percayakan konsep trinity. Tanya mana-mana Yahudi, pasti mereka menolak konsep ini. Sama juga dengan konsep patung dan lukisan. Kemudian kunyatakan pula petikan ayat-ayat terakhir Surah al-Nisaa' di mana di Akhirat kelak Jesus sendiri akan menafikan dirinya Tuhan dan dia sendiri tidak pernah menyeru sesiapa menyembahnya sebaliknya sekadar berdakwah kepada Tuhan yang satu. Won-Il agak terkejut apabila kunyatakan ini, kerana selama ini disangkanya al-Quran tidak pernah menuduh agama Kristian sudah diselewengkan. Kunyatakan kepadanya, memang al-Quran menganjurkan berbuat baik sesama manusia, dan disebut pula bahawa penganut Kristian lembut hatinya dan berkawan baik pula dengan kaum Muslimin, namun dalam masa yang sama al-Quran bertegas mengenai konsep kepercayaan. Berbeza kepercayaan tidak semestinya terus membawa kepada permusuhan, namun perbezaan tersebut tetap perlu dinyatakan dan dibetulkan jika ada silapnya.

Mishal lebih fokus kepada keaslian Kitab Bible, lantas dibawa pula perbincangan mengenai Council of Nicaea. Tidak seperti umat Islam yang memiliki al-Quran dalam versi asal Bahasa Arab, Won-Il sendiri tidak pasti wujudkah Bible dalam bahasa asalnya. Mishal nyatakan, terjemahan Bible dalam bahasa lain termasuk Bahasa Inggeris tidak boleh dianggap sebagai Bible yang asal kerana perkataan-perkataan antara bahasa sudah pasti tidak membawa maksud yang sama 100%. Seperti juga al-Quran, terjemahan al-Quran dalam bahasa lain bukan al-Quran sebenar dan tidak boleh dijadikan hujjah. Sudah panjang, restoran pula sudah hampir ditutup. Kami pulang sahaja, sambil Mishal tidak henti-henti terus berhujjah mengenai penyelewengan yang telah berlaku terhadap Kitab Bible.

Wednesday, April 16, 2008

Aiman tak kisah...

"Your wealth and your children are only a trial, whereas Allah! With Him is a great reward (Paradise)."
[Surah Al-Taghabun, 64:15]

Alhamdulillah, pada 16 April 2008 waktu 12:27 malam waktu Malaysia, Maryam telah menjadi kakak kepada Aiman. Selamat datang ke alam dunia buat anakku Aiman, semoga Allah memberkatimu dan memberkati perjalanan hidupmu!

Sayang seribu kali sayang ayahanda masih di perantauan, kasihan pada bonda yang keseorangan bertarung sekali lagi. Maka kasihilah bonda kalian, moga pada dirinya kalian akan peroleh contoh kesetiaan dan ketabahan.

Mari kita main satu permainan. Serupa tapi tak sama, apa perbezaan kedua-dua gambar di bawah ini?

Gambar Pertama

Gambar Kedua

Gambar pertama ialah Aiman Muhammad Irwan beberapa jam selepas dilahirkan (16 April 2008), manakala gambar kedua ialah Maryam Muhammad Irwan beberapa jam selepas dilahirkan (7 Mac 2007). Ada perbezaan? Hehehe... apa pun, alhamdulillah.

Saturday, April 05, 2008

Cepat melangkah anakku

"Wealth and children are the adornment of the life of this world. But the good righteous deeds, that last, are better with your Lord for rewards and better in respect of hope."

[Surah al-Kahf, 18:46]

Cepat melangkah anakku
Mulakan perjalananmu
Dunia terbentang luas
Terokai alam dan isinya
Gagah berani tiada gentar
Bijak mengatur hidup
Merdeka jiwamu tiada lemah
Tabahkan hati tinggi peribadi
Andai jatuh bangun sendiri
Usah peduli nista insani
Iman dan taqwa kekal abadi

Maryam sudah boleh berjalan...

Friday, April 04, 2008

Saya sudah dekat sangat dengan Tuhan. Tambah sikit saja lagi memang saya akan terus menemui Tuhan!

Kali ini bercerita sedikit. Cerita biasa saja, tidak ada yang menarik sangat pun.

Hari Khamis. Hari terakhir kelas untukku pada semester ini. 8:30-11:30 pagi - International Monetary Theory and Policy; kemudian 6:00 - 9:00 malam - Applied Time Series Analysis. Malam sebelumnya hanya sempat tidur sejam kerana menyiapkan assignment untuk kelas Time Series. Jawapan semua sudah siap petang semalam, tetapi perlu ditulis semula dengan lebih kemas. Oleh kerana keletihan, aku memandu kereta ke universiti.

Seperti selalu, kelas International Monetary habis awal. Kali ini pukul 10:00 sudah tamat. Mungkin apabila seseorang guru itu semakin hebat, maka kelas yang sepatutnya tiga jam berjaya dihabiskan dalam masa sejam setengah sahaja. Itulah kehebatan Prof. Ehsan Choudhri yang merupakan satu-satunya Chancellor's Professor di Department of Economics. Cuma, biasalah bila dah senior dan kelas pula di awal pagi, ramailah yang menggayakan watak beruang kutub memancing ikan (mengantuklah tu!).

