Sunday, May 25, 2008

Memulaukan Saudara Sendiri

Setelah sekian lama berada di luar negara, baru kali ini berpeluang untuk menghadiri kuliah SS Mufti Kerajaan Negeri Perlis di Surau Al-Muhajirin, Taman Sri Ukay. Masya-Allah, bilangan hadirin terlalu ramai sehingga memenuhi segenap ruang yang ada di surau.

Kuliah berkisar mengenai perbuatan memulaukan saudara. Tiga hadith dibaca dan diulas dari Kitab Riyadh al-Salihin. Secara ringkas, Islam meraikan emosi manusia. Kadangkala, dalam pergaulan seharian, kita tidak dapat mengelakkan daripada mengguris perasaan orang lain atau orang lain mengguris perasaan kita disebabkan perkara peribadi. Maka, dibenarkan kita tidak bertegur sapa selama maksimum tiga hari. Selepas tiga hari berlalu, kita perlu menegur kembali saudara tersebut. Walau bagaimanapun, sekiranya rasa marah masih belum reda, maka Islam masih meraikan perasaan tersebut. Kita hanya perlu memberi salam. Tidak perlu bersembang disebabkan rasa marah yang masih ada. Setelah kita memberi salam, maka tanggungjawab kita sudah pun selesai. Sekiranya dia menjawab, maka kita berkongsi pahala dengannya. Sekiranya tidak dijawab, maka kita sudah terlepas dari menanggung dosa kerana telah menunaikan tanggungjawab kita.

Janganlah kita terus-menerus tidak bertegur sapa kerana Allah akan mengampunkan kesemua dosa pada setiap Isnin dan Khamis kecuali golongan musyrikin dan menangguhkan pengampunan terhadap mereka yang tidak bertegur sapa sehingga mereka berbaik semula.

Ada yang bertanya kepada tuan mufti, adakah pengecualian ini termasuk mereka yang tidak bertegur sapa kerana sebab-sebab lain seperti berjauhan atau sibuk bekerja? Jawab tuan mufti, mereka ini tidak termasuk golongan yang memulaukan, kerana pemulauan atau tidak bertegur sapa ini disebabkan rasa marah akibat perselisihan faham yang lebih bersifat peribadi.

Pemerintah pula berhak menjatuhkan hukuman pemulauan lebih dari tiga hari kerana mereka diberi kuasa dan hukuman yang dijatuhkan itu tidak bersifat peribadi, tetapi disebabkan kesalahan jenayah yang berat. Ini pernah berlaku pada zaman Nabi sallallahu 'alayhi wasallam apabila baginda memulaukan tiga sahabat baginda yang tidak menyertai peperangan Tabuk lebih dari sebulan lamanya.

1 comment:

Taufik said...

All the best dkt Malaysia abg. Tak sabar saya nak balik (saya balik 29th june) Msia ni.