Pagi ini Richard tidak hadir. Richard merupakan rakan sekelas sejak semester lepas. Dia berasal dari Mumbai, sama seperti Akhil. Aku mengenali Akhil terlebih dahulu kerana kami sama-sama mengikuti program Qualifying Master. Akhil seorang Hindu, Richard seorang Kristian. Richard biasa dengan Islam disebabkan ada ahli keluarganya yang beragama Islam. Dia sering bertanya padaku tentang Adam dan Hawa, Hari Qiyamah, kedatangan Nabi 'Isa 'alayhissalam, Yakjuj dan Makjuj, taqdir, dan macam-macam lagi.

Pagi itu Akhil pun tidak tahu kenapa Richard tidak hadir. Kata Zhenjiang, Richard memberitahu semalam bahawa dia akan hadir kelas pagi ini untuk memulangkan nota Zhenjiang yang dipinjamnya. Kesian Zhenjiang hari ini belajar tanpa notanya.

Lebih kurang 1:30 petang baru Richard datang ke bilik pelajar pasca-siswazah. Kami lantas bertanya kenapa dia tidak hadir pagi tadi. Katanya, pagi ini dia terlewat bangun kerana tersilap kunci jam. Tertukar a.m. dengan p.m. Kemudian, tatkala menyiapkan sarapan, baru dia perasan bahawa kesemua makanannya yang ada di dalam peti sejuk akan expire pada hari tersebut. Lantas dia mengambil keputusan untuk menghabiskan kesemua makanan yang ada. Yogurt, telur, roti, susu - semua sekali.

Richard memang kuat makan. Kali pertama kami sama-sama ke Moni Mahal, restoran buffet makanan India, dia makan lima pinggan lauk-pauk buffet tanpa henti. Dia sering mengatakan aku jenis manusia yang menguntungkan tauke buffet sebab aku tak makan banyak. Kali terakhir kami pergi ke sana pada hari Selasa lepas. Empat pinggan. Dia kelihatan agak sedih kerana tidak mampu memecah rekod terdahulu.

Petang sebelum aku ke kelas Time Series, aku bertanyakan rakan-rakan jika ada di antara mereka yang hendak turun bersama ke kafeteria di Loeb. Aku hanya ingin makan pizza kerana tadi tengahari tidak makan. Tidak mungkin aku mampu bertahan dalam kelas selama tiga jam lagi dengan perut kosong. Sudah tentu Richard mahu ikut. Seleranya tidak pernah padam. Dua keping pizza dengan sandwich tuna dan tiga ketul ayam goreng.

Hari ini Zhenjiang menerima e-mail dari University of British Columbia (UBC). Dia mendapat tawaran program PhD in economics dari UBC. Gembira sakan! Lantas dia mengajak kami untuk makan malam. Apa boleh buat, aku ada kelas sehingga 9:00 malam. Tetapi oleh kerana aku ada kereta, kesemua mereka sanggup menunggu sehingga kelasku tamat. Zhenjiang, Taposh, Mishal dan tidak ketinggalan, Richard.

Kelas Time Series juga habis awal. Dr. Chu Ba Manh mengajak kami semua minum di bar malam itu. Aku menolak pada awalnya tetapi oleh kerana hanya ada empat pelajar sahaja, aku terpaksa ikut. Pada awalnya mereka ingin ke Oliver's Pub. Oliver's Pub adalah bar yang diuruskan pelajar undergrad. Besar dan sudah tentu ramai. Alhamdulillah oleh kerana terlalu ramai akhirnya mereka membawaku ke Mark's Place, bar untuk pelajar post-grad. Kurang orang. Dekat pula dengan surau. Alhamdulillah malam itu aku tidak keseorangan. Derek juga tidak minum arak. Kami berdua minum coke. Derek seorang pelajar PhD in economics di Carleton dan memiliki alasan tersendiri untuk tidak minum arak. Setelah bersembang hingga hampir pukul 9:00 malam, aku terpaksa meminta diri. Alhamdulillah mereka memahami. Kata Dr. Chu, "Muhammad has to leave early because he has family. All others are bachelor and should stay!"

Selesai solat Isyak, Zhenjiang dan lain-lain sudah menunggu di luar surau. Kami bergerak ke Sakura Sushi, restoran buffet makanan Jepun. Malam itu Zhenjiang dan Richard bagai gajah naik minyak. Makanan yang dipesan terlalu banyak. Richard seorang saja order tiga ayam bakar, satu daging bakar, semangkuk nasi ayam dengan dua pinggan udon goreng ayam. Zhenjiang dengan lima temaki salmon, dua mangkuk tofu goreng, semangkuk tofu basah, jejari ikan, jejari udang, banyak lagi. Mishal dengan Taposh pula dengan koleksi ikan - salmon teriyaki, snapper teriyaki, dua pinggan seafood udon. Mishal sendiri order kepala salmon bakar dengan ikan sanma bakar. Aku sekadar fokus kepada salmon maki dan vegetable tempura kegemaranku.

Malam itu memang perang besar. Mishal tidak habis-habis marah Richard kerana order terlampau banyak. Memang tak habis. Sampai restoran dah nak ditutup pun tak habis. Dah tak habis, Richard sempat lagi order dua mangkuk aiskrim. Akhirnya dia sendiri tersandar kekenyangan kerana tidak mampu menghabiskan makanannya. Mishal makin hangat bersuara, cuma senyap sedikit apabila dia sendiri tidak mampu menghabiskan ikan sanma bakar yang dipesannya. Tatkala membayar bil, kami semua didenda bayar extra $2 setiap seorang kerana makanan yang tidak habis.

Dua malam lepas di Moni Mahal, setelah Richard menghabiskan empat pinggan, apabila diseloroh agar makan lagi, katanya, "If I take some more I'll be nearer to God." Malam ini pula, "It seems that I'm too near to God. Anymore food will take me directly to Him."

Keesokannya Richard langsung tidak hadir ke universiti. Risau juga kami. Petang aku berutus msn dengannya. Alhamdulillah dia ok, cuma katanya dia sudah serik dengan makanan yang banyak. Hari ini perutnya meragam teruk. Langsung tidak boleh menjamah makanan. Kasihan Richard! Mungkin semalam adalah hari di mana dia makan paling banyak dalam hidupnya.

Jauh di sudut hatiku, rasa kasihan dengan hidup pelajar. Duit tak banyak, jadi mungkin sebab itu para pelajar sepertiku gemar ke restoran buffet. Dengan bayaran yang tetap, boleh makan sesuka hati. Sudah tentu bila sudah bayar rasa hendak memaksimakan makanan yang boleh dimakan. Terasa rugi kalau makan sedikit. Inilah keburukan sistem buffet. Lain kali, hanya pergi ke restoran buffet kalau mampu mengawal nafsu. Jangan bandingkan nilai duit dengan makanan yang nak masuk ke perut, sebaliknya fikirkan nilai duit dengan nikmat kesihatan dan kesyukuran kepada Allah. Tak mengapa la sudah bayar harga tetap untuk buffet, makan setakat yang boleh makan sudahlah, jangan dipaksa makan sebanyak mungkin. Bila dah terlebih had, tengok apa yang terjadi. Richard, perut meragam sepanjang hari. Tak selesa pula tu.

Tiba giliran Sakura Sushi memberi peringatan kepada kami agar jangan mengikut hawa nafsu!

Thursday, April 03, 2008

Ungkapan penuh makna dari al-Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab

لست ولله الحمد أدعو إلى مذهب صوفي أو فقيه أو متكلم أو إمام من الأئمة الذين أعظمهم مثل ابن القيم والذهبي وابن كثير وغيرهم ، بل أدعو إلى الله وحده لا شريك له ، وأدعو إلى سنة رسول الله صلى الله عليه وسلم التي أوصى بها أول أمته وآخرهم وأرجو أني لا أرد الحق إذا أتاني ، بل أشهد الله وملائكته وجميع خلقه إن أتانا منكم كلمة من الحق لأقبلها على الرأس والعين ، ولأضربن الجدار بكل ما خالفها من أقوال أئمتي حاشا رسول الله صلى الله عليه فإنه لا يقول إلا الحق .
(مؤلفات الشيخ محمد بن عبدالوهاب - القسم الخامس (الرسائل ص 252)2


"Segala pujian bagi Allah, aku tidaklah menyeru kepada satu mazhab sufi, atau kepada seorang faqih atau kepada seorang ahli kalam, atau kepada seorang imam dari kalangan imam yang agung seperti Ibn al-Qayyim, al-Zahabiy, Ibn Kathir dan selainnya. Sebaliknya aku menyuru kepada Allah yang satu, tidak ada sekutu bagiNya, aku juga juga menyeru kepada (mengamalkan) sunah Rasulullah S.A.W. yang baginda wasiatkannya kepada generasi awal umatnya sehingga ke akhirnya. Aku berharap semoga aku tidak menolak kebenaran apabila ia datang kepadaku. Bahkan aku bersaksikan Allah, malaikat-malaikatNya dan keseluruhan makhluknya, jika datang daripada kamu satu kalimat yang benar, pasti aku akan menerimanya dengan penoh penghormatan, dan pasti aku akan membuang ke tepi setiap apa yang menyalahi kebenaran, walaupun ia dari perkataan-perkataan para imamku, melainkan perkataan Rasulullah S.A.W. kerana sesungguhnya baginda tidak akan berucap melainkan kebenaran belaka." (Tulisan al-Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab - al-Qism al-Khamis - al-Rasa-il al-Syakhsiyyah, m.s. 252)

*Diambil dari blog Ustaz Mohamad Abdul Kadir bin Sahak, Institut al-Qayyim, Pulau Pinang